Sunday, November 11, 2012

KENANGAN BERSAMA ENCIK PARIS DI REMBAU

====================Tautkan Kasih==================

Di kediaman en. Paris, Rembau,
Negeri Sembilan
Sempat berkunjung ke kediaman en. Paris di Rembau Negeri Sembilan bersama ust. Sheikh Salim, ust. Mohd. Rizuan dan ust. Mohd. Razif.

EN. PARIS
En. Paris merupakan mantan staf kedutaan semasa kami menuntut di bumi Maghribi dahulu. Beliau amat mengambil berat tentang kebajikan kami , sakit demam, makan dan minum semuanya disoal bagi memastikan suasana pembelajaran yang kondusif untuk belajar. Tambahan pula, kesemua kami berjauhan dengan keluarga tersayang.


Di rumah en. Paris
Gambar : Ihsan ust Mohd Rizuan
 RUMAHNYA
Ini kali kedua saya berkunjung ke teratak beliau yang telah berusia hampir 144 tahun. Tarikh tercatat di pintu rumah dalam bentuk ukiran indah 1289H. Namun, kayunya masih kukuh, binaannya masih teguh. Kagum saya.

Sebenarnya saya ada sedikit pengalaman pahit bersama beliau.

MENGEMBARA
Kisahnya bermula apabila saya bersama ust. Dr. Abd. Razak telah memasang niat untuk merantau di utara benua Afrika. Pengembaraan itu menerusi jalan darat yang akan merentasi bumi Algeria, Tunisia, Libya dan terus memasuki Mesir. Dari Mesir, kami akan terbang pulang ke Maghribi. Itu perancangan kami selama sebulan cuti musim panas.

POHON RESTU
Bagi memohon restu kebenaran pegawai kedutaaan untuk merantau, maka saya bersama sahabat saya ini bertemulah dengan en Paris bagi memaklumkan hasrat di hati, di samping memohon nasihat, barang sepatah dua sepanjang berada di perjalanan itu nanti.

Katanya ringkas, tapi padu dan tepat. Dengan mata memandang ke meja, tangan sibuk mengatur fail, suara antara kedengaran dan tidak, “Jaga paspot tu baik-baik, ia lebih penting dari wang saku yang kamu bawa”.

KE TELIMSAN
Dipendekkan cerita, kamipun bertolaklah dengan kereta api tepat jam 1 pagi dari stesen Kereta api Kenitra menuju ke Telimsan, Algeria. Petang keesokannya kamipun sampai di sana. Keadaan tanahnya agak berbukit, memang memenatkan kami.

Di Telimsan,
Algeria
Dikhabarkan penduduk di sini, boleh tahan jelitanya dek siraman salji pada musim sejuk. Bermata biru dan berkulit putih kegebuan, katanya.

BERMALAM DI MASJID
Kami diperkenalkan oleh seseorang untuk bermalam di masjid. Petugas masjid itu melayan kami dengan amat mesra. Ikatan ukhuwwah bersama beliaupun terjalin. Sambil menjamah makan malam, kami berbual-bual tentang masyarakat umat Islam di sini. Berkebetulan, pada masa itu, parti Islam baharu sahaja menang pilihan raya.

Beliau memberitahu kami dengan bersungguh-sungguh. Katanya, “Kami menggerakkan tenaga muda dan wanita untuk memberi laluan kepada jemaah Islam bertapak. Akhirnya kami berjaya”.

SOLAT FARDHU

Memang benar kata-katanya itu. Semasa kami bersolat fardhu di salah sebuah masjid di sini, saya perhatikan ahli jemaah masjid yang begitu ramai bersolat jemaah, semacam solat Jumaat ramainya.
 
Semasa berada di ibu kota Algeria

Pengendali masjid pula, atau kita panggil AJK masjid, semuanya muda-muda dan bergerak pantas. Apa yang menarik perhatian saya, apabila khatibnya itu adalah seorang yang masih muda, dalam lingkungan 40-an. Kelihatan begitu bersemangat sekali. Suaranya amat bertenaga. Penampilannya begitu berani dan berkeyakinan. Patutlah mereka menang.

SOLAT JUMAAT
Nak dijadikan cerita, selesai solat jumaat, saya bersama sahabat saya tadi bersantai de tepi pantai sementara menunggu ‘time’ untuk bergerak ke Tunisia pada sebelah malamnya. Malang memang sukar berbau. Paspot kami dicuri orang semasa kami asyik bergaya mengambil gambar.

SEDIHNYA
Sedihnya, Tuhan sahaja yang tahu. Apakan tidak, dahlah terpaksa berpatah balik ke Maghribi, dan saya dah agak, mesti en. Paris akan menyinga. Itu yang tak boleh tahan tu.

Dalam situasi ini, ke kiripun salah ke kanan juga salah. Berada setempat, tak bergerak-gerak lagilah salah.

HILANG PASPOT
Kamipun bergeraklah ke pejabat polis yang berdekatan bagi membuat laporan kehilangan. Dimintanya kami agar menunggu di tepian pantai, manalah tahu kalau-kalau pencuri tadi membaling paspot kami ke tong-tong sampah. Akhirnya kesemua tong sampah yang berada di persisiran pantai itu diperhatikan. Namun hampa.

Belah malamnya kami menaiki kereta api menuju ke Telimsan lagi sekali untuk kembali ke bumi Maghribi. Sesampainya di sempadan, alangkah hampanya hidup ini, kami tidak dibenarkan melintasi laluan imegresen lantaran tiada paspot.

PASPOT UK
Lama menunggu di situ. Pening dibuatnya. Macam-macam terfikir. Pegawai itu menyuruh kami kembali ke ibu kota untuk memperolehi paspot dari kedutaan United Kingdom, memandangkan kedutaan Malaysia tiada di Algeria.

Tiba-tiba ada seorang menyapa kami. Beliau mengajak kami menyelusup secara haram mengikuti laluan belakang. Ishh..gerun juga apabila disebut haram. Nanti berlaku apa-apa, lagi kacau dibuatnya.

BADAN PENAT
Akhirnya pilihan kami berpatah balik ke ibu kota Algeria dengan tempoh perjalanan selama satu malam berkereta api. Udahlah badan penat, minda pula tertekan, hati risau tak dapat nak diulaskan lagi. Relakan ajelah apa yang berlaku demi mencari setitis nilai pengalaman yang amat berguna.

Di sana, kami diberi layanan baik. Disiapkan kami paspot ‘bertitle’ United Kingdom, merah hati warnanya. Wah...warga uklah konon. Namun apabila dilihat status, rupa-rupanya tercatat “commonwealth citizen”. Oklah...

PULANG
Maka pulanglah kami menuju ke Maghribi melalui Telimsan buat kali ketiganya.

Sebaik sahaja tiba di Maghribi, bergeraklah kami ke kedutaan Malaysia di Zanqah Hamzah, Agdal. Sudah pasti insan yang kena temui ialah en. Paris.

JUMPA EN PARIS
En. Parispun, en. Parislah. Apa boleh buat. Terpaksa bertemu dengannya.

Jangkaan kami tepat. Tanpa bermuqaddimah, ditembaknya kami satu persatu. Kami pasrah menadah telinga, meskipun hati dan perasaan, bukan sahaja terhiris, bahkan terbelah dua dek kesengsaraan dan bala yang menimpa.

TERIMA KASIH EN PARIS
Walau apapun, kami tetap berterima kasih atas keprihatinan en. Paris dan kesungguhan beliau mengambil berat tentang kami. Seolah-olah, kami ini bagaikan anak-anak beliau.

Kini, apabila bertemu beliau, kenangan lama mengimbau kembali. Seronok juga rasanya. Bukan semua pelajar luar negara melalui situasi ini.

Terima kasih yang tak terhingga buat en. Paris sekeluarga. Semoga sentiasa berada dalam kerahmatan Ilahi jua.

No comments:

Post a Comment