Saturday, December 31, 2011

Menarilah Selagi Terdaya...



Lembaga Penapisan Filem (LPF) merupakan agensi yang ditugaskan untuk menapis kandungan rakaman untuk filem dan video untuk ditayangkan di Malaysia. LPF ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971) dengan tujuan "menjaga keselamatan negara dan keharmonian kaum serta melindungi kepentingan negara dan rakyat daipada pengaruh buruk dan unsur-unsur negatif yang mungkin dipaparkan dalam sesetengah filem, sejajar dengan tuntutan prinsip-prinsip Rukun Negara." (sedutan dari wikipedia LPF).

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam, berkuatkuasa 2012, Lembaga Penapis Filem (LPF) telah menetapkan bahawa pihaknya tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya peranan tersebut akan diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem itu sendiri. ketetapan itu diambil selepas mendengar pandangan dari semua pihak khususnya yang menjayakan industri perfileman negara.

Sebaik sahaja pengumuman ini dibuat, hantu Kak Limah adalah antara watak yang pertama telah berjaya meloloskan diri dari ditapis. Akibatnya, hantu Kak Limah dilihat merayau-rayau di Kampung Temilang, Pengkalan Berangan, Marang, Terengganu. Berita ini telah disahkan benar oleh Mazlan Ali, 55, beserta lima ahli keluarganya yang lain turut diganggu.

Rakan Kak Limah, 'orang minyak' juga turut terlepas dari lembaga penapisan tersebut. Akibatnya, penduduk Kampung Laksamana sering diganggu. Namun, kejadian ini belum lagi dibuat laporan polis.

Sementara itu, Kampung Nakhoda yang berada bersebelahan dengan Kampung Laksamana di Gombak turut menerima nasib yang sama apabila wang disimpan di rumah boleh hilang sekelip mata dengan jumlah yang besar. Tetapi akhirnya, penduduk kampung mengetahui punca kes tersebut akibat amalan ilmu hitam.

Ini adalah sebahagian dari deretan seram lantaran pendedahan filem-filem kita berunsurkan hantu syaitan tahyul. Tuan-tuan bolehlah tengok 'Hantu Kak Limah Balik Rumah' arahan Mamat Khalid, 'Hantu Bonceng' arahan Ahmad Idham dan macam-macam lagi.

Saya kurang pasti tahap penapisan LPF ke atas filem-filem tersebut. Walhal, unsur tahyul dan ilmu hitam, bukan sahaja khurafat, bahkan boleh terseret ke lembah durjana mensyirikkan Allah SWT (nauzubillah). Apakah pelakon kita sudah kebal dan berupaya untuk melakonkan apa-apa sahaja tanpa memikirkan dosa syirik? Yang peliknya, bila ada gangguan, puak-puak ustazlah yang dirujuk. Eloknya, ustaz-ustaz ni jual mahallah sikit, janganlah murah sangat...ni, ada yang sanggup menawarkan diri untuk memberi rawatan percuma. Kurang pastilah saya, dari mana perguruan ustaz tersebut. Setahu saya, kita tidak digalakkan untuk menawarkan diri dalam merawat pesakit.

Begitu juga halnya terhadap filem yang berunsurkan lucah. Bagi mereka, selak sana, dedah sisi, peluk-peluk, ghairah-ghairah dan sebagainya itu sebagai unsur pelaris kepada filem mereka. Antara filem tersebut, 'Datin Ghairah', "Anu Dalam Botol', hatta 'Ombak Rindu" pun tak sunyi daripada menyelit unsur ghairah yang sangat-sangat tidak patut dan tidak layak diluluskan untuk ditonton babak tersebut.

Janganlah kita terikut-ikut sangat dengan rentak tarian Barat. Mereka sudah tidak ada agama dan pegangan lagi. Hidup mereka bak kata orang semacam binatang ternakan. Buka mata, cari makan, tutup mata, cari betina.

