Thursday, April 4, 2013

MENGUNDI : Perlukah Solat Istikhorah ?

Antara keindahan Islam ialah membimbing dan memimpin penganutnya menyusuri perjalanan hidup dengan sebaiknya. Berbekalkan cahaya keimanan dan suluhan ma’rifah, maka nabi s.a.w memberikan tunjuk ajar yang sepatutnya dilakukan apabila berada dalam situasi yang mendilemakan.

عَن جَابر بن عبد الله قَالَ : كَانَ رَسولُ الله صلّى الله عَليهِ وسلَّم يُعَلِّمُنَا الاسْتِخَارَةَ فِي الأمُورِ كُلِّها كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورةَ مِن القُرآنِ ، يَقولُ : إذَا هَمَّ أحَدُكُم بِالأمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِن غَيرِ الفَريْضَةِ ثُمَّ لِيَقُلْ : اللّهُمَ إنِّي أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِن فَضْلِكَ العَظِيمِ، فَإنَّكَ تَقْدِرُ وَلا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ، وَأنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ، اللّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنّ هَذَا الأمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِيْنِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أمْرِي، أوْ قَالَ : عَاجِلِ أمْرِي وَآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمّ بَارِكْ لِي فِيهِ، وَإنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنّ هَذَا الأمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِيْنِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أمْرِي، أو قال : عَاجِلِ أمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي، وَاصْرِفْنِي عَنْهُ، وَاقْدُرْ لِي الـخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أرْضِنِي بِهِ، قَال : وَيُسَمَّي حَاجَتَهُ.
(رواه الجماعة إلا مسلما) (نيل الأوطار : باب صلاة الاستخارة)
Huraian hadis :
(1) Dalam segala pekara (في الأمور كلها) : Menunjukkan bahawa semua perkara, kecil maupun besar, tanpa perlu memandang remeh terhadap perkara yang kecil lalu solat istikhorah ini diabaikan, meskipun hanya untuk memilih tali selipar sekalipun.

(2) Sebagaimana mengajar kami al-Quran (كما يعلمنا السورة من القرآن) : Menggambarkan bahawa ia adalah digalakkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya, tanpa ada pula yang mewajibkannya.

(3) Maka hendaklah ruku’ dua raka’at (فليركع ركعتين) : Maka disunatkan dua raka’at, bukannya satu raka’at. Oleh itu, tidak terhasil istikhorah dengan hanya berdoa selepas solat fardhu, atau sebaik sahaja selesai solat sunat selain solat sunat istikhorah. Berbeza jika semasa mendirikan solat fardhu itu beliau didatangi dengan suatu keadaan yang memerlukan pemilihan, lalu dipilih menerusi doa selepas solat tersebut, maka dikira sah menurut pendapat imam Nawawi dalam Azkarnya.

(4) Membuat pilihan dengan-Nya (أستخيرك) : Iaitu memohon bantuan Allah agar diberikan pilihan yang terbaik untuk dirinya dan agamanya.

(5) Maka jauhkan ia dariku dan aku darinya ( فاصرفه عني واصرفني عنه) : Iaitu memohon bantuan Allah agar diberikan perlindungan sepenuhnya. Kekadang perkara itu buruk untuknya, sedangkan hatinya masih terpaut menginginkan, maka itulah dipohonkan bantuan Allah menggerakkan perkara tersebut jauh darinya, sekaligus memadamkan pertautan hati daripada mengingatkan perkara tersebut. Di kala itu, maka dikira sempurnalah permohonan itu.

Sehubungan itu, persoalan yang mungkin ditimbulkan, adakah perlu kita melakukan solat istikhorah sebelum membuang undi sempena PRU-13 ini ?
Para ulama telah bersepakat bahawa solat istikhorah hanya dilakukan bagi hal-hal yang bersangkutan dengan perkara harus, iaitu bukan melibatkan perkara wajib ataupun haram.

Maka tidak dibenarkan bersolat istikhorah bagi memilih antara menunaikan solat Maghrib atau meninggalkannya. Wajib ditunaikan.

Bagaimana pula kedudukan membuang undi, adakah hukumnya wajib membuang undi ?

Bagi saya, hukum membuang undi terbahagi dua, iaitu :

(1) WAJIB membuang undi bagi menyatakan sokongan kepada parti yang memperjuangkan Islam dan mendaulahkannya.

(2) HARAM membuang undi jika undi itu sebagai memberi sokongan kepada parti yang melakukan kezaliman dan menghina kesucian Islam.

Selamat mengundi untuk semua.

 

Wednesday, April 3, 2013

BERSUJUD Dalam Solat

Saat-saat Indah Mengabdikan Diri Kepada Allah
Kali ini saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan pembaca mengenai salah satu daripada tiga jenis sujud yang sunat dilakukan apabila memenuhi syarat yang telah ditetapkan, iaitu sujud sahwi, sujud syukur dan sujud tilawah. Sujud yang saya ingin kupaskan di sini ialah sujud sahwi.
Sujud Lambang Ketaatan
Pada hakikatnya, sujud melambang taat setia kita selaku hamba yang tidak terdetik sedikitpun di hati mereka perasaan tidak berpuas hati, mengkritik, apatah lagi untuk menentang Allah S.W.T.
Matlamat Bersujud
Matlamat bersujud kepada Allah S.W.T adalah untuk melahirkan rasa kehinaan diri sebagai hamba, menghilang rasa ego dan takabbur. Ia sekaligus merupakan amalan yang paling bermakna untuk mendekatkan diri kepada Rabul Jalil. Jauh sekali untuk menjejaki laluan syaitan yang terkenal dengan perwatakan angkuh lagi sombong, sebagaimana yang dikisahkan di dalam al-Quran tentang kederhakaan mereka untuk sujud hormat kepada Adam a.s.
Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah (2:34) :
øŒÎ)ur $oYù=è% Ïps3Í´¯»n=uKù=Ï9 (#rßàfó$# tPyŠKy (#ÿrßyf|¡sù HwÎ) }§ŠÎ=ö/Î) 4n1r& uŽy9õ3tFó$#ur tb%x.ur z`ÏB šúï͍Ïÿ»s3ø9$# ÇÌÍÈ  
Maksudnya : dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis;  ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
Sujud Rukun Solat
Dalam Islam, amalan bersujud adalah diwajibkan ketika bersolat, bahkan merupakan salah satu daripada 13 rukun solat tersebut. Bagi sesiapa yan meninggalkannya, maka ibadat solatnya itu dikira terbatal dan wajib diulang kembali.
Anggota Sujud
Semasa sujud, sebanyak tujuh anggota perlu dihantarkan agar menyentuh tampat sujud tersebut, Anggota tersebut ialah : dahi, dua tapak tangan, dua kepala lutut, dan dua hujung jari kaki yang hendaklah dilipatkan sekadar termampu agar anggota tersebut terarah menuju ke kiblat.
Sabda Nabi s.a.w menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas, katanya :
قَالَ رَسُولُ اللهِ صلّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ : "أُمِرْتُ أنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أعْظُم : عَلى الـجَبْهَةِ – وَأشَارَ بِيَدِهِ إلَى أنْفِهِ – وَاليَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأطْرَافِ القَدَمَيْنِ". (مُتفّقٌ عَلَيهِ)
Maksudnya : “Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh tulang, iaitu di atas dahi – dan baginda s.a.w menunjuk dengan tangannya pada hidungnya -, dan dua tangan, dua lutut, dan hujung dua jari jemari kedua-dua kaki”.
Hikmah Bersujud
Demikianlah  agungnya ibadah sujud ini yang mampu meletakkan posisi terbaik bagi seorang hamba. Oleh itu, tidak mustahillah jika pengkaji moden menyatakan bahawa dengan amalan bersujud sahajalah oksigen boleh sampai ke setiap saluran darah di dalam otak kita agar ia dapat berfungsi secara normal dan sempurna.
Sekaligus, ini dapat membantu menajamkan akal fikiran, mampu mengelak seseorang daripada cepat terlupa atau nyanyuk. Ia juga dapat meringankan sakit pening kepala dan migrain lantaran oksigen tadi sentiasa disalurkan ke otak. Pada masa yang sama, sujud mampu meletakkan diri kita dalam posisi terbaik untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T dalam surah al-‘Alaq (96:19):
žxx. Ÿw çm÷èÏÜè? ôßÚó$#ur >ÎŽtIø%$#ur ) ÇÊÒÈ  
Maksudnya : Ingatlah! janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!
Jelas sekali dalam ayat ini, bahawa cara yang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T adalah menerusi bersujud kepada-Nya. Dengan bersujud, hati kita akan sentiasa hidup dan segar, dapat mengikis sifat sombong, angkuh, takabbur dan ria’.
Bahkan seluruh anggota kita berperanan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Logiknya, apabila seluruh anggota akur dan taat kepada Penciptanya, maka sudah semestinya anggota tersebut memperolehi limpahan hikmah dan faedah yang banyak.
Mengekalkan Kesihatan Fizikal
Antaranya, dapat melegakan sistem pernafasan dan meringankan ketegangan paru-paru. Kedudukan ketika bersujud adalah adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan bahagian belakang dan dapat meringankan tanggungan bahagian paha. Manakala pergerakan untuk bersujud dan bangkit daripada sujud pula dapat melegakan otot bahu, lengan dan betis.
Memudahkan Bersalin
Bagi wanita pula, posisi bersujud dapat membantu mengembalikan organ peranakan ke tempat asalnya, memudahkan bersalin, mengurangkan sakit senggugut di kala haid. Manakala pergerakan otot semasa sujud pula menjadikan kedudukan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan dapat menghindarkan daripada kanser payu dara.
Banyak lagi hikmah daripada bersujud yang sebahagian kita tidak menyedarinya. Sedangkan Allah S.W.T. tidak pernah menyuruh kita melakukan sesuatu itu dengan sia-sia.  Terselit di dalamnya pelbagai kelebihan, samada dari sudut kesihatan fizikal, lebih-lebih lagi dari sudut kesihatan dalaman (rohani).
Meskipun begitu, syaitan akan tetap berusaha dan bersusah payah untuk melekakan kita daripada terus bersujud dan mengingat-Nya. Kekadang berlakulah kealpaan dan kelalaian yang tidak disengajakan.
Sujud Sahwi
Rentetan itu, tidak hairanlah jika ada dalam kalangan kita yang terlupa bilangan  rakaat solat yang telah didirikan, samada dua atau tiga bagi solat Maghrib, tiga atau empat bagi solat Isyak. Termasuklah juga, terlupa untuk membaca tahiyat awal ataupun terlupa membaca qunut. Maka dari itu, Islam mensyariatkan sujud sahwi sebagai gantinya.
Sujud sahwi adalah sujud yang dilakukan apabila kita terlupa mengerjakan sunat ab’ad, seumpama tertinggal membaca tahiyat awal, ataupun tertinggal membaca qunut ketika solat Subuh. Maka solat kita itu adalah sah, namun disunatkan kita melakukan sujud sahwi sebagai ganti kepada amalan yang tertinggal tadi.
Sabda Nabi s.a menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al’Khudri r.a., katanya :
قَالَ رَسُولُ اللهِ صلّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ : "إذَا شَكَّ أحَدُكُمْ فِي صَلاتِهِ، فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى أثَلاثًا أمْ أرْبَعاً؟ فَلْيَطْرَحْ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ، ثُمَّ يَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أنْ يُسَلِّمَ، فَإنْ كَانَ صَلَّى خَمْسًا شَفَعْنَ لَه صَلاتَهُ، وَإن كَانَ صَلَّى تَمَامًا كَانَتَا تَرغِيمًا لِلشَّيْطَانِ". (رَوَاهُ مُسْلِمٌ)
