Wednesday, August 29, 2012

Berdolak dan Berdailog untuk Menolak

Jika dikata orang, kita berpendirian tidak tetap dan selalu cakap berbelit-belit, kita marah lagi murih. Padahal hakikatnya kita memiliki perwatakan sedemikian dalam menangani sesuatu isu, khususnya isu yang ada kaitan dengan idea yang kita anuti.

Hari ini Berita Harian (Rabu, 29 Ogos 2012) di halaman 5, memetik kata-kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai berkata, “Hukum hudud yang mahu dilaksanakan parti pembangkang itu mirip kepada hukuman yang lebih berat dan tiada dalam al-Quran”.

Katanya lagi, “Saya tidak boleh sokong, itu tidak kena dengan Islam. Kalau sesuatu itu tidak adil, dia tidak Islam”.

Dalam situasi lain, Tun ada menulis dalam blognya yang disiarkan oleh Sinar Harian (29/8/12) berbunyi, “Better the devil you know than the angel you don’t”, yang bermaksud, ‘lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang anda tidak kenali’.

Hebatnya orang kita. Tersangat hebat. Seingat saya, usia saya pandai membaca sehingga kini, isu hudud masih diperdebatkan tanpa ada tanda-tanda yang ianya akan berakhir. Yang menghairankan, hanya isu hudud yang didebatkan, isu qisas, ta’zir tidak pula diberi perhatian.

Menghangatkan lagi isu ini, anak sepilai dalam parti pemerintah mengutus surat rasmi kepada YAB Menteri Besar Kelantan untuk berdailog mengenai hudud. Seandainya dialog seumpama ini diteruskan, maka tak ubah bagaikan kuda berlumba lari dengan buaya.

Tun berhujjah menggunakan aqalnya. Baginya, sesuatu itu akan menjadi adil jika ianya selaras dengan aqal. Seorang peng-adil (pengadil) akan dikira berlaku adil jika beliau mengadili sesuatu perlawanan secara adil.

Ingin saya katakan, selagi mana kita manusia, maka selagi itulah kita tidak mampu berlaku seadil-adilnya dengan hanya bersandarkan kepada aqal kita. Betapa ramai pemain, penonton dan penyokong bola merungut sebaik sahaja sesuatu permainan itu berakhir. Mereka merungut kerana pasukan mereka tewas. Jika menang, mereka akan kata, “sebaik-baik pengadil ialah pengadil tadi”.

Demikianlah manusia. Baginya adil jika dirinya ada keuntungan. Dan tidak adil jika dirinya ditimpa kerugian.

Masihkah kita ingat bagaimana Allahyarham P Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang menyindir kita... kata Sudin kepada Aziz, “Ini tidak adil, kamu punya tinggi-tinggi, sedangkan aku punya rendah-rendah”. Angkara tamak haloba telah menguasai diri, walhal, ianya sama banyak. 

Lihatlah firman Allah swt yang jelas menunjukkan ketidakmampuan kita untuk berlaku adil antara isteri-isteri yang kita nikahi, namun janganlah pula terlalu cenderung kepada si A dan membiarkan si B tergantung-gantung tidak bertali :
(ولن تستطيعوا أن تعدلوا بين النساء ولو حرصتم، فلا تميلوا كل الميل فتذروها كالمعلقة ...) النساء : 129

Oleh itu, pemutus kata bagi menentukan nilai sebenar keadilan itu hanya Allah swt, bukannya diri kita yang bergelar manusia.

Kalau ikut selera kita, hukuman ke atas pencuri dengan memotong tangan, penzina pula disebat atau direjam, maka sudah pasti kita akan merungut dan berkata ianya hukuman ala kezaliman. Itu bagi kita. Namun bagi Allah swt. itulah keadilan yang sebenarnya.

Dari itu, berdebat dan berdailog yang diwarwarkan adalah pada hakikat sebenarnya adalah untuk menolak.

Pada zaman nabi saw, orang-orang Yahudi menanti-nanti seorang nabi yang akan muncul dari kalangan mereka untuk diikuti dan diketuakannya. Bagi mereka, nabi yang akan muncul itulah yang akan membela dan menyelamatkan mereka.

Bilamana diutuskan Allah swt seorang nabi lagi rasul, berkebetulan pula bukannya dari jujukan keturunan mereka, lantas mereka bangkit melawan dan menentang, hinggakan Allah swt menasihati mereka agar janganlah tergolong dalam golongan orang-orang yang pertama sekali menentang nabi saw, padahal kamu membaca kitab-kitab.

Tuan-tuan,
Semua kita membaca perangai dan tabiat orang-orang Yahudi ini. Katanya, mereka akan menjadikan para nabi as sebagai panduan dan penunjuk jalan bagi mereka. Hujjah mereka hanya satu, kenapalah nabi Muhammad ini bukan dari bangsa mereka, jika beliau dari bangsa Yahudi, maka pasti kami akan mengikutnya dan akur dengan perintah arahannya. Sedarkah kita, bahawa nabi Musa as yang diutuskan kepada mereka, apakah yang mereka lakukan kepada nabi Musa as? Apakah yang mereka lakukan kepada nabi Zakriyya as ? Dan banyak lagi nabi-nabi lain dari keturunan Bani Israel ini ?

Dari itu, jelaslah hakikatnya mereka tidak mahu mengikut arahan dan suruhan Allah swt yang dibawa oleh para nabi as, samada nabi-nabi itu dari kalangan mereka ataupun sebaliknya,  tetapi tetap berdolak-dalik pula dengan isu yang tiada kaitan, namun dikaitkan juga. Ini bagaikan seorang pemain yang tewas, lalu disalahkan raketnya atau kakinya ataupun juga netnya dan terkadang pengadilnya atau sebagainya. Walhal dirinya sendiri yang tidak ‘perform’ untuk kejuaraan tersebut.

Oleh itu, ingin saya katakan bahawa isu yang dibahaskan ini tidak akan berakhir, meskipun berakhirnya tali hayat orang itu, pasti akan ada talian baru, mungkin tanpa wayar, agar ianya terus dicanggah dan dicakah.

Kumpulan ini sebenarnya tidak akan menerima hukum hudud ini, walaupun ianya dicadang oleh salah seorang dari ahli kumpulan mereka, apatah lagi jika ianya datang dari puak pembangkang.

Mana mungkin, seorang pencuri akan ‘menangkap’ polis untuk diminta penjarakan dirinya? Ataupun mana mungkin seekor biawak akan melahirkan seekor anak helang yang akan membesar untuk memakan diri ibunya ?

Rentetan itulah, maka berkawan dengan pencuri yang kita kenali adalah lebih baik daripada bertemankan seorang pegawai keselamatan yang tidak kita kenali. Atau dengan kata lain, memakan nasi basi dari dapur sendiri adalah lebih baik daripada memakan nasi dari sedekahan orang yang tidak kita ketahui.

Hal seumpama ini, tidak lain hanyalah akan melahirkan susur galur ‘warih warah’ ala kebiawakan yang sekaligus sebagai penghalang kepada terlaksananya keadilan sejagat untuk semua.


No comments:

Post a Comment