Saya tidak dapat membayangkan keadaan filem kita nanti, yang sudah ditapispun masih terlepas, inikan pula tanpa tapisan. Untuk penyedap kata, maka disebutlah penerbit dan pengarah untuk bertindak sebagai penapis yang bertanggungjawab. Bukankah mereka itu kelompok yang sentiasa mencari kehendak pasaran. Jika mudik kata pasaran, maka bermudik-mudiklah mereka. Jika ke hilir kata mereka, maka berebutlah menghilirkan filem dengan tujuan yang satu, meraih sebanyak mungkin pulangan ongkos.

Lantaran itu, Islam mengingatkan para penyair dalam surah as-Syuara' (ayat : 224-227) supaya berhati-hati ketika bersyair/bersajak, kerana ramai dari kalangan mereka hanya menempah dosa melainkan mereka yang beriman dan sentiasa mengingati Allah SWT.

Selamat Menempuh Tahun Baharu 2012



ولم تبق إلا اياما قليلة
وتجيء سنة جديدة لتبدأ صفحة جديدة من صفحات حياتنا
وكنا قد عشنا سويا حلوها ومرها
فلا تنظر إلى خلفك فذلك ماض يؤلمك
ولا إلى اليوم فإنه آت يزعجك
ولا إلى الأمام فإنه مستقبل قد يؤرقك
ولكن انظر إلى فوقك فإن لك ربا يرحمك
فلا أنا ولا أنت نعلم هل لأيامنا باقية أم سنرحل مع العام الفائت
ولذا، أعتذركم من أخطاءات مرتكبة في حقكم جميعا من دون قصد، وأتمنى لكم أيامك أياما بيضاء في كل صفحة حياتكم

Daftar Haji Pencarum KWSP



KUALA LUMPUR - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) mulai 3 Januari ini, kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar. (Berita Harian, 31/12/2011)

Ini satu lagi berita yang dinanti-nantikan. Alhamdulillah, akhirnya peluang untuk menjejakkan kaki di kota mukarramah hampir menjadi kenyataan.

Ini bermakna, budgetnya itu cukuplah bagi mengerjakan ibadat ke lima rukun Islam ini.

Cuma persoalan yang bakal bermain di minda kita, tarikh keberangkatannya...dari itu, pihak TH perlu menyusun dengan lebih terancang lagi agar pendaftaran yang dilakukan itu tidak hanya pendaftaran semata-mata.

Berdasarkan pengalaman peribadi, tarikh untuk menunaikan ibadat tersebut memakan masa yang agak lama, lebih-lebih lagi jika dihimpunkan dengan pendaftaran baharu ini. Pada masa ini, 'cable' amat-amat diperlukan.

Majlis Bahasa Inggeris Tertubuh




KUALA LUMPUR - Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan standard pencapaian bahasa Inggeris pelajar sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. (Kosmo, Sabtu 31/12/2011)

Berita baik untuk para pelajar ke arah meningkatkan prestasi pencapaian mereka.
...
Bahasa Arab pula bila lagi? kemungkinan nilai komersial bahasa Arab tak berapa sangat kot...maklumlah bahasa untuk para penghuni padang pasir dan unta-unta sahaja...

Keputusan PMR ari tu kita dikejutkan dengan penurunan peratus bagi Pendidikan Islam.

Ada apa-apa reaksi beliau tak untuk menanganinya...

Sedih sangat-sangat kerana top management banyak sangat membazir tenaga, masa dan wang untuk mengurus bahasa Inggeris, sekejap ambil mat saleh dari Amerika, sekejap Australia, yang ahli majlis ni entah dari mana pula, entah-entah dari Papua kot...

Sampai bila kita asyik mengasah pedang, tetapi pedang tak juga tajam-tajam...bilakah masa nak turun ke medan perang ?

Maksud saya, kita dok asyik bicara pasal alat (bahasa), sedangkan ilmu itu boleh berkembang melalui apa sahaja bahasa...orang-orang Barat dah jauh ke depan, orang-orang Arab pula asyik melangkah ke belakang...kita pula?

