Friday, September 30, 2011

Mengubat Penyakit Hati



Hati ialah segumpal darah yang berada di sebelah diri dada setiap manusia. Dalam bahasa Arab, ia disebut sebagai al-Qalbu (dengan huruf Qaf), bukannya al-Kalbu (dengan huruf Kaf) yang meluas penggunanya dalam bahasa Melayu, sedangkan al-Kalbu itu sebenarnya merujuk kepada seekor binatang yang bergelar anjing. Sesetengah ulama menghimpunkan hati, ruh dan nafsu dengan membawa maksud yang sama. Bagi memudahkan pemahaman kita, maka kita katakan hati itu adalah cawan dan nafsu itu pula air yang diisi di dalamnya. Manakala ruh itu pula hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahuinya.
Sandaran Nas :
• Hadis yang diriwayatkan Nu’man bin Bashir r.a, beliau mendengar Nabi saw bersabda :
عن النعمان بن بشير رضي الله عنهما قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: (.. ألا أنّ فِي الـجَسَدِ مُضْغَةً، إذَا صَلُحَتْ صَلُحَ الـجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الـجَسَدُ كُلُّهُ، ألا وَهِيَ الْقَلْبُ).
(صحيح مسلم ج: 3 ص: 1219)
Ertinya : “Ketahuilah bahawa sesungguhnya di dalam diri manusia itu terdapat segumpal daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh badan. Namun sekiranya daging itu rosak, maka musnahlah seluruh badan. Daging itu ialah hati”.
Jenis-jenis Nafsu :
• Ammarah – Nafsu Syaitaniah yang sentiasa mengajak manusia supaya melakukan kejahatan.
• Firman Allah swt. dalam surah Yusuf (53) yang bermaksud : "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
• Mulhimah – Nafsu Bahimiah (binatang) yang hanya menumpukan kehidupannya kepada makanan dan hubungan jenis.
• Lawwamah – Nafsu manusia (jahat) yang terkadang bertaubat di atas kejahatan yang dilakukan. Namun, dia mengulangi kejahatan yang sama. Begitulah kehidupannya, jatuh bangun, jatuh bangun berterusan, sehinggalah dia dapat membebaskan dirinya dari kekangan nafsu tersebut.
• Firman Allah swt. dalam surah al-Qiamat (2) yang bermaksud : “dan Aku bersumpah Dengan "Nafsul Lawwaamah" (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati”!
• Mutmainnah – Nafsu yang telah berjaya melalui pelbagai ujian dan rintangan dengan semangat mujahadah yang dimiliki. Nafsu ini dijanjikan Allah swt dengan balasan syurga.
• Firman Allah swt. dalam surah al-Fajr (27) yang bermaksud : (setelah menerangkan akibat orang-orang Yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan Bahawa orang-orang Yang beriman dan beramal soleh akan disambut Dengan kata-kata): "Wahai orang Yang mempunyai jiwa Yang sentiasa tenang tetap Dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!
• Radhiah Mardiah – Nafsu yang mencapai kemuncak kecintaan kepada Allah Yang Maha Pencipta.
• Firman Allah swt. dalam surah al-Fajr (28) yang bermaksud : "Kembalilah kepada Tuhanmu Dengan keadaan Engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
Hati Dalam Kesakitan
• Hati yang sempurna akan menjaminkan kesejahteraan hidup bagi pemiliknya, dunia maupun akhirat.
• Namun, hati tersebut jika tidak dijaga dan dikawal serta ditazkiahkan dengan pedoman Ilahi, pasti ianya akan musnah, rosak dan sakit.
• Firman Allah swt. dalam surah al-Baqarah (10) yang bermaksud : Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
• Begitu juga Firman Allah swt. dalam surah al-Taubah (125) yang bermaksud : Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) Yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.
• Situasi yang sama bagi golongan munafik. Firman Allah swt. dalam surah al-Ahzab (12) yang bermaksud : dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja".
Perkara-perkara Yang Merosakkan Hati1- Apabila terlalu menurut kata hawa nafsu yang sentiasa membisikkan kepada kita keseronokan duniawi. Akhirnya mata, telinga, dan aqal kita tewas dek bisikan tersebut.
Perhatikan Firman Allah swt. dalam surah al-Jasiah (23) yang bermaksud :Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan Yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi Yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang Yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
2- Bahkan, patuhan mereka terhadap kerajaan nafsu ini melantunkan kehidupan mereka dengan memuncakkan kesombongan, keangkuhan dan ketakburan. Perhatikan apa kata Firaun apabila diutuskan utusan Ilahi kepadanya sebagaimana yang disebut dalam surah an-Naziaat (23-24) yang bermaksud :
lalu ia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru, - Dengan berkata:
"Akulah Tuhan kamu, yang tertinggi".
Rantaian nafsu ini tanpa berkesudahan. Semenanjung Tanah Arab pula dimamahnya dengan berbekalkan budaya jahiliyyah, bersulamkan aqidah sembahan berhala, hancurlah sudah maruah wanita, binasalah pula sosial kehidupan yang bersendikan perjudian dan minuman keras. Beginilah nasib kaum Arab lantaran bernafsukan halwa semata-mata.
3- Hati juga akan menjadi punah ranah apabila dunia menjadi matlamat dalam kehidupan. Mengejar dunia seolah-olah mahukan kehidupan ini berlanjutan sehingga berkurun-kurun lamanya.
4- Hati yang rosak, musnah dan busuk tadi melaungkan semangat jahanamiah. Menjulang tuannya supaya melawan, menentang dan mencabar kebenaran. Lantaran kebenaran itu tidak bersejajarkan kehendak nalurinya. Adakah mereka membaca Firman Allah swt dalam surah Yaasin (77) yang bermaksud : Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telahmenciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah dia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati).
Merawat Penyakit Hati
1- Beriman kepada Allah swt adalah penawar dalam merawat pelbagai penyakit, khususnya penyakit hati. Menerusi ayat-ayat suci al-Quran yang di dalamnya adalah penyembuh segala penyakit hati. Lihat Firman Allah swt. dalam surah al-Taghabun (11) yang bermaksud : Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Ketakutan kepada Yang Maha Kuasa terhadap hari pembalasannya adalah penawar yang sebenar-benarnya bagi hati. Perhatikan Firman Allah swt. dalam surah Qaaf (33) yang bermaksud : "(Iaitu) orang Yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) Dengan hati Yang tunduk taat".
Kerana kasih sayangnya Allah swt ke atas hamba-hambaNya, maka diperhiaskan keimanan dalam diri orang-orang yang beriman. Alangkah indahnya. Renungkanlah Firman Allah swt. dalam surah al-Hujuraat (7) yang bermaksud : dan Ketahuilah! bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; -
2- Berilmu menjadi prasyarat kepada penyembuhan hati. Seorang yang jahil akan sentiasa bergelumang dengan kejahilan dan kesesatan yang tiada jalan penyudah. Lihat Firman Allah swt. dalam surah al-Alaq (3-4) peri pentingnya ilmu yang bermaksud : Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, -
Menerusi ilmu tersebut, kajian dan pemerhatian terhadap ciptaan Ilahi dapat dilanjutkan. Amalan seumpama ini mampu meningkatkan lagi keyakinan kepada Allah Rabbul Jalil. Justeru, nabi Ibrahim as. mengajarkan kita menerusi Firman Allah swt. dalam surah al-Baqarah (260) yang bermaksud : dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah Engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". dan ketahuilah Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
3- Berzikir dengan membasahkan lidah. Pagi-pagi dan petang-petang. Dengan memperbanyakkan menyebut Nama-nama Allah swt mampu menjinakkan hati yang liar, menyegarkan dedaun nafsu yang kering, lantas memekarkan bungaan iman dalam sanubari. Hayatilah Firman Allah swt. dalam surah al-Anfaal (2) yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
Hadis yang diriwayatkan Jabir r.a, beliau mendengar Nabi saw bersabda :
عن جابر رضي الله عنه قال : سمعت النبى صلى الله عليه وسلم يقول :
"أفْضَلُ الذّكْرِ لا إله إلا الله وأفْضَلُ الدّعَاءِ الـحَمْدُ لله".
