Monday, July 30, 2012

SEKOLAHKU SYURGAKU - Masihkah Relevan ?


SMA Syamsul Maarif, Pulai Chondong -
Sekolah agama saya dahulu

Kebanyakan sekolah menjadikan ungkapan ini (sekolahku syurgaku) sebagai batu penawar pada pintu masuk sekolah mereka.

Hasrat mereka amat murni, kerana ingin melihat persekitaran sekolah juga warganya menjurus ke arah itu. Mahu menjadikan sekolah mereka sebagai sekolah idaman, impian dan harapan semua orang.

Pada dasarnya saya setuju.

Sekiranya penampilan yang ditunjukkan tidak menggambarkan situasi itu, maka ia adalah suatu kecelakaan yang perlu dihindarkan.

Saya memetik satu contoh. Pada awal sesi persekolahan, kelihatan barisan pengawas berbaris untuk melakukan pemeriksaan ala sekatan jalan raya. Anak-anak itu dilatih untuk memeriksa, menyoal dan mencatat beberapa fakta yang sudah pasti berkenaan dengan salah laku. Jika perlu, ‘surat saman’ dikeluarkan.

Guru disiplin pula selalu digambarkan dengan watak garang dan perlu digeruni. Saya masih ingat semasa bersekolah menengah dahulu, guru disiplin kami, amat garang sekali. Tiada pelajar yang sanggup berselisih dengannya. Takut sangat, meskipun tidak melakukan sebarang kesalahan.

Akhirnya, mengikut Ibnu Khaldun, terbentuklah suasana yang berpura-pura dalam diri seorang murid. Ini sekaligus menggagalkan matlamat pembentukan suasana sekolahku syurgaku.

Pendidikan itu menurut Syed Naquib Al-Attas ialah suatu proses penitisan ilmu yang memberi makna ke dalam diri pelajar. Jika itu, mengapa kita lari daripada hakikat pembentukan sekolah bagaikan syurga.

Susahkah untuk melemparkan senyuman kepada pelajar yang melangkah masuk ke pagar sekolah? Kalau bengis, itu penampilan penjaga pintu neraka. Penjaga pintu syurga, sentiasa tersenyum. Ajarlah barisan pengawas untuk bertindak sebagai penyambut tetamu agar terasa dimaruahkan diri bagi setiap pelajar yang mendatang.

Cukuplah guru disiplin sebagai lambang kebengisan. Zaman Hang Jebat dah berlalu. Anak-anak murid perlu dilatih supaya menghormati, bukannya digeruni.

Nanti ada pula yang berkata, “anak-anak sekarang bukannya boleh diberi muka sangat”.

Saya jawab begini, “kita berinteraksi dengan pelajar melalui hati, bukannya melalui muka”.

Saya datangkan satu contoh. Pelajar berambut panjang datang ke sekolah. Biasanya tindakan yang diambil ialah memotong silang agar pada petang harinya dia akan ke kedai gunting untuk diperelokkan. Ada juga yang memberi nasihat supaya petang nanti bolehlah ke kedai gunting.

Situasi seumpama ini mengingatkan saya semasa di sekolah menengah dahulu. Rakan saya dan saya berambut agak panjang. Untuk ke kedai gunting, wangnya tidak mencukupi. Saya rasa guru kami ini memahami situasi yang kami hadapi itu.

Lantaran itu, guru kami ini meminta rakan saya dan saya ke rumahnya pada waktu petang nanti. Dipendekkan cerita, kamipun datang. Guru kami ini telah menanti dengan sebuah kerusi dan ditangannya ada gunting. Dia memotong rambut kami.
Cara ini saya lakukan kepada para pelajar saya yang berambut panjang. Bezanya, saya memendekkan rambut mereka semasa di sekolah, dengan hanya 10 minit, rambutnya kemas.

Apa yang ingin dikongsikan ialah, penyentuhan hati para pelajar itu lebih penting daripada menyentuh fizikal mereka.

Semasa memegang kepala pelajar tadi, tuan-tuan bolehlah cakap apa sahaja yang boleh menyentuh perasaan mereka tentang tatacaca mendisiplinkan diri. Insya Allah, mereka telah bersedia untuk mendengar dan akur dengan apa yang hendak kita perkatakan.

Sekadar berkongsi pengalaman sebagai guru disiplin.

No comments:

Post a Comment