Showing posts with label sisipan sosial. Show all posts
Showing posts with label sisipan sosial. Show all posts

Friday, June 13, 2014

KENANGAN SMAKK Menggamit Kembali


Pintu Masuk SMKA Kota Kinabalu





Tanggal 2 Mei 1995, kakiku melangkah longlai tiba di dataran ini. Lantaran, terpaksa ku tinggalkan kampung halaman dan juga ibu yang telah dimamah usia. Meskipun ianya bukan kali pertama ku berjauhan dengan keluarga, namun perpisahan ini terasa amat berat sekali.

Masih ku ingat semasa berdiploma di UIA lagi, semacam ungkapan yang mutawatir mengatakan, sesiapa sahaja yang telah berkahwin maka peluang untuk dihantar bertugas ke Sabah dan Sarawak adalah tipis. Maka itu, dakupun berkahwin.


SMKA Tun Ahmad Shah (dulu SMKA Inanam)

Alangkah sedih di hati, pilu rasanya apabila terpapar senarai nama yang bakal dihantar bertugas sebagai pendidik di negeri seberang Laut China Selatan ini. Aku dan isteri ‘terpilih’ untuk ke sana.

Bezanya aku dengan mereka ialah aku bersama-sama isteriku telah ditentukan nama sekolah. SMKA Kota Kinabalu, itulah namanya. Sementara isteriku pula di SMKA Inanam (kini SMKA Tun Ahmad Shah).



Setelah kakiku memijak Bumi Bawah Bayu itu, hatiku masih meronta-ronta. Jiwa berkecamuk. Naluri tertanya-tanya. Kebimbangan kian bertambah. Tambahan pula teksi yang membawa kami ke kuarters guru di SMKA Inanam melalui jalan berhutan dan berbukit.

“Jauhnya”, dengusan daripada lubuk hatiku.

Di kuarters itu aku beserta isteri menginap buat seketika waktu, sementara mencari rumah untuk disewa.

Aku masih ingat pada hari pertama ku melaporkan diri. Aku telah bangun pada awal pagi untuk bergerak keluar daripada ‘hujung tanjung’ ini. Aku tak tahu, ada teksi ataupun tidak. Meskipun sebelum itu sahabat lamaku yang telah setahun bertugas di sini telah menawarkan motor EX5 nya untuk kegunaanku buat sementara waktu.

Aku masih terpaku di tepi perhentian bas. Masa kian mendesak. Waktu makin menghimpit. Rata-rata pencari rezeki di bumi Tuhan ini kejar mengejar. Entah keberanian apa yang ada dalam diri ini sehingga aku telah menahan sebuah kereta yang melintasi di hadapanku.

Kereta tersebut berhenti lalu mempersilakan aku masuk. Setelah beberapa detik, hatiku kembali tenang. Mataku tajam ke muka jam. “Ahh...sempat lagi”, aku memberanikan diri dan bertanyakan tuan kereta tersebut tempat, arah yang beliau hendak tuju.

“Alamak!”, terkejut aku dibuatnya. Rupanya tuan kereta tersebut mempunyai hala tuju yang sama dengan diriku. Lebih memeranjatkan lagi, beliau adalah pengetua sekolah tempat aku akan melaporkan diri.

Justeru, aku terus ‘melaporkan diri’ padanya. Ya. Melapor diri secara tidak rasmi di dalam keretanya, bukan di dalam pejabatnya.


Pejabat SMKA Kota Kinabalu : Ceria dan Cantik

Tujuh tahun berlalu begitu pantas. Januari 2001 aku dipindahkan ke Melaka. Namun, kenangan di sabah, terutama di sekolah ini begitu melekat di hati.

Terlalu banyak pengalaman yang ditabur, budi yang disemai dan pahit maun yang dilalui. Semuanya itu mendewasakan kita sebagai warga pendidik yang berjaya.

Sekalung ucapan syukur dan terima kasih kepada mereka yang telah memberikan tunjuk ajar selama ini. Terima Kasih.

Saturday, June 1, 2013

SECEBIS Kenangan Indah

Bersama rakan-rakan dari Universiti Ibnu Tufail, Kenitra. Kenangan ini diambil pada tahun 1988.