(رواه الترمذي)
Ertinya : “Sebaik-baik sebutan zikir itu ialah Tiada Tuhan melainkan Allah, dan sebaik-baik doa ialah Segala puji bagi Allah swt.”
4- Bermujahadah pula merupakan suatu usaha yang berterusan, tanpa sekelumit putus asa, bagi meruntun hati dan nafsu agar tunduk dan patuh kepada Yang Maha Kuasa. Ibnu Miskawaih menulis buku tentang pendidikan jiwa dengan berlandaskan Firman Allah swt dalam surah as-Syams (7-10) yang bermaksud : 7. Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai Dengan keadaannya); 8. serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; - 9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), 10. dan Sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
5- Berdoalah sesungguh hati kepada Allah swt. mohonkan kekuatan dan bimbingan dalam proses pembersihan hati ini. Banyak hadis-hadis yang boleh dijadikan amalan kepada kita untuk berdoa kehadrat Ilahi.
1- "اللهُمَّ مُصَرِّفَ القُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلىَ طَاعَتِكَ". (رواه مسلم)
Ertinya : “Ya Allah Tuhan Yang Memaling-malingkan hati, palingkanlah hati ini atas ketaatan pada Mu.”
2- "يا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ". (رواه الترمذي)
Ertinya : “Ya Allah Tuhan Yang Membalik-balikan hati, tetapkanlah hatiku ini atas landasan agamaMu.”
3- "اللهُمَّ إنِّي أعُوذُ بِكَ مِنْ قَلْبٍ لا يَخْشَعُ، وَمِنْ دُعَاءٍ لا يُسْمَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لا تَشْبَعُ، وَمِنْ عِلْمٍ لا يَنْفَعُ. أعُوْذ بِكَ مِنْ هَؤلاءِ الأرْبَعِ".
(رواه الترمذي وأبو داود وانظر صحيح الجامع 10/410)
Ertinya : “Ya Allah Ya Tuhanku, aku memohon perlindunganMu dari memiliki hati yang tidak mahu tunduk, dari doa yang tidak diendahkan, dari nafsu yang tidak pernah kenyang dan dari ilmu yang tidak pula mendatangkan manfaat. Aku mohon perlindungan Mu dari empat perkara ini.”
Selain hadis-hadis di atas, terdapat satu hadis lagi yang mengkhususkan doa munajat kepada Ilahi, memohon kekuasaaNya untuk membersihkan hati kita, kerana Allah swt Yang menciptanya dan mengaturnya. Di sana, kita menzahirkan kelemahan dan ketidak-upayaan kita atas segala-galanya.
3- "اللهُمَّ إنّي أعُوذُ بِكَ مِنَ العَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالـجُبْنِ وَالبُخْلِ وَالـهَرَمِ وَعَذَابِ القَبْرِ. اللهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا وَزَكِّهَا أنتَ خَيْرَ مَنْ زَكَّاهَا، أنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاهَا. اللهُمَّ إنّي أعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لا يَنْفَعُ، وَمِن قَلْبٍ لا يَخْشَعُ، وَمِن نَفْسٍ لا تَشْبَعُ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لا يُسْتَجَاُب لَهَا". (رواه مسلم )
Ertinya : “Ya Allah Ya Tuhanku, aku memohon perlindunganMu dari rasa lemah dan malas, dari rasa takut dan kedekut, dari nyanyuk dan azab kubur. Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah kepada hatiku ini sifat ketaqwaan, dan sucilah ia kerana Engkaulah Ya Allah sebaik-baik Yang Membersihkannya, Engkaulah Tuannya dan Pemiliknya. Ya Allah Ya Tuhanku, aku juga memohon perlindunganMu dari ilmu yang tidak berguna. Dari hati yang tidak mahu tunduk, dari nafsu yang tidak pernah puas dan dari doa yang tidak pula dimaqbulkan.”