Maksudnya : “Apabila salah seorang dari kalangan kita merasa ragu-ragu dalam solatnya, lalu dia tidak ingat lagi, berapa rakaatkah yang telah dia kerjakan, tiga atau empat, maka hendaklah dia membuang keraguan itu dan memantapkan pada apa yang dia yakini, kemudian bersujudlah dua kali sebelum salam. Dan apabila dia solat lima rakaat, maka sujud itu telah menggenapkan solatnya. Dan apabila dia telah melakukan solat dengan sempurna, maka kedua sujudnya itu sebagai penghinaan kepada syaitan”. (HR Muslim)
Keyakinan Mengatasi Keraguan
Berdasarkan hadis ini, jumhur ulama, termasuk imam Malik, imam Syafie dan imam Ahmad menyatakan bahawa setiap keraguan hendaklah ditolak dan dihilangkan dengan keyakinan. Antara dua rakaat atau tiga, maka tiga rakaat itu diragui, sedangkan dua rakaat itu kita yakini. Maka penyelesaiannya ialah mengambil dua rakaat dan meneruskan bilangan rakaat berikutnya sehingga sempurna solat, samada tiga rakaat bagi solat Manghrib, ataupun empat rakaat bagi solat Isyak. Hadis ini juga dijadikan asas utama dalam hukum Islam.  Maka, hukum solat orang tersebut adalah sah dan disunatkan sujud sahwi menurut mazhab kita al-syafie, dan wajib sujud sahwi bagi mazhab Hambali.
Meskipun ada sebahagain daripada para tabi’in yang menyebutkan bahawa solat iu adalah batal dan perlu diulang kembali sehingga benar-benar beliau yakin terhadap bilangan rakaatnya.
Mazhab al-Syafie
Menurut mazhab al-Syafie, sujud sahwi hendaklah dikerja sebelum daripada memberi salam. Ini berbeza daripada mazhab al-Maliki yang melihat apabila berlaku kekurangan maka sujud sahwinya dilakukan sebelum memberi salam, dan apabila terlebih, maka sujud sahwinya hendaklah dilakukan selepas daripada memberi salam.
Perselisihan ini berdasarkan hadis yang menyebut bahawa Nabi s.a.w pernah melakukan sujud sahwi sebelum daripada memberi slama. Pernah juga pada waktu yang lain, Nabi s.a.w melakukan sujud sahwi selepas daripada memberi salam.
Hikmah Sujud Sahwi
Hikmahnya agar kita sentiasa sedar diri bahawa kita sedang mendirikan solat dan berzikir kehadrat Ilahi. Namun, apakan daya, kekadang kita terlupa angkara gangguan syaitan yang bertalu-talu, bermula daripada kita berrtakburatul ihram sehinggalah kita memberi salam. Sepanjang kita bersolat itu, syaitan tanpa jemu menggoda dan menganggu kita sehinggalah kita terlalai dan terabai daripada mengingati perbuatan solat yang sedang dilakukan.
Seperkara lagi, bahawa terlupa itu juga adalah sebahagian daripada sifat asasi seorang manusia yang tidak dapat lari dari bersifat lemah dan lalai. Nabi s.a.w. sendiri, memaklumkan bahawa baginda s.a.w juga terlupa bilangan rakaat dan pada waktu yang lain pula baginda s.a.w. terlupa membaca tahiyat awal. Hikmahnya sebagai pengajaran kepada umatnya.
Kesimpulan
Ringkasnya, amalan bersujud mengajar kita untuk sentiasa menghampirkan diri kepada Pencipta kita. Ganjarannya ialah pahala yang besar di hari akhirat nanti. Dengan bersujud, seluruh anggota kita melakukan ketaatan dan kepatuhan atas segala arahan yang diberikan. Namun, apa yang lebih penting lagi semasa bersujud ialah ketaatan hati dan nafsu kepada Tuhan Pencipta Sekalian alam.