Jangan-jangan kita dok di titik yang sama, sejak zaman madey, pak lah dan najib...tak berubah-ubah, asyik dok bincang standard bahasa Inggeris, bilakah masanya pula nak bincang pasal ilmu mencakar langit, atau kita hanya cukup dengan menumpang mereka sahaja....fikir-fikirkan lah...

Friday, December 30, 2011

Islam vs Kapitalis

(Madrasah Salihiah, Kedah)

Saya sebenarnya tak lah suka sangat mengulas pandangan orang. Namun, sekiranya pandangan itu semacam terbabas, tersodong pembahagi jalan, eloklah saya berikan sedikit cerahan minda agar tidak ramai orang terkeliru dan termanggu.

Dalam tt (tukartiub.blogspot.com) di bawah kelolaan Hishamuddin Rais ada menyatakan dalam tajuknya : INI HANYA BUKTI KAPITALIS KUAT, dalam komentarnya (apa yang saheh ialah kuasa pemodal lebih kuat dari kuasa agama) atau dalam bahasa Inggerisnya adalah : The power of capital is stronger over the power religion. di awal komentarnya :
jangan silap faham
apa yang ditulis oleh tukar tiub
bukan hal siapa salah dan hukum apa?
yang cuba dimunculkan oleh tukar tiub
ialah bukti bahawa kuasa lobi kaum pemodal lebih kuat kuasa agama.

Saya ingin bersangka baik kepada abg Hisham tukartiub.

Hendaknya kita jelas bahawa Islam dimunculkan Allah SWT adalah untuk menghapuskan segala sistem yang merosakkan keadilan dalam kalangan manusia. Antara sistem tersebut ialah sistem kapitalis yang berteraskan keuntungan semata-mata dengan apa cara sekalipun. Cara yang paling digemari bagi idealogi ini ialah pewujudan amalan riba dalam setiap sistem kewangannya. Akhirnya terhimpunlah golongan kaya bertambah kaya, manakala golongan pengemis akan bertambah mengemislah mereka sehingga ke anak cucu.

Bayangan kapitalis yang mementingkan keuntungan material semata-mata tanpa disusuri dengan akhlak terpuji terkadang terbawa-bawa ke dalam sistem perbankan Islam yang kita amalkan. Ikut kaedah agama, mereka betul, asalkan tiada unsur riba, maka sah lah jual beli atau pinjaman itu.

Perlu kita sedar bahawa matlamat sistem muamalat dalam Islam adalah memberi bantuan itu yang utama, kemudian baharulah difikirkan keuntungan. Bukan sebaliknya. Maka itu, memberi dan mengeluarkan zakat adalah salah satu dari rukun Islam yang lima. Tujuan zakat adalah menghulur bantuan kepada asnaf yang lapan. Ini bermakna, orang membri zakat bertambah berkat hartanya, dan orang yang menerima zakat terhakislah rasa irihati dalam dirinya.

Untuk memberi zakat, seseorang itu hendaklah berusaha giat bagi menggumpul harta dan dana agar misi bantuan itu tercapai. Ini bukan idea kapitalis. Ini adalah idea Islam. Berusaha gigih mencari dana mengikut saluran yang dibenarkan.

Itulah sebabnya Islam tidak merukunkan Islam itu dengan menerima zakat. Ini kerana orang yang menerima tidak menyumbang apa-apa. Meskipun begitu, selaku muslim, mereka wajib berusaha seusaha orang yang memberi zakat tadi, agar beliau juga mampu berperanan dalam misi bantuan yang kita sebutkan tadi.

Inilah Islam. indah dan tersusun rapi sistemnya. Jauh sekali bezanya dengan sistem kapitalis.

Dari itu, kuasa agama sudah pasti jauh lebih berkuasa dengan kuasa kapitalis. Kuasa kapitalis berbentuk keuntungan sementara, manakala kuasa agama berbentuk keuntungan bersama dan kekal. Kuasa agama telah terbukti lebih dari 1400 tahun yang lalu, manakala kuasa kapitalis, sehingga kini terancam kepada permusuhan dan pemberontakan, juga memperanakan mangsa-mangsa muflis.

Ust. Mad Dalam Kenangan...Al-Fatihah



Memang sukar bagi sesiapa sahaja untuk kehilangan orang tersayang. Lebih-lebih lagi, jika orang tersebut terlalu banyak menabur jasa bakti yang sukar untuk dibalas dan diganjarkan dengan apa bentuk mata benda yang ada.

Orang yang saya maksudkan itu adalah al-marhum YB. Dr. Ust. Muhammad Md Daud yang telah pergi buat selama-lamanya tanggal 24 Disember 2011, jam 12.55 malam di kediaman beliau, Kampung Perangkap, Bunut Susu, Tendong, Pasir Mas, Kelantan ketika usia beliau mencecah 64 tahun.

Setelah menabur ilmu dan jasa sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM, beliau tetap menghidupkan budaya curahan ilmu tadi di masjid-masjid di negeri Selangor, termasuklah di surau Saujana Impian yang terletak bersebelahan dengan taman perumahan yang saya berada, teramat kagum saya dengan pencapaian ilmu yang beliau miliki, namun kini beliau sudah berpindah ke alam yang pasti lagi baqa', alam Akhirat yang kekal abadi buat selama-lamanya.

Semasa menjawat amanah selaku wakil rakyat kawasan Tendong yang dirampasnya dalam pilihan raya 2008 (majoriti 1,657 undi), mengalahkan calon BN, Fauzi Mamat, beliau tetap meneruskan budaya pencerahan minda menerusi kuliah-kuliah agama. Salah satu daripada sesi kuliah beliau ialah di surau yang berada bersebelahan rumahnya (gambar atas) pada setiap pagi Sabtu. Menurut isterinya (Kak Dah), ust Mad macam tahu-tahu bahawa beliau akan 'pergi', maka beliau telah menugaskan anak keduanya (Abg. Ngah) untuk mengambil alih kuliah pagi Sabtunya itu.

Sebetulnya, pada pagi tadi saya ada terbaca tulisan Salmah Mat Husain (Harakah : 5-7 Safar 1433, lmn. N16) yang bertajuk :'Hilangnya Sebutir Permata di Pasir Mas'. Bagi diri saya sendiri, al-marhum ust Mad bukan hanya sekadar di Pasir Mas kita kehilangan permata itu, tetapi sebaliknya bagi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan ilmu.

Renunglah tuan-tuan, makin hari ke hari, ulama' yang berwibawa makin susut, saya bimbang akan tiba saatnya nanti ulama' seakhlak ust Mad bertambah kurang. Manakala ulama' yang ada dua tiga kerat ini pula sering dicemuh dan dicula...yang tinggal hanya mereka yang berwatak ulama' celupan sahaja.

Bayangkan tuan-tuan, pada masa itu, ke manakah hala tuju dan gantung harap kita? Sudikah kita bernaung di bawah ulama' celupan yang bercakap siang pandang-pandang, bertutur malam dengar-dengar? Sanggupkah kita berguru dengan ulama' celupan ini yang hanya memberi sekangkang kera dan merampas sekandang lembu? Patutkah pula kita berwala' kepada ulama' celupan seumpama ini yang memegang amanah di songkok, tetapi menodainya sesuka hati perutnya.

Marilah kita merebut peluang sementara ianya masih ada untuk memartabatkan para ilmuan sejajar dengan pesanan Ilahi bahawa orang-orang yang berilmu akan didarjatkan Allah dengan beberapa darjat yang mulia. al-Fatihah untuk al-marhum ust. Mad...semoga jasa-jasa ilmuan beliau mengalirkan pahala yang tak akan putus-putus.

Thursday, December 29, 2011

HADIAH BERUPA UMPAN....

Biasanya kita akan mengucap syukur dan berterima kasih setelah dihadiahkan sesuatu kepada kita. Sama ada besar atau kecil nilaian barangan yang diberikan, namun di hati tetap berbunga rasa gembira dan bersyukur.

