Thursday, February 21, 2013

KECUNDANG di Garisan Penamat

Pilihan raya kian menghampiri. Bahangnya makin terasa. Sengatan pula makin membisa.  Hanya mereka yang memiliki kekuatan sebagai ‘anak jantan’ sahaja mampu menerobos hingga ke akhirnya.

‘Anak jantan’ ialah mereka yang mempunyai jati diri yang kuat. Tidak mudah mengalah dek acahan musuh. Tidak juga mudah ter’kanyat’ (terkejut) oleh agahan seteru. Mereka cekal dan terus meniti arus sehingga ke penghujungnya.

Sifat kejantanan ini perlulah dihakmilikkan oleh setiap orang yang ingin ke medan perjuangan. Lebih-lebih lagi, perjuangan yang tidak menjanjikan kemewahan harta benda, kelebihan wang ringgit, kekayaan harta dan pangkat. Sebaliknya, hanya janji ‘mardhotillah’ (keredhaan Allah S.W.T).

Keredhaan Allah adalah sebesar-besar anugerah limpahan ILahi. Cuma kita yang dangkal untuk tidak mahu memperolehinya. Bagi kita, kesenangan hidup duniawi itu sebagai tujuan dan matlamat dalam perjuangan yang kita ceburi. Akhirnya, perjuangan yang kita tunggangi itu hanya mampu menghantar kita ke pelabuhan. Manakala, untuk meneruskan pelayaran ke lautan Akhirat tidak pula dipedulikan.

Sebagai memberi sedikit pencerahan kepada para pejuang Islam untuk pilihan raya yang mendatang, ingin saya sedut sedikit pengajaran daripada Peperangan Uhud yang pada awalnya memihak kemenangan tersebut kepada umat Islam.

Firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran (159) :
(وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُم بِإِذْنِهِ حَتَّى إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الأَمْرِ وَعَصَيْتُم مِّن بَعْدِ مَا أَرَاكُم مَّا تُحِبُّونَ مِنكُم مَّن يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ الآخِرَةَ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ وَلَقَدْ عَفَا عَنكُمْ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ)

Ayat yang diturunkan ini sebagai jawapan kepada para mujahidin Islam yang pulang ke Madinah dalam keadan tertewas.

Mari kita dalami ayat ini. Allah S.W.T telah menjanjikan pertolongan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dengan perutusan bantuan dan para malaikat yang bertindak selaku tentera-tentera Allah. Ini dapat dilihat semasa peperangan Badar, yang mana kemenangannya adalah berpihak kepada umat Islam. Maka itu Allah S.W.T menyebut pada awal ayat tersebut dengan: “Sesungguhnya telah benarlah janji Allah”.

Namun, dalam peperangan ini, Allah S.W.T menghentikan seketika bantuan-Nya lantaran beberapa isu yang ditimbulkan. Antaranya ialah perselisihan dalam kalangan tentera Islam, berlakunya pelanggaran arahan ketua tentera (Nabi s.a.w) dan terpedaya dengan harta keduniaan.

Maka itu, rangkap kedua dalam ayat di atas, Allah S.W.T menyebut : “Apabila kamu gagal, dan (akibat) kamu berselisih …”. Ada dua perkataan, ‘gagal’ dan ‘berselisih’, kedua-duanya saling berkait rapat. Bertambah rapat apabila ianya diikat dengan huruf ‘wau’, sebagai pengikat dalam menghidupkan ungkapan ini.

Seumpama kita berkata, “Kerana awak datanglah, dan saya masak nasi”. Jika ‘dan’ di sini membawa maksud ‘lalu’, maka ia tidak meletakkan ungkapan ini pada tahap yang tinggi. Seolah-olah, kunjungan saya ke rumah awak atau tidak bukanlah menjadi syarat untuk awak memasak nasi. Maksudnya, saya datang atau tidak, awak tetap memasak nasi.

Berbeza dengan ‘dan’ yang diistilahkan sebagai ‘dan pengikat’ yang terdapat dalam ungkapan yang bersyarat. Ungkapan “Kerana awak datanglah, dan saya masak nasi”, membawa makna bahawa demi kerana kunjungan awak sahajalah maka sayapun memasak nasi. Ini menjelaskan, jika awak tidak menjadi tetamu saya, maka saya tidak akan memasak nasi tersebut.

Lenggok ayat ini adalah sama dengan maksud yang hendak disampaikan dalam surah al-Zumar (73), Firman Allah S.W.T :
"حتى إِذَا جَاءوهَا وَفُتِحَتْ أبوابها وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا"
Bermaksud : “Apabila penghuni-penghuni Syurga tiba, dan (maka) dibukalah pintu-pintunya…”.

