Friday, January 18, 2013

HUKUM BERSOLAT MENGADAP KIBLAT

Sepakat Ulama
Jumhur ulama telah bersepakat bahawa mengadap kiblat merupakan prasyarat sahnya solat seseorang itu. Hal tersebut berdasarkan kepada firman Allah swt dalam surah al-Baqarah (2:144)  yang bermaksud :
144.  ...maka palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya...
Perkataan ‘syatra’ itu membawa maksud arah, iaitu arah kiblat. Manakala ‘Masjid al- Haram’ pula bermakna ka’bah.
Ini diperkuatkan lagi menerusi sebuah hadis yang dinukilkan oleh Ibnu Abbas ra. bahawa Nabi saw bersabda :
"البَيتُ قِبْلَةٌ لأهل المسجد، والمسجدُ قِبلةٌ لأهل الـحَرَم، والـحَرَمُ قِبلةٌ لأهل الأرض في مشارقها ومغاربها من أمتِي".
Bermaksud : “Baitullah merupakan kiblat kepada mereka yang berada di dalam Masjid al-Haram, Masjid al-Haram pula menjadi kiblat bagi penduduk Tanah Haram, dan Tanah Haram pula sebagai kiblah kepada seluruh umat manusia di Timur dan di Barat”.
Justeru, para ulama telah bersepakat bahawa Ka’bah merupakan kiblat bagi seluruh umat Nabi saw. Mereka juga bersepakat bahawa sesiapa yang melihat Ka’bah, maka perlulah menghalakan solat itu ke arah Ka’bah tersebut. Demikian juga para ulama bersepakat, seandainya mereka berada jauh dan tidak pula melihat Ka’bah, maka hendaklah kiblat mereka itu mengarahkan ke Masjid al-Haram.
Berdasarkan hadis yang dinukilkan oleh Imam Abu Hurairah ra, katanya, sabda Nabi saw :
"ما بَيْنَ الـمَشرقِ وَالـمَغربِ قِبْلَةٌ". رواه الترمذي وقواه البخاري
Bermaksud : Kiblat itu berada antara Timur dan Barat”.
Ibnu Umar ra berkata bagi menjelaskan maksud hadis ini, “Apabila anda meletakkan Barat itu di sebelah kanan, dan Timur itu di sebelah kiri, maka antara kedua-duanya itu adalah kiblat”.
Rentetan itu, maka sepakat jumhur ulama, sesiapa yang bersolat dengan membelakangkan kiblat, maka beliau dikehendaki mengulangi kembali solat tersebut berdasarkan hadis perubahan arah kiblat dari Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram (Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari, 1/507).
Mazhab Hanafi
Adapun menurut pendapat Mazhab Hanafi, sesiapa yang tersalah mengadap kiblat semasa mendirikan solat, maka tiadalah wajib ke atasnya mengulangi kembali solatnya itu selepas beliau berusaha (berijtihad) untuk mencari arah kiblat tersebut. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabarani daripada Muaz bin Jabal, katanya :
"صلينا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في يوم غيم في سفر إلى غير القبلة، فلما قضى صلاته تجلت الشمس، قلنا : يا رسول الله ! صلينا إلى غير القبلة ؟ قال : "قد رفعت صلاتكم بحقها إلى الله".
Bermaksud : “Kami telah menunaikan solat bersama-sama dengan Nabi saw pada suatu malam yang dilitupi awan (gelap). Setelah selesai solat, tiba-tiba Matahari menjelma. Lalu kami bertanyakan Nabi saw : Wahai Rasulullah ! Solat kita tadi tidak mengadap arah kiblat yang betul ?. Nabi saw menjawab : “Sesungguhnya solat kamu tadi telah diangkat ke hadrat Ilahi”.
Mazhab Maliki
Dalam Mazhab Maliki juga ianya tidak perlu diulangi. Adalah sunat mengulangi kembali solat tersebut seandainya waktu masih ada.
Mazhab al-Syafie
Adapun menurut Mazhab al-Syafie adalah wajib mengulangi kembali solat tersebut, seandainya jelas solatnya itu bersalahan dengan kiblat yang betul.
Mazhab Hambali
Menurut Mazhab Hambali pula, sesiapa yang melakukan solat itu semasa tidak bermusafir, maka wajib ke atasnya mengulangi kembali solatnya itu. Adapun jika kesalahannya itu setelah beliau berijtihad, maka tidaklah dituntut untuk mengulangi kembali solat tersebut.
Kesimpulan
Seandainya seseorang itu bersolat dan tidak pula mengadap ke arah kiblat yang betul, sedangkan beliau telah berusaha (berijtihad), maka tidaklah diwajibkan ke atasnya mengulangi kembali solat tersebut menurut  jumhur para ulama.
Namun, sekiranya ijtihad tidak dilakukan, beliau terus bersolat tanpa mengetahui arah kiblat terlebih dahulu, dan tidak pula bertanyakan orang mengenainya, maka beliau adalah dituntut untuk mengulangi kembali solatnya.
Jika seandainya perbezaan kiblat itu pada kadar yang sedikit cuma, dalam lingkungan 45°, maka solatnya adalah sah di sisi jumhur ulama.
Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment