Tuesday, March 19, 2013

MENGURUS Guru Sakit 'Kepala'

Kali ini saya ingin mengupas sedikit isu berkaitan dengan guru yang diistilahkan oleh tuan MSO (Merah Tinta) sebagai guru sakit ‘kepala’. Dalam bahasa mudahnya, kita sebut guru yang mempunyai gangguan mental.

Saya ada sedikit pengalaman berurusan dengan guru yang diuji dengan sedemikian hal. Saya yakin, dan tuan-tuan juga meyakini bahawa tiada seorangpun antara kita yang ingin berada dalam situasi sedemikian. Namun, apakan daya, ini adalah dugaan dan ujian ke atas dirinya, juga ujian kepada rakan sekerja. Bahkan juga ujian kepada pengetua dalam menangani perwatakan ganjil yang ditunjukkan oleh mereka ini.

Kisahnya bermula apabila sekolah tempat saya bertugas sewaktu di Sabah dahulu, telah menerima masuk seorang guru baharu. Wataknya baik, peramah dan senang didampingi. Secara kebetulan, saya telah dijadikan kawan rapatnya. Kami sering minum bersama di kantin sekolah, dan kekadang beliau datang mengunjungi saya di rumah. Tautan persahabatan kian terjalin.

Pada awalnya, saya tidaklah merasa pelik dan ganjil apabila bergaul dengannya. Namun, beberapa tahun kemudian, lebih-lebih lagi apabila beliau telah menimang cahaya mata, maka perwatakannya kelihatan sedikit berubah. Saya dan rakan sepenjawat yang lain juga merasai semua ini. Buktinya, jika kami menyapanya semasa berselisih di laluan pejalan kaki, beliau akan tunduk seolah-olah antara kami tiada bersapa. Padahal, hari-hari yang lain, beliaulah yang terlebih awal menyapa kami.

Pada ketika itu, tahulah kami bahawa rakan kami ini sedang berhadapan dengan situasi yang tertekan dan mindanya telah terganggu. Namun begitu, beliau tetap melaksanakan tanggungjawabnya sebagai tenaga pengajar. Bahkan, lebih rajin daripada sebelumnya.

Pernah suatu ketika beliau mengajar dari awal sesi pembelajaran sehingga jam 12 tengahari, tanpa memberi laluan rehat untuk para pelajar. Dalam situasi sedemikian, saya didatangi oleh seorang guru wanita yang prihatin, memohon kepada saya agar pergi ke kelas tersebut dan memberitahu kepada ‘pesakit’ ini bahawa masanya telah tamat, dan para pelajar perlu direhatkan. Sayapun pergi bertemu dengannya dan terus mengajaknya ke kantin untuk bersarapan. Alhamdulilllah, beliau terus berhenti mengajar dan akur dengan pelawaan saya tadi. Habis satu episod.

Episod seterusnya bersambung lagi. Dari sehari ke sehari kelihatan ‘kepala’nya makin meracau dan perwatakannya makin bercelaru. Dipendekkan cerita, pihak pentadbir sekolah dengan kerjasama jabatan pelajaran negeri, telah mengambil satu keputusan drastik, iaitu menghantar beliau pulang ke kampung halamannya agar senang dipantau oleh ahli keluarga dan kaum kerabatnya yang terhampir. Itu keputusan pihak pentadbir.

Apa yang sedihnya, mucung senapang keputusan itu di hala ke arah saya, dengan harapan sayalah yang akan dilantik sebagai ‘body guard’ beliau sepanjang perjalanan dari Sabah ke kampung halamannya.

Buat rakan-rakan yang mudah ‘cair’ apabila dipujuk, ingatlah anda kekadang dipergunakan oleh pihak atasan demi masa depan tangga gaji mereka. Anda mesti cerdik dan pintar serta bijak dalam memahami sesuatu keadaan. Ada masa, kita perlu juga ‘jual mahal’ agar diri kita ini diperhargakan. Jika tidak, nasib malang akan timpa menimpa. Apa yang bagus, semua mereka perolehi, dan apa yang menyusahkan, mereka semua lari. Lari melepaskan diri dari masalah yang dihadapi. Harapkan kita untuk membuat penyelesaian sendiri. Terkadang situasi seumpama ini berlaku.

Maka sayapun ‘jual mahal’. Saya katakan kepada pengetua bahawa saya tidak akan mengeluarkan walau satu senpun duit saya di sepanjang perjalanan itu. Perjalanan yang bermula seawal 4.00 pagi dan di jangka tiba di rumahnya jam 1 tengahari dengan menggunakan dua kali penerbangan.

Tuan-tuan, janganlah pula kata saya begitu berkira.

Seperti yang sebutkan tadi, kita perlulah bijak dalam menangani situasi. Apabila orang perlukan kita, maka kita juallah mahal. Ini kerana bukannya senang, seorang pentadbir yang datang merendah diri mohonkan bantuan kita. Guru saya ustaz Ku sentiasa berpesan, jika kita ada sesuatu kelebihan, dan kelebihan itu hanya kita yang ada, pasti orang akan menghormati kita.

Sepanjang perjalanan, saya bertemankan rakan saya yang sakit ‘kepala’ itu beserta isteri dan anaknya yang baharu seminggu dilahirkan, tidaklah mencabar sangat. Saya sekadar pemerhati sahaja akan segala tingkahlaku yang beliau zahirkan. Bagi saya mudah sahaja, selagi dia bertatasusila tertib dan beradab sopan, maka saya tidak akan menghalangnya. Ini kerana saya ditugaskan untuk mengiringinya sahaja agar beliau sekeluarga selamat pulang ke kampung halamannya. Bukannya saya dilantik sebagai polis penguasa seperti kita lihat dalam cerita yang dipanggungkan.

Semasa dalam penerbangan, semuanya berjalan lancar. Di lapangan terbang juga, semuanya berada dalam situasi yang terkawal. Walaupun beliau menegur semua orang yang berada di sekelilingnya, namun keadaan terkawal. Beliaupun sempat senyum setiap kali memandang saya. Bahkan sempat menjemput saya untuk ke rumahnya. Padahal, saya sememangnya telah diutuskan untuk ke rumahnya.

Isterinya sudah pasti dalam kebingungan. Rasa saya, isterinya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Sayapun tidaklah suka menyibukkan diri dengan terlalu peramah untuk memberitahu itu dan ini. Apa yang pasti, baby dalam dakapannya, yang sentiasa tidur di sepanjang perjalanan, sekali sekala merenget minta disusukan, kelihatan tenang dan aman dalam pelukan siibunya. Indah sungguh alam keanakan, hiruk pikuk di luar sana tanpa sedikitpun dihiraukan.

Setibanya kami di kampung sahabat saya ini, belaiu memohon keizinan saya untuk tidak bersolat Jumaat. Saya mula ‘berfatwa’ dan memberikan beliau keizinan tersebut. Lagipun riak wajahnya telah mencuka.

Saya menumpang kereta bapa mertuanya untuk ke masjid yang berhampiran. Saya tidak berbual panjang, dan bapa mertuanya juga kelihatan semacam kehadiran saya kurang menyenangkan.

Apabila pulang dari masjid, sebelum tiba di rumah sahabat saya itu, saya mengajukan sedikit permintaan kepada bapa mertuanya, apalah kiranya beliau sudi menghantar saya ke perhentian bas untuk saya bergerak pula pulang ke kampung halaman saya di Kelantan. Lantaran tugas saya telahpun selesai dengan jayanya.

Agak mengecewakan saya jawapan dari bapa mertuanya, katanya, “Stesen bas itu jauh dari sini, lagipun jalan saya pulang ke hilir, sedangkan stesen bas itu ke hulu”. Saya terdiam. Jauh di sudut hati mula berbicara sendiri, “Aku telah korbankan masa dan tenaga sehari suntuk jaga anak dia, cucu dia, anak menantu dia, minta tolong sikitpun berkira ke?”.

Saya tetap tabahkan hati. Beranikan diri lalu berkata dalam keadaan emosi terkawal, “Tak apalah pak cik, saya boleh jalan kaki ke stesen bas tu”. Sebenarnya memang mustahil untuk berjalan kaki. Jaraknya hampir 11 km melalui jalan kelapa sawit dan pepohon getah. Lagipun jarum jam telah mula memetang.

Takdir Tuhan tiada siap yang tahu. Sebaik sahaja kami tiba di rumah sahabat saya tadi, makan tengahari telahpun dihidangkan. Ramai kaum kerabat dan sanak saudara datang menjengkuk. Maklumlah ‘jaguh’ kampung telah pulang ke desa dari perantauan yang melekakan.

Tiba-tiba, sahabat saya yang sakit ‘kepala’ itu mengamuk dan membaling hidangan serta menjerit-jerit. Semua terperanjat dan terkejut beruk dibuatnya. Ada yang terjun tingkap dan lari keluar. Ada juga yang terpinga-pinga, termasuklah bapa mertuanya.

Abang iparnya menghampiri saya mohon saya tenangkan keadaan. Sayapun bukannya handal sangat, sekadar memberi bantuan. Saya menghampiri sahabat saya ini, sambil memegang tangannya. Alhamdulillah, dia kembali waras dan memohon kemaafan atas perilakunya itu.

Tidak semena-semena, bapa mertuanya sedari tadi asyik memerhati keadaan dengan seribu macam persoalan yang sukar untuk dijawab, lantas menghampiri saya lalu menghulur tangan mohon disalam, sambil berkata, “Ustaz, nanti saya hantar ustaz ke stesen bas””. Saya tersenyum melihat ragam manusia.

Akhirnya, sayapun tibalah di rumah saya di Kelantan jam 2 pagi. Bapa saudara saya yang tinggal di sebelah rumah saya terjaga dari lamunannya, lalu turun mendapatkan saya, lantaran kepulangan saya dalam kondisi yang agak luar biasa. Kami minum kopi sambil berbual-bual sementara menanti ayam berkokok.

Kata pak cik saya, baharu dua tiga hari lepas, ada seorang yang sakit ‘kepala’ telah mengamuk di kampung sebelah. Begitu sadis amukannya itu sehingga membawa kepada pembunuhan bapa kandungnya. Fulan itu juga adalan rakan sekelas saya semasa di sekolah Arab dahulu. Beliau adalah pesara askar yang dipencenkan awal dek ‘sindrom’ tersebut.

Kesimpulan dari cerita ini, bahawa kita sentiasa berada dalam situasi yang tertekan, ditekan dan menekan. Orang atas suka menekan, orang di bawah pula akan tertekan. Akhirnya orang di bawah tadi hidup dalam tekanan dan sekaligus memberi tekanan kepada mentalnya.

Dari itu, marilah kita hidup untuk menyelesaikan masalah orang, bukannya hidup untuk menambahkan masalah yang telah tersedia ada. Orang atasan perlulah mengurangkan atau menghentikan aliran tekanan kepada orang bawahan. Hidup saling bantu membantu, tanpa memijak rakan taulan. Biarlah kita dipangkatkan atas usaha yang kita lakukan, bukannya sebagai dendalu menagih simpati orang.

Semoga Allah memberi perlindungan kepada sekalian kita, khususnya kepada sahabat saya itu.

Friday, March 15, 2013

GURU…Hati-hati Bila Berbicara

Sinarharian (15/3/2013)
Akhbar Sinar Harian hari ini (15/3/13) melaporkan bahawa seorang guru telah ditahan atas tulisan beliau di facebook yang dikatakan menghina anggota keselamatan yang gugur dalam misi mempertahankan negara di Lahad Datu.

Sebagai guru, saya amat bersetuju agar beliau disiasat atas tindakan tersebut. Andainya benar beliau berbuat demikian, jatuhkanlah ke atas beliau hukuman yang setimpal demi kedaulatan bangsa dan negara.

Saya juga mengharapkan agar isu ini disiasat secara mendalam tanpa sebarang prejudis terhadap golongan pendidik. Saya bimbang seandainya cebisan gambar gajah dipotretkan lalu ditanya, “Apakah gambar ini?”. Pasti ramai yang sukar untuk menjawabnya lantaran cebisan gambar itu tidak memperihalkan tubuh binatang itu secara keseluruhannya.

Situasi seumpama inilah yang sering dibiak-suburkan agar kita sering bertelingkah, yang mana satukah jawapannya yang betul?

Dari itu, maklumat yang betul lagi benar adalah menjadi prasyarat untuk kita memberikan sebarang nilai hukum ke atas seseorang berdasarkan isu yang diketengahkan.

Suatu peristiwa semasa saya bertugas di Sabah, salah seorang sahabat saya telah ‘disugip’ atas kesalahan beliau mengaibkan rakan sekerja (kata mereka). Apabila runding bicara dlakukan, meskipun ianya tidak mengikut prosuder yang betul, kerana prosuder yang sebetulnya hendaklah Mahkamah Anak Negeri yang menjatuhkan hukuman tersebut, namun sahabat saya tadi tetap dijatuhkan hukuman ke atasnya. Rundingan diteruskan sehinggalah timbang tara diadakan kembali, maka kemaafan telah diberikan.

Isu yang ingin saya ketengahkan di sini, betapa kita begitu bersungguh-sungguh mempertahankan maruah diri kita, jangan sekali-kali dicabar dan dicalar, lantaran apa yang kita lakukan itu untuk mendaulatkan negara.

Jika dikaitkan dengan kumpulan kami sebagai pendidik, apabila maruah kami dicabar dan dicalar, maka tiada peruntukkan khusus untuk kami mempertahankan diri. Paling-paling, harapkan Kongres Kesatuan Guru, itupun jika kita mendaftar. Jika tidak, terserahlah kepada nasib si sabut, untung timbul, jika rugi tenggelamlah.

Tidak dinafikan bahawa sesungguhnya kami juga sebagai penabur jasa pengangkat maruah negara. Kami juga dihantar ke luar kota, tambahan pula jika di Sabah. Ada yang ke pulau dan ada yang ke pendalaman. Mandi air sungai, minum air hujan dan makan binatang hutan. Apakah ini bukan sebuah perjuangan?

Saya tetap bersetuju, jika bersalah maka hukuman dikenakan. Namun, sebagai guru, pembelaan terhadap mereka amat tipis, samada dari orang bawahan ataupun juga orang atasan. Ke mana perginya pegawai pelajaran daerah?, Ke mana menghilangnya pegawai pelajaran negeri?

Jika isu tahanan ini dikaitkan dengan seorang remaja yang celupar jarinya, maka saya setuju untuk ditahan tanpa sebarang sokongan dari luar. Namun, apabila perkataan ‘guru’ dilafazkan, maka sudah semestinya ada orang atasan yang menjaga dan mengawal tingkahlaku mereka, bahkan sebarang kata-kata yang hendak ‘dilepaskan’ perlu memperolehi keizinan terlebih dahulu daripada kumpulan atasan.

Wahai penguasa guru, janganlah diabaikan guru ini dalam situasi yang tertekan seumpama ini. Bagi saya, pihak jabatan pelajaran berhak berunding dan jika dapat ianya diselesaikan di peringkat jabatan pelajaran sahaja. Usahlah dikecohkan ke seluruh pelusuk desa agar semua guru tahu, jangan sesuka hati berbicara, kerana kamu sedang diperhatikan.

Marilah kita cuba memahami tugas guru yang sememangnya mencabar. Cabaran berhadapan dengan anak murid, itu telah menjadi kebiasaan dan in sya Allah mampu untuk diatasi.  Namun cabaran dengan kumpulan atasan, itu yang kekadang melemahkan bagi sesetengah guru yang tidak memiliki daya ketahanan yang tinggi.

Sebagai guru, kita tidakpun sibuk untuk mengambil kesempatan di dada-dada akhbar bahawa hari ini seorang guru telah berjaya masuk ke kelas, dan dapat pula mengawal kelas serta mengajar para pelajar. Kita sebagai guru tidak hebohpun mengenai hal sedemikian. Jika dibuat, nanti dikata orang, “kita telah buang tabiat”, “dah nak mati apa cikgu ni”. Tidak, tidak…kita tidak lakukan sedemikan. Kalau adapun, cuma pengisytiharan pelajar cemerlang semasa keputusan peperiksaan awam diumumkan. Itu sahaja. Selepas itu, senyap sunyi dari berkata-kata.

Isu guru akan timbul kembali apabila ada sesuatu yang ‘mengaibkan’ mereka, seumpama seorang guru wanita memukul kepala pelajar lelaki dengan kasutnya.

Sebagai guru, kita tidakpun bermohon simpati atau mengharapkan belas ihsan agar jasa kami dikenang.

Tetapi dalam situasi yang lain, sekolahlah yang menjadi sasaran utama untuk sebarang majlis diadakan. Bermula dengan majlis keraian biasa, sehinggalah kepada majlis keraian yang luar biasa. Guru sudah semestinya sebagai ‘gurka’ di sini. Anak murid pula menjadi mangsa kepada majlis tersebut. Kelas terabai, pelajaran terbengkalai.

Itu di sekolah. Manakala di luar sekolah pula, gurulah juga dijemput sebagai meramaikan majlis tersebut. Seandainya guru tidak datang, pastilah majlis itu akan nampak cacatnya. Tambahan pula, jika majlis itu akan dihadiri oleh pembesar negara. Nah, cikgu juga sebagai penyelamat. Meskipun, kehadiran mereka separa paksaan dan sebab ketidakhadiran perlu ditunjukkan.

Persoalannya, adakah serendah itu martabat guru? Dihulukan sesuka hati dan dihilirkan semahu mungkin?

Persoalan lagi, kenapa guru yang semestinya dijadikan peramai majlis, kenapa tidak anggota keselamatan yang terdiri daripada polis dan tentera demi menjaga keselamatan majlis tersebut dari hura dan hara?

Atau sememagnya guru ini mudah dirunding bicara, senang diajak berbual mesra, dipujuk dan diupah tanpa banyak karenah dan fiil kelakuan.  Adakah begitu?

Ataupun guru ini sering bertugas di bawah arahan, saya yang ikut perintah, maka jangan disoal dan ikut sahaja apa yang diperintah. Bukannya susahpun, “datang dan duduk sahaja”, kata ketua mereka sambil memujuk.

Ringkasnya, sahabat kita yang ditahan di bawah siasatan polis itu mengundangkan pelbagai persoalan kepada kita. Benarlah dikata orang bahawa setiap sekolah akan ada seorang guru yang menghadapi masalah mental. Antara tanda awalnya, sering bercakap sendirian.

Oleh itu, kita bermohon perlindungan dari Yang Maha Kuasa agar memberi keselamatan kepada kita, negara kita dan anggota keselamatan kita, termasuklah GURU kita, dari segala bahaya dan puaka, di dunia dan akhirat jua. Wallahu’alam.

Wednesday, March 13, 2013

SEKADAR Renungan Bersama

Dahan pohon menyembah bumi di Kajang
Kadar kekuasaan Allah tiada siapapun yang mampu menghalangnya.

Adakah rebahnya dahan pepohon ini memberikan kita isyarat tertentu?

Sememangnya alam saling berinteraksi dengan tingkahlaku kita. Mereka juga makhluk seumpama kita. Taat apabila diarah, tunduk apabila diperintah.

Bersalahan pula dengan kita, acapkali merungut, melenting dan kekadang melawan. Hanya sebilangan kecil yang tahu mensyukurinya.

Semoga Allah menggerakkan hati-hati kita untuk bersyukur kepada-Nya.

TAKSUB & WALA Pada Pemimpin

Sengaja saya utarakan tajuk ini memandangkan isu ta’sub dan wala’ ini sering diperkatakan. Biasanya kita mendengar mereka berkata, “Usah ta’asub dengan pemimpin, mari kita berbicara secara ilmiah”. Ada juga yang menyebut, “Aku hanya berwala’ kepada tuan presiden parti sahaja”.

