Saya bukannya suka sangat menegur alim ulama’, apatah lagi mengkritik mereka lantaran ilmu yang dimiliki dan anugerah Allah swt kepada dirinya dengan diangkat beberapa darjat.
Namun kerana diminta oleh sahabat untuk saya memberi sedikit kupasan tentang zikir yang sering dialun-alunkan, cukup enak didengar, nyaman sekali rasanya jiwa dan mampu menghidupkan daya iman dalam diri kita. Kalau nak dibandingkan dengan lagu yang terkadang memekak, membingitkan telinga, langsung tiada nilai-nilai iman maupun taqwa dalam liriknya, sementelah pula dilagukan oleh mereka yang terkoyak baju skirtnya sana sini. Zikir yang dimaksudkan itu :
إلهي لست للفردوس أهلا * ولا أقوى على نار الجحيم
فهب لي توبة واغفر ذنوبي * فإنك غافر الذنب العظيم
Terjemahannya :
Tuhanku, aku tidak layak ke syurga Mu *
Namun aku tidak terdaya pula ke neraka Mu
Terimakanlah taubatku dan ampunkanlah dosa-dosaku *
Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dosa-dosa besar.
Kupasan saya dalam beberapa point di bawah :
1) Kita bersangka baik kepada penggubah zikir ini dengan meletakkan dirinya berada pada tahap kecintaan yang sejati kepada Allah swt lantas itu beliau menyusun kata-kata dengan penuh sopan dan malu-malu untuk menyatakan hasrat di hati yang terpendam. Masakan tidak, dosa-dosa yang begitu banyak tidak memungkinkan beliau untuk ke syurga Allah, apatah lagi syurga tertinggi iaitu Firdaus. Benar Rasulullah saw ada bersabda :
روى البخاري (2790) عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :( إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ، فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّةِ أُرَاهُ فَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ ، وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ )
قال الحافظ :
" يَدُلُّ هَذَا عَلَى أَنَّ الْفِرْدَوْسَ فَوْقَ جَمِيعِ الْجِنَانِ , وَلِذَا قَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - تَعْلِيمًا لِلْأُمَّةِ وَتَعْظِيمًا لِلْهِمَّةِ- : ( فَإِذَا سَأَلْتُمْ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ ) " انتهى .
قال الحافظ :
" يَدُلُّ هَذَا عَلَى أَنَّ الْفِرْدَوْسَ فَوْقَ جَمِيعِ الْجِنَانِ , وَلِذَا قَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - تَعْلِيمًا لِلْأُمَّةِ وَتَعْظِيمًا لِلْهِمَّةِ- : ( فَإِذَا سَأَلْتُمْ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ ) " انتهى .
2) Penggubah zikir itu tidak sekali-kali menafikan bahawa beliau menolak syurga Allah. Ini dapat difahami berdasarkan laras bahasa yang digunakan. Saya bagi satu contoh, anda telah diundang ke istana negara atas penganugerahan jasa yang telah anda tunaikan. Setibanya anda di sana, anda telah diraikan dengan maha hebat sekali. Dengan kemurahan hati raja, anda telah dilantik menjadi penasihat diraja dan diberi pula kedudukan yang tinggi serta tanah berhektar-hektar. Walhal jasa yang anda tunaikan tidaklah seberapa sangat. Anugerah itu merujuk kepada baiknya jasa hati raja tersebut. Ketika itu, anda dengan penuh sopan berkata : Tuanku, sebenarnya saya tidak layak menerima anugerah yang begini besar daripada Tuanku. Fahamlah saudara, bahawa kata-katanya itu bukanlah bermaksud beliau menolak pemberian diraja itu. Masakan tidak, kerana pemberian itu bisa mengubah hidupnya secara total.
3) Kita masih bersangka baik kepada penyair tersebut. Kata-katanya tidaklah seteruk kata-kat seorang sufi al-Junid berkenaan ‘tajalli’ Allah di dalam dirinya. Lihatlah, apa kata as-Syahid Imam Hasan al-Banna, katanya : kata-kata itu tidak sepatut diungkapkan, tetapi hatinya kita serahkan kepada Allah Yang Maha Mengetahui hal sebenarnya.
4) Penyair itu juga tidaklah terikut dengan fahaman Mu’tazilah yang meletakkan seorang yang melakukan dosa dan pahala pada masa yang sama akan berada di akhirat kelak ‘manzilah baina manzilatain’ (satu tempat antara dua tempat iaitu antara syurga dan neraka).
5) Seandainya kita tercuit hati untuk mengesyak wasangkakan penyair ini, marilah kita ungkapkan doa baginya sepertimana yang difirmankan Allah dalam surah al-Hasyr, ayat (10) :
قَالَ تعالى : "والذين جاءو من بعدهم يقولون ربنا اغفر لنا ولإخواننا الذين سبقونا بالأيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين آمنوا ربنا إنك رؤوف رحيم".
Dari itu, sedikit teguran untuk penceramah tersebut agar tidak menggunakan perkataan yang kurang sedap didengar (katanya, apa ni, mengarut) dalam loghat Kedah. Elok rasanya kalau tidak terlampau menyalahkan penyair itu. Beliau sendiripun tidaklah mendatangkan hujjah-hujjah yang tuntas untuk menolak ‘kesesatan’ jika ada pada zikir ini. Kita perlu ingat bahawa syurga dan neraka adalah milik mutlak Allah swt, kita sebagai hamba hanya mampu berusaha sepertimana yang diinginkan Allah. Jika ke neraka atau ke syurga, setitik air liur pun tak mampu kita untuk bersuara dimahkamah Rabbul Jalil. Kita berteguh aqidah keyakinan dan tekad bahawa Allah swt Maha pengampun dan Maha Penunai janji-janji-Nya untuk menghadiahkan syurga untuk hamba-hambaNya yang soleh.
Pesan saya kepada penceramah tersebut, pertingkatkan laras bahasa Arab kerana itu sahaja kunci bagi memahami isi kandungan al-Quran. Kalau kail panjang sejangkal, jangan lautan hendak diduga. Kalau modal hanya sekelumit jangan kita berbelanja mewah. Ingat-ingat orang sekeliling, mereka juga ada kelebihan dan kelayakan. Semoga kita diberi pentunjuk oleh Allah swt jua harapnya.
No comments:
Post a Comment