Bashar Asad |
Tajuk ni agak berat sikit. Sekadar berkongsi untuk pencerahan minda.
BASHAR AL-ASAD
BASHAR AL-ASAD
Nama penuh beliau adalah Bashar Hafiz al-Asad. Dilahirkan di Damsyik pada September 1965. Beliau merupakan Presiden Republik Arab Syria yang ke-10 selepas bapanya Hafiz al-Asad semenjak dilantik 17 Julai 2000.
Semasa dilantik menjadi presiden, beliau adalah Panglima Pemerintah Pasukan Tentera Syria berpangkat Kolonel. Pada masa yang sama, beliau menjawat jawatan Setiausaha Agung Parti Sosialis Kebangkitan Arab yang bertindak sebagai parti pemerintah semenjak 1963 lagi.
POLITIK BASHAR
Sebelum bergiat aktif dalam politik, berkebetulan pula dengan kematian abang kandungnya Basil al-Asad pada tahun 1994, beliau telah bertugas sebagai doktor mata di London. Beliau merupakan graduan Universiti Damsyik, Syria dan mampu berbahasa Arab (bahasa ibunda), bahasa Inggeris, Perancis dan Spanyol.
Ketika kewafatan ayahandanya, beliau baharu sahaja berusia 34 tahun, sedangkan untuk dicalonkan sebagai presiden parti hendaklah berusia 40 tahun. Atas dasar itu, Parlimen Syria membuat ketetapan baharu dan menurunkan usia pencalonan bagi membuka ruang untuk Bashar dilantik sebagai Presiden Syria.
Langkah yang sama ingin diikuti oleh Husni Mubarak apabila hendak melantik anaknya sebagai penganti. Syarat Parlimen Mesir, Presidennya hendaklah datang dari seorang tentera. Namun, hasrat Husni kecundang di pergigian sungai, lalu disambar oleh pimpinan Ikhwan Muslimin.
Keluarga Asad |
REJIM ASAD
Pada hakikatnya Rejim Asad ini terlalu banyak membuat penindasan terhadap rakyatnya yang menjadikan rakyatnya bertindak dan bangkit melawan. Pada awalnya, rejim tersebut melabelkan pihak pembangkang itu sebagai kumpulan pengganas yang beridentitikan keislaman. Sehingga kini, melebihi 22,000 rakyat yang tidak berdosa gugur syahid di kuku besi Bashar dalam tempah 485 hari tercetusnya pergolakan tersebut.
Manakan tidak, simpanan bala tentera bersulam huluran senjata dari Rusia menambahkan lagi kesengitan tersebut. Nasihat dari rakan-rakan pemerintah negara berjiran tidak diendahkan.
Siri keganasan bertali arus seolah berada dalam sistem rimba yang berdepan dengan kerakusan seekor asad yang lapar.
ASAD ITU SINGA
Sebut perkataan asad ini mengingatkan saya semasa berada di bumi Mahgribi dahulu. Ada rakan Arab berkata, “Negara-negara Arab tidak akan aman selagi diperintah oleh binatang”. Saya terkedu dan mohonkan penjelasan. Tambahnya, “Asad itukan singa, Fahad itu pula harimau dan Mahgribi pula diperintah oleh Baqarah Dhohikah (lembu yang tertawa) yang ditujukan kepada Hasan II’. Ahh..macam-macam orang Arab ini. Saya tidak ambil peduli celotehnya itu.
Namun, apabila melihat kekejaman bersulam kerakusan, baharulah saya sedar, memang ada kebenarannya kata-kata dari rakan saya itu.
Bashar bersama isterinya Asma' ketika di Moscow |
RUSIA = SYRIA
Hubungan antara Syria dan Rusia amat akrab, tidak dapat disangkalkan lagi. Meskipun ianya dinafikan oleh Presiden Rusia, Vladimirorich Putin dalam satu siaran akhbar al-Syarq al-Awsat dengan katanya, “Hubungan Rusia dan Syria seumpama hubungan diplomatik dengan negara Eropah yang lain, tiada kurang dan tiada lebih”.