Ungkapan seumpama ini perlu diperjelaskan agar perjuangan dan pengorbanan yang kita taburkan itu berbudi pada sisi Allah S.W.T. Bukannya menyemai benih duri dan rimba, mendatangkan kesulitan dan membawa pula kepada kesakitan.

Istilah ‘asobiyah, wala’, keturunan dan sumpah taat setia masing-masing saling mengait antara satu sama lain. Menurut Ibnu Khaldun dalam Muqaddimahnya, ‘asobiyah itu merujuk kepada kaum kerabat sebelah bapa yang diwarisi si anak. Ini termasuk juga bapa saudara sebelah bapa. Bilangan mereka antara 10 ke 40 orang. Mereka berusaha sepenuh hati menjaga dan mempertahankan puak mereka sedaya mungkin, sehingga sanggup menggadaikan nyawa.

Dalam konteks ‘asobiyah ini, keturunan darah dan pangkat amat dititik beratkan. Mereka menjaga aliran darah dari satu generasi ke satu generasi agar keturunan tersebut kekal dan tidak pupus. Kata Ibnu Khaldun, meskipun dijaga dan dikawal, namun biasanya generasi ke-4 akan berlaku percampuran pada keturunan tersebut.

Adapun wala’ dan sumpah taat setia adalah suatu aqad perjanjian untuk menjamin kesetiaan pada kemenangan dan perlindungan. Ini adalah lebih meluas, tidak semestinya hanya keturunan atau kumpulan tertentu sahaja yang bernaung di bawah sesebuah masyarakat. Samada masyarakat itu secara fitrah terbentuk atau sengaja dibentuk seperti masyarakat membangun dan masyarakat majmuk di negara kita Malaysia.

Berdasarkan ini, maka Islam meletakkan garis panduan yang jelas dalam menangani isu ‘asobiyah seumpama ini. Menurut Lisan ‘Arab, ‘asobiyah itu terjadi apabila salah seorang daripada ahli kaum kerabatnya mempertahankan saudara maranya, samada saudara maranya itu melakukan kezaliman atau dizalimi.

Dari itu Nabi saw. berpesan dalam beberapa hadis, antaranya hadis yang menjelaskan persoalan seorang perempuan apabila bertanyakan nabi saw. tentang seorang lelaki yang berperang atas nama kaumnya :
قلت : يا رسول الله، ما العصبية ؟ قال : أن يعين الرجل قومه على الظلم. رواه أبو داود
Maksudnya : “’Asobiyah apabila seseorang itu menyokong kaumnya yang berlaku zalim”.

Sedangkan dalam Islam, Nabi saw. menyarankan agar kita berpegang kepada simpulan iman.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أوثق عرى الإيمان: الموالاة في الله والمعاداة في الله، والحب في الله والبغض في الله عز وجل. رواه الطبراني وصححه الألباني.
Maksudnya : “Sekuat-kuat simpulan iman ialah : (1) Berwala’ (sumpah taat setia) kepada Allah SWT., (2) bermusuh kerana Allah SWT., (3) berkasih kerana Allah,(4) marah kerana Alllah”.

وقال أيضا صلى الله عليه وسلم: من أحب لله وأبغض لله، وأعطى لله ومنع لله، فقد استكمل الإيمان.
رواه أبو داود، وصححه الألباني.
Maksudnya : “Sesiapa yang (1) suka kerana Allah SWT., (2) marah kerana Allah SWT., (3) menyumbang kerana Allah SWT.,(4) menghalangpun kerana Allah SWT. Maka telah sempurnakan keimanannya”.

وعن البراء بن عازب، قال: كنا جلوساً عند النبي صلى الله عليه وسلم فقال: أي عرى الإسلام أوسط؟ قالوا: الصلاة. قال: حسنة وما هي بها، قالوا: الزكاة، قال: حسنة وما هي بها. قالوا: صيام رمضان. قال: حسن وما هو به. قالوا: الحج، قال: حسن وما هو به. قالوا: الجهاد. قال: حسن وما هو به، قال: إن أوسط عرى الإيمان أن تحب في الله وتبغض في الله. رواه أحمد، وحسنه الألباني بطرقه.

Demikian hebatnya berwala’ yang diiktirafkan oleh Islam, iaitu segala tindakan yang menyokong atau membenci semuanya mengikut perkiraan Allah SWT. Kita menyokong jemaah kita kerana Allah SWT., kita mengajak orang kepada jemaah kita juga kerana Allah SWT., dan kita membenci sesuatu puak lain juga atas dasar perintah kebencian yang disuruh oleh Allah SWT.

Justeru wala’ (sumpah taat setia) kita hanya kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan mereka yang beriman, iaitu mereka yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan rukuk bersama orang-orang yang rukuk.

