Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Ayub Rahmat mahu melihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan hukum hudud "sebenar", yang menurutnya berbeza dengan hudud PAS. Perbezaan paling ketara, kata Ayub, hukum hudud sebenar meliputi semua kaum dalam sesuatu negara berbanding hudud PAS yang hanya tertakluk kepada orang Islam. (mkini, Jun 30, 2012)
Baharu sekejap tadi saya memberi komen balas dari Sdr Faiz Mukmin tentang penulisan buku terbaharu Dr Kassim Ahmad yang berjudul “Universiti Kedua”. Ulasan saya, jika beliau (Dr Kassim) ingin menulis yang bukan berimejkan agama, dipersilakan. Namun, jika berkaitan dengan agama, lebih-lebih lagi dalam bidang hadis, maka ia perlu kepada kepakaran dibimbangi tersalah dan tersasar.
Kini kita berdepan pula dengan seorang insan yang cuba bercakap tentang agama (hudud) yang katanya ia berbeza dengan Hudud Pas.
Ingin saya tanyakan pertama-tama sekali, orang tersebut faham tak istilah hudud, qisas, ta’zir, halal, haram dan sebagainya. Dibimbangi tahap kefahamannya hanya memfokuskan Islam itu hudud dan hudud itu Islam.
Bagi orang yang berfahaman berikut, saya contohkan dengan seekor gajah. Apabila ditanya, “Apakah yang anda nampak pada seekor gajah?”, Maka beliau menjawab, “belalai”.
Kalau kita mewaraskan minda, sudah pasti yang kita nampak pada seekor gajah, pertama sekali mestilah badannya, dek kerana badan gajah yang lebih besar dari belalainya.
Begitulah Islam, hudud itu hanya serpihan pelengkap kepada kesyumulan Islam. Namun, yang dilihat dan difokuskan hanya hudud dengan alasan agar ramai orang meminggirkan diri daripada mendekati Islam.
Pada hakikatnya hudud dalam Islam hanya membicarakan enam parkara iaitu tentang melakukan zina, membuat pertuduhan zina, meminum arak, mencuri, menyamun dan melampau dari ketaatan.
Perbahasan tentang aqidah, ibadah dan akhlak adalah ruang lingkup lagi meluas. Namun, hal demikian itu cuba ditutup untuk memberi fokus kepada hal-hal yang berkaitan dengan hudud.
Pamerkan keindahan Islam yang berteraskan ilmu untuk mendidik jiwa dan mampu membangunkan tamaddun manusia yang utuh dan padu.
No comments:
Post a Comment