Tuesday, July 9, 2013

MEREKA UNTUNG, Kita Rugi..!?

Kini isu rampasan kuasa di Mesir hangat diperkatakan. Namun, ia telah dinafikan oleh pihak yang bertindak sebagai perampas tersebut. Sememangnya itulah yang menjadi pegangan sesetengah kita. Tiada siapapun yang mencuri, sanggup untuk dipanggil sebagai pencuri. Begitu juga seorang penyamun, akan marah apabila dirinya digelar sebagai penyamun. Meskipun, mereka tertangkap semasa menyamun. Lalu ditanya kepadanya, “Adakah awak menyamun?”, pasti jawapnya, “Ohh...tidak. Ini sekadar lakonan je”.

Mesir Bergolak
Demikianlah Mesir yang kembali bergolak. Dahulu Husni Mubarak menjadi ancaman kepada suara jalanan. Majoriti rakyat mula membeci kepadanya. Ingin Dihumban dan diterajang semahunya. Dikutuk dan dihina sekuat hati agar turun dan berundur. Akhirnya takhta menjadi milik rakyat, lalu dipilih Dr. Mohamed Mursi sebagai presiden yang baharu melalui jalan yang sah, iaitu proses pilihan raya.

Genap 1 tahun 5 hari, Presiden Dr. Mohamed Mursi memerintah sebagai Presiden ke-5 Republik Arab Mesir. Kini beliau telah digulingkan. Orang yang menggulingkannya pula dari kalangan mereka yang rapat dengannya. Juga daripada mereka yang telah diberi kepercayaan olehnya. Panglima tentera yang juga Menteri Pertahanan, Jeneral Abdel Fatah al-Sisi. Kemudian diletakkan di bawah pemerintahan sementara, Adly Mansour yang juga orang kepercayaan Mursi.

Untung dan Rugi
Dalam situasi ini, mari kita berbicara tentang untung dan rugi. Siapakah yang untung, dan siapa pula yang rugi? Atau adakah di sana orang yang untung melimpah ruah, dan yang lain pula rugi lalu ditimpa malang?

Untuk menjawab persoalan ini, mari kita melihat watak yang ditampilkan dalam pementasan ini. Watak utama yang terdiri daripada Jeneral Abdel Fatah al-Sisi, dibantu pula oleh Adly Mansour. Termasuklah Dr. Muhammad el-Baradei, ketua parti Dustur (perlembagaan) yang masih terkesan dengan bayangan Husni Mubarak. Watak sasaran pula ialah tuan Presiden, Dr. Mohamed Mursi.

Watak belakang tabir juga perlu ditonjolkan. Siapakah pelakon watak tersebut, sering bergerak di belakang tabir. Sekaligus bertindak sebagai penerbit kepada pementasan tersebut.

Berdasarkan skrip lakonan tersebut, Dr. Mursi akan berhadapan dengan cabaran dan halangan yang kuat demi mencapai situasi untung-untung kepada rakyat Mesir.

Kurang Kesabaran
Dek kerana kurangnya sifat sabar dan ammarah kegopohan telah mendominasi diri, maka putaran roda menjadikan situasi rugi-rugi telah berada di atas. Apa yang menghairankan kita, 30 tahun rakyat Mesir hidup dalam kesabaran di bawah rejim Mubarak, namun kini hanya 1 tahun mereka telah berdemo dan melahirkan rasa tidak puas hati. Mana mungkin, 30 tahun terjajah minda, kuasa dan maruah untuk bangkit dalam masa 1 tahun ? Mustahil.

Akibatnya, situasi ini menjanjikan rugi-rugi kepada rakyat Mesir. Perjalanan separuh jalan terhapus begitu sahaja. Mereka kembali ke pangkal jalan untuk menyelusuri jalan yang sama, atau laluan yang lebih sukar daripada sebelumnya.

Habuan Situasi
Mari kita menjawab persoalan, siapakah pula yang mendapat habuan daripada situasi ini? Habuan untung-untung. Sudah pasti keuntungan berpihak kepada mereka yang merangka skrip dan bertindak sebagai pengarah yang tersirat serta penerbit yang berbakat. Kekecohan umat akan diambil kesempatan oleh musuh yang sedari awal babak sudah mula memasang jerat, menghitung hari untuk menerkam dan teruja apabila jeratnya mengena.

Lantaran itulah, kita lihat beberapa pemerintah Arab secepat kilat mengucap syabas kepada tentera atas rampasan kuasa ini. Bagi para penguasa Arab, mereka cukup bimbang jika Mesir berada di bawah pemerintahan yang celik aqal dan aqidah. Kerana mereka yang celik ini akan bertindak pintar dan bijak demi kepentingan agama dan rakyat, bukannya menggaut keuntungan demi nafsu perut mereka semata-mata.

Sikap Penguasa
Bagi mereka, untuk terus menjadi penguasa dan bagi menjamin pula kelangsungan kuasa yang ada, maka rakyat perlu diperbodohkan. Inilah yang telah dilakukan oleh Firaun kepada rakyat Mesir semasa pemerintahannya. Rakyatnya pula akur dengan suruhan tersebut, kecuali ahli sihir apabila terpancar kebenaran di kala hari perlawanan menentang nabi Musi a.s, lantas para tukang sihir bangkit melawan dan menentang Firaun untuk berlaku taat dan patuh kepada nabi Musa a.s.

Hiburan Melalaikan
Antara langkah untuk memperbodohkan rakyat ialah dengan memberi sogokan hiburan dan keseronokan yang melalaikan mereka daripada berfikir untuk masa depan negara. Serahkan urusan negara hanya kepada mereka yang bertindak sebagai penguasa.

Mesir tidak pernah lupa kepada lagenda penyanyi pujaan mereka, Ummi Kalthum yang mengakibatkan bumi Mesir terhuyung-hayang bagaikan lalang dek kemerduan suaranya. Orang tua dan muda silih berganti menghiburkan diri.

Hasan al-Bana
Apabila al-Syahid Hassan Al-Bana mengejutkan igauan tersebut, maka penguasapun terus marah dan menjeling ke arahnya. Kesudahannya mereka membunuh pimpinan ikhwan Muslimin ini. Begitu juga al-marhum Syed Qutb hingga ke tali gantung. Namun, cengkaman ini kembali berfungsi. Penahanan dan tangkapan mula aktif. Barisan pimpinan yang bergerak dalam ikhwan telah dijadikan sasaran.

Mari kita tanya, adakah ini lumrah dalam kehidupan seorang pejuang ?

Lumrah Seorang Pejuang
Jawapannya mudah sahaja. Ini bukan sahaja lumrah sebagai pejuang, bahkan laluan Islam perlu menyelusuri denai-denai seumpama ini. Demikianlah pesanan Allah S.W.T bahawa laluan Islam tidak semudah yang kamu sangkakan. Jika ia dekat dan senang dikunjungi, pasti ramai yang mendatanginya, namun sebaliknya ia sukar dan jauh serta beronak duri.

Sememangnya Islam terbangun atas dasar ilmu dan ma’rifat. Sebaliknya, penguasa yang degil ini telahpun tewas untuk berhujah secara ilmiah, namun nafsu mereka masih membara dan mengatakan mereka tetap perlukan kemenangan. Lantaran itu, kuasa jahannam akan digunakan persis Firaun tanpa mempedulikan hakikat kebenaran.

Teguhlah Sebagaimana Diperintah
Untuk beristiqamah sebagaimana yang diarahkan adalah tema kepada kesempurnaan Islam. Mana mungkin, amalan Islam hanya berkisar di surau dan masjid serta majlis-majlis ilmu. Juga tidak mungkin Islam itu muncul di kala Ramadhan dan pada musim haji. Islam perlu berada di mana-mana, dan pada bila-bila masa sahaja. Ia perlu ditampilkan ketika kita berada dibendang dan di pejabat, ketika di kesesakan jalanraya dan di pilihanraya. Ia mesti muncul pada setiap tika dan waktu tanpa ada batasan sempadan dan garis waktu.

Puncak Daulah
Apabila Islam telah menggapai kemuncak daulah, maka di kala itu Islam mula menghampiri titik kesempurnannya. Amalan dari  al-Quran dan suruhan dalam al-Hadis akan diamalkan tanpa ada sekatan dan bantahan. Nah, di kala itu kita akan melihat Islam akan mentadbir, tidak lagi ditadbir. Islam akan menguasai, tidak lagi dikuasai. Islam akan mengatur, tidak lagi diatur. Apabila ini berjaya, maka pasti keamanan, ketenteraman dan keadilan akan tertegak. Jua terlaksanalah apa yang disebut sebagai negara yang subur dan Tuhan Yang Maha Pengampun.

Sudah pasti, situasi seumpama ini amat digeruni dan ditakuti oleh para penyamun dan perompak. Mana mungkin, darah daging mereka telah sebati sebagai penyamun, tiba-tiba ia dihalang dan disekat. Mereka akan marah dan murih. Tak cukup di situ, mereka akan mencari penyokong dan meminta simpati agar situasi ini tergendala.

Dek kebodohan yang lain, maka mereka turut serta dan percaya bahawa inilah cara keadilan akan dapat dikembalikan. Padahal, ia adalah suatu kezaliman dan penindasan yang akan menetas.

Demikianlah sikap penyamun, apabila tersepit, mereka akan bertukar watak sementara waktu untuk menjadi alim dan berpura-pura baik. Apabila jawatan telah diperolehi dan apa yang mereka inginkan telah diraih, kembalilah mereka ke alam yang sebenar iaitu sebagai penyamun.

Dr. Mohamed Mursi
Jelaslah kepada kita bahawa Dr. Mohamed Mursi telah menjadi mangsa kerakusan gerombolan tertentu yang ingin melihat umat Islam sentiasa bertelagah. Keadaan ini memberi peluang kepada mereka untuk bertindak hero dalam menyelesaikan masalah.

Kita masih belum serik dengan apa yang berlaku di Iraq. Mereka mencipta alasan untuk mencapai wawasan. Akhirnya Iraq musnah, sedangkan keuntungan hasil bumi Iraq mereka yang dapat.

Bumi Mesir akan menuju ke situ, jika rakyatnya tidak begitu pintar menilai keadaan. Kita juga perlu berawas lantaran corak Mesir mungkin terpantul sama ke negara kita. Semoga Allah SWT menyelamatkan negara kita dan negara umat Islam amnya.