)إِنَّمَا وَلِيُّكُمْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (المائدة/55

Rukuk bersama dengan rukuk ini dihuraikan panjang lebar oleh para mufassirin, antaranya menyatakan bahawa hendaklah melazimkan diri bersolat jamaah. Dikhususkan rukuk kerana rukuk itu paling susah untuk dilakukan oleh orang-orang jahiliyah di zaman nabi saw.
قال ابن العربي في أحكام القرآن(قول الله تعالى: وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ وَارْكَعُواْ مَعَ الرَّاكِعِينَ - البقرة:43) - خص الركوع لأنه كان أثقل عليهم من كل فعل، وقد كان الركوع أثقل شيء على القوم في الجاهلية.

Memetik pengajaran daripada ayat ini, maka menjadi keperluan bagi setiap umat Islam melazimkan diri dalam jemaah islamiyah, agar berhak untuk diberikan wala’ tersebut. Adapun mereka yang tidak mendirikan solat, tidak pula berminat untuk mengeluarkan zakat, dan jauh sekali untuk solat berjemaah, maka tergugurlah wala’ ke atas dirinya. Wallahu’alam.

Sunday, March 10, 2013

USAH Bermain Mata Dengan Su’luuk

Menurut sejarah orang-orang Arab, terdapat satu kumpulan manusia yang digelar Su’luuk (الصعلوك). Kumpulan ini, kehidupannya merempat di tepi jalan, mengharapkan kasihan belas dari orang dan kadang-kadang jauh daripada itu bertindak ganas dengan merompak dan menyamun bagaikan lanun. Budaya hidup mereka tak ubah seperti binatang buas, bertindak tanpa ada simpati, bahkan sanggup mencederakan atau membunuh jika apa yang mereka hajati itu tidak ditunaikan.

Tindakan ganas mereka ini akan diwariskan kepada anak-anak sehingga terbentuklah satu kumpulan yang digeruni dan ditakuti. kelebihan mereka ialah mempunyai tahap ketahanan diri yang tinggi, mampu bertahan dek kelaparan dan sejuk dek kedinginan padang pasir.  Bagi mereka, wujudnya punca air sudah memadai untuk meneruskan talian hayat.

Jika dilihat dari satu sudut lain pula, kumpulan ini boleh dijadikan kawan, dan pada masa yang sama juga boleh bertukar menjadi lawan. Ada ungkapan yang berkata, untuk menangkap penyamun, maka kita perlu menjadi penyamun. Untuk menahan lanun, kita perlulah berkawan dengan lanun. Sejauh mana benar, terpulanglah kepada penerimaan masing-masing.

Cuma kekadang, dalam proses berteman dan bersahabat dengan kumpulan ini, ada yang terlepas sempadan, yang menjadikan diri mereka lebih lanun daripada lanun yang sebenar.

Dari itu, kita bimbang jika terdapat penguasa dalam kalangan kita yang menggunakan kumpulan ini untuk melanjutkan talian kuasa masing-masing. Si penguasa akan merasakan diri mereka tidak lagi terancam angkara lanun tersebut. Manakala si lanun pula akan rasa ada jaminan untuk terus hidup dengan cara mereka tanpa diganggu gugat oleh si penguasa. Mereka berdua telah bersahabat. 

Pada masa itu, kita katakan bahawa si penguasa telah bermain mata dengan si lanun tadi. Perlu diingat bahawa si lanun itu ada agenda dan kepentingan tersendiri. Mereka tahu hidup berlanun ini tidak mampu bertahan lama. Mereka juga terfikir bagaimana nasib anak cucu mereka agar dapat disurvivalkan.

Barang diingat juga, bahawa lanun ini telah merebak ke darat, hutan belantara dan rimba raya. Mereka juga telah berubah wajah, jika dahulu bermata satu, namun kini mereka berbaju kemas dan berseluar segak. Padahal mereka ini adalah lanun dan penyangak.

Perlu kita sedar bahawa dengan cara ini sahaja merupakan jalan pintas untuk meraih kekayaan yang melimpah ruah dalam masa yang singkat. Hidup atas hasil usaha orang lain, tak ubah seumpama parasit. Asalnya penumpang, akhirnya membunuh pokok yang ditumpang. Dasar parasit.

Pepatah Arab ada menyebut ( الرفيق قبل الطريق ), bermaksud : Carilah teman sebelum kita melangkah keluar.

Berteman dengan penyamun, sedikit sebanyak sifat ala penyamun akan meresap ke dalam diri. Demikianlah juga jika kita bertemankan lanun. Sifat-sifat kelanunan itu akan mendarah daging dalam diri, sekaligus menjadikan diri mereka itu sebagai lanun. Lanun berwatak moden.

Antara tanda-tanda seseorang itu telah dijangkiti perangai lanun apabila membolot hasil kekayaan untuk diri dan puaknya sahaja. Mereka juga membolot kuasa dan empayar untuk diri mereka dan puaknya semata-mata. Mereka juga memintas kekayaan orang lain agar kekayaan itu menjadi milik mereka. Mereka hanya perlu kuasa dan kawasan.

Justeru, ekonomi kapitalis adalah ekonomi lanun. Apabila mereka merompak, menyamun dan merampas harta sesiapa sahaja untuk dihakmilikkan kepada mereka. Bezanya, cara mereka dianggap ‘halal’ dari sudut perundangan negara. Tender dibuka hanya untuk mengaburi mata orang ramai.

Politik ala diktator adalah politik lanun. Lantaran itu, penguasa yang mendominasi politik style ini akan menipu, menghalang, mengancam dan mengugut sesiapa sahaja demi kelangsungan empayarnya. Mereka ini sanggup berselindung di sebalik pilihan raya yang diatur. Dinamakan pilihan agar mengaburi mata orang ramai. Padahal bukannya memilih, tetapi memaksa, mengancam dan jika perlu, mereka mengeluarkan surat tunjuk sebab jika dilihat, pegawainya tidak memihak kepada penguasa tersebut.

Namun, diharapkan negara kita dijauhkan Allah S.W.T. daripada mala bahaya tersebut. Diharapkan juga, dengan kekuatan yang ada, kita mampu menukarkan watak lanun itu menjadi orang baik-baik. Tahu hormat apabila menumpang, tahu beradab apabila berjiran, dan tahu mengenang apabila dibantu.

Apatah lagi jika lanun itu adalah orang yang seagama dengan kita. Mereka ada keluarga dan ingin bersaudara. Maka, kita perlu jinakkan mereka sebagaimana Nabi saw menjinakkan puak jahiliyyah yang hidup tak ubah binatang buas.

Teori ganas dibalas ganas tidak ke mana. Orang yang berbuat jahat dengan kita, tidak perlu kita membalas balik kejahatan tersebut. Jika tidak, proses penjahatan ini akan bertali arus dan tidak akan terhenti. Oleh itu, biarlah kejahatan itu terhenti kepada kita. Biarlah kita noktahkan kejahatan tersebut. Berundinglah dengan cara yang terbaik, kerana orang yang bijak akan bertindak dalam kata-katanya. Orang yang kurang bijak, bertindak menerusi perbuatannya.

Tidakkah kita merasa cemburu dengan kedamaian yang dimiliki di negara-negara Eropah. Hidup aman tenteram, saling bantu-membantu dan bertolak ansur. Sedangkan kita, senegara dan serantau, asyik tendang- menendang, musuh-memusuh dan fitnah-menfitnah, seolah-olah tiada penghujungnya.

Oleh itu, dua jangan dikali dengan lima. Jika dikali, maka jawapannya tetap berada pada tahap yang sama. Tidak maju dan tidak berganjak. Alangkah bagusnya, jika kita saling membantu mendaulatkan negara kita ke mercu yang kita citakan. Pembangkang dengan cara pembangkangnya dan kerajaan dengan cara kerajaannya. Saling melonjak menuju kecemerlangan.

Sememangnya barat menanti-nanti situasi ini. Mereka suka apabila kita bercerai-berai, bergaduh dan bermasam muka.

Wahai UMNO, cukup-cukuplah memalukan orang, merendahkan keupayaan pembangkang. Pembangkang pula, sama-samalah kita majukan negara ini. Ingat bahawa kita ada amanah yang besar iaitu membawa rakyat dan negara yang tercinta menuju pelabuhan yang damai abadi, iaitu ‘baldatun tayyibatun  dan rabbun ghafur.

Saturday, March 9, 2013

PERSOALAN Isu Gangguan :

Saya ingin mohon penjelasan berhubung beberapa isu berikut :

1. Satu hari saya telah didatangi seorang rakan yang bertanyakan berhubung gangguan makhluk halus yang dipercayai makhluk bunian. Menurut beliau, emaknya telah menginap di rumahnya selama seminggu dan telah meninggalkan rumahnya kosong tidak berpenghuni. Selepas seminggu, emaknya pulang ke rumah dan mendakwa sewaktu berada di dalam bilik tidurnya dapat merasakan kehadiran makhluk tersebut dengan bauan yang wangi. Beliau turut mendakwa bahawa makhluk tersebut telah mengganggunya. Bolehkah tuan memberi penjelasan tentang makhluk tersebut dan apakah amalan yang boleh diamalkan bagi menghindarkan diri daripada gangguan makhluk tersebut?

2. Apakah terdapat perbezaan tanda-tanda  seseorang yang mendapat gangguan akibat saka dan sihir. Bagaimanakah cara menentukan seseorang telah mendapat gangguan akibat saka, sihir atau gangguan daripada jin.

3. Apakah amalan yang sesuai diamalkan oleh pesakit yang telah diganggu oleh jin yang beragama Islam?

Ulasan saya :
Waalaikum salam wrm wbt.

1. Bunian : Dalam bahasa Arab disebut sebagai Ummu Sibyan, iaitu ibu kepada kanak-kanak. Ia bergerak aktif di waktu senja hampir mahgrib untuk menyakat, menyorok dan menyembunyikan kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak yang terkena rasukan itu akan menangis, menjerit, melolong sepanjang malam.

