(1) Sabarnya Baginda saw. –
Ketika menghadapi tekanan, seksaan, kejian, perolokan, sindiran, penghinaan yang tak henti-henti pada awal sesi dakwah Baginda saw. Dalam peperangan Uhud, Baginda saw dibaling dengan batu lalu terkena muka Baginda yang mulia, lalu terjatuh dan patah gigi Baginda saw. Baginda masih lagi bersabar dan terus menyusun barisan tentera meskipun ramai tentera Islam gugur .syahid pada masa itu, termasuklah Saidina Hamzah ra.
Suatu hari Abu Hurairah mengunjungi Baginda saw sedangkan Baginda sedang bersembahyang dalam keadaan duduk. Lalu Abu Hurairah bertanya hal tersebut, maka Baginda menjawab ringkas : Lapar. Lalu Abu Hurairah menangis. Baginda menenangkan Abu Hurairah dengan sabdanya : Wahai Abu Hurairah! Janganlah menangis kerana kesengsaraan di akhirat nanti akan melupakan kita kepada lapar.
(2) Pengasihnya Baginda saw.-
Semasa pembukaan kota Mekah seperti yang diceritakan oleh Saidina Umar terhadap pembesar-pembesar Quraisy (Sofwan ibnu Umayyah, Sofian ibnu Harb dan Haris ibnu Hisyam), kata Saidina Umar kepada mereka : Sekarang kamu akan tahu apa yang akan dilakukan oleh Rasulullah terhadap kamu. Namun Rasulullah bertindak lain apa yang diduga oleh Saidina Umar, sabda Baginda : Kita serupa sebagaimana kata nabi Yusuf as kepada saudara-saudaranya : Tiada lagi penghinaan terhadap kamu.
(3) Lembutnya Perwatakanmu Ya Rasulullah saw.-
Diceritakan oleh Anas ra, suatu hari Baginda saw didatangi oleh seorang badwi, kasar tingkah lakunya, lalu menarik kain di leher Baginda saw sehingga terdapat kesan helaannya itu sambil berkata : Berikan aku harta Allah yang kamu miliki itu. Lalu Baginda saw berpaling sambil tersenyum lantas bersabda : Berikan kepadanya harta tersebut.
(4) Indahnya gurauanmu Ya Khaira Khalqillah -
Diceritakan oleh Hasan ra bahawa suatu hari Baginda saw telah didatangi oleh seorang perempuan tua yang meminta Rasulullah agar mendoakannya masuk syurga, lalu Baginda bersabda : Orang tua tidak boleh memasuki syurga. Bila mendengar hal demikkian, maka perempuan tua itu terus menangis. Baginda saw bersabda : Sebenarnya dia tidak boleh masuk dalam keadaan dia sebagai orang tua. Lalu Baginda saw membaca surah al-Waqiah ayat (35).
(5) Hikmahnya Rasul kita saw.-
Diriwayatkan oleh Ibnu Ishak : Suatu ketika Utbah ibn Amir, Syaibah ibn Rabia’, Abu Sufian ibn Harb dan lain-lain lagi termasuk Abu Jahal Berhimpun selepas Maghrib di tepi Ka’abah, lalu salah seorang mereka diminta memanggil Baginda saw ada hal penting untuk dibicarakan. Maka segeralah Baginda saw mendatangi mereka setelah dijemput. Sebaik sahaja Baginda tiba lalu mereka berkata : Wahai Muhammad! Kami tidak pernah lagi bertemu dengan orang yang datang dari kaumnya tetapi mengutuk nenek moyangnya, menghina agama kaumnya, mengata-ngata tentang tuhan kaumnya sehingga membawa kepada perpecahan. Adakah kamu berbuat demikian kerana kamu inginkan sebarang harta, kami akan himpunkan bagi kamu, atau kamu ingin menjadi ketua, kami akan melantik kamu, atau kamu dibebani dengan penyakit, kami berubat untuk kamu.
Bila mereka selesai, Baginda saw pun berkata : Apa hal kamu berkata itu dan ini, aku berbuat ini bukannya untuk mencari harta, bukannya untuk menjadi ketua, aku diutuskan Allah sebagai Rasul, dibekalkan aku sebuah Kitab, menyuruhku agar memberi khabar gembira dan ancaman kepada kamu. Jika kamu mendengar dan menerimanya, maka itu adalah keuntungan bagi kamu di akhirat kelak. Namun jika kamu menolaknya, maka aku tetap bersabar sehinggalah Allah memutuskan hukuman-Nya antara kita.
Lalu mereka membalas bahawa kami tidak akan menerimanya sehinggalah kamu memohon kepada Tuhan kamu agar memberikan kepada kami aliran air yang banyak, rumah yang bertatahkan permata dan hidupkan kembali datuk kami yang telah mati (Qusai ibn Kilab) agar dapat kami bertanyakannya : Sejauh manakah benarnya kata-kata kamu itu. Baginda menjawab : Kedatangan aku bukannya untuk semua hal itu, aku pula tidak diutuskan Allah untuk menunjukkan kepada kamu perkara tersebut dan bukan pula masanya untuk aku memohon kepada Tuhanku apa permintaan kamu tadi, aku hanya seorang Rasul, tidak lebih dari itu.
Tanggungjawab Kita Terhadap Rasulullah saw.-
- Menyayangi Baginda saw melebihi diri sendiri, anak isteri, atau apa sahaja yang kita miliki.
- Mengikuti peribadi dan akhlak terpuji Baginda saw.
- Menjauhkan sama sekali dari melakukan sebarang bentuk penghinaan dan cercaan.
- Berselawat dan memberi salam buat junjungan saw.
No comments:
Post a Comment