Showing posts with label sisipan ukhuwwah. Show all posts
Showing posts with label sisipan ukhuwwah. Show all posts

Thursday, November 15, 2012

HIJRAH ITU SEBUAH PERJALANAN TAK BERNOKTAH

Saya sekeluarga mengambil kesempatan di sini mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Hijrah 1434H kepada semua sahabat dan rakan kenalan, jauh dan dekat.

Sesungguhnya hijrah itu mengilhamkan kita pelbagai. Menginspirasikan peningkatan iman dan taqwa. Melonjakkan nilai komitmen diri. Menepis segala kelemahan dan kekurangan yang sentiasa disandarkan segala alasan.

Semoga hijrah ini mampu menghijrah diri kita dari sudut pemikiran, penghayatan dan amalan serta pengorbanan. Jangan biarkan hijrah disambut secara rutin tahunan yang bertindak sekadar memenuhi kalendar aktiviti surau dan masjid.

Monday, November 12, 2012

KENANGAN BERSAMA ENCIK YUSOFF


===================Ikatan Ukhuwwah==================


Bergambar bersama en Yusof dan kak Ita sekeluarga
di rumah mertuanya, Semenyih, Selangor
Bersama isteri dan anak, saya berkesempatan menziarahi en Yusoff sekeluarga di rumah mertuanya, Semenyih dua tiga tahun lalu setelah renggang waktu selama lebih 15 tahun.

Saya percaya, ramai dalam kalangan sahabat yang berhubung rapat dengan beliau semasa berada di bumi Maghribi dahulu.

Saya berkebetulan diberi kesempatan waktu untuk mengenali beliau secara lebih dekat atas kapasiti setiausaha persatuan pada masa itu dan juga semangat beliau untuk mendalami bahasa Arab.

Sunday, November 11, 2012

KENANGAN BERSAMA ENCIK PARIS DI REMBAU

====================Tautkan Kasih==================

Di kediaman en. Paris, Rembau,
Negeri Sembilan
Sempat berkunjung ke kediaman en. Paris di Rembau Negeri Sembilan bersama ust. Sheikh Salim, ust. Mohd. Rizuan dan ust. Mohd. Razif.

EN. PARIS
En. Paris merupakan mantan staf kedutaan semasa kami menuntut di bumi Maghribi dahulu. Beliau amat mengambil berat tentang kebajikan kami , sakit demam, makan dan minum semuanya disoal bagi memastikan suasana pembelajaran yang kondusif untuk belajar. Tambahan pula, kesemua kami berjauhan dengan keluarga tersayang.


Di rumah en. Paris
Gambar : Ihsan ust Mohd Rizuan
 RUMAHNYA
Ini kali kedua saya berkunjung ke teratak beliau yang telah berusia hampir 144 tahun. Tarikh tercatat di pintu rumah dalam bentuk ukiran indah 1289H. Namun, kayunya masih kukuh, binaannya masih teguh. Kagum saya.

Sebenarnya saya ada sedikit pengalaman pahit bersama beliau.

MENGEMBARA
Kisahnya bermula apabila saya bersama ust. Dr. Abd. Razak telah memasang niat untuk merantau di utara benua Afrika. Pengembaraan itu menerusi jalan darat yang akan merentasi bumi Algeria, Tunisia, Libya dan terus memasuki Mesir. Dari Mesir, kami akan terbang pulang ke Maghribi. Itu perancangan kami selama sebulan cuti musim panas.

POHON RESTU
Bagi memohon restu kebenaran pegawai kedutaaan untuk merantau, maka saya bersama sahabat saya ini bertemulah dengan en Paris bagi memaklumkan hasrat di hati, di samping memohon nasihat, barang sepatah dua sepanjang berada di perjalanan itu nanti.

Katanya ringkas, tapi padu dan tepat. Dengan mata memandang ke meja, tangan sibuk mengatur fail, suara antara kedengaran dan tidak, “Jaga paspot tu baik-baik, ia lebih penting dari wang saku yang kamu bawa”.

KE TELIMSAN
Dipendekkan cerita, kamipun bertolaklah dengan kereta api tepat jam 1 pagi dari stesen Kereta api Kenitra menuju ke Telimsan, Algeria. Petang keesokannya kamipun sampai di sana. Keadaan tanahnya agak berbukit, memang memenatkan kami.

Di Telimsan,
Algeria
Dikhabarkan penduduk di sini, boleh tahan jelitanya dek siraman salji pada musim sejuk. Bermata biru dan berkulit putih kegebuan, katanya.

