=====================Jentik Jari====================
Isu kebebasan dalam beragama masih belum surut perbahasannya. Masih kedengaran suara menuntut agar memohon maaf atas keterlanjuran ungkapan tersebut, bahkan ada juga yang mendesak agar bertaubat kerana telah melakukan suatu kesalahan besar, dan disifatkan oleh mantan Perdana Menteri sebagai tindakan bodoh dan melampau.
Hari ini adalah hari pertama kita berada dalam tahun 1434 Hijrah. Penampilan di kaca tv menonjolkan watak perempuan berwajah sopan, ayu dan mirip bertudung. Saya namakan ia sebagai mirip bertudung kerana telah menjadi fesyen terkini, bertudung separa kepala dengan jambul di depan.
Tidak dapat dipastikan adakah hasrat hati mereka fesyen bertudung seumpama ini adalah tuntutan agama atau adat sempena menyambut tahun Hijrah.
Jika adat, maka tiadalah habuan pahala yang akan diganjarkan. Adapun jika berbuat demikian kerana tuntutan agama, maka ia adalah ajaran songsang lagi sesat. Islam tidak pernah menganjurkan umatnya bertudung ala separuh kepala, berjambul pula di depannya.
Sesiapa yang mempopularkan model penampilan seumpama ini, dan diikuti pula oleh ramai wanita yang dihitung bergaya dan berwajah ayu, maka padahnya ialah dosa berganda-ganda atas perbuatannya itu. Lebih malang lagi seandainya perbuatan itu ditiru pula oleh ramai wanita moden.
Bertambahlah celakanya lagi apabila disandarkan hukum itu pada titik tiada paksaan dalam beragama. Padahal, dari sudut hukum ianya adalah suatu paksaan. Cuma dilihat suatu kebebasan lantaran tiada penguatkuasaan sepertimana penguatkuasaan ke atas berbuka puasa pada siang hari.
Seorang yang telah menganut agama Islam, maka telah menjadi suatu kemestian ke atasnya untuk mengikut garis panduan dan batu sempadan yang telah ditetapkan. Jika ingkar, bermakna dia sengaja menempah bala kecelakaan dari Penciptanya.
Justeru, pada hari kebangkitan kelak, hanya sesalan yang silih berganti. Sedangkan beliau tidak layak sama sekali Pencipta dipersalahkan. Walhal Penciptanya telah menjelaskan sejelas-jelasnya, seumpama putih dan hitam, lautan dan daratan, bukit dan tanah rata, langit dan bumi, seterang mentari di siang hari.
No comments:
Post a Comment