Saturday, June 30, 2012

Imam Bukhari (194 - 257H)

Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Mughirah bin Bardizbah al-Ju’fi al-Bukhari.

Syu’bah menceritakan Imam Bukhari dilahirkan dalam keadaan tidak dapat melihat. Untuk itu, ibunya tidak putus-putus berdoa kepada Allah, akhirnya dimakbulkan Allah dan Imam Bukhari dapat melihat.

Bapa Imam Bukhari seorang ahli hadis yang mempelajari ahli hadis daripada ulama terkenal seperti Malik bin Anas dan Ibnu Mubarak. Bapanya meninggal ketika Imam Bukhari masih kecil.

Imam Bukhari dibesarkan dalam keluarga yang baik , beriman, soleh dan sentiasa mendapat makanan yang bersih. Beliau merupakan seorang yang warak, zuhud, soleh dan lemah lembut.

Beliau telah menghafal pelbagai kitab karangan para ulama’, mendengar daripada mereka serta sentiasa mengembara mencari ilmu. Beliau mendengar dari guru-guru hadis di Baghdad, Basrah, Kufah, Mekah, Madinah, Syam, Mesir dan lain-lain lagi.

Kehebatannya terserlah lantaran kesabarannya, kecerdasannya, kecintaannya kepada ilmu yang menduduki tangga teratas dalam kalangan ahli zamannya. Digelar sebagai Imam Muslimin dan juga Amir Mu’minin dalam bidang hadis. Terkenal dengan wara’,kuat ibadah dan tinggi ilmunya. Sebagai contohnya beliau telah diuji ingatannya oleh para pelajar hadis namun itu hanya sia-sia sahaja.

Imam Bukhari telah menulis dengan melebihi 20 buah buku  dalam bidang hadis, mustalah hadis, rijal hadis, pelbagai ulum Islamiyyah dan yang terkenal ialah Jami’ Sahih yang dikenali sebagai Sohih Bukhari.

Kitab ini dikira sebagai kitab yang pertama ditulis dalam bidang hadis sohih sahaja.Terdapat 9082 hadis (secara berulang) yang dipilih daripada 600 000 hadis yang dihafal. Imam Bukhari telah memerah tenaga, mengorban masa yang panjang iaitu selama 16 tahun sehinggalah selesai menyusun hadis sahih tersebut. Setiap kali menulis satu-satu hadis, Imam Bukhari akan solat dua rakaat dan berkata :   “Aku menjadikan ia sebagai hujjah antara aku dan Allah”.

Ulama’ dulu, kini dan selamanya tetap akan mengi’tiraf ia sebagai kitab hadis yang paling sohih.Bahkan ulama’ telah bersepakat bahawa kitab ini menduduki tangga ke-2 selepas al-Quran. Dari itu, para penuntut hadis berlumba-lumba mengali permata darinya, menghafal, mengkaji dan mengistinbat hukum-hakam darinya khususnya apa yang telah dilakukan oleh Ibnu Hajar (852H).

Ibnu Hajar ini adalah seorang ulama’ hadis terkenal yang mengarang melebihi 28 buah buku berkaitan hadis. Beliau telah hafal al-Quran ketika 9 tahun, mendalami nahu, sastera Arab, lalu menumpukan perhatian kepada hadis.Beliau telah membaca Sunan Ibnu Majah dalam 4 majlis, Sahih Muslim juga 4 majlis, Kitab an-Nasai’ juga 4 majlis, Sohih Bukhari dalam 10 majlis.

Setiap satu majlis selama 4 jam.Dengan kaedah yang teliti ini,  ulama’ hadis mampu menjaga pemalsuan hadis dan dapat pula menyelidiki satu persatu hadis yang disampaikan oleh perawi, yang akhirnya menjamin keutuhan agama suci ini.

Friday, June 29, 2012

Kassim Ahmad vs Kassim Selamat

Seniman ulung, Tan Sri P. Ramlee pernah mempamerkan kepada kita watak manusia yang terlalu memperjuangkan kehendak diri dan tuntutan peribadi sehingga sanggup menggadaikan maruah adat, bangsa dan agama dalam filem Ibu Mertuaku.

