Monday, November 12, 2012

MEMUSIMKAN BUDAYA

====================Tasliah Minda==================


Hulur bantuan kepada penggiat seni tanah air
gambar : Ihsan dari Berita Harian

Hidup kita bersemikan budaya. Tanpa budaya kita terabai. Tanpa budaya, kita tiada apa-apa.

Budaya membentukkan kita. Jika ketinggalan, budaya akan meninggalkan kita. Kata Prof. Dr. Naquib al-Attas, “Budaya itu rangkuman daripada budi dan daya”. Budi itu hal-hal dalaman yang berkaitan dengan akhlak dan daya pula amalan serta penampilan diri yang dipertontonkan.

Justeru, orang yang berbudaya adalah mereka yang memiliki tahap akhlak dan peribadi yang tinggi serta tingkahlaku yang boleh dibanggakan.

Sejak akhir-akhir ini, kita lihat budaya memberi dan menghulur telah bermula. Siri pemberian bonus kakitangan awam, habuan untuk anak-anak felda, dan terbaru kepada penggiat seni.

Masih diingat, jika awan telah mula memendungkan langit, katak-katak telah mula lari mencari daratan, beburung hutan telah menyanyi riang, itu sebagai petanda banjir akan datang. Itu kata orang tua-tua.

Maka, persiapan banjirpun bermulalah. Perahu dan jaring dipersiapkan, ubi dan tanaman digali dan digantungkan di para-para sebagai persiapan di kala hujan bercurahan. Bagi mereka yang tinggal di lembah dan mudah pula dinaiki air, maka persiapan memindahkan barangan turut dipergiatkan. Bermakna, apabila musim hujan datang, maka budaya untuk menerima kedatangan banjirpun turut berlaku.

Adakah, isyarat menghulur dan mengagihkan bantuan dan ‘sogokan’ ini juga memberi isyarat bahawa akan datang satu musim baharu, iaitu musim pemilihan, musim memilih siapakah pewakil bagi diri masing-masing.

Sama-sama kita tunggu. Nampaknya pemilihan kali ini semacam agak misteri. Ada yang teruja. Tidak kurang juga yang sudah mula terasa debarannya. Jantung bergerak kencang. Sekali-sekala semacam terhenti, terkejut dan terus berlari. Berlari bagi mencari ruang  untuk meneruskan legasi kehidupan. Sama-sama kita menanti. Menanti dalam penuh kesabaran, kerana penantian itu suatu kesengsaraan.

No comments:

Post a Comment