Friday, September 20, 2013

BASMALAH Mengajar Kita

Pengertian Basmalah
Basmalah adalah akronim daripada (بسم الله الرحمن الرحيم) dengan membawa terjemahannya sebagai “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”.
Para ulama telah bersepakat bahawa basmalah adalah merupakan janjian Allah S.W.T yang merangkumi kasih sayang, ganjaran dan anugerah Ilahi untuk sekalian hamba-Nya. Bahkan, terdapat sebahagian ulama meletakkan basmalah sebagai penyimpul segala syariat yang diturunkan, lantaran di dalamnya terkandung zat dan sifat Allah S.W.T secara beriringan.
Basmalah Pemula Tindakan
Para fuqaha’ juga bersepakat bahawa membaca basmalah adalah sunat bagi setiap amalan yang hendak dilakukan. Ini termasuklah ketika hendak makan, minum, menyembelih binatang, menaiki kenderaan, bersuci dan sebagainya.  Seumpama pesanan nabi s.a.w kepada Umar bin Abi Salamah dengan sabdanya:
"يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللهَ وكُلْ بِيَمِيْنِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيْكَ".(رواه البخاري)
Bermaksud : Wahai anak, sebutlah nama Allah S.W.T sebelum makan, makanlah dengan tangan kananmu dan ambillah makanan yang paling hampir denganmu”. (HR Imam Bukhari)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya ada memetik sebuah hadis memperihalkan bahawa amalan membaca basmalah ini boleh dijadikan penawar kepada kesakitan yang dialami. Ini sebagaimana yang pernah terjadi kepada Usman bin Abi al-‘Ass ketika beliau mengadu kepada nabi s.a.w mengenai kesakitan yang dihadapinya, lalu nabi s.a.w bersabda kepadanya :
"ضَعْ يَدَكَ عَلَى الذِّي تَأَلَّـمَ مِنْ جَسَدِكَ وَقُلْ بِسْمِ اللهِ ثَلاَثًا وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَعُوْذُ بِاللهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ".(رواه مسلم)
Bermaksud : “Letakkan tanganmu pada tempat yang sakit lalu bacalah basmalah tiga kali, dan bacalah tujuh kali aku berlindung dengan Allah S.W.T dan kekuatan-Nya daripada sebarang kecelakaan yang menimpa dan membimbangkan diriku”.(HR Imam Muslim)
Basmalah Dalam Solat
Para ulama berselisih pendapat mengenai hukum membaca basmalah ketika memulakan bacaan ketika bersolat. Mereka juga berselisih mengenai cara bacaannya, samada secara nyaring atau perlahan.
Isu ini sengaja saya ketengahkan agar dapat memberi sedikit pencerahan, khususnya bagi bakal-bakal haji dan umrah ke tanah suci lantaran kebanyakan imam-imam di sana membaca basmalah secara perlahan.
Perselisihan tersebut dapatlah dirumuskan dalam tiga kategori :
1) Imam Malik rhm melarang bacaan basmalah ketika solat fardhu, samada secara nyaring atau perlahan pada setiap kali memulakan bacaan al-Fatihah dan surah-surah lain. Sebaliknya beliau mengharuskan bacaan tersebut ketika solat sunat.
2) Manakala Imam Abu Hanifah, Sufian al-Thauri dan Imam Ahmad rhm membaca basmalah secara perlahan yang diikuti berikutnya surah al-Fatihah bagi setiap rakaat solat.
3) Sementara itu pula, Imam kita al-Syafie rhm meletakkan bacaan basmalah sebagai salah satu daripada ayat-ayat surah al-Fatihah. Mereka hendaklah menyaringkan bacaan basmalah tersebut pada rakaat yang dibaca nyaring, dan dibaca perlahan pada rakaat yang diperlahankan bacaannya.
Punca Perselisihan
Punca perselisihan tersebut adalah merujuk kepada dua keadaan. Pertama, berkaitan dengan amalan para sahabat mengenai bacaan basmalah. Kedua pula merujuk kepada persoalan adakah basmalah itu sebahagian daripada surah al-Fatihah.
Amalan Para Sahabat r.a
Terdapat dua hadis yang jelas menyebut bahawa amalan para sahabat r.a tidak membaca basmalah.
Hadis yang pertama ialah Hadis Ibnu Mughaffal menyebut : “Ayahku mendengar aku membaca basmalah (dalam solatku), lalu beliau menegurku dengan menyebut, Sesungguhnya aku bersolat bersama Nabi s.a.w dan Abu Bakar r.a serta Umar r.a padahal aku tidak pula mendengar mereka membaca basmalah”.
Hadis yang kedua ialah Hadis Anas ada menyebut : “Aku bersolat di belakang Abu Bakar r.a, Umar r.a dan juga Usman r.a, padahal mereka semua tidak membaca basmalah apabila memulakan solat”.
Sementara itu, Hadis Nu’iam bin Abdullah pula menyebut : “Aku bersolat di belakang Abu Hurairah r.a lalu beliau membaca basmalah sebelum Ummu al-Quran”.
Demikian juga Hadis Ibnu Abbas r.a yang menyebut : “Sesungguhnya Nabi s.a.w menyaringkan bacaan basmalah”. Begitu juga dengan Hadis Ummu Salamah yang menerangkan bahawa Nabi s.a.w ada membaca basmalah.
Pertembungan antara hadis-hadis tersebut membawa kepada perbezaan hukum membaca basmalah di dalam solat. Walau apapun pendapat yang dipegang, sudah pasti para ulama terlebih dahulu merujuk kepada kaedah tarjih (penarafan) terhadap hadis-hadis tersebut, di samping mengikut kaedah usul apabila berlaku pertembungan antara hadis-hadis yang diriwayatkan.
Adakah Basmalah Ayat al-Fatihah ?
Imam Malik rhm
Bagi Imam Malik rhm, basmalah bukanlah sebahagian daripada surah al-Fatihah. Ini kerana wujudnya perselisihan ulama mengenainya, sedangkan al-Quran itu jelas (qat’ie) dan tiada sebarang pertikaian. Dari itu, beliau memutuskan bahawa basmalah bukanlah salah satu daripada ayat surah al-Fatihah. Pendapat ini diperakukan oleh Ibnu Arabi.
Imam al-Qurtubi juga mempunyai pendapat yang sama apabila meletakkan basmalah sebagai ayat pemisah antara dua surah, dan bukannya ayat daripada surah tersebut. Beliau membawa sebuah hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat r.a.  :
"كُنَّا لاَ نَعْرِفُ انْقِضَاءَ السُّورَةَ حَتَّى تُنْزِلَ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ". (أخرجه أبو داود)
Bermaksud : “Sememangnya kami tidak dapat mengetahui sesuatu surah itu telah berakhir sehinggalah turunnya basmalah”. (HR Abu Daud)
Imam al-Syafie rhm
Berbeza pula dengan pendapat Imam kita al-Syafie rhm apabila beliau menyebut basmalah adalah salah satu daripada tujuh ayat surah al-Fatihah. Hadis Abu Hurairah r.a yang diriwayatkan oleh Imam al-Daraqutni secara jelas menyebut, “Apabila kamu membaca (الحمد لله رب العالمين), maka bacalah (بسم الله الرحمن الرحيم) kerana ia adalah Ummu al-Quran dan Ummu al-Kitab dan al-Sabu’ al-Mathani dan (بسم الله الرحمن الرحيم) merupakan salah satu daripada ayat-ayatnya”.
Abdullah bin al-Mubarak rhm
Sementara itu, Abdullah bin al-Mubarak rhm atau lebih dikenali sebagai Ibnu Mubarak pula meletakkan basmalah sebagai salah satu daripada ayat dalam setiap surah. Hujjah beliau bersandarkan Hadis Anas yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menyebut, “Suatu ketika kami bersama-sama Rasulullah s.a.w, tiba-tiba Baginda s.a.w mendongak ke atas sambil tersenyum, lalu kami bertanya apakah yang menyebabkan Baginda s.a.w tersenyum, lantas Nabi s.a.w bersabda, “Telah turun kepadaku sekejap tadi satu surah”, lalu Nabi s.a.w membaca surah tersebut dengan memulakannya dengan membaca basmalah”.
Justeru, bagi pendapat yang berpegang kepada basmalah adalah salah satu daripada ayat-ayat surah al-Fatihah, maka beliau mewajibkan membaca basmalah dalam solat sebagaimana wajibnya membaca surah al-Fatihah. Manakala pendapat yang tidak melihat basmalah sebagai sebahagian daripada al-Fatihah, maka tidaklah diwajibkan membacanya ketika bersolat.
Kesimpulan
Ringkasnya, meskipun perselisihan berlaku, namun para ulama masih berada pada landasan ijtihad yang betul. Inilah juga yang disebut bahawa perselisihan itu merupakan rahmat Allah S.W.T untuk hamba-Nya. Lantaran itu, tiadalah timbul sebarang pertelingkahan dan pertuduhan yang melulu terhadap aliran yang tidak membaca basmalah sebagai tidak sah solat mereka. Begitulah sebaliknya. Sedangkan antara kita, masing-masing mempunyai pendapat dan hujjah yang sama mengikut garisan ijtihad yang telah ditetapkan.
Demikianlah indahnya Islam yang sentiasa mengajak umatnya agar berpadu atas kesucian agama. Marilah kita yakini bahawa agama sahaja yang mampu memberi jaminan perpaduan dan kesejahteraan dalam kehidupan kita. Kehidupan beragama merupakan anugerah yang tidak terhingga dan berupa jaminan untuk menikmati kebahagian yang kekal abadi nanti.

Thursday, September 5, 2013

ANGKARA 20 Sen

“Saya tak nak jawab soalan bodoh yang dia utarakan. Dia memang bodoh budak ini.” Demikianlah ulasan spontan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai membidas cadangan yang diajukan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang mencadangkan agar menteri menggunakan duit sendiri untuk mengisi minyak. (malaysiakini.com, Sep. 3 2013)

Susahnya untuk mencari pemimpin yang bukan sahaja berjiwa rakyat, tetapi juga dapat merasa denyut keperitan rakyat serata. Bermula dari bangun pada awal pagi, membanting tulang dan memerah keringat demi sesuap rezeki, sehinggalah merehatkan diri di malam hari. Besoknya episod sama akan berulang kembali.

Susahnya untuk mencari pemimpin yang hidupnya dikorbankan untuk rakyat jelata, bukannya rakyat hidup berkorban untuk mereka. Setiap sen yang mereka perolehi diberikan kepada negara dengan harapan pemberian itu berbaloi. Sayangnya, sebahagian pemimpin merasakan bahawa pegorbanan mereka lebih hebat berbanding rakyat jelata, maka itu segala aktiviti kehidupan mereka ditanggung oleh negara. Termasuk tidur dan lelap serta tutur dan kata, semuanya dibayar oleh negara rentetan daripada sumbangan beliau sebagai pemimpin negara.

Demikianlah susahnya untuk mencari pemimpin yang sanggup ketawa dan menangis bersama rakyat. Hidup sebagaimana hidupnya rakyat yang dipaksa membayar segala bil dan hutang untuk melukut di tepi gantang.  

Lantaran itu, saya amat bersetuju agar menteri dan sesiapa sahaja yang berkorban untuk negara perlulah membayar sendiri harga pengorbanannya agar lebih memahami situasi tersebut.

Seandainya kehidupan mereka ditanggung segala, bermula dari sarapan pagi sehingga makan dinihari, bermula daripada bil api dan air, semuanya juga ditanggung, maka soalan ‘bodoh’ kita utarakan, bilakah masa mereka hendak menikmani duit gaji dan elaun yang mereka perolehi ?

Kita paham bahawa tugas seorang pemimpin adalah besar dan perlu banyak kemudahan. Namun, jika balasan kemudahan yang diperolehi itu bayarannya adalah sebuah kesengsaraan, maka ini adalah suatu kepincangan yang tiada bernoktah.

Dari itu, mereka tidak kisah dengan kenaikan harga ayam, dengan meningkatnya harga minyak serta kos perumahan yang melambung-lambung dek kerana mereka perolehi semuanya secara percuma yang dibayar atas nama rakyat.

Justeru, amat malang sekali andainya ketawa riang seorang pemimpin itu disambut dengan esak tangis rakyat melata. Apa mereka peduli tentang rakyat, asalkan tidur bangun mereka melimpah ruah dengan kemewahan.

Dalam Sinar Harian hari ini pula, Tun Dr Mahathir Mohamed menggesa kerajaan agar jangan terlalu boros bagi mengimbangi kedudukan kewangan negara. Ini merupakan gesaan yang baik dari seorang yang berpengalaman dalam menangani isu ekonomi negara.

Alangkah bagusnya juga jika Tun tidak lupa untuk menasihatkan diri sendiri. Jika tiada kelompok elit dan kapitalis seumpama mereka yang meratah khazanah negara, berselindung di sebalik pembangunan, sudah pasti pendapatan negara akan bertambah ruah. Kebanyakan aset negara adalah milik kapitalis Melayu yang beraja di mata bersultan di hati. Apabila negara berdepan dengan kemelut ekonomi, maka rakyat turut dilibatkan. Sebaliknya apabila memperolehi pulangan yang berlipat ganda, katanya ini adalah hasil usaha mereka dan tidak boleh untuk dikongsi bersama.

Kapitalis Melayu masih wujud dan akan terus wujud. Kapitalis ini akan bertambah parah apabila menjadikan pangkat dan politik sebagai batu loncatan demi kelangsungan dan kepuasan materialistik mereka. Lihat sahaja dengan bercambahnya laluan bertol yang mampu memungut jutaan ringgit daripada rakyat selaku pengguna marhaen. Bayaran tanpa berkesudahan, sekali sekala diberi diskaun sebagai penjinak agar terubat luka di dada, padahal untungnya sahaja sudah berganda-ganda. Siapa yang mengaut keuntungan itu, jika bukan puak kapitalis ?

Kumpulan kapitalis ini bersuara kembali rentetan daripada kenaikan harga minyak. Kata Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kenaikan tersebut demi kedudukan kewangan negara.

Masing-masing ingin berwatak baik sebagai mengendur ketegangan rakyat. Datin Seri Rosmah Mansor telah menyumbang RM515,000 kepada Tabung Hari Pahlawan 2013.

Bahkan ada pula yang bertindak sebagai pembela. Oleh itu, kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan berikutan kenaikan harga bahan api untuk menunjukkan bahawa ia serius dalam mengurangkan defisit fiskal. Demikianlah cadangan yang diutarakan oleh Khairy Jamaluddin.

Kita akan lihat apa tindakan yang bakal diambil oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan apabila pemaju akan meningkatkan harga rumah sehingga 10 peratus. Jika sebelum ini jawapan beliau bahawa ianya bukan di bawah kemampuan kita, kerana kita hanya mengawal rumah yang berkos rendah sahaja.

Kita juga akan turut mendengar jalan penyelesaian oleh Tan Sri Syed Hamid Albar selaku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam apabila bas hendak menaikkan tambang. Katanya (nanti) kita akan berbincang dengan para pengusaha bas agar tidak membebankan pengguna. Sebaik sahaja selesai berbincang, keputusannya ialah kita tidak mahu syarikat bas menanggung kerugian rentetan daripada kenaikan harga bahan api.

Deretan contoh kapitalis Melayu ini tidaklah sangat berjuang untuk meringankan bebanan rakyat. Mereka lebih suka membela kelompok sekapitalis dengan mereka. Akhirnya, rakyat terpedaya, dibuai sebelum terlena, untuk diabaikan sebaik sahaja tertidur.

Demikianlah hebatnya kuasa kapitalis. 20 sen punya cerita mampu menggegarkan bandar dan desa.