Namun, sebagai manusia biasa yang memiliki cita rasa dan nafsu tersendiri, sudah pasti amat sukar untuk diuruskan tahap kepuasan mereka. Yang tidak puas akan menag...ih kepuasan, manakala yang sudah puas akan mencari kepuasan baharu, yang akhirnya nanti, orang atasan akan puas dan bertambah puas, sementara itu, orang bawahan pula akan sentiasa menagih-nagih kepuasan. Ini kerana kepuasan itu enggak bisa dikongsi pak...walau dengan secawan kopi sekalipun.

Sebetulnya semalam di Putrajaya kami (murid-murid tua bahagian tajaan) telah didedahkan dengan SBPA...di sana pelbagai 'celoteh' yang diutarakan bagi menghibur rasa dan jiwa yang telah lama berkelana dalam SSM...jiwa-jiwi ini ada yang merana dan tertekan dengan SSB..namun, nampaknya lenggok kata, kias bahasa tetap ketiga-tiga (SBPA, SSM dan SSB) sistem ini memberi ruang kepada mereka yang rapat dengan bos masing-masing. Dengan kata lain, durian tetap durian, mentimun tetap mentimun. Kita tak akan jumpa harga durian seharga mentimun, dan bau durian sebau mentimun. Tambahan pula, kini kini harga durian melambung-lambung naik dan harga mentimun sekadar nilaian titisan peluh orang kampung.

Isu kebosan inilah terkadang menjadikan orang-orang bawahan bertambah bosan untuk berkualiti dalam bekerja. Janganlah ada seorang bos yang menganggap mereka yang rapat dan sebulu dengannya sahaja rajin dan tahu membuat kerja, sedangkan, banyak lagi yang lain mampu bekerja dalam zon mereka sendiri, bahkan banyak pula menyumbang kepada prestasi sesebuah institusi.

Sayangnya, SBPA telah menjarak-jauhkan lagi antara dua kelompok ini. Kemungkinan inilah dasar kapitalis yang diagung-agungkan sesetengah pihak. Islam berpesan, janganlah pula kumpulan elit itu hidup dalam dunia keelitan mereka, dan kumpulan marahain dengan kemarahainannya. Sudah lama Islam merobohkan benteng pemisah antara mereka. Seorang imam tak mungkin dan tidak sah solat jamaahnya jika bersolat di bilik imam, sedangkan makmumnya pula berada di ruang solat.

Tuan-tuan, inilah ajaran Islam. Cukup-cukuplah kita berkonsepsikan pengurusan hidup kita dengan mendarah-dagingkan ajaran barat, sehingga sanggup berkononkan Islam. Yakinlah kita, Islam menunjukkan kita pengurusan yang terbaik, pengurusan yang mampu menjinakkan kepuasan diri masing-masing. Cubalah renungi ayat-ayat surah al-Anfaal pabila sahabat merungut tentang harta rampasan perang, lantas Rasulullah selaku bos pada masa itu menjelaskan bahawa semua harta rampasan perang itu adalah milik Allah dan RasulNya, bertaqwalah kamu...

Monday, December 26, 2011

Isu Tauliah Mentauliah



Dasar penjajah masih mengalir dalam darah pentadbiran di negara kita. Kita kata, baik betul orang putih ni, tak masuk campur langsung pasal agama, semuanya diserahkan kepada raja/sultan selaku ketua agama yang akhirnya pula membentuk jabatan agama bagi pihaknya.

Maka, seseorang itu pada dasarnya adalah dilarang berdakwah atau berkuliah selagi tiada keizinan bertulis daripada jabatan yang menjaga perihal agama. Orang putih bagitau, buatlah cara macam ini agar kesucian agama terjaga dan Islam hanya dimampu milik oleh orang Melayu sahaja.

seronok ahli jabatan agama pasal dapat satu tugas hasil peninggalan puak-puak penjajah. Akhirnya, kita lihat, agama lain (Hindu, Kristian...) bergerak rancak tanpa ada halangan lantaran mubaligh mereka tidak perlu memilik tauliah untuk berdakwah. Kita pula (orang Melayu Islam) tidak dibenarkan berbuat demikian selagi tidak memilik tauliah tersebut.

Adakah untuk bercakap Islam dengan kenalanpun perlu kepada tauliah?
Bagaimana pula mereka yang dijemput ke rancangan radio dan tv, diminta pula untuk bercakap pasal Islam itu indah, sedangkan orang tersebut belum pasti memiliki tauliah, dan berkelulusan pula bukannya bidang agama?
Atau tauliah itu hanya diperlukan apabila seseorang itu hendak bercakap di dalam surau/masjid sahaja?
Kalau itu, JK surau yang mengumumkan majlis perkahwinan setiap Jumaat hendaklah juga memohon tauliah...

Beginilah jadinya apabila Islam mengikut acuan kita, bukannya kita mengikut acuan Islam. Lebih parah lagi jika acuan itu adalah warisan nenek moyang penjajah.

Apabila Telunjuk Tidak Lagi Menunjuk



Jari adalah anugerah Ilahi untuk kita gunakannya pada jalan yang diarahkan berbuat demikian. Jari telunjuk mempunyai makna yang amat luas, ia mampu bertindak sebagai pemberi arahan agar penerima arahan tersebut bertindak mengikut garis telunjuk yang diarahkan.

Terkadang jari telunjuk itu tidak menunjukkan kepada sesuatu yang berada di depannya, sebaliknya me...nunjukkan pula kepada apa yang ada di belakang telunjuk tersebut. ini yang kita maksudkan sebagai makna tersirat, dalam usul fiqh dipanggil mafhum mukhalafah.

Situasi ini amat jarang difahami orang keramaian. Akhirnya, mereka mudah tertipu dan ditipu lantaran kurang cekap membaca fenomena telunjuk tersebut.

Saya bagi kata kunci yang cukup senang untuk membantu kita dalam memahami situasi ini. Jika sekiranya telunjuk itu datangnya dari mereka yang mempunyai kepentingan bagi pihak mereka melebihi yang lain, maka bacalah telunjuk itu dengan makna sebaliknya. Manakala, jika telunjuk itu datangnya dari mereka yang ingin menjaga kepentingan yang lain, maka bacalah apakah yang ada di hujung telunjuk tersebut.

Ini agak berfalsafah sikit.

Tak mengapa, saya berikan contoh..Pihak atasan menggubal peraturan, katanya untuk kebaikan orang bawahan, maka, tuan-tuan mesti baca bahawa peraturan itu sebenarnya ada berkemungkinan untuk menjaga hanya pihak atasan. Akhirnya orang bawahan terpaksa mengikut peraturan tersebut, sedangkan laba adalah milik orang atasan.

Makan Nasi Kerabu Kelate



Sudah lama saya tak merasa nasi kerabu masakan Kelantan asli. Yang ada di sekitar Kajang, baik di Melaka banyak tak berapa nak jadi...

Petang itu, saya bersama ayahcik (Ust Sobri) dijemput Sheikh Salim bertandang ke rumah beliau di Pasir Pekan menjadikan kami sempat merasakan nasi kerabu asli. Menurut Sheikh, orang beratur untuk membelinya. Saya rasa ayahcik tentu berbaloi atas kunjungan ke Kelantan kali ini. Masakan tidak, akibat kepenatan dari Pengkalan Kubur, dihidang pula dengan nasi kerabu. Kalau datang ke sini, rasa-rasa lah. Terima kasih ust Sheikh.

Ust. Zaki pula ada mempelawa saya untuk merasa sup belut pula, tetapi sayang masa dah jauh malam. Jam 10 malam masih bertandang di rumah CD Ahmad. Dah lama tak jumpa beliau. CD Ahmad, masih bersemangat dan bertenaga muda, gua respect sama lu...

RASANYA BAHARU SEMALAM KITA BERSUA



Malam tadi, saya betul-betul bermimpi dengan ust Mad, biasalah ust Mad akan sentiasa bertanya khabar tentang berita kawan-kawan. Beliau memang seorang yang sukakan silatur rahim.