Amalan Menjaga Hati Dari Gangguan Syaitan• Hati yang soleh akan sentiasa menjadi rebutan para syaitan yang direjam. Dari itu, para solehin hendaklah sentiasa berawas dan berkawal.
• Membaca al-Fatihan sebagai amalan harian. 7 kali sebelum tidur, ditiup di kedua-dua tapak tangan dan disapu ke seluruh anggota badan.
• Melaungkan azan di setiap penjuru rumah sebanyak 7 kali. Diakhiri dengan membaca surah al-Qadr dengan mengulang-ulang sebanyak 3 kali ayat yang terakhir.
• Membaca Bismillah 5, iaitu :
بسم الله الرحمن الرحيم، بسم الله الشافي، بسم الله الكافي، بسم الله الـمُعافي،
بسم الله الذي لا يَضُرُّهُ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأرْضِ وَلا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.
• Sentiasa beramal dengan surah-surah munjiaat : Yaasin, Ad-Dukhan, Al-Waqiah, Al-Hasyr, Al-Mulk, Al-Jin dan Al-Insan.
• Disamping itum bacalah surah-surah : Al-Kahfi, As-Sajadah, Al-Fajr, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas.
• Kemudian berdoalah dengan doa ini :
تَحَصَّنْتُ بِحِصْنِ لا إله إلا الله
Ertinya : Aku berkubu dengan kubu Tiada Tuhan Melainkan Allah swt.
Kenali Sifat-sifat Mahmudah dan Mazmumah
• Nafsu adalah sebahagian dari kita. Ini berbeza dengan syaitan kerana ia dari unsur luaran dan lebih mudah dihalau berbanding nafsu.
• Nafsu tidak boleh dihalau dan dibunuh seperti yang dilakukan oleh golongan Nasara. Sebaliknya ia perlu dididik, ditarbiah, ditazkiah, ditahzib dengan penuh ketekunan dan kewaspadaan.
• Antara sifat-sifat mahmudah yang perlu kita hiasi diri ialah : Taubat, Khauf, Zikr al-Maut, Mahabbah, Zuhud, Tawakkal, Ikhlas, Syukur, Redha dan Sabar.
• Manakala sifat-sifat mazmumah yang sepatutnya kita hindari ialah : Marah, Hasad, Bakhil, Buruk Makan, Buruk Cakap, Gila Kuasa, Gila Dunia, Kagum Diri, Takabbur dan Riya‘.
Penutup
1- Marilah kita memperbanyakkan berdoa, membasahkan lidah dengan sentiasa berzikir, mengisi masa-masa kita dengan menambahkan ilmu agama dan berusaha untuk mempertingkatkan keimanan dari masa ke semasa.
2- Jauhilah diri kita dari segala penyakit sombong, riya’, takabbur, memungkiri janji, bersikap bengis dan pelbagi sifat-sifat mazmumah yang merosakkan kesucian hati kita.
Penambahan Ilmu :
1- Al-Quran dan Terjemahan.
2- Kitab Hadis dan Huraiannya.
3- Kitab akhlak yang muktabar.
4- Bertanyakan ulama yang murshid.
Sumber Rujukan :
1- Al-Quran dan Terjemahan.
2- Kitab Hadis dan Huraiannya.
3- Ibnu Miskawaih Muhammad (1981), Tahzib Al-Akhlak Fi At-Tarbiah. Darul Kutub Ilmiah, Beirut : Lubnan.
4- Al-Mawardi, Ali bin Muhammad (1987), Adab Ad-Dunia wa Ad-Din. Darul Kutub Ilmiah, Beirut : Lubnan.
5- Ibnu Qayyim, Muhammad bin Abu Bakar (t.t.), Madarij As-Salikin, Darul Hadis, Azhar : Mesir.
6- Al-Ghazali, Muhammad bin Muhammad (1986), Ihya’ Ulum Ad-Din.( jld:1) Darul Kutub Ilmiah, Beirut : Lubnan.
7- Khalid Muhammad Khalid (1988), Khulafa’ Ar-Rasul. Darul Fikr, Beirut : Lubnan.

No comments:

Post a Comment