Pendahuluan
Kiblat merujuk arah terpendek ke Kaabah yang menjadi titik arah solat bagi orang Islam. Semasa mengerjakan solat dalam Kaabah, seseorang Muslim menghadap ke arah dinding keluar semasa solat, jika berada di luar Kaabah pula, mereka boleh menghadap mana-mana arah kerana pusingan Kaabah itu 360 darjah. Pada mulanya, kiblat mengarah ke Baitulmuqaddis, namun pada tahun 624M diubah ke Kaabah dan kekal sehingga kini.
Sejarah Pembinaan Kaabah
Sejarah ibadat haji di Tanah Suci Makkah bermula ketika Nabi Allah Adam as setelah Allah memerintahkan baginda mendirikan sebuah binaan seakan-akan sama dengan Baitul Makmur di langit.Binaan empat segi ini kemudian diberi nama Kaabah yakni ‘Rumah Allah’.
Sebaik saja semua urusan pembinaannya selesai, Allah memerintahkan Nabi Adam serta keluarganya mengerjakan ibadat tawaf di situ seperti yang dikerjakan oleh malaikat di Baitul Makmur. Baitullah, selain daripada menjadi tempat beribadat umat manusia dan jin, turut menjadi tempat tawaf semua malaikat yang ditugaskan di muka bumi ini.
Keistimewaan Baitullah ialah kedudukannya yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di langit. Menurut riwayat Ibnu Abbas, Rasulullah menyebut Makkah dipilih sebagai tempat binaan Kaabah kerana kedudukannya yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di alam malaikat.
Baitul Makmur adalah tempat khas yang diciptakan Allah khusus untuk malaikat melakukan tawaf menggantikan tempat yang asal iaitu di Arasy. Ini kerana Arasy kawasannya amat luas dan sekiranya melakukan tawaf ia mungkin menjangkau waktu hingga ke hari kiamat.
Selepas Nabi Allah Adam wafat, binaan Kaabah beransur-ansur reput. Seterusnya, Allah memerintahkan salah seorang daripada putera Adam iaitu Syith untuk membina semula Kaabah di tempat sama.
Namun, banjir besar yang melanda pada zaman Nabi Nuh, turut meruntuhkan binaan Kaabah sehinggalah Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina kembali Kaabah. Selepas menyempurnakan binaan itu, Nabi Ibrahim dan keluarganya diperintahkan pula mengerjakan ibadat tawaf mengelilingi Kaabah sebagai sebahagian daripada ibadat haji.
Sandaran Nas
Firman Allah SWT (Al-Imran : 96) yang bermaksud :
Ertinya : “Sesungguhnya Rumah Ibadat Yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah Yang di Makkah Yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.
Penentuan Arah Kiblat
Penentuan arah kiblat pada awal Islam tidak menimbulkan masalah kerana Rasulullah saw ada bersama-sama sahabat dan baginda sendiri yang menunjukkan arah ke kiblat apabila berada di luar Kota Makkah.
Walau bagaimanapun apabila para sahabat mula mengembara untuk mengembangkan Islam, kaedah menentukan arah kiblat menjadi semakin rumit. Kiblat berdasarkan ijtihad para sahabat Rasulullah s.a.w. lebih dikenali sebagai kiblah al-sahabah. Mereka merujuk kepada kedudukan bintang-bintang dan matahari yang dapat memberi petunjuk arah kiblat, antaranya ialah bintang Qutbi (Bintang Utara).
Terdapat pelbagai kaedah yang telah digunakan untuk menentukan arah kiblat. Namun cara yang mudah ialah dengan menggunakan kompas dan peta. Bagi ulama silam, mereka menggunakan astrolob untuk menentukan arah Kiblat. Pada tarikh tertentu dalam tahun apabila Matahari berada tepat di atas Kaabah, arah bayang di semua tempat akan menunjukkan dengan tepat arah Kiblat.
Di antara usaha terawal dilakukan oleh Khalifah al-Makmun (813 M). Beliau memerintahkan supaya koordinat geografi Kota Makkah ditentukan dengan tepat supaya arah kiblatnya dari Baghdad boleh dikira.
Ibnu Yunus, seorang ahli falak Islam yang terkemuka pada abad ke-11 M telah menyediakan senarai arah kiblat dari Kaherah ke Makkah dalam jadualnya yang dikenali sebagai Hakimi Zij Ibn Yunus.
Manakala al-Khalili (1375 M) dari Damsyik telah menyenaraikan arah kiblat hampir 3000 bandar-bandar Islam seluruh dunia . Walau apapun, selisih ketepatan kaedah tetap berlaku memandangkan keadaan saiz Kaabah berukuran 12 meter x 10.5 meter x 15 meter dan Kota Makkah seluas 26 km persegi, apakah kejituan sebenar yang diperlukan dalam penentuan arah kiblat?
Jika dibandingkan jarak Malaysia ke Makkah yang jauhnya hampir 7100 km, sebarang selisih sudut sebesar 1 minit akan menyebabkan sasaran kiblat tersisih sejauh 2 km. Manakala selisih sebesar 1° akan menyebabkan arah kiblat tersisih sejauh 126 km.
Sebenarnya dengan peralatan secanggih manapun, selisih arah kiblat tidak mungkin dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, sesuai dengan langkah ijtihad semasa menentukan arah kiblat, setiap kaedah yang dipraktikkan mestilah diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi mencapai ketepatan maksimum.
Prosuder Pelaksanaan
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat. Dalam keadaan kita tidak mempunyai panduan lain, misalnya ketika bermusafir, arah yang ditunjukkan oleh buruj-buruj bintang dan matahari boleh dijadikan panduan untuk menentukan arah kiblat.
Buruj bintang yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan arah kiblat ialah buruj Orion (Al-Babadur). Tiga bintang berderetan dalam buruj ini iaitu Mintaka (δ Orionis), al-Nilam (ε Orionis) dan al-Nitak (ξ Orionis) boleh digunakan sebagai panduan arah kiblat. Buruj Orion akan berada di langit Malaysia ketika waktu Subuh pada bulan Julai dan kelihatan tinggi di langit pada waktu tengah malam pada bulan Disember.
Pada bulan Mac dan mana yang berhampiran dengannya, buruj Orion akan berada di tengah-tengah langit ketika waktu maghrib. Arah kiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah bintang tiga berderet berkenaan ke arah barat.
2- Fenomena Istiwa’ Matahari Atas Kaabah
Arah kiblat yang tepat diperolehi apabila berlaku peristiwa istiwa’ matahari atas Kaabah. Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun, apabila nilai sudut istiwa’ matahari bersamaan dengan nilai latitud tempatan. Oleh kerana peristiwa ini berlaku waktu petang di Malaysia, maka bayang objek yang panjang ketika ini memudahkan penentuan arah kiblat dilakukan dengan panduan berikut :
1- Pilih tempat yang terang dan pacakkan satu tiang yang lurus.
2- Gunakan pemberat yang diikat pada hujunga tiang berkenaan.
3- Tepat pada masanya (jam 5.16 petang pada 28 Mei atau 5.28 petang pada 16 Julai), bayang yang ditunjukkan tiang tegak, bersamaan dengan arah kiblat.
Kesimpulan
Jelaslah di sini bahawa Islam dan aturan alam ciptaan Ilahi mempunyai hubungan yang erat. Ianya saling bantu membantu dan bekerjasama ke arah pembentukan nilai ubudiyyah yang tinggi. Justeru, kita dituntut agar mencari arah kiblat sebelum bersolat sudah pasti membawa mesej yang nyata agar seluruh kehidupan kita hendaklah sentiasa mengarahkan diri kepada Rabbul Jalil, Tuhan Yang Maha Esa.
No comments:
Post a Comment