TAHNIAH buat PM, Datuk Seri Najib Tun Razak atas keberanian menjejakkan kaki di bumi yang bergolak. Bertepatan pula dengan hari ini bermulanya genjatan senjata.
Kehadiran beliau juga memberi suntikan semangat buat seluruh anggota keselamatan yang bertugas. Semoga bukan sekadar suntikan, tetapi juga sedikit imbuhan. Syabas buat kalian semua yang sanggup bekorban nyawa demi tanah air tercinta.
Cuma nanti siri di meja rundingan sudah pasti lebih mencabar. Lantaran adanya penawaran, permintaan, rayuan, ataupun juga sogokan demi memenangkan pihak yang diwakili. Untuk rekod, kita pernah mencatat rekod tewas di beberapa siri perbincangan. Kita tertewas di pulau (Pulau Batu Putih), kita juga tertewas di tanjung (Tanjung Pagar)..meskipun ada yang mengistilahkan sebagai ‘win-win situation’.
Oleh itu, diharapkan menteri atau sesiapa sahaja yang akan mewakili negara ke meja perundingan nanti dianugerahkan Allah S.W.T kebijaksanaan dalam mengambil sebarang keputusan.
Prasyarat untuk memperolehi kebijaksanaan atau fatanah ini ialah mesti ada hubungan intim dengan Maha Pencipta. Manakala mereka yang sentiasa liat dengan Allah S.W.T, nescaya Allah S.W.T juga liat untuk menganugerahkan fatanah tersebut.
Di samping itu, seseorang yang bijaksana perlulah memiliki :
(1) Ilmu (ada pengetahuan),
(2) Hilmu (bersifat lemah lembut), dan
(3) Taani (berhati-hati).
Semoga Allah S.W.T menganugerahkan kepada kita, barisan pimpinan kita dan seluruh warga kita dengan kebijaksanaan yang amat bernilai itu.
No comments:
Post a Comment