Bulan lepas, saya sempat berjumpa dengan beliau, tetapi bukan di rumahnya, sebaliknya di salah sebuah restoran. Saya sekeluarga dibelanjakan makan. Baik betul hati budi ust Mad, sama dengan Pak Chunya di Mekah, suka mera...ikan tetamu, sampai kita jatuh segan.

Banyak lagi kenagan bersamanya. lebih-lebih lagi semasa saya menuntut di Morocco dulu, beliau banyak memberi bimbingan kepada kami persatuan pelajar lantaran kemudaan kami dan kematangan beliau selaku orang lama.

Tiba-tiba, pagi tadi jam 4 pg lebih kurang, saya dikejutkan dengan sms isteri dari kak Dah, katanya ust Mad dah tak dok lagi...terkedu hati, sebak rasanya, sedih pula di mata...semoga Allah merahmati beliau.

Ucapan takziah buat kak Dah sekeluarga atas pemergian suami (YB. Ust. Dr. Muhammad Daud) yang tercinta. Semoga ketabahan jua diberikan dan almarhum pula didoakan bersama zumratul para solihin, amin, amin ya Allah. al-Fatihah...

Tuesday, December 6, 2011

Halangan Hijrah



(Gambar Masjid Quba') Malam tadi saya berkuliah hadis di Dataran Hamas, Jasin, Melaka. Antara hadis yang sempat dikupas dari kitab Bulughul Maram, ialah :
وعن سراقة بن مالك رضي الله عنه قال : علمنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في الخلاء أن نقعد على اليسرى وننصب اليمنى. (رواه البيهقي بسند ضعيف)
Yang bermaksud : Dari Suraqah bin Malik ra. beliau berkata : Rasulullah saw. telah mengajarkan kami tata cara berada di bilik semasa membuang air agar duduk di atas kaki kiri dan menegakkan kaki kanan.

Untuk perkongsian ilmu, bahawa kita masih segar dalam ingatan semasa penghijrahan Rasulullah saw bersama saidina Abu Bakar terhadap janji Musyrikin Arab dengan 100 ekor unta bagi sesiapa sahaja yang mampu menangkap nabi saw. Maka, Suraqah (perawi hadis ini) salah seorang pemuda yang bersasa badannya telah menyahut tawaran tersebut lantas mengejar jejak tapak nabi saw. Beliau berjaya mengesan pergerakan nabi saw dan berusaha daya upaya untuk menangkap nabi saw. tetapi apakan daya kuasa dan urusan Allah lebih ampuh menyehinggakan beliau tersungkur dek kaki kudanya sudah terpelecok.

Rasulullah saw menghampirinya, beliau pula merayu agar nabi saw tidak mengapa-apakannya lantaran hasratnya demi 100 ekor unta. Maka nabi saw telah mengikat beliau dengan sebuah janji agar berpegang kepada amanah untuk tidak menghalang gerakan Islam yang sedang tersebar.

Janji tersebut telah dikotakan Suraqah selepas beberapa tempoh. Belaiu telah mendatangi Rasulullah saw dan telah menawarkan diri untuk memeluk Islam. Tawaran itu diterima junjungan saw. Namun hayatnya bersama nabi saw tidak berpanjangan sekadar sekelumit jua dan nabi saw telah dijemput bertemu Allah Rabbul Jalil.

Sesalan demi sesalan yang menyebak dada Suraqah lantaran kelewatan beliau memeluk Islam untuk berjuang bersama nabi saw. Beliau masih terkenang kisah lampau. Kisah yang menjanjikan 100 ekor unta sebagai ganjaran penangkapan nabi saw. Namun kini, baginya tiada bernilai apa-apa walaupun dengan secebis kuku nabi saw.

Tuan-tuan, sorotan ini menjadi renungan bersama, khususnya masa kini, dengan hanya secebis jawatan maka Islam tergadai. Hanya sekangkang tanah, agama terabai. Cuma semanis janji, akhlak kita tercalar. renung-renunglah bagi kebaikan bersama sementara bulan hijrah masih ada.