Dari kiri berdiri : Mat Nawi, Hisyam, Azlan, Megat, Buhairi
Dari kiri duduk : Anwar, Ahmad, Zamri, Kamarul
Kenangan ini pula semasa merehatkan minda di Muslifin, kawasan  yang dipenuhi salji. Kenangan ini diambil pada tahun 1999.


Dari kiri : Ismail, (Arab), Zuhairi, Mat Nawi, Buhairi dan Ramza
Kami juga telah membentuk persatuan semenjak awal kunjungan pelajar Malaysia ke bumi Magribi ini, iaitu pada tahun 1986 di bawah tajaan Kementerian Pendidikan yang bermenterikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Barisan pimpinan ini adalah batch ke-4.

Dari kiri : Rushdan (Bendahari), Khairul (Tim. Presiden), Zamri (Presiden), Mat Nawi (Setiausaha), Zuhairi (Pen. Setiausaha)
Mesyuarat agung telah dilaksanakan di Mudarraj Idrisi, Universiti Muhammad Khamis, Rabat.

Dari kiri : Idris, Rushdan, Megat, Khairul, Zamri, Hisyam, Fuad, Mat Nawi, Zuhairi dan Azrul
Semasa kunjugan hormat di bawah program menjejaki ulama.


Sempat menziarahi Sheikh Muhaddis Abdullah bin Siddiq al-Ghimari. Ketika itu usianya hampir mencecah 100 tahun, namun di wajahnya terpancar sinaran seorang alim yang agung, di tangannya terukir puluhan kitab tulisan tangan, khususnya dalam bidang hadis. Beliau sempat bersama Murabbi al-Syahid Hassan al-Banna ketika menuntut di Mesir bersama abangnya Sheikh Muhaddis Ahman bin Siddiq.

Dari kiri : Sheikh Abdullah, Ahmad selaku ketua rombongan
Bergambar bersama adiknya , Sheikh Muhaddis Ibrahim bin Siddiq, sebaik sahaja beliau mengimamkan solat JUmaat dan berkhutbah di Masjid Tanger.


Sheikh Ibrahim berdiri di tengah-tengah dengan berjubah menutup kepala
Sempat juga menziarahi keluarga Bin Siddiq, Sheikh Muhaddis Abdul Aziz bin Siddiq al-Ghimari. Beliau juga terkenal dalam bidang ilmu tasauf.
  
Sheikh Abdul Aziz, empat dari kiri
Kenangan-kenangan indah sempama ini amat sukar untuk dicari ganti. Nilainya amat berharga, khususnya apabila ianya melibatkan kunjungan bertemu para alim ulama.

Ya Allah, ganjarkanlah keberkatan-Mu kepada kalian guru-guru kami, khususnya al-marhum Ustaz Ahmad al-Yazidi yang telah mengajar dan membuka mata kami dalam ilmu agama. Begitu juga kepada Ustaz Syujaie, Dr. Alami, Dr.Farouq Hamadah yang sangat kami hormati. Jadikanlah kami berkemampuan untuk mengikut jejak langkah mereka. Amin ya Rabba Alamin.

KENANGAN Kini Bertaut

Majlis tahlil dan doa selamat yang telah diadakan pada 25hb. Mei lalu benar-benar telah mampu menyatukan hati-hati kami lepasan Mahgribi.

Majlis yang telah dihadiri lebih 100 orang dari pelbagai lapisan, pelajar senoir dan pegawai kedutaan menambahkan lagi seri majlis tersebut.

Bergambar kenangan dengan hadirin
Tambahan pula masakan kuskus dan nasi mandi membuka selera para jemputan yang hadir.
Dari kiri : Datuk Tuan Syed Hussein, En Yusoff dan En Paris
Semoga majlis seumpama ini dapat diteruskan lagi dengan penglibatan rakan-rakan yang lebih ramai.

Terima kasih kepada para penyumbang dan rakan-rakan yang telah menjayakan majlis tersebut.

Tuesday, May 14, 2013

PASCA PRU-13

Di hari membuang undi, SMU
Syamsul Ma'arif,
Pulai Chondong, Kelantan
PRU-13 telah menemui titik penghujungnya. Tahniah kepada kompenan Barisan Nasional (BN). Bahawasanya kamu telah terpilih mewakili harapan rakyat untuk menerima beban amanah yang tidak tertanggung oleh bukit. Dari itu, buatlah yang sebaik-baiknya, kerana kelak nanti kamu akan diperhitungkan di mahkamah Rabbul Jalil.

Bagi Pakatan Rakyat (PR) pula, anggaplah ini sebagai suatu pelepasan dari amanah tersebut. Bersyukurlah ke hadhrat Ilahi atas pengecualian ini kerana bebanan itu telah dialihkan daripada atas benak kalian. Usahlah bertengkar dan mencari ruang untuk menggapai amanah tersebut. PRU-14 setia menanti.

Namun begitu, suasana ketidak-puasan ini masih mencengkam sebahagian kita, lantaran terdapat unsur-unsur yang mencurigakan. Untuk itu, kita ada dua laluan :

(1) Laluan menyerah diri dan akur dengan keputusan yang diberi serta yakin (jika ada unsur penipuan) akan ada hari pembalasan atas penipuan itu nanti.

(2) Laluan kedua pula, bangkit menentang untuk mencari kebenaran bagi menolak kepalsuan beserta bukti di tangan.

Laluan pertama itu adalah pilihan terpuji. Manakala laluan kedua itu adalah adat dan lumrah orang yang berjuang. Pantang berundur selagi keris masih membara.

Namun, apa yang pasti, dakwat kekal yang dikatakan itu tidaklah sekekalnya dan semua pengundi mampu membuktikannya.

Dalam kaedah periwayatan hadis, jika ada pembohongan, maka seluruh kata-kata-kata orang tersebut tidak lagi boleh diterima lantaran ada unsur yang meragukan.
 

Friday, February 15, 2013

CAMERON HINGLAND : Indah Sungguh Namamu

Di tapak pertanian MARDI, Cameron Highland
bersama isteri dan anak-anak
Dua hari lepas, saya bersama isteri dan anak-anak berkesempatan menghabiskan hari cuti ke Cameron Hingland. Tempatnya indah, cantik, sejuk dan mendinginkan. Amat sesuai bagi mereka yang berkehendakkan sedikit kedinginan minda.

Sebetulnya, ini adalah kali pertama saya sampai ke sana bersama keluarga. Maklumlah, dahulu bukannya tiada masa untuk berkunjung, tetapi ‘pitih’nya yang tidak mencukupi.

Lagipun, kita di kampung, lebih selesa dengan suasana sawah bendang yang menghijau, damai dengan kicauan burung senja dan asyik pula dengan kesejukan anak-anak air yang mengalir. Pegangan kami sebagai anak kampung, bahawa kampung kamilah yang terbaik dan tercantik. Dek kerana itu, maka lokasi lain tiada lagi dipedulikan.

Dalam perjalanan mendaki, ada aliran air terjun yang menggamit pemandangan dan kelihatan juga anak-anak orang asli begitu tekun menanti ‘tetamu’ untuk dijual hasil hutan yang dicari. Meskipun jalan agak berliuk-lintuk, namun keindahan alam membawakan diri ini rasa sekejap sahaja kami dah sampai di puncak yang dicita.

Untuk rakan-rakan yang berhasrat menghabiskan musim cuti di sini, mohon tempahan hotel terlebih dahulu. Jika tidak, maka keretalah tempat melelapkan penat dan lelah.

Pada hakikatnya, saya begitu kagum dengan negaraku ini. Aman, damai dan selesa untuk dikunjungi.

Meskipun begitu, saya terkadang merasa pelik juga, kerana bukit yang ditarah, tanah yang dibajak, semuanya itu bukannya satu kerja yang senang, namun hakikatnya ia telah diusahakan oleh orang yang bukan berbangsa kita.

Tuan-tuan boleh singgah di mana sahaja kebun pertanian, namun sukar untuk tuan-tuan ketemukan bangsa kita yang mengusahakannya. Jangan-jangan, puncak ini juga telah ditawan oleh mereka yang telah menawan puncak Genting.

Minta maaf kepada MARDI. Saya berkunjung ke sana, namun apa yang saya lihat hanya pepohon epal yang menanti saat menyembah bumi. Begitu juga dengan pohon anggur dan yang lainnya. Tidakkah mereka memiliki kepakaran dan mampu menjadikan sebuah kebun yang subur dan segar untuk mata memandang dan tekak merasai?

Namun, apabila kita ke Strawberry Farm, nun di puncak bukit yang tertinggi sekali, ternyata ianya hebat dan dimiliki pula oleh orang yang bukan bangsa kita. Hebat kebun mereka. Bagaikan puncak Cameron setanding puncak Genting.

Tuan-tuan boleh berkunjung ke sana. Tuan-tuan akan dapati Kelab Golf yang tersergam indah. Bersih dan elit kelihatannya. Ia milik raja kita berdasarkan nama yang terpapar.

Maaf kalau saya katakan, di sana ada dua darjat yang berbeza. Satu kumpulan yang begitu rajin mengutip rezeki, manakala satu kumpulan lagi pula sedang asyik memukul bola ‘hoki’.

Jika ditanya, tidakkah kita ada kuasa? Tidakkah kita ada pengaruh? Tidakkah kita ada kekuatan modal untuk mengusahakan tempat yang begitu strategik bagi pengeluaran sayur-sayuran?...Atau kita hanya lebih rela menjadi pengunjung dan ketawa dalam kereta sendiri. Walhal tanah air telah dimajukan oleh orang yang bukan dari kita.

Kunjungan saya ke sana banyak menyedarkan saya betapa para pejuang yang melaungkan perjuangan bangsa dan hasrat ingin mengangkatkan keturunan darah sendiri tidak ke mana-mana. Hanya sekadar laungan kosong dan bualan kedai kopi.

Nampak sangat, bangsa lain yang bertungkus lumus mencari rezeki dan meraih keuntungan diberi peluang. Kita pula, khususnya para pimpinan parti kerajaan, sibuk membuaikan anak-anak muda dengan hiburan dan kealpaan.

Bertambahlah peliknya, Tahun Baru Cina sepatutnya disambut oleh orang Cina, namun kita pula sebagai penganjur dan penyambutnya. Sangat ketara, kita pula yang begitu teruja, padahal orang Cina sendiripun tidak melakukan sedemikian.

Betapa dangkalnya pemikiran, jika beranggapan bahawa orang Cina suka menyambut Tahun Baru Cina dengan hiburan hip hop yang disajikan. Cubalah bertanyakan kepada orang Cina hikmah tahun baharu yang mereka raikan. Bukankah untuk mengeratkan hubungan sanak saudara dan meraikan kebaikan tahun yang tiba? Sedangkan kita pula meraikan ia dengan hiburan yang sangat-sangat melampau, dan jauh tersasar dari budaya kita orang timur.

Janganlah suatu hari nanti, kita pula yang mengingatkan orang Cina akan tahun baharu yang sepatutnya mereka raikan dan pengisian yang perlu disajikan.

Kenapa hiburan yang dipuja puji? Seolah-olah ia telah membudayakan kehidupan kita. Setiap kali ada keramaian, maka setiap kali itulah hiburan perlu dihidangkan. Semestinyakah?

Tidak salah untuk berhibur. Juga tidak salah untuk bersuka ria. Dan sememang tiada hukumpun yang mengharamkan hiburan yang teralun. Namun, sekiranya hiburan itu berlaku dalam suasana yang terbabas, lebih-lebih lagi jika hiburan tersebut terlalu melampau dan berbaur kelucahan, maka sudah pastilah hukumnya adalah ditegah.

Seandainya hiburan tersebut bertujukan hanya satu, agar anak remaja menjadi alpa, hanyut di arus hiburan, dan mereka pula boleh ‘merampas’ apa sahaja khazanah negara, maka di kala itu, amatlah malangnya berpimpinkan pemimpin sedemikian hal.

Wahai penganjur dan perai kepada PSY itu, sesungguhnya kamu telah melakukan satu kesalahan yang dahsyat, sehinggakan anak-anak remaja terikut-ikut rentaknya.

Wahai kamu, tanggunglah segala dosa yang telah kamu lakukan itu. Kami tahu, kamu ada wang dan pangkat, tetapi ingatlah bahawa kesemua yang kamu miliki itu bukannya untuk memusnahkan zuriat anak Adam. Kamu perlu sedar, bahawa segala kesalahan yang kamu lakukan ini akan dikenang sepanjang zaman.

Usahlah berselidung di sebalik kerja amal, kononnya ingin meraih hati anak-anak muda agar meyokong kamu, sedangkan apa yang kamu lakukan adalah untuk menjahanamkan masa depan mereka.