Polemik cerita yang ditonjolkan mengimbaukan minda kita bahawa manusia ini beragam-ragam. Ada yang senang diurus, ada yang sukar dikawal selia, ada pula yang suka mengarut, lagi teruk jika ada yang suka melalut.

Antara contoh situasi di atas ialah Kassim Ahmad. Beliau pada tiga bulan lalu menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya pengharaman bukunya 26 tahun lalu ditarik balik. Rentetan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji semula pengharaman buku tersebut yang berjudul, Hadis: Satu Penilaian Semula. (mkini, Jun 27, 2012)

Berikut beberapa fakta songsang yang saya petik dari buku beliau menerusi blogspotnya. Tak terdaya saya untuk menggalas segala idea sampah sarap dan hujjah berbaur dendam kesumat terhadap pengorbanan ulama silam. Saya naqalkan di sini sekadar meraikan kata-kata Saidina Umar ra, kita juga perlu tahu tunggang terbalik perangai orang-orang jahiliyyah dan saya kategorikan penulisan beliau sebagai idea zindiq.

1) Rasulullah hanya mewariskan Quran, tidak hadis.
Seperti yang telah kita lihat dari keterangan-keterangan sejarah yang kukuh, bila Nabi Muhammad wafat, beliau meninggalkan Quran sebagai warisan kepada umat Islam dan kepada umat manusia, dan tidak lain daripada Quran.

2) Imam Shafi’i membina fahaman silap.
Melalui sarjana-sarjana agama kita, khasnya Imam Shafi’i, antara 200-250 selepas Nabi wafat, membina satu fahaman baru bahawa apa yang diwariskan oleh Nabi kepada mereka ialah Quran dan Hadis/Sunnah, dan mereka mestilah berpegang kepada kedua-duanya.

3) Kita menolak hadis bukannya menolak Nabi Muhammad.
Penolakan kita terhadap Hadis/Sunnah sebagai sumber teologi dan perundangan sama sekali tidak bermakna penolakan terhadap Nabi Muhammad. Malah penolakan ini persis ialah untuk membersihkan nabi kita daripada ajaran palsu yang telah dikaitkan kepada beliau.

Hujjah beliau :
  1. a.Quran sebuah kitab yang lengkap, sempurna dan terperinci, dan tidak memerlukan kitab-kitab lain untuk menyempurnakan dan melengkapkannya.
  2. b.Tugas Nabi Muhammad semata-mata menyampaikan Quran, dan tidak lebih dari itu.
  3. c.Hadis merupakan pandangan dan pendapat manusia yang tidak terjamin kebenarannya. Ia tidak lebih daripada tekaan dan agakan;
  4. d.Ibadah-ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji bukan disampaikan melalui Hadis, tetapi adalah amalan turun-temurun yang berpunca daripada ajaran Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya.
4) Buku hadis sebagai catatan sejarah.
Buku-buku hadis merupakan satu catatan kesusasteraan dan sejarah yang perlu kepada pengkaji-pengkaji sejarah dan masyarakat bila mereka mengkaji sejarah dan masyarakat Islam pada waktu itu.

5) Buku hadis hanya boleh dibaca, tidak boleh diterima.
Kita boleh membaca dan mengkaji buku-buku hadis, sepertimana kita boleh membaca dan mengkaji buku-buku manusia lain, dengan syarat kita sedar bahawa kita tidak boleh menerima saranan-saranan dan idea-idea yang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran, dengan keterangan-keterangan sejarah yang sahih dan dengan hukum akal.

Saya rasa memadai saya bawa lima fakta di atas.

Hati saya membara, nafas saya tercunggap-cunggap, geram bercampur benci lantaran ada manusia yang sekerdil semut cuba untuk membandingkan dirinya dengan ulama seumpama Imam Bukhari.

Sebelum saya membidas, ingin saya katakan dan rakan-rakan cuba andaikan, siapakah manusia durjana ini, baharu bergelar Dr sudah rasa dirinya lebih tinggi dari rumput rampai dikencing kucing, tinggi sangatkah ilmu mereka sehingga sanggup mencabar kredebiliti Imamuna al-Syafi’e, entah-entah bahasa Arabpun beliau tidak faham sepatah haram, ana ante, ante unte...mungkin itu sahaja yang beliau faham.

Saya membidas melalui hujjah aqal, lantaran beliau menolak hujjah nas (Quran dan Hadis). Meskipun beliau nampak memetik beberapa ayat Quran sebagai sandaran, namun bagi saya, mana mungkin, tangan kanan membelai, tangan kiri mencubit.

Tujuan beliau menulispun boleh dipertikaikan, samada ingin memartabatkan Nabi saw atau merendah-rendahkan Baginda saw. Sekali pandang semacam ingin mengangkat dan mensucikan Nabi daripada hadis-hadis palsu, tetapi apabila diamati, rupa-rupanya beliau mahu menjatuhkan maruah Nabi kita saw secara tidak langsung.

Seolah-olah Nabi saw tiada berfungsi kepada ummah, hanya sebagai posman yang membawa surat dan dimasukkan ke dalam peti surat. Apabila ditanya oleh tuan rumah, apa isi surat tersebut, maka jawabnya ringkas, “Entahlah kak, saya bawa je”.

Bermaksud di sini, Nabi saw tidak memahami apa-apa tentang ajaran yang disampaikan. Kalaulah Nabi saw tidak tahu kandungan al-Quran, siapalah yang insan yang lebih tahu, si Kassim Selamat!

Juga seandainya tindak tanduk Nabi saw merupakan pandangan dan pendapat sebagai manusia yang tidak terjamin kebenarannya dan ia tidak lebih daripada tekaan dan agakan seperti yang Kassim Ahmad dakwa, siapa yang akan menunjukkan cara pelaksanaan perundangan Islam, kes kecurian yang disebut memotong tangan si pencuri, tangan yang mana satu, di tahap mana tangan itu dipotong. Begitu juga dengan ibadah haji, kaedah menentukan puasa dan sebagainya.

Sedar tak si Kassim ini, kalau dia boleh berpegang dengan ayat-ayat al-Quran, betapa banyaknya ayat-ayat mencerca dan mencela sikap dan perangai beliau ini.

Tolong buka al-Quran surah al-Hasyr. ayat 4 : Bermaksud “Lantaran kerana mereka mengingkari perintah Allah dan Rasul, Sesiapa yang mengingkari perintah Allah, pasti akan menerima balasan azab yang hebat”.

Ayat-ayat al-Quran yang meminta kita mentaati perintah, maka ayat tersebut pasti menggabungkan Allah dan Rasul sebagaimana solat dan puasa. Si Kassim dan pendokong fahamannya faham atau tidak hal tersebut.

Bagaimana bentuk keimanan kepada Nabi saw padahal menafikan segala perkataan, perbuatan dan taqrir yang ditunjukkan?

Kita bersetuju bahawa segala hadis palsu adalah tidak wajar disandarkan kepada Nabi saw. Bagaimana pula mereka beriman dengan hadis-hadis sahih ? Sedangkan mereka menolak Imam Bukhari dan ulama hadis. Bagaimana mereka menjana hadis kalau bukan daripada penat lelah para muhadisin menghimpun, mengumpul, mentarjih, mentajrih dan menta’dil? Mereka ini belajar tak mustolah hadis?.

Saya pernah membentang sebuah kertas kerja tentang kaedah penyelidikan hadis dalam kalangan para muhadisin. Begitu teliti dan tekun sekali mereka demi sebuah amanah menyampaikan untuk hadis sahih, terutamanya methodolgi yang diamalkan oleh Imam Bukhari.

Betapa naifnya kelompok yang memperlekehkan imam agung ini. Sampainya hati mereka menyama-tarafkan Imam Bukhari dengan diri mereka. Berapa banyak hadis yang telah mampu mereka hafal ? Berapa banyak pula guru hadis yang telah mereka berguru ? Baca riwayat hidup Imam Bukhari terlebih dahulu sebelum menyerangnya.

Teringat saya kepada sebuah buku karangan orientalis yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, antaranya bahasa Jerman, Inggeris dan Perancis. Buku ini memperihalkan kesahan puisi Arab kuno ( دراسات المستشرقين حول صحة الشر الجاهلي ).

