Tuesday, July 31, 2012

SEHARI SEHADIS (Hadis ke-11)

LARANGAN MENYAMBUNG PUASA


11-وَعَنْ أبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ تَعالَى عَنْهُ قَالَ : نَهَى رَسُولُ اللهِ صلّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ عَنِ الوِصَالِ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ المسْلِمِيْنَ : فَإنَّكَ تُوَاصِلُ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَقَالَ : "وَأيُّكُمْ مِثْلِي؟ إنِّي أبِيْتُ يُطْعِمُنِي رَبِّي وَيَسْقِينِي". فَلَمَّا أبَوْا أنْ يَنْتَهُوا عَنِ الوِصَالِ، وَاصَلَ بِهِمْ يَوْمًا، ثُمَّ يَوْمًا، ثُمَّ رَأوْا الهِلالَ، فَقَالَ : "لَوْ تَأَخَّرَ الهِلالُ لَزِدْتُكُمْ". كَالـمُنَكِّلِ لَـهُمْ حِيْنَ أَبَوْا أنْ يَنْتَهُوا. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

Bermaksud : “Rasulullah saw melarang kita berpuasa secara wisal (sambung puasa). Salah seorang bertanya, “Sesungguhnya engkau ya Rasulullah?”, Lantas Nabi saw bersabda ; “Siapakah antara kalian sama sepertiku?, aku bermalam dengan diberi makan dan minum oleh Tuhanku”. Ketika para sahabat tidak mahu juga menghentikan berpuasa secara wisal, maka Baginda saw melakukan wisal bersama mereka sehari, lalu sehari lagi, kemudia mereka melihat hilal. Baginda saw lalu bersabda, “Seandainya hilal itu terlambat datang, pasti aku akan menambahi puasa wisal kepada mereka, kerana mereka tidak mahu berhenti dari puasa wisal tersebut”.

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Shaikhan (Imam al-Bukhari dan Muslim) melalui Abu Hurairah ra, Ibnu Umar ra, Saidatina A’isyah ra dan Anas ra.

Hadis di atas menunjukkan bahawa tidak dibenarkan berpuasa secara wisal, iaitu meninggalkan berbuka pada siang Ramadhan dan diikuti dengan malam harinya dengan sengaja.

Imam Muslim secara sendirian telah menukilkan hadis dari Abi Sa’id yang mengharuskan wisal  (فأيكم أراد أن يواصل فليواصل إلى السحر), pada pendapat mereka menahan dari berbuka sehingga sahur itu ialah wisal, sedangkan pada malam Ramadhan tiada niat berpuasa.

Hakikatnya, hadis yang ke-11 ini adalah amalan khusus untuk Nabi saw yang ingin diikuti oleh para sahabat ra. Dalam hal ini, ulama telah berselisih pendapat tentang hukumnya, adakah haram atau makruh sahaja.  Ada juga yang mengatakan harus.

Namun begitu, terdapat dalam kalangan para sahabat ra melaksanakan amalan tersebut. Diriwayatkan oleh Ibni Abi Syaibah dengan sandaran yang sahih bahawa Ibnu Zubair ra pernah melakukan wisal selama 15 hari. Kalaulah haram, pasti mereka tidak mengerjakannya.

Kesimpulannya, wisal itu amalan khusus bagi Nabi saw dan tidak pula diminta kepada ummatnya untuk melaksanakannya. Diberikan kelonggaran bagi mereka yang hendak berwisal sehingga waktu sahur sahaja. Namun, yang baiknya adalah ditinggalkan. Hukum berwisal sehingga sahur itu adalah harus bersandarkan hadis Imam Muslim yang disebutkan tadi. والله أعلم

No comments:

Post a Comment