2. Rumah kosong : Rumah yang ditinggalkan dan tiada berpenghuni ada kemungkinan besar akan dihuni oleh jin syaitan. Ketika berpengunipun dia menganggu, lagilah jika tiada penghuni. Oleh itu, kita dinasihatkan untuk memberi salam ketika memasuki rumah yang dah lama tidak dihuni itu. Jika berkesempatan, digalkan azan agar cabut lari semua jin syaitan yang cuba menginap di dalam rumah tersebut.

3. Bauan Wangi : Sememangnya kehadiran jin dapat dikesan melalui bauan tertentu. Jin Islam, bauannya semacam bauan kain yang baharu dibeli. Manakala jin bukan Islam pula mempunyai bauan seperti bunga, bunga tanjung atau seumpamanya.

4. Makhluk menganggu : Apabila jin telah berada di rumah, beliau sudah semestinya akan marah sebagaimana kita marah. Lebih-lebih lagi, seandainya tempat tidur kita itu telah menjadi tempat tidurnya. Antaran gangguan, kita mungkin akan ditindih atau diberikan mimpi ngeri semasa kita tidur. Dari itu, kita diminta mengibas tempat tidur kita sebelum kita melabuhkan badan dengan membaca doa-doa tertentu, doa nak tidur umpamanya.

5.  Amalan : Banyak bacaan yang boleh dijadikan amalan untuk terlindung daripada gangguan tersebut. Antaranya dengan membaca al-Fatihah sebelum tidur sebanyak 7 kali dan disapu ke seluruh badan. Amalan lain, bolehlah merujuk sisipan rawatan dalam blog ini.

6. Jin Saka dan Jin Sihir : Pengalaman saya dalam memberi rawatan kepada pesakit yang menghidap dua jenis gangguan ini, biasanya, seseorang yang ada jin saka, semasa rawatan, pesakit itu akan terdiam, tidak melawan dan tempoh untuk sembuhnya (dengan izin Allah) agak lama, mungkin beberapa tahun berdasarkan tempoh gangguan yang pesakit alami.

Manakala sihir pula, pesakit akan meronta-ronta, melawan dan mengamuk apabila dirawat. Selepas rawatan, pesakit akan elok. Selang beberapa waktu, gangguan itu muncul kembali dalam keadaan yang lebih teruk. Rawatan akan diteruskan, selepas itu pesakit elok lagi sekali. Kemudian beliau akan diganggu lagi dan beliau akan dirawat sehinggalah sihir itu mengaku kalah mengikut tahap gangguan tersebut.

Rawatan untuk kedua-dua jin ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Biasanya, ramai juga yang mudah berputus asa dan mencari perawat yang baharu, atau lagi teruk jika bertemu bomoh khurafat. Jin di dalam badan tidak dikeluarkan, sebaliknya ditambah pula dengan jin yang baharu.

7. Antara amalan yang diperlukan ialah rajin beribadah, terutamanya perbanyakkan solat hajat, membaca al-Quran dan basahkan lidah sentiasa berzikir. Amalan lanjut, bolehlah sisipan rawatan dalam blog ini.

Sekian, Wallahua’lam.

Thursday, March 7, 2013

BIJAKSANA Penyelamat Diri

TAHNIAH  buat PM, Datuk Seri Najib Tun Razak atas keberanian menjejakkan kaki di bumi yang bergolak. Bertepatan pula dengan hari ini bermulanya genjatan senjata.
Kehadiran beliau juga memberi suntikan semangat buat seluruh anggota keselamatan yang bertugas. Semoga bukan sekadar suntikan, tetapi juga sedikit imbuhan. Syabas buat kalian semua yang sanggup bekorban nyawa demi tanah air tercinta.
Cuma nanti siri di meja rundingan sudah pasti lebih mencabar. Lantaran adanya penawaran, permintaan, rayuan, ataupun juga sogokan demi memenangkan pihak yang diwakili. Untuk rekod, kita pernah mencatat rekod tewas di beberapa siri perbincangan. Kita tertewas di pulau (Pulau Batu Putih), kita juga tertewas di tanjung (Tanjung Pagar)..meskipun ada yang mengistilahkan sebagai ‘win-win situation’.
Oleh itu, diharapkan menteri atau sesiapa sahaja yang akan mewakili negara ke meja perundingan nanti dianugerahkan Allah S.W.T kebijaksanaan dalam mengambil sebarang keputusan.
Prasyarat untuk memperolehi kebijaksanaan atau fatanah ini ialah mesti ada hubungan intim dengan Maha Pencipta. Manakala mereka yang sentiasa liat dengan Allah S.W.T, nescaya Allah S.W.T juga liat untuk menganugerahkan fatanah tersebut.
Di samping itu, seseorang yang bijaksana perlulah memiliki :
(1) Ilmu (ada pengetahuan),
(2) Hilmu (bersifat lemah lembut), dan
(3) Taani (berhati-hati).
Semoga Allah S.W.T menganugerahkan kepada kita, barisan pimpinan kita dan seluruh warga kita dengan kebijaksanaan yang amat bernilai itu.