Thursday, November 22, 2012

MENJADI PENGUASA UNTUK MENIPU !?...

=====================Teh Panas===================

AES oh AES...
Malaysiakini (21/11/2012) melaporkan, Datuk Mahfuz Omar semalam mendakwa dua kenderaan – satu didaftarkan atas nama Ates Sdn Bhd dan satu lagi atas nama Preferred Synergy Sdn Bhd – menggunakan warna dan logo JPJ.

Beliau turut menggesa polis menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 170 dan Seksyen 171 Kanun Keseksaan, iaitu menyamar sebagai penjawat awam dan memakai pakaian atau membawa tanda yang digunakan oleh penjawat awam dengan niat untuk menipu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, dalam satu ucapannya di Dewan Rakyat hari ini, beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada kakitangan kontraktor tersebut dibenarkan untuk mengguna kenderaan tersebut.

Inilah dikata orang, “Apakan daya, sudahlah terjatuh, pulak ditimpa tangga, tak cukup itu, ter’petat’ (terpegang) pula tahi ayam candu”.

Memang dasar penipu, akhirnya terbongkar jua. Pusing punya pusing, namun pada akhirnya terdedah jua temberangnya.

Beginilah halnya apabila bertuhankan wang, maka sangguplah melakukan apa sahaja. Apa yang penting, keuntungannya semata-mata. Dek kerana inginkan kemewahan hidup dan kebanggaaan gaya, meskipun menerusi jalan penipuan dan terkadang mengambil jalan kezaliman.

Tak ubah persis Yahudi yang menakluk bumi Palestien.

Saya sebenarnya malas nak mengulas panjang isu serangan mereka terhadap rakyat yang tak berdosa itu.

Rakyat kita memprotes, ada suara meminta agar kita memboikot barangan dari Israel. Pak menteri, awal pagi tadi memberitahu, kita tidak boleh menghalang rakyat, jika mereka mahu memboikot barangan tersebut.

Dari dulu, kini dan selamanya saya terfikir, sampai bilakah kita asyik mencantas tunas. Setiap kali dicantas, tumbuh pula tunas baharu yang lebih menyubur dari sebelumnya.

Begitulah halnya dengan kempen anti merokok. Harga dinaikan, iklan digambarkan dalam bentuk yang mengerikan. Namun, orang tetap juga merokok. Tiadalah pula didedahkan statsisik perokok berkurangan. Berapa ramaikah yang telah berhenti merokok ?, Berapa ramai pulakkah yang papa kedana kerana menghisap rokok ?

Kalaulah Mc Donald’s makin membiak. Coca-cola pula ada di mana-mana. Maka tidak perlulah kerajaan kita heboh mempertahankan bumi Palestine. Demo sana dan sini. Selagi mana tangan kanan membelai, tangan kiri pura-pura mencubit, maka selagi itu Yahudi ketawa tergolek-golek.

Isu AES ini pun sama. Mengambil rentak laluan yang serupa. Menipu rakyat untuk meraih keuntungan kroni mereka demi meneruskan mahligai kesombongan yang baginya tiada siapapun yang mampu menghalang.

Apa yang peliknya, penguasa ada kuasa, pak menteri ada suara, ada tandatangan dan mampu pula menghalangnya. Apa guna jadi menteri jika asyik menipu rakyat.

‘Menteri’ dalam bahasa Arab bermaksud pembantu (   واجعل لي وزيرا من أهلي). Nabi Musa as memohon kepada Allah agar dilantik saudaranya nabi Harun as sebagai pembantunya untuk berdepan dengan Firaun.

Seorang menteri ialah mereka yang membantu kita (rakyat) mencari kebajikan hidup. Memang malang, seandainya pembantu tadi ‘makan tuan’ dan ‘menahan jerat’  serta ‘menggali lubang’ agar rakyat terperangkap, dan beliau pula terlepas.

Renung-renungkan bersama….

No comments:

Post a Comment