Oleh itu, maka tidak hairanlah jika tanah Cameron itu telah diusahakan dengan titisan peluh dan jerih payah orang Cina. Disebabkan kita bangsa Melayu sedang asyik berhibur dan bergurau senda di anjung, lalu membiarkan lauk dapur diratah orang. Walhal, berhibur itu bukanlah budaya asal orang kita. Orang Melayu, mak ayah dan datuk nenek kita dahulu asalnya rajin-rajin, suka berkebun dan bertani.

Sesiapa yang mencari kemuliaan manusia dengan kecelaan Allah S.W.T, maka akan memperolehi kemurkaan Allah S.W.T. Dari itu, marilah kita mengejar kemuliaan Allah meskipun dicela dan dikeji oleh para pencaci.

Majulah negaraku, hiduplah bangsaku...bersama Islam yang terpimpin.

Wednesday, January 9, 2013

HANYUT DI DARAT

Hanyut. Hanyut membawa pelbagai erti. Hanyut arus deras di kala hujan lebat. Hanyut minda di kala hilang kewarasan iman. Hanyut aqidah di kala habuan dunia melimpah ruah.

Hanyut yang saya maksudkan di sini ialah hanyut budaya.

Budaya Melayu yang bersopan santun, berakhlak budi dan berhemah tinggi terhakis dek budaya asing yang menyelinap masuk.

Nantilah kita lihat di malam sambutan tahun baharu 2013. Warwarannya telah berselerak di kaca tv dan media.

Meskipun hakikatnya, tahun baharu ini disambut ataupun tidak, ia tetap akan kunjung tiba. Tanpa dirai dan dibungapikanpun, ia tetap akan muncul. Tanpa jampi serampah oleh menterinyapun, ia tetap menyinar jua.

Jika begitu, apa pula fungsi sambutan dan kemeriahan melampau yang dianjurkan itu? Sedangkan ianya bukanlah sebagai prasyarat untuk menapak ke 2013.

Saya pernah berhujjah tentang senaman bersulam iringan muzik. Objektif dari aktiviti tersebut adalah berpeluh. Tanpa muzikpun kita akan berpeluh. Oleh itu, apa gunanya muzik tadi.

Itulah yang dikata orang, 'lebih sudu dari kuah'.

Saya bukanlah anti sangat pada hiburan, sebagaimana antinya sesetengah mereka itu pada hudud.

Namun, jika setiap aktiviti bagaikan suatu kemestian terhadap hiburan, dan terkadang ianya mendominasikan keadaan, maka itu sudah dianggap keterlaluan yamg mengakibatkan keaiban.

Aib pada budaya kita. Aib pada persekitaran yang dibelenggu kesusahan hidup. Dan yang paling teruk ialah aib pada Tuhan Yang Menciptakan.

MEMBANTU ATAU MENJADI HANTU

Apabila hujan turun, maka berlakulah banjir. Ini fenomena biasa kejadian alam ciptaan Allah.

Jika hujan turun mencurah-curah, banjir pula tidak melanda, maka itu suatu keanehan.

Samalah dengan bantuan banjir. Cuma yang anehnya.
bantuan datang mencurah-curah kali ini tidak seperti sebelumnya, terutamanya di negeri- negeri Pakatan Rakyat.

Adakah ini petanda bahawa pilihan raya sudah hampir benar-benar berlaku?

Isu bantuan mangsa banjir RM500 dihulurkan tanpa diminta.

Soalan yang berkaitan juga. Adakah bantuan ini sememangnya untuk membantu atau sebaliknya?

Kalau benar-benar ingin membantu dan prihatin pula pada nasib rakyat, maka hulurlah tanpa ada sebarang sempena.

Isu jalan raya di Kelantan, isu royalty, isu air bersih, kesemuanya adalah berkaitan dengan kebajikan rakyat. Bantulah....mengapa perlu meletakkan syarat-syarat tertentu pulak. Jika kelantan beralih kuasa kepada BN, baharulah Sungai Golok hendak didalamkan.

Maka itulah sebabnya saya katakana, ia bukannya hendak membantu, sebaliknya mahu jadi hantu.

Ini kerana hantu sahaja yang gemar meletakkan syarat-syarat tertentu kepada tuan yang memeliharanya. Aku jaga engkau, dan engkau pula mestilah tunaikan permintaanku. Jika tidak, engkau akan ku tulah dan ganggu, engkau, anak cucu cicit engkau.

Lihatlah dendam mereka yang bergelar hantu setan ini.

Mohon Allah swt jauhkan dan selamatkan kita semua dari mala petaka mereka semua.

Saturday, December 15, 2012

SATU BINTANG BUAT ZAHID

====================Hujan Mencurah=================

KUALA LANGAT 14 Dis. - Satu lagi sejarah terukir apabila upacara penamaan dan pelancaran kapal latihan Gagah Samudera milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.
(Utusan Online)

Terasa megah dan sangat berbangga sebagai anak kelahiran watan ini. Sebuah kapal hasil tangan anak tempatan dengan kerjasama syarikat Korea. Dilengkap pula dengan teknologi terkini. Namapun gah segagah namanya, Gagah Samudera.

Namun, apa yang menghairankan saya apabila ianya disempurnakan perasmiannya oleh isteri Perdana Menteri. Sehingga kini, saya masih tercari-cari signifikannya antara kapal TLDM ini dengan isteri PM.

Seeloknya, biarlah lelaki bagi menampilkan kegagahan dan kehandalan. Tanpa menafikan kekuatan isteri PM kita ini. Cuma terasa semacam kurang kesignifikannya itu.

Sebaliknya, jika diukur dari sudut politiknya, maka sudah pasti tahap signifikannya amatlah tinggi. Bahkan bertepatan sekali. Lebih-lebih lagi ianya sudah hampir benar dengan pilihanraya. Semua kita sudah tidak sabar-sabar menanti.

PENDEKAR MULA BERSUARA

====================Guruh Berdentum=================
KUALA LUMPUR – Kerajaan bertegas dengan pendiriannya tidak membenarkan sisa daripada kilang Lynas ditinggalkan dalam negara ini. (Sinar Harian, 15/12/2012).

Nah terserlahlah kini bahawa sisa buangan kilang tersebut, tidak sedikit, mungkin banyak kesan negatif kepada keselamatan.  Jika selamat, biarkan aje lah dinyahhapuskan di negara ini.

Beginilah sistem ‘cacamarba’ yang berselerak di sana sini lantaran barisan pimpinan yang sebahagiannya bukan sahaja tidak ihklas, tetapi juga terselit kepentingan tertentu. Apabila NGO dan pakatan pembangkang memprotes, dimarah dan dicerca. Walhal, hakikatnya keselamatan rakyat dan negara tergadai murah.

Nanti, akan ada pula pegurus projek dari mat saleh itu minta ianya dihapuskan di negara kita. Bagaimanalah pula ‘gamaknya’ cerita si menteri ni ? Adakah daripada watak pendekarnya itu bertukar watak pengecut, terus cabut lari, menghilangkan diri ?

Kemudian, dibawa ke meja rundingan yang ‘berRMRM’ lalu diputuskan bahawa sisa buangan itu selamat untuk dihapuskan di negara ini.

Lagi sekali para NGO akan berdemo dan terus berdemo. Namun kata putus tak boleh diubah lagi. Roda ‘cacamarba’ ini akan terus berputar selagimana ianya tidak dihentikan.

PAPAN PULA DISALAHKAN...

=====================Renyai-renyai==================

Datuk K Rajagobal

KETUA jurulatih Datuk K. Rajagobal meminta anak buahnya supaya melupakan episod duka kekalahan kepada Thailand, semalam. "Kesemua pemain telah memberikan satu persembahan yang terbaik malahan peminat Thailand sendiri mengatakan bahawa kita bermain dengan baik cuma pengadilan tidak menyebelahi kita,"  katanya yang menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka. (Sinat Harian, 15/12/2012)

Inilah yang sering berlaku. Apabila tewas, maka lagu Helah Bela Diri akan didendangkan sebagai menutup kelemahan dari jelingan ramai.

Saya pada hakikatnya taklah berminat sangat menonton bola, bukannya kerana tiada semangat patriotik, tetapi lenggok permainan itu kadang kala menculakan semangat.

Ada yang mengulas bahawa rentak permainan yang hambar. Rentak permainan sedemikian rupa adalah berpunca daripada latihan yang juga sedemikian rupa. Mana mungkin, jika latihan mantap, maka sudah pasti rentak permainan juga mantap. Usahlah asyik bergantung kepada ihsan pengadil. Perangai pengadil tak boleh diubah,  sebaliknya perangai pemain dan jurulatihlah yang boleh diubah.

Apa kata, ubahkan ketua jurulatihnya, pasti rentak pemainnya juga akan turut berubah.

Sunday, November 18, 2012

BERKOLAM SAMBIL BERMAIN AIR

=====================Regangan Minda====================

Sedang menikmati kesejukan air kolam di
Dynasty Hotel
Bersama anak-anak dan isteri bagi memeriahkan suasana kolam di Dynasty Hotel, Kuala Lumpur.

Amri sambil bergaya

Zaman kanak-kanak kita telah berlalu. Zaman menunjukkan aksi dari celahan dahan getah menjunam mencari lubuk di air sungai telah meninggalkan kita.

Zaman itu, tiada juru latih renang, juga tiada kolam seumpama kini. Hanya yang ada sebatang sungai yang cukup setia menanti dikunjungi. Jika tidak, parit dan tali air ataupun juga kubang akan dijadikan sasaran.

Bila pulang, mak ayah menanti dengan cebisan ranting dahan sebagai upah mandi di sungai tanpa kebenaran. Jika minta izin, pasti tidak diberikan. Namun, kita tetap cekal menghadapi larangan. Akhirnya, kita berani bermain air, dan yang lebih penting lagi, kita secara sendirinya pandai berenang. Berenang cara orang kampung.

Thursday, November 15, 2012

BERSIAR-SIAR DI ZOO MELAKA

Di Zoo Melaka
Bersama anak-anak melihat keagungan ciptaan Ilahi di Zoo Melaka.

Berlatarkan zirafah
Sungguh hebat apabila melihat alam haiwan yang bersuka ria, berkicau riang dan sesekali kelihatan bermuram durja lantaran kebebasan yang terperangkap.

Amri menunggang kuda padi
Alam haiwan juga inginkan kebebasan. Hidup normal seumpama rakan-rakan yang lain di hutan.

Rehat sejenak
Namun, mereka patut dikalungkan jutaan terima kasih atas kesanggupan mengorbankan kebebasan demi tontotan umat manusia. 

Monday, November 12, 2012

MEMUSIMKAN BUDAYA

====================Tasliah Minda==================


Hulur bantuan kepada penggiat seni tanah air
gambar : Ihsan dari Berita Harian

Hidup kita bersemikan budaya. Tanpa budaya kita terabai. Tanpa budaya, kita tiada apa-apa.

Budaya membentukkan kita. Jika ketinggalan, budaya akan meninggalkan kita. Kata Prof. Dr. Naquib al-Attas, “Budaya itu rangkuman daripada budi dan daya”. Budi itu hal-hal dalaman yang berkaitan dengan akhlak dan daya pula amalan serta penampilan diri yang dipertontonkan.

Justeru, orang yang berbudaya adalah mereka yang memiliki tahap akhlak dan peribadi yang tinggi serta tingkahlaku yang boleh dibanggakan.

Sejak akhir-akhir ini, kita lihat budaya memberi dan menghulur telah bermula. Siri pemberian bonus kakitangan awam, habuan untuk anak-anak felda, dan terbaru kepada penggiat seni.

Masih diingat, jika awan telah mula memendungkan langit, katak-katak telah mula lari mencari daratan, beburung hutan telah menyanyi riang, itu sebagai petanda banjir akan datang. Itu kata orang tua-tua.

Maka, persiapan banjirpun bermulalah. Perahu dan jaring dipersiapkan, ubi dan tanaman digali dan digantungkan di para-para sebagai persiapan di kala hujan bercurahan. Bagi mereka yang tinggal di lembah dan mudah pula dinaiki air, maka persiapan memindahkan barangan turut dipergiatkan. Bermakna, apabila musim hujan datang, maka budaya untuk menerima kedatangan banjirpun turut berlaku.

Adakah, isyarat menghulur dan mengagihkan bantuan dan ‘sogokan’ ini juga memberi isyarat bahawa akan datang satu musim baharu, iaitu musim pemilihan, musim memilih siapakah pewakil bagi diri masing-masing.

Sama-sama kita tunggu. Nampaknya pemilihan kali ini semacam agak misteri. Ada yang teruja. Tidak kurang juga yang sudah mula terasa debarannya. Jantung bergerak kencang. Sekali-sekala semacam terhenti, terkejut dan terus berlari. Berlari bagi mencari ruang  untuk meneruskan legasi kehidupan. Sama-sama kita menanti. Menanti dalam penuh kesabaran, kerana penantian itu suatu kesengsaraan.