Saya dah baca buku ini, dan telah membuat kritikan terhadapnya. Belum sempat untuk saya mencatat dalam blog ini. Jika ada keizinan, insya Allah.

Method penulisan adalah sama sahaja. Mereka mencari fakta sejarah untuk meragukan kesahan puisi kuno Arab. Sedangkan pada hakikatnya, mereka ini bukan teruja sangat untuk menolak atau menerima puisi tersebut, matlamat mereka ialah menolak al-Quran. Untuk menentang al-Quran secara terus, agak sukar kerana ia adalah suatu kejutan kepada umat Islam dan langsung tidak boleh diterima.

Mereka menolak puisi itu kerana antara mu’jizat al-Quran adalah melemahkan puisi Arab. Apabila puisi ini adalah ciptaan oleh orang-orang terkemudian, bermakna al-Quran itu turun semasa puisi belum wujudpun. Ianya diada-adakan oleh orang terkemudian bagi menunjukkan kehebatan al-Quran.

Tuan-tuan perhatikan, hujjah orientalis ini dan si Kassim Ahmad adalah sama sahaja. Yang satu meragui puisi, dan satu ini pula meragui hadis. Kedua-dua mereka bertitik tolak dari sejarah. Mereka tahu, pengajian sejarah tidak ramai orang yang tahu, lagi pula serjarah boleh diputar dan dipulas ikut suka mereka. Apabila orang berhujjah itu salah, maka mereka kata, itu bacaan mereka, bacaan saya semacam ini.

Berapa ramai kita ditipu dengan sejarah Hang Tuah. Kalau ikut nama asal, orang Melaka tiada nama berawalkan Hang. Panggilan Hang ini bagi mereka di sebelah utara. Berkemungkinan juga Hang Tuah ini berasal dari negara China lantaran perdagangan yang aktif semasa itu. Hang Tu Ah..ada kemungkinan juga nama bagi orang cina. Atau juga, Han…tu Ahh, rentetan orang Melayu begitu takut dan amat membesarkan hantu dalam budaya hidup mereka. Macam-macam boleh kita perkatakan.

Teori serba moknika ini telah meresap dalam minda si Kassim Ahmad ini yang akhirnya menjadikan pemikirannya caca merba. Tidak mampu lagi menilai mana yang hak dan mana yang bathil.

Tidak cukup di situ, diheret sama cacian dan ugahan kepada para ulama silam. Tujuan mereka hanya satu, agar kita hilangkan rasa hormat kepada guru mazhab kita dan mahaguru hadis kita.

Apakah mazhab yang dianuti oleh si Kassim ini. Adakah bermazhan Syaf’ie? atau tiada bermazhab…saya pun tak pasti.

Seandainya beliau bermazhab Syafi’e, bermakna beliau bersuci, bersolat, berzakat dan sebagainya, masih mengikut mazhab Syafi’e. Untuk apa dia berpegang kepada mazhab yang hanya rekaan Imam Syafi’e semata-mata ?

Carilah mazhab sendiri, rekalah aliran sendiri, jangan rujuk kitab-kitab hadis yang mu’tabar, kerana beliau tidak lagi menghormati penulisnya.

Adab belajar mesti menghormati tenaga pengajar, jika tidak, itu dinamakan kurang ajar. Mereka yang kurang ajar adalah bergurukan syaitan dan iblis, kerana iblis bertindak kurang ajar dengan perintah Allah dan RasulNya.

Saya tahu, di sebalik penulis buku ini, ada pendokong dan penyokong kepada idea tersebut. Soalan pada abad ini :

Kenapa setelah 26 tahun ia muncul kembali ? Adakah hendak menunjukkan keprihatinan Jakim ? Ataupun mejulingkan isu semasa kepada isu penolakan hadis ini?

Apa pun yang direka, dibuat dan dicula, elaklah daripada memperdagangkan agama demi setitis susu dan semangkuk gulu-gula murahan yang berselindung di sebalik pembaharuan pemikiran dan amalan.

Idea yang dianuti terpesong, pegangan menyeleweng, pemahaman yang tersasar dan usaha yang bercanggah dengan nilai keluhuran Islam.

Sementara mentari masih bersinar, bulan masih mengembang, udara masih dihirup dan bumi masih menghijau, jalan pulang masih ada, ajak rakan-rakan pendokong termasuk wartawan, tuaikan kembali tunas iman, semaikan bersama iringan sesalan, semoga Allah menunjukkan tuan dan rakan-rakan jalan kebenaran.

Sedarlah akan kebenaran sebagaimana sedarnya mak mertua si Kassim selamat sementara waktu masih ada, sementara babak belum berakhir, sementara tirai belum dilabuhkan.

Kebenaran bagaikan anak kecil, dipanggil dia datang, dihalau dia pergi. Usah ditengking dan dilawan, kelak ia melawan. Apabila kebenaran melawan, sudah pasti kebathilan akan menghilang.

Thursday, June 28, 2012

Sentuhan Bumi Mesir

Dua tahun lepas, awal 2010, saya berkesempatan melancong ke Mesir, bumi para anbiya', bumi ratusan artifak kuno, bumi yang menyimpan khazanah dunia, bumi yang mampu menceritakan segalanya.
Sekadar berkongsi maklumat, ingin saya catatkan kenangan yang masih melekat di minda ini.
Meskipun dikhabarkan orang, bahawa Kaherah merupakan bandaraya yang kelam kabut, penuh sesak dan tidak teratur, namun di sebalik itu terselit kenikmatan berkunjung ke sana lantaran keindahan agama yang dihayati menerusi masjid-masjid dan corong-corong radio.
Sebelum azan berkumandang, sudah pasti corong masjid akan dikumandangkan dengan ayat-ayat suci yang begitu menusuk ke hati. Bacaan yang penuh bertajweed dan bertarannum itu disampaikan dengan suasana yang mengheretkan kita untuk bersolat di dalamnya. Seolah-olah, kaki ini tidak mampu lagi melangkah ke destinasi lain, selain bersolat bersujud ke hadrat Ilahi.
Para Jemaah yang saling mengeratkan hubungan ukhuwwah, ada yang bersolat, ada juga yang bertilawah, begitu juga yang berzikir bertasbih membesarkan Allah. Indah sungguh detik-detik masa ketika berada di dalam masjid. Meskipun suasana di luar masjid yang agak berbeza, dengan kelibat manusia yang berhulu dan berhilir, ada juga yang meminta simpati seteguk air sekeping roti sebagai pengalas perut sejak dinihari.
Semasa kunjungan saya ke Masjid al-Azhar al-Syarif, terdapat pula beberapa kelompok penuntut yang dahagakan ilmu. Berkelompok di bilik-bilik yang telah ditetapkan bersama syeikh masing-masing. Sempat juga saya melempar pendengaran buat seketika bagi menangkap butir kata yang disampaikan.
Suasana ini amat mengharukan. Sukar untuk dihidupkan di masjid-masjid di negara kita. Selagi mana kuku pemerintah masih mencakar di tangga-tanga masjid, selagi itulah kukuran khatib akan terganggu. Amat sukar sekali untuk bertutur di kala mata penerkam sedang memerhati.
Amat jauh untuk membandingkan khatib Mesir dengan khatib kita. Mereka berkhutbah dengan penuh bernada, berilmiah dan beremosi, dan yang paling penting tidak berteks. Khatib kita pula membaca, terkadang mengeja, ada yang tersalah, banyak pula yang tersilap. Mana mungkin untuk kita berkhutbah ketika mata melekat pada kertas.
Berkhutbah cara ini tidak mampu menyentuh emosi para jemaah. Maka, tidak hairanlah jika ramai para jemaah tertunduk akur mendengar bacaan khutbah si khatib, bahkan ada yang terlena, termimpi dan terbang jiwa dan raganya entah ke mana, meninggalkan si khatib atas mimbar sendirian bercakap.
Semasa saya ke Algeria pada tahun 1990 dahulu ketika FIS menang, pentas mimbarlah yang menjadi penggerak utama. Penyampai khutbah yang terdiri daripada anak-anak muda, bersemangat waja dan inginkan islah kepada negaranya.
Kembali kepada cerita kita di Mesir.
Jika anda berkesempatan menaiki teksinya, naiklah. Anda akan dijemput dan dipersilakan. Perhatikan kepada pemandunya. Jika berhjanggut dan melemparkan senyuman kepada anda, sedarlah, anda kini berhadapan dengan sahabat anda, Ikhwan Muslimin.
Mereka ini amat sukakan Islam. Mereka pendokong kepada gerakan Islam. Suatu ketika dahulu, kumpulan ini sentasa diintip, ditangkap, dipenjara. Ramai juga yang telah gugur syahid, antaranya Syed Qutb.
Askar-askar di setiap persimpangan jalan, bukan untuk kemudahan rakyat, tetapi untuk kesenangan pemerintah. Mereka bertindak mengikut paluan gendang pemerintah.
Sudah betapa lama rakyat Mesir ditindas, dilenyet dan dihayun sesuka hati mereka. Kini, rakyatnya bebas dan berkeupayaan untuk hidup sebagai manusia yang juga punya hak atas tanah air mereka.
Semasa anda berada dalam teksi tersebut, anda akan hanya mendengar alunan ayat-ayat Allah yang dipancarkan menerusi saluran agama mereka. Ayat-ayat suci ini akan terhidang di pendengaran rakyat Mesir sepanjang masa dan boleh pula diakses 24 jam.
Ruang untuk berhibur tiada lagi. Zaman Ummi Kathum telah berlahu. Kini kembali balik era Hassan al-Banna.
Selagi mana hiburan menjadi puncak anutan rakyat, selagi itulah kemenanag sukar untuk berpihak. Lihatlah, corongan radio kita, buka stesen 1, lagu, stesen 2 juga lagu, stesen 3 pun sama. Nak tak nak, tukarkan kepada kaset, baharulah dapat mendengar ayat-ayat Allah.
Jauhnya kita berbanding mereka
namun, kita berusaha seusaha mereka
semoga titisan semangat tetap membara
menghijau, menyubur dan menanung
untuk kebaikan sejagat.

Mendekati Keluarga Tuan Presiden Mesir

(Teks Asal berbahasa Arab)

Abdul Illah, seorang wartawan Mesir menulis (26 Jun 2012) di dalam surat khabar harian Mesir menjelaskan bahawa keluarga Dr. Muhammad Mursi akan meneruskan kehidupan harian seperti mana biasa.

Apa yang menariknya, isteri beliau menolak untuk digelar Wanita Pertama  ( السيدة الأولى ), namun beliau akan tetap bersama suami dan meneruskan aktiviti kemasyarakatan seperti mana yang telah dilakukannya sebelum ini.

Keluarga mereka juga menolak untuk berada dalam istana presiden, bahkan mereka lebih suka untuk berada di rumah yang mereka berada sebelum ini. Namun begitu, mereka masih berbincang untuk mencari rumah yang agak besar untuk memberi keselesaan kepada tetamu yang berkunjung.

Isterinya, Najla’ Mahmud telah dikahwininya pada 30 November 1978 dan dikurniakan Allah dengan lima orang cahaya mata. Beliau yang juga bertudung seperti mana kebanyakan ibu-ibu yang lain telah dikritik hebat oleh media dek penampilannya jauh berbeza dengan Suzaane (isteri Hosni Mubarak) yang dilihat bergaya ala keparisan dengan tatahan berlian dan permata di badan.

Anak sulung Dr. Muhammad Mursi, Ahmad adalah seorang doktor perubatan yang kini bertugas di Arab Saudi semenjak dua tahun yang lalu. Beliau akan tetap bersama kerjayanya dalam bidang pembedahan klinikal dan cuba untuk tidak menghampiri pentas politik.

Adapun anak kedua, Syaima’ yang juga merupakan satu-satunya puteri kesayangan telah memperolahi ijazah dalam bidang sains dari Universitui Zaqaziq. Beliau telah berumahtangga dengan Dr. Abdul Rahman Fahmi, seorang pensyarah perubatan di