Semakin hari semakin menjadi-jadi. Bermula dari isu Amanat Haji Hadi, kini beralih pula kepada isu Kalimah Allah. Sebelum ini, isu orang bukan Islam membaca ayat al-Quran. Selepas ini, entah apa pula ‘juadah’nya lagi yang akan cuba dihidangkan buat tatapan rakyat tercinta.
Apabila dikata orang kita ini memperdagangkan agama demi sekelumit keuntungan duniawi, lantas kita marah dan bangkit melawan. Padahal, sedikit sebanyak, semacam ada kadar signifikan yang tinggi.
Sedarlah wahai kalian yang telah memperkosakan agama. Agama yang kalian anuti itu, bukanlah untuk dieksploitasi, dirogol dan diperkosakan.
Begitu juga agama bukannya kitab warisan suci yang tersimpan erat di dalam peti besi yang tertutup rapat. Hanya saudara terdekat sahaja mampu membuka, mencium dan membacanya. Bukan dan bukan.
Agama itu adalah satu bentuk perjalanan yang lurus. Ia merupakan satu panduan dalam menjana kemenangan hidup. Tanpanya, kita pasti terumbang-ambing, terpukul dan dipukul oleh gelora nafsu-nafsi . Kelak nanti, mampu mendurjanakan masa depan yang malap lagi gelita.
Agama yang kita ada ini hendaklah diiklan dan dipasarkan di mata dunia. Biarkan ramai orang melihat dan memerhati serta membezakan dengan apa yang telah mereka miliki.
Amalan membeza dan membanding ini akan mencetuskan daya fikir yang kritis. Apabila ianya telah matang, maka keputusan pun dibuat. Sudah pasti, pilihan di hati adalah yang terbaik, terindah dan teranggun. Manakala, pautan pada dahan yang rapuh dan ranting yang mati akan ditinggalkan. Jika ini berlaku, aktiviti dakwah telah kita laksanakan.
Dari itu, janganlah kita menghakmilikkan agama hanya kepada kita. Kita orang Melayu sahaja yang mampu memilikinya. Orang lain tidak boleh.
Sedangkan Allah swt sudah mengamarankan kita, jika seandainya kamu meninggalkan solat dan mengikut pula kata nafsu syahwat, maka Kami (Allah) akan menggantikan dengan satu puak yang yang lebih baik lagi prihati dalam beragama daripada kamu.
Ibarat kata, jika kamu tidak mahu menggunakan ubatan yang kamu bekalkan itu, maka kami akan berikan ubatan tersebut kepada mereka yang tahu menilai kualiti ubat yang Kami (Allah) sediakan.
Begitulah halnya apabila melarang seseorang atau sesiapa sahaja menggunakan kalimah ‘ALLAH’ seolah-olah kita melarang seseorang itu bersifat dengan sifat syukur.
Bersifat syukur itu adalah ajaran Islam. Maka kita, menghakmilikkan sifat tersebut hanya kepada kita orang-orang Melayu Islam. Kita sahaja yang boleh bersyukur. Adapun orang lain adalah tidak dibenarkan sama sekali. Mereka yang bukan Melayu dan pula bukan Islam, maka janganlah sekali-kali kamu pandai-pandai beramal dengan sifat tersebut.
Mungkinkah begitu !
Suatu ketika dahulu, saya pernah disapa oleh seorang pensyarah yang beragama Kristian. Katanya kepada saya, “Ustaz! you baca doa di pentas, i pun baca doa juga”.
Situasi ini memberi imbasan kepada saya bahawa dalam ajaran agama mereka juga ada bacaan doa pemberkat majlis.
Lalu saya membalas sapaannya itu dengan berkata, “I baca doa memohon kepada Allah, dan you juga baca doa untuk bermohon kepada Allah kan?”
Lantas beliau menjawab, “Ya”.
Secara sinis saya berkata, “Jika saya baca doa bermohon kepada Allah, dan you juga baca doa kepada Allah, Rasanya elok bila i baca doa, you aminkan sahajalah”.
Bila beliau mendengar penghujahan tadi, dia terus berlalu.
Berkemungkinan ada juga yang risau ianya nanti akan menimbulkan kecelaruan minda dalam kalangan penganut agama Islam.
Masalah kekeliruan tidak timbul, kerana yang kelirunya adalah mereka. Sedangkan kita telah jelas lagi bersuluh apa yang dimaksudkan dengan ‘ALLAH’ itu.
Oleh itu, untuk apa kita menyemakkan minda bagi memikirkan kekeliruan mereka. Itu adalah hal mereka.
Tidak pula saya ketahui jika ada dalam kalangan orang Islam, pula memperjuangkan nasib anak bangsa ini yang masih kabur dan keliru. Bila disebut ‘ALLAH’, maka terbanyanglah di minda mereka mata wang, projek, pangkat, calon PRU dan sebagainya.
Sekiranya berlaku sedemikian, tersangat eloklah mereka ini kita pondokkan untuk beberapa semester agar ‘kalih’ (membiasakan diri) dengan ilmu-ilmu agama. Kita bimbang, mereka ini nanti akan bertukar menjadi watak parasit. Sekaligus menjadi pelesit dan pengkianat kepada agama dan tanah anak bangsa.
Justeru, bicara agama hendaklah diberikan kepada mereka yang arif dalam hal tersebut. Sudah semestinya mereka yang arif adalah golongan ilmuan dan alim ulama. Pangkat dan jawatan tidaklah semestinya mencerminkan kebenaran apa yang dititahkan.
Sekadar renungan bersama.
No comments:
Post a Comment