Friday, June 13, 2014

KENANGAN SMAKK Menggamit Kembali


Pintu Masuk SMKA Kota Kinabalu





Tanggal 2 Mei 1995, kakiku melangkah longlai tiba di dataran ini. Lantaran, terpaksa ku tinggalkan kampung halaman dan juga ibu yang telah dimamah usia. Meskipun ianya bukan kali pertama ku berjauhan dengan keluarga, namun perpisahan ini terasa amat berat sekali.

Masih ku ingat semasa berdiploma di UIA lagi, semacam ungkapan yang mutawatir mengatakan, sesiapa sahaja yang telah berkahwin maka peluang untuk dihantar bertugas ke Sabah dan Sarawak adalah tipis. Maka itu, dakupun berkahwin.


SMKA Tun Ahmad Shah (dulu SMKA Inanam)

Alangkah sedih di hati, pilu rasanya apabila terpapar senarai nama yang bakal dihantar bertugas sebagai pendidik di negeri seberang Laut China Selatan ini. Aku dan isteri ‘terpilih’ untuk ke sana.

Bezanya aku dengan mereka ialah aku bersama-sama isteriku telah ditentukan nama sekolah. SMKA Kota Kinabalu, itulah namanya. Sementara isteriku pula di SMKA Inanam (kini SMKA Tun Ahmad Shah).



Setelah kakiku memijak Bumi Bawah Bayu itu, hatiku masih meronta-ronta. Jiwa berkecamuk. Naluri tertanya-tanya. Kebimbangan kian bertambah. Tambahan pula teksi yang membawa kami ke kuarters guru di SMKA Inanam melalui jalan berhutan dan berbukit.

“Jauhnya”, dengusan daripada lubuk hatiku.

Di kuarters itu aku beserta isteri menginap buat seketika waktu, sementara mencari rumah untuk disewa.

Aku masih ingat pada hari pertama ku melaporkan diri. Aku telah bangun pada awal pagi untuk bergerak keluar daripada ‘hujung tanjung’ ini. Aku tak tahu, ada teksi ataupun tidak. Meskipun sebelum itu sahabat lamaku yang telah setahun bertugas di sini telah menawarkan motor EX5 nya untuk kegunaanku buat sementara waktu.

Aku masih terpaku di tepi perhentian bas. Masa kian mendesak. Waktu makin menghimpit. Rata-rata pencari rezeki di bumi Tuhan ini kejar mengejar. Entah keberanian apa yang ada dalam diri ini sehingga aku telah menahan sebuah kereta yang melintasi di hadapanku.

Kereta tersebut berhenti lalu mempersilakan aku masuk. Setelah beberapa detik, hatiku kembali tenang. Mataku tajam ke muka jam. “Ahh...sempat lagi”, aku memberanikan diri dan bertanyakan tuan kereta tersebut tempat, arah yang beliau hendak tuju.

“Alamak!”, terkejut aku dibuatnya. Rupanya tuan kereta tersebut mempunyai hala tuju yang sama dengan diriku. Lebih memeranjatkan lagi, beliau adalah pengetua sekolah tempat aku akan melaporkan diri.

Justeru, aku terus ‘melaporkan diri’ padanya. Ya. Melapor diri secara tidak rasmi di dalam keretanya, bukan di dalam pejabatnya.


Pejabat SMKA Kota Kinabalu : Ceria dan Cantik

Tujuh tahun berlalu begitu pantas. Januari 2001 aku dipindahkan ke Melaka. Namun, kenangan di sabah, terutama di sekolah ini begitu melekat di hati.

Terlalu banyak pengalaman yang ditabur, budi yang disemai dan pahit maun yang dilalui. Semuanya itu mendewasakan kita sebagai warga pendidik yang berjaya.

Sekalung ucapan syukur dan terima kasih kepada mereka yang telah memberikan tunjuk ajar selama ini. Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment