BOLEH MENCIUM ISTERI BAGI YANG BERPUASA
13-وَعَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهَا قَالَتْ: "كَانَ النَّبِيُّ صلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ، وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ، وَلكِنَّهُ كَانَ أمْلَكَكُمْ لإرْبِهِ". مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.
وَاللَّفْظُ لِمُسْلِمٌ، وَزَادَ فِي رِوَايَةٍ "فِي رَمَضَانَ".
Bermaksud : “Nabi saw pernah mencium (isterinya) dalam keadaan sedang berpuasa. Baginda saw juga pernah menggauli (bukan bersetubuh) isterinya padahal Baginda saw sedang berpuasa. Tetapi Baginda saw adalah orang yang paling mampu menahan nafsunya di antara kalian”.
Dalam riwayat Imam Muslim, tambahannya : ‘Dalam bulan Ramadhan”.
Dalam hal ini, para ulama fiqh memberi ingat kepada kita yang ingin mencium isteri agar tidak beranggapan bahawa kita ini setahap dengan nabi saw. Meskipun harus, namun nabi saw adalah orang yang paling mampu mengawal nafsunya. Bersalahan pula dengan kita. Dibimbangi, aktiviti itu akan mendorong kepada gelora syahwat yang sukar untuk dikawal yang akan membawa kepada adegan keberikutnya.
Justeru itu, maka hadis ini telah menarik perbincangan dalam kalangan ulama fiqh :
1) Mazhab Maliki – hukumnya adalah makruh selain nabi saw (kata Imam Qurtubi).
2) Hukumnya haram berdalilkan ayat al-Quran, surah al-Baqarah (187) : فالآن باشروهن yang melarang menggauli isteri pada siang Ramadhan. Tetapi, ayat ini bermaksud berjima’, sedangkan hadis perbuatan nabi saw itu bukannya berjima’.
3) Ada pula yang membezakan antara makruh dan harus; harus untuk orang tua, dan makruh bagi orang muda. Ini bersumberkan hadis yang ditakhrijkan oleh Abu Daud dari Ibni Abbas ra :
(أنه أتاه صلى الله عليه وسلم رجل فسأله عن المباشرة للصائم فرخص له، وأتاه آخر فسأله فنهاه، فإذا الذي رخص له شيخ والذي نهاه شاب)
4) Mazhab kita (al-Syafie) pula meletakkan harus bagi yang mampu mengawal nafsunya, tanpa membezakan antara orang tua dan orang muda. Ini diperkuatkan lagi dengan hadis yang ditakhrijkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud dari Saidina Umar ra. :
(قال : هششت يوما فقبلت وأنا صائم، فأتيت النبي صلى الله عليه وسلم فقلت : صنعت اليوم أمرا عظيما فقبلت وأنا صائم، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : "أرأيت لو تمضمضت بماء وأنت صائم"؟، قلت : لا بأس بذلك، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم " ففيم"؟. (هششت : ارتحت وخففت)
Lihatlah, betapa jujurnya para sahabat ra untuk mendatangi nabi saw jika ada sebarang kemusykilan yang tertimpa ke atas diri mereka. Padahal, mereka belum pasti akan hukum yang bakal disebut oleh nabi saw, samada mengenai mereka ataupun mereka terlepas.
Ya Allah, jinakkanlah nafsu kami ini, hanya Engkau sahaja ya Allah mampu menjinakkan nafsu ini.
No comments:
Post a Comment