Hanya kerana kunjungan penghuni Syurgalah, maka pintu Syurga itu dibuka. Ini memberi kefahaman kepada kita, bahawa pintu ini tidak akan dibuka selain hanya untuk para penghuni Syurga.

Demikianlah dua ayat yang saling berkaitan antara satu sama lain agar dapat kita menghayati maksud tersurat dan tersirat.

Justeru, dapatlah kita jelaskan bahawa, akibat daripada kegagalan itulah maka mereka berselisih, yang mengakibatkan mereka tertewas di medan peperangan.

Dalam ayat ini, Allah S.W.T mendahulukan ‘gagal’ daripada ‘berselisih’, sedangkan dalam ayat lain, Allah S.W.T menyebut : “Jangan kamu berselisih, kelak kamu akan gagal..”.  (Al-Anfaal:46)

Para mufassirin menghuraikan antara taqdim dan ta’khir berlaku dalam ayat ini. Bermaksud, perkataan ‘gagal’ didatangkan terlebih dahulu sebelum perkataan ‘berselisih’. Bahasa Arab kaya dalam gaya bahasa ini. Sebagai mana kita membaca dalam surah al-Fatihan, ayat 5 : “Akan Dikau kami sembah, dan akan Dikau kami mohon pertolongan”.

Namun, gaya ini ada kesannya tersendiri. Mana mungkin kita bekerja, terus minta gaji, walhal, satu kerjapun belum dilaksanakan. Oleh itu, berkerjalah dahulu, beramallah, kemudian bolehlah pohon ganjaran hasil daripada kerja dan amal yang dilakukan tadi.

Di samping itu juga, ada ulama mufassirin berpegang bahawa tiada taqdim dan ta’khir dalam ayat ini. Maka itu, kita perlu taqdirkan (andaikan) ia. Ayat ini bermaksud, setelah kamu gagal, iaitu kegagalan dalam diri kamu untuk mengawal kehendak inginkan habuan duniawi yang dihelahkan oleh tentera musyrikin Quraiys, maka kamu telah mula berselisih daripada mematuhi arahan Nabi s.a.w untuk kekal berada di atas bukit Uhud tempat kamu diletakkan sebagai tentera memanah. Kamu juga telah mula berselisih untuk mendengar arahan ketua kamu, Abdullah bin Jubair r.a. yang diamanahkan sebagai ketua pasukan memanah. Kamu telah mula berganjak ke bawah bagi mengutip harta rampasan perang dengan meninggalkan sebilangan kecil sahabat yang tetap setia di atas bukit tersebut. Lantaran itu, maka kamu telah ditewaskan oleh tentera musyrikin di bawah pimpinan Khalid al-Walid selaku panglimanya.

Ibnu Mas’ud r.a. ada berkata, “Aku tidak pernah menjangkakan bahawa sahabat-sahabt Nabi s.a.w. ada yang mengejar keduniaan, sehinggalah turunnya ayat ini”.

Oleh itu, pengalaman Uhud ini hendaklah dijadikan pengajaran untuk kita semua.

Setiap kita ada kelemahan diri, Ada yang menjadi lemah apabila berdepan dengan kerja yang berat. Ada yang menjadi tewas apabila berdepan dengan perempuan. Ada juga yang kecundang apabila ditawarkan harta kekayaaan. Dan pelbagai lagi kelemahan yang sering datang dan pergi.

Maka itu, amat beruntunglah mereka yang sentiasa mendengar ingatan dan bangkit kewaspadaan akan tipu helah musuh. Musuh tidak tidur di kala kita tidur. Musuh bekerja di kala kita alpa. Musuh menyerang di kala kita lemah.

Perlu disedar bahawa strategi ada di tangan kita dan juga di tangan musuh. Untuk menang, kita tidak boleh hanya bergantung kepada strategi kita sahaja. Sebaliknya, kita hendaklah mencuri strategi musuh agar dapat kita segera hapuskan daripada merebak membaham para pejuang yang sesetengahnya berada dalam keletihan. Letih minda dan lemah daya tahan.

Meskipun sepanjang perjuangan itu, jika terdapat sedikit kecelaruan semangat, kekecohan idea, terpijak kaki, tercuit hati…maka itu, karenah biasa dalam perjuangan. Bahkan, ianya menambahkan kematangan dalam perjuangan. Ingatlah Allah S.W.T telah memaafkan tentera Uhud, “Sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu”. Wallau’alam

Selamat mengembalikan sinar Islam. Allah Akbar…

No comments:

Post a Comment