Wednesday, August 8, 2012

SEHARI SEHADIS (Hadis Ke-19)

MAKAN MINUM ORANG LUPA TIDAK BATAL PUASA

19- وَعَنْ أبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ، فَأكَلَ أوْ شَرِبَ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإنَّمَا أطْعَمَهُ اللهُ وَسَقَاهُ". مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .
وَلِلْحَاكِمِ : "مَنْ أفْطَرَ فِي رَمَضَانَ نَاسِياً فَلا قَضَاءَ عَلَيْهِ وَلا كَفَّارَةَ"، وَهُوَ صَحِيْحٌ.

Bermaksud : “Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia termakan atau terminum, maka hendaklah dia menyempurnakan ibadah puasanya, kerana sesungguhnya Allah telah memberinya makan dan minum”.

Dalam riwayat al-Hakim menyebut : “Sesiapa yang berbuka pada bulan Ramadhan kerana terlupa, maka tidaklah wajib ke atasnya menqada’kan atau membayar denda”.

Hadis di atas adalah hadis sahih.

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa sekiranya kita melakukan sesuatu yang boleh membatalkan puasa, seumpama makan, minum hatta berjima’ sekalipun, dalam keadaan kita lupa bahawa kita sedang berpuasa, maka sesungguhnya tidaklah batal puasa tersebut, dan tidak pula dikenakan qada’ ataupun kaffarah (denda).

Terdapat sesetengah ulama mengatakan bahawa puasanya terbatal. Hujjah mereka, jika tertinggal rukun solat atau terlupa, maka dikehendaki mengulangi solat tersebut. Lantaran itu, mereka menyamakan solat dengan ibadah puasa, justeru ianya juga terbatal.

Namun, hadis di atas menyebut (tiada qada’ dan tiada kaffarah) adalah jelas. Maka, perbandingan hukum puasa dengan hukum solat adalah silap.

Ada dua nas yang mengukuhkan situasi ini :
وقد أخرج أحمد عن مولاة لبعض الصحبيات : " أنها كانت عند النبي صلى الله عليه وسلم فأتى بقصعة من ثريد فأكلت منها، ثم تذكرت أنها كانت صائمة، فقال لها ذو اليدين : الآن بعد ما شبعت، فقال لها النبي صلى الله عليه وسلم : "أتمي صومك، فإنما هو رزق ساقه الله إليك".

Menunjukkan bahawa puasanya tidak terbatal, apabila nabi saw menyuruh perempuan itu meneruskan puasanya, lantaran Allah telah memberikan kepadanya rezeki untuknya makan.

Satu lagi yang diriwayatkan oleh Abdul Razak :
وروى عبد الرزاق : "أن إنسانا جاء إلى أبي هريرة فقال له : أصبحت صائما وطعمت، فقال : لا بأس، قال : ثم دخلت على إنسان فنسيت فطعمت، قال أبو هريرة : أنت إنسان لم تتعود الصيام".

Ini juga menjelaskan bahawa Abu Hurairah mengatakan tidak mengapa jika sekiranya kamu termakan padahal kamu berpuasa, cuma kamu belum membiasakan diri untuk berpuasa.


No comments:

Post a Comment