BERMALAM DI MASJID
Kami diperkenalkan oleh seseorang untuk bermalam di masjid. Petugas masjid itu melayan kami dengan amat mesra. Ikatan ukhuwwah bersama beliaupun terjalin. Sambil menjamah makan malam, kami berbual-bual tentang masyarakat umat Islam di sini. Berkebetulan, pada masa itu, parti Islam baharu sahaja menang pilihan raya.

Beliau memberitahu kami dengan bersungguh-sungguh. Katanya, “Kami menggerakkan tenaga muda dan wanita untuk memberi laluan kepada jemaah Islam bertapak. Akhirnya kami berjaya”.

SOLAT FARDHU

Memang benar kata-katanya itu. Semasa kami bersolat fardhu di salah sebuah masjid di sini, saya perhatikan ahli jemaah masjid yang begitu ramai bersolat jemaah, semacam solat Jumaat ramainya.
 
Semasa berada di ibu kota Algeria

Pengendali masjid pula, atau kita panggil AJK masjid, semuanya muda-muda dan bergerak pantas. Apa yang menarik perhatian saya, apabila khatibnya itu adalah seorang yang masih muda, dalam lingkungan 40-an. Kelihatan begitu bersemangat sekali. Suaranya amat bertenaga. Penampilannya begitu berani dan berkeyakinan. Patutlah mereka menang.

SOLAT JUMAAT
Nak dijadikan cerita, selesai solat jumaat, saya bersama sahabat saya tadi bersantai de tepi pantai sementara menunggu ‘time’ untuk bergerak ke Tunisia pada sebelah malamnya. Malang memang sukar berbau. Paspot kami dicuri orang semasa kami asyik bergaya mengambil gambar.

SEDIHNYA
Sedihnya, Tuhan sahaja yang tahu. Apakan tidak, dahlah terpaksa berpatah balik ke Maghribi, dan saya dah agak, mesti en. Paris akan menyinga. Itu yang tak boleh tahan tu.

Dalam situasi ini, ke kiripun salah ke kanan juga salah. Berada setempat, tak bergerak-gerak lagilah salah.

HILANG PASPOT
Kamipun bergeraklah ke pejabat polis yang berdekatan bagi membuat laporan kehilangan. Dimintanya kami agar menunggu di tepian pantai, manalah tahu kalau-kalau pencuri tadi membaling paspot kami ke tong-tong sampah. Akhirnya kesemua tong sampah yang berada di persisiran pantai itu diperhatikan. Namun hampa.

Belah malamnya kami menaiki kereta api menuju ke Telimsan lagi sekali untuk kembali ke bumi Maghribi. Sesampainya di sempadan, alangkah hampanya hidup ini, kami tidak dibenarkan melintasi laluan imegresen lantaran tiada paspot.

PASPOT UK
Lama menunggu di situ. Pening dibuatnya. Macam-macam terfikir. Pegawai itu menyuruh kami kembali ke ibu kota untuk memperolehi paspot dari kedutaan United Kingdom, memandangkan kedutaan Malaysia tiada di Algeria.

Tiba-tiba ada seorang menyapa kami. Beliau mengajak kami menyelusup secara haram mengikuti laluan belakang. Ishh..gerun juga apabila disebut haram. Nanti berlaku apa-apa, lagi kacau dibuatnya.

BADAN PENAT
Akhirnya pilihan kami berpatah balik ke ibu kota Algeria dengan tempoh perjalanan selama satu malam berkereta api. Udahlah badan penat, minda pula tertekan, hati risau tak dapat nak diulaskan lagi. Relakan ajelah apa yang berlaku demi mencari setitis nilai pengalaman yang amat berguna.

Di sana, kami diberi layanan baik. Disiapkan kami paspot ‘bertitle’ United Kingdom, merah hati warnanya. Wah...warga uklah konon. Namun apabila dilihat status, rupa-rupanya tercatat “commonwealth citizen”. Oklah...

PULANG
Maka pulanglah kami menuju ke Maghribi melalui Telimsan buat kali ketiganya.

Sebaik sahaja tiba di Maghribi, bergeraklah kami ke kedutaan Malaysia di Zanqah Hamzah, Agdal. Sudah pasti insan yang kena temui ialah en. Paris.

JUMPA EN PARIS
En. Parispun, en. Parislah. Apa boleh buat. Terpaksa bertemu dengannya.

Jangkaan kami tepat. Tanpa bermuqaddimah, ditembaknya kami satu persatu. Kami pasrah menadah telinga, meskipun hati dan perasaan, bukan sahaja terhiris, bahkan terbelah dua dek kesengsaraan dan bala yang menimpa.

TERIMA KASIH EN PARIS
Walau apapun, kami tetap berterima kasih atas keprihatinan en. Paris dan kesungguhan beliau mengambil berat tentang kami. Seolah-olah, kami ini bagaikan anak-anak beliau.

Kini, apabila bertemu beliau, kenangan lama mengimbau kembali. Seronok juga rasanya. Bukan semua pelajar luar negara melalui situasi ini.

Terima kasih yang tak terhingga buat en. Paris sekeluarga. Semoga sentiasa berada dalam kerahmatan Ilahi jua.

Saturday, October 27, 2012

SELAMAT PENGANTIN BAHARU

Bergambar bersama pengantin (Munirah & suami)
di Kg. Air Merbau, Jasin, Melaka
Saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan selamat pengantin baharu kepada Munirah dan suami.

Semoga ianya berkekalan sehingga ke akhir hayat, diberkati Allah dan diredhai-Nya jua.

Selamat pengantin baharu.

BERKORBAN 7 EKOR LEMBU DI AIR BARUK

==================== Sentuh Hati ===================

Ibadah korban di Air Baruk, Jasin, Melaka
Anjuran Pas, Cawangan Air Baruk
Hari ini berkesempatan bersama sahabat-sahabat Pas Cawangan Air Baruk bagi melaksanakan ibadah korban. Bertempat di rumah En. Hannan, kelihatan rakan-rakan telah bersiap sedia sejak dari awal pagi.

Rakan-rakan sedang membantu
bagi memudahkan urusan penyembelihan
Bersarapan bihun dan air teh serta kuih-muih sebagai pengalas perut dan penguat tenaga bagi menyelenggarakan aktiviti tersebut.

 
Rakan-rakan sedang menimbang daging
yang telah siap dipotong
Pengerusi cawangan, Cikgu Hj Rashid Hj Dogol, telah meruangkan masa dan tenaga bersama-sama ahli jemaah untuk mengagihkan daging korban kepada mereka yang berhak, termasuk para petugas.


Cikgu Hj Rashid, Pengerusi Pas Cawangan Air Baruk
terlibat sama dalam menyempurnakan ibadah korban

Demikianlah, betapa hebatnya penghayatan ibadah ini, semoga ianya sebagai pemangkin amal soleh di akhirat nanti.

Friday, October 26, 2012

SALAM EIDEL ADHA



Sempena Hari Raya Korban 2012
di halaman rumah mertua Pulau Sebang, Melaka


Saya bersama keluarga ingin merakamkan ucapan selamat berhari raya buat kenalan semua, dekat dan jauh, rakan dan taulan.

Semoga sambutan perayaan ini mampu menitiskan nilai-nilai pengorbanan ke dalam diri kita selaku hamba yang bersyukur.

Selamat berhari raya korban 1433H.

 

Tuesday, October 16, 2012

KENANGAN BERSAMA ALMARHUM TN. HJ. DALIB

==================== Sisipan Ukhuwwah =====================

Gambar : Ihsan dari Faiz Mukmin
Semalam, jam 6 petang saya telah menerima sms dari seorang sahabat untuk memberi maklum atas pemergian sahabat kita al-Marhum Tn. Hj. Dalib bin Dogol.

Saya agak terkejut lantaran baharu sahaja beliau (almarhum) bertemu saya di rumah bagi mendapat rawatan mengenai penyakit yang  beliau (almarhum) alami.

Perkenalan saya bersama beliau agak begitu lama, bermula dengan satu jemputan untuk  pe’mulihan’an dewan makan salah sebuah sekolah di Melaka. Pada masa itu, beliau (almarhum) merupakan tauke kantin asrama tersebut.

Selepas itu, sesi pertemuan demi pertemuaan dalam kuliah-kuliah agama yang beliau hadiri.

Almarhum sememang seorang yang amat komited dalam menghadiri kuliah-kuliah agama. Seingat saya, semasa beliau (almarhum)  sakitpun, beliau (almarhum)  masih berusaha untuk bersama rakan-rakan bagi melibatkan diri dalam sesi kuliah agama tersebut. Semoga Allah swt mengasihi hamba-Nya ini kerana beliau (almarhum) mengasihi majlis-majlis ilmu.

