Sunday, July 29, 2012

SEHARI SEHADIS - Berbuka & Bersahur



8-وعَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضي َاللهُ عنه، أنَّ رَسولَ اللهِ صلّى اللهُ علَيهِ وَسلّم قَالَ : "لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجّلُوا الفِطْرَ". مُتّفَقٌ عَلَيهِ.

ولِلتِّرمِذِيِّ مِنْ حَدِيثِ أبِي هُرَيْرَةَ رَضيَ اللهُ عَنْهُ عَن النّبيِّ صلّى الله عَلَيهِ وَسلّم قَالَ : "قَالَ اللهُ عزّ وجَلّ : " أحَبُّ عِبَادِي إلَيَّ أعْجَلُهُم فِطْرًا" .

Bermaksud : “Manusia itu akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka”.


Nama asal Sahli bin Sa’ad ialah Huznan (bermaksud dukacita), lalu diberikan nama baharu oleh Nabi saw dengan nama Sahl (bermaksud kesenangan). Ketika Baginda saw wafat, beliau ra baru berusia 15 tahun. Beliau ra meninggal dunia di Madinah dan merupakan sahabat terakhir yang meninggal dunia dari Madinah ketika berusia 91 tahun (ada yang mengatakan ketika berusia 88 tahun).


Hadis yang beliau ra riwayatkan adalah menunjukkan kepada kita sunat menyegerakan berbuka setelah diyakini masuknya waktu Maghrib. Dikatakan, ini adalah untuk menyalahi amalan para penganut agama Yahudi dan Kristian. Ia juga berbeza dengan amalan bersahur yang disunatkan melewatkannya.


Hadis di bawah pula menjelaskan bahawa sunat berbuka dengan memulakan dengan buah kurma. Jika tidak diperolehi buah kurma, maka berbukalah dengan air.


Mengikut pendapat Ibnu Qayyim : Ini menunjukkan betapa prihatinnya Baginda saw terhadap ummatnya dengan menasitkan mereka agar mengambil sesuatu yang mempunyai kemanisan asli untuk dimasukkan ke dalam perut yang kosong agar terus memperolehi tenaga segera. Adapun air pula mampu menyejukkan jantung yang seharian kekurangan air dek berpuasa. Kurma dan air mempunyai keistimewaan tertentu untuk memberi kebaikan dalam penjagaan jantung kita, dan ianya hanya mampu diperakukan oleh pakar jantung.


9-وَعَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ عَامِرٍ الضَّبِّيِّ رَضيَ اللهُ عنه، عَن النَّبيِّ صلّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "إذَا أفْطَرَ أحَدُكُمْ فَلْيُفْطِرْ عَلى تَمْرٍ، فَإنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُفْطِرْ عَلى مَاءٍ، فَإنَّهُ طَهُورٌ".
رواه الخمسة، وصححه ابن خزيمة، وابن حبان والحاكم.

Bermaksud : “Apabila seseorang berbuka, hendaklah dia berbuka dengan kurma. Jika tiada, maka berbukalah dengan air, kerana ia adalah suci”.


10-وَعَنْ أنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ : "تَسَحَّرُوا، فَإنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً". مُتَّفَقٌ عَلَيهِ.

Bermaksud : “Bersahurlah, kerana sesungguhnya dalam bersahur itu ada keberkatannya”.

Nama penuh perawi hadis ini ialah Anas bin Malik bin al-Nadhr al-Khazrajie. Beliau ra telah menjadi khadam (berada di rumah Nabi saw) selama 10 tahun atas permintaan dari ibunya.

Sudah pasti, beliau ra akan meriwayatkan banyak hadis dari Nabi saw, iaitu sebanyak 2286 hadis. Berada pada kedudukan ketiga selepas Abu Hurairah ra (5374 hadis), Ibnu Umar ra (2630). Selepas beliau ra ialah Saidatina A’syah yang meriwayatkan sebanyak 2210 hadis. Kemudian diikuti dengan Ibnu ‘Abbas (1660 hadis), Jabir bin Abdullah (1540 hadis) dan Abu Sa’id al-Khudrie (1170 hadis).

Asal pada hadis ini berhukumkan wajib bersahur. Namun berdasarkan amalan Rasulullah saw dan para sahabat ra, maka ulama telah menetapkan bahawa bersahur itu adalah sunat.

Lantaran bersahur itu dapat membezakan puasa kaum muslimin dengan puasa ahli kitab dari kalangan Yahudi. Ia juga adalah sebahagian daripada sunnah Nabi saw. Menerusi amalan bersahur, kita akan memperolehi keberkatan, di samping mampu memberikan kecergasan diri pada keesokan harinya.

No comments:

Post a Comment