Kalau biasa, mengapa sanggup menyuapkan kepada Syria yang tengah bergolak itu dengan senjata peperangan ? Tidakkah ianya itu sebagai bantuan untuk meneruskan tali hayat Rejim Asad tersebut ?
Lihatlah apa yang disebut oleh Duta Rusia ke Israel, katanya, ( الأسد السيئ أحسن لهم من الإخوان المسلمين ) yang bermaksud, seorang presiden yang teruk lebih baik daripada kumpulan Ikhwan Muslimin.
ISRAEL x SYRIA
Jelaslah kepada kita bahawa ngerinya mereka dengan kekuatan dan komitmen yang ada pada kumpulan Ikhwan Muslimin.
Pada hakikatnya, Israel ini perancang segalanya. USA sekadar meniru acuan yang telah dicanangkan itu. Bagi mereka, ekonomi telah mereka takluki, kini mereka akan menakluk pula kuasa politik. Khabar-khabar angin negara kitapun dah terasa tiupan anginnya itu. Tidak diketahuilah pula sejauh mana benarnya.
Mereka akan reka jalan cerita seumpama rekaan yang telah difilemkan di Iraq semasa era pemerintahan Rejim Saddam. Mereka Berjaya. Berjaya memusnahkan segala artifak lama keagungan Islam. Berjaya menghancurkan kota Baghdad sebagai lambang maruah umat Islam, dengan hanya berbekalkan kata-kata rekaan sahaja, iaitu nuklear.
Syria akan menjadi mangsa yang keberikutnya lantaran kebebalan Bashar dan ketololan pengikutnya. Usahlah ditemakan di tepian jalan ( سورية الله حاميها ) seandainya tindakan tidak mencerminkan hal tersebut.
Ada yang mengatakan hal ini terjadi kerana pendirian Bashar yang tegas dalam isu Lubnan dan Palestin, yang sekaligus bercanggah dengan hasrat Amerika.
Apapun andaian, pada hakikatnya Israel ingin meluaskan penguasaannya di bumi Syria sebagai langkah untuk meghimpit Iran, yang merupakan satu-satunya negara teluk yang ada kaki dan mampu berdikari.
KEMULIAAN ITU BERSAMA ISLAM
Dengan kemenangan calon Ikhwan Mulimin di bawah pemerintahan Presiden Dr. Muhammad Mursi meningkatkan lagi tahap kegerunan Israel kepada Islam. Sudah pasti mereka akan terpaksa beralih arah ke Syria lantaran Mesir sudah menjadi ancaman bagi mereka.
Teringat saya kepada kisah Hiraql, Maharaja Rome yang dikisahkan kepada kami oleh Dr. Farouq Hamadah pada awal tahun ini. Katanya, “Maharaja Rome itu bergerak dari Palestine menuju ke Bandar Himsa yang terletak di Syria lalu berkata, selepas ini aku tidak akan menjejakkan lagi kaki ini di sini”. Maharaja itu pun pulang ke Rome dan di sanalah datang janji-janji Allah untuk menghancurkan keanggkuhan empayar Rome.
Sekarang kelompok Israel telah mencari-cari laluan untuk mereka melepaskan diri. Dari itulah, mereka sedaya upaya merangsang kita yang alpa agar mengikuti jejak langkah dan acuan yang telah mereka rangkakan. Acuan mereka yang terkini ialah Olimpik 2012.
Mereka bermati-matian untuk menghancurkan umat Islam. Mereka berusaha untuk menguasai apa sahaja demi melihat ummat kita tersungkur di bawah tapak kaki mereka. Angkuhnya mereka.
Kita pula terhegeh-hegeh meminta simpati dari mereka, seolah-olah tanpa mereka, negara akan mundur dan ekonomi akan meleset.
Kita sama-sama melihat bagaimana Mesir dalam era baharu ini terbina dalam acuan yang penuh islamik. Kita doakan mereka berjaya dan dilimpahkan Allah kekuatan dan ketabahan melayani karenah rakyat yang belum matang tentang Islam yang dianuti.
Semoga negara kita mampu mengikut jejak Mesir walaupun selangkah demi melihat keamanan dan kesejagatan bertakhta di bumi ini.
Yakinlah, kemuliaan kita hanya bersama Islam, tidak lain.
No comments:
Post a Comment