Friday, January 11, 2013

BERJUANG DALAM LUMPUR

Hati-hati dengan isu agama yang kian hangat diungkit dan dibongkar. Dibimbangi diri terlepas ikatan lalu melulu tanpa sempadan. Alim-ulama dihina dicela tanpa rasa malu dan segan.

Jika marah sekalipun, janganlah pula iman yang sekelumit itu terbang melayang, dek menghina mereka yang sayangkan Islam.

Kita bukan mereka. Kita tak setanding Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) . Kita tidak selayak Tuan Guru Nik Aziz (TGNA).

Jika marah sekalipun, usahlah disumpah seranah seolah-olah mereka ini tiada apa-apa.

Sedarkah penuduh itu bahawa TGHH dan TGNA masing-masing ada pengikut dan anak muridnya yang setia. Para penuntut yang cintakan ilmu agama.

Cukup-cukuplah, wahai blogger dan pencetus bicara di fb, setiap kali kalian hebahkan isu kalimah ALLAH itu, atau isu AMANAT, maka setiap kali itu juga akan ada mereka yang mengutuk TGHH.

Adakah saudara benar-benar yakin bahawa saudara berada di atas laluan yang benar, manakala TGHH pula atas landasan yang salah ?

Adakah ilmu saudara setaraf dengan ilmu di dada TGHH ? Kalau kail sejengkal cuma, usah lautan hendak diduga.

Lagipun yang berkuasa kini ialah UMNO/BN. Mereka berhak untuk menghalang penggunaan kalimah tersebut. Kenapa pula Pas yang dicemuh dan dicebih. Berlawanlah dengan DAP, kerana mereka yang berhasrat untuk menggunakannya.

Jika betul-betul UMNO/BN dan penjuak-penjuak itu berjuang demi Islam, maka perkara pokok yang perlu mereka lakukan ialah menghalang mereka daripada menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Rata-rata orang Melayu adalah Islam. Raja Melayu juga Islam.

Semasa saya berada di Sabah seketika dahulu, setiap kali selepas solat Jumaat akan terselit potongan kertas di cermin depan kereta yang tertera : “Tuan-tuan dijemput hadir ke majlis penyucian jiwa dan rohani”. Tetapi di hujung potongan kertas itu tertulis “...Gereja...”.

Nah, apa tindakan yang diambil ke atas mereka. Situasi ini jelas sekali mereka telah mempamerkan agama mereka kepada kita orang Islam. Soalannya, kenapa tiada tindakan ke atas mereka dan tak pula kecoh ?.

Hakikatnya, kita yang terkebelakang. Bermula dari pimpinan hinggalah kepada rakyat jelata. Tiada mahu mengambil ruang dan peluang untuk berdakwah dan berhujjah. Asyik-asyik berselindung di sebalik isu sensitif.

Lihatlah sahaja kepada Rukun Negara. Dulu, kini dan selamanya akan kekal “Kepercayaan Kepada Tuhan”.

Tuhan itu apa? Adakah sah dan beroleh pahala jika diwiridkan 30 kali selepas setiap solat ? Tuhan..Tuhan...Tuhan..Tuhan, silap sebut boleh bertukar menjadi sebaliknya... Hantu... Hantu... Hantu. (Maafkan saya)

Ungkapan Tuhan dalam budaya Melayu ialah sesuatu seperti dewa yang dianggap gagah, besar dan kuat.

Rasanya tidak perlu saya memberi ulasan panjang di sini. Hanya ingin saya fokuskan bahawa kita sanggup berjuang, sanggup berjihad jika Islam dicemarkan.

Tanpa kita sedar, sesetengah dalam kalangan kita juga bertanam saham untuk mengotorkan Islam.

Berlumba-lumba untuk mendapatkan tender membina masjid. Apabila siap, tiada pula berlumba-lumba bersolat jemaah di masjid tersebut.

Sempena ini juga, saya sempat bersolat Jumaat di Jasin, Melaka. Tajuk teks khutbahnya mengenai kewajipan menjaga aqidah.

Saya setuju dengan tajuk itu, dan mana-mana tajuk yang ada hubungan dengan isu semasa. Namun apabila didatangkan contoh, kelihatan ianya masih terikat dengan contoh-contoh lapuk, seperti memuja kubur, minta nombor ekor dan sebagainya. Ada lagi ke sekarang ni?

Bagi saya, kalaulah dah terjun ke dalam lumpur, maka bawalah contoh-contoh daripada lumpur tersebut. Ikan atau siput dan seumpamanya.  Sayangnya, dicontohkan benda yang tiada kaitan dengan lumpur tersebut.

Maksud saya, jika khatib telah membaca teks khutbah yang berkaitan dengan perkara-perkara yang boleh membatalkan aqidah, maka sepatutnya beliau mendatangkan contoh-contoh yang terkini. Berilah contoh penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam ke ? (Kalau betullah)

Justeru, cukuplah kita menghabiskan masa dan tenaga serta suara untuk terus melaungkan syiar. Bukannya salah, bahkan dituntut. Namun, jika ianya terhenti pada syiar sahaja, amalan pula tidak disusul, maka itulah dikata orang, ilmu dan amal tidak terjalin.

Semoga Allah swt memberikan kita istiqamah atas jalan kebenaran.

No comments:

Post a Comment