Pernah suatu ketika, beliau (almarhum) bertanyakan saya bagaimana pembelajaran di Maghribi setelah beliau mengetahui saya pernah menuntut di sana. Rupa-rupanya, tertanam hasrat di hati beliau (almarhum) untuk menghantar anak lelakinya (kini bergelar ustaz) menuntut di sana.

Alhamdulillah, anaknya (ust Daud) telah kembali ke tanah air untuk berkhidmat sebagai guru j-Qaf di Johor.

Semalam, ust Daud mengimamkan kami bersolat Maghrib sambil menunggu ketibaan jenazah dari IJN, Kuala Lumpur. Sebaik sahaja selesai solat Magrib, bagaikan dijanji, van jenazahpun tiba. Sekali lagi ust Daud menjadi imam bagi solat jenazah ayahandanya yang tercinta.

Amat tersentuh perasaan kami, sayu dan pilu suasana hening malam itu bagaikan mendengar tangisan dan esakan ust Daud sekeluarga atas pemergian ayahandanya yang tersayang.

Semoga ust Daud sekeluarga tabah menghadapi dugaan ini. Memang berat dan sukar untuk ditempuhi. Ust. Daud, banyakkan bersabar ek..

Di luar rumah, kelihatan begitu ramai tetamu yang datang berziarah sambil mengucapkan ta’ziah atas ujian tersebut. Semoga doa kita semua mengiringi jenazah ke perkuburan.

Ya Allah,
mohon diampunkan
segala dosa kami
dosa rakan-rakan kami
dosa guru-guru kami
dan khususnya
almarhum Tn. Hj. Dalib
yang telah kembali mengadapMu

Kau terimalah ya Allah
segala amalan beliau
maafkanlah segala keterlanjuran beliau
kerana Kau ya Allah
maha Pegampun lagi Maha Penyayang
aamen

Sunday, October 7, 2012

UST FAUZI KE TANAH SUCI

Minggu sudah dilapangkan masa untuk bertandang ke rumah sahabat karib saya ust Mohd. Fauzi Yahya yang menginap di Bangi sempena keberangkatan beliau bersama isteri ke Tanah Suci.

Hasrat yang sentiasa dikendong walau ke mana mengarah untuk dijemput menjadi tetamu al-Rahman.

Semoga beliau dan isteri dilimpahkan Allah swt akan kesihatan dan ketabahan sepanjang berada di tanah suci, pergi dan balik.

Juga dipohonkan Allah swt menganugerahkan kepada sahabat saya ini haji yang mabrur, saie yang masykur, dosa-dosa yang maghfur dan perjalanan yang maisur.

[Warkah daripada Ustaz Ku Othman]

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh..

Bila ditenung wajah ini, teringat daku di masa yang lalu..

ketika mana kita berdua bersama-sama membantu orang ramai dan merawat serta memberi khidmat nasihat kepada mereka..

Di mana daku pergi, di situ ada wajah ini..
Wajah yang mengingatkan kenangan lampau detik lara, pilu, sedu, manis, semasa dulu.  

Kekadang termimpi daku bersama wajah ini merawat pesakit dirasuk hantu dan pesakit yang memerlukan bantuan dan rawatan.
Rupa-rupanya mimpi mengganggu daku ketika daku melabuhkan tirai malam.

Semoga Tuhan sahaja membantu wajah ini ketika wajah ini bersama daku semasa di sabah dahulu..

Mudah-mudahan Allah memberi rahmat, keselamatan, hidayah, berkat dan kesihatan kepada wajah ini dan keluarganya..

aamiin..

Ukhuwah fillah abadan abada

(Madehah Rehana bt Ku Othman)
        4hb. Oktober 2012

Bersua Rakan Lama

Sempat mengunjungi sahabat lama di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur yang berputik pengenalan antara kami berduasemasa menuntut  di Mamar Jamaluddin Al-Afhgani, Kenitra, Morocco.

Ustaz Dr. Abd. Rahman Abdullah yang kini bertugas di IPSAH di Sungai Petani.

Kedatangan beliau sekeluarga ke Kuala Lumpur bagi meraikan anugerah kedoktoran isterinya dari UM.

Tahniah kepada Ustazah Dr. Ghazilah Md. Isa atas anugerah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Bahasa Arab.

Tahniah diucapkan.

Saturday, September 22, 2012

Bertahlil di Ipoh

Baharu sahaja pulang dari Ipoh bersama keluarga dan ust Din selepas menunaikan hajat sahabat saya Hazriq sekeluarga untuk bertahlil sempena kembalinya arwah ayahandanya yang tercinta.

Ketibaan kami tepat jam 10 45 pagi, dan majlis pula telah dimulakan jam 11 pagi. Ramai jemputan yang hadir bagi berkongsi simpati atas pemergian ayahanda Hazriq sekeluarga. Semoga Hazriq yang kini sebagai ketua keluarga dapat menghadapi  tempoh mendatang dengan ketabahan dan kesabaran.

Suasana kehilangan yang amat sukar untuk diungkapkan, namun redupan mata menyaksikan segalanya.

Bagi mereka yang berada di kedudukannya sahaja mampu memahami perasaan tersebut. Saya ada sedikit pengalaman peribadi ketika saya kehilangan bapa seusia lapan tahun.

Rasanya tirai kehidupan tertutup rapat. Masa depan menjadi malap bertukar gelap.  

Pada masa yang gentir itu, kita tidak dapat berfikir secara waras dan hanya titisan air mata sahaja yang mampu menceritakan segalanya.

Benarlah apabila Islam mengganjarkan pahala yang amat besar bagi mereka yang mengusap kepala anak yatim, apatah lagi membantunya serta memberi perlindungan dan motivasi agar dapat meneruskan kehidupan sebagai insan hamba Ilahi.

Saya sekali lagi mendoakan Hazriq agar dapat menguatkan semangat dengan penuh ketabahan beserta kesabaran bagi meneruskan misi kehidupan yang ayahandanya tinggalkan.

Inilah kehidupan
ada kematian
sebagai permulaan
dalam perjalanan
yang tiada ketepian.

Amalkan al-Fatihah
alunkan Yaasin
wiridkan tahlil
itulah pendampingan
di kala kesusahan.

Saya sekali lagi mendoakan arwah Abg Hasan agar tenang di sana sementara menanti janji Tuhan kepada mereka yang beramal solehan.

Sunday, September 16, 2012

Liqa' Maghribie 2012 di Hulu Langat



حمدا لله على هذا اللقاء الأخوي الذي يكون فريد من نوعه في بيت فضيلة الأستاذ لطفي وزوجه الدكتور أشنيدة.

ونحن نعبر بجزيل الشكر على استقبال حار في انجاح هذا اللقاء، وخاصة من قبل صاحب البيت وزوجه، وكما نعرب بمثل هذا الشكر للذين يعدون الأطعمة المغربية الشهية التي لا ميثل لها.

لقد بدأ هذا اللقاء بصلاة الظهر جماعة ثم تلا بعدها ببعض الأذكار الربانية والقراءة الأيات الكريمة هدية من الحاضرين وصدقة منهم إلى النبي المصطفى صلى الله عليه وسلم وأزواجه الطاهرين والصحابة العظام، ثم إلى أرواح والدينا وعامة المسلمين وبالخصوص إلى روح المرحوم فضيلة الدكتور الأستاذ محمد محمد داود الذي انتقل إلى جوار ربه في مستهل هذا العام (اللهم اغفرله وللجميع).

وحيث اشترك في هذا اللقاء 15 من سفتمبر 2012 أصدقاؤنا من كلنتان وفاهغ ونكري سمبيلن وفيرق وطبعا من ولاية سلنجور، وكما توضحه الصور التذكارية التالية.

وصدق عمر رضي الله عنه إذ يقول: لقاء الإخوان جلاء الأحزان. وقال بعض السلف: روح العاقل في لقاء الإخوان. وسئل سفيان الثوري رحمه الله: ما ماء العيش؟ قال: لقاء الإخوان. وقيل لبعض الحكماء: ما العيش؟ قال: إقبال الزمان، وعز السلطان، وكثرة الإخوان.وقيل: حلية المرء كثرة إخوانه.

ورحم الله الحسن إذ يقول: إخواننا أحب إلينا من أهلينا، إخواننا يذكروننا بالآخرة، وأهلونا يذكروننا بالدنيا. وأي طعم للحياة بدون الأحبة؟! وما أرع قول علي بن أبي طالب رضي الله عنه لابنه الحسن: يا بني، الغريب من ليس له حبيب.

ومرة أخرى نشكر الجميع على هذه المشاركة الحماسة لتزودنا بعدها لقاءات عديدة بعون الله.