Wednesday, January 9, 2013

HANYUT DI DARAT

Hanyut. Hanyut membawa pelbagai erti. Hanyut arus deras di kala hujan lebat. Hanyut minda di kala hilang kewarasan iman. Hanyut aqidah di kala habuan dunia melimpah ruah.

Hanyut yang saya maksudkan di sini ialah hanyut budaya.

Budaya Melayu yang bersopan santun, berakhlak budi dan berhemah tinggi terhakis dek budaya asing yang menyelinap masuk.

Nantilah kita lihat di malam sambutan tahun baharu 2013. Warwarannya telah berselerak di kaca tv dan media.

Meskipun hakikatnya, tahun baharu ini disambut ataupun tidak, ia tetap akan kunjung tiba. Tanpa dirai dan dibungapikanpun, ia tetap akan muncul. Tanpa jampi serampah oleh menterinyapun, ia tetap menyinar jua.

Jika begitu, apa pula fungsi sambutan dan kemeriahan melampau yang dianjurkan itu? Sedangkan ianya bukanlah sebagai prasyarat untuk menapak ke 2013.

Saya pernah berhujjah tentang senaman bersulam iringan muzik. Objektif dari aktiviti tersebut adalah berpeluh. Tanpa muzikpun kita akan berpeluh. Oleh itu, apa gunanya muzik tadi.

Itulah yang dikata orang, 'lebih sudu dari kuah'.

Saya bukanlah anti sangat pada hiburan, sebagaimana antinya sesetengah mereka itu pada hudud.

Namun, jika setiap aktiviti bagaikan suatu kemestian terhadap hiburan, dan terkadang ianya mendominasikan keadaan, maka itu sudah dianggap keterlaluan yamg mengakibatkan keaiban.

Aib pada budaya kita. Aib pada persekitaran yang dibelenggu kesusahan hidup. Dan yang paling teruk ialah aib pada Tuhan Yang Menciptakan.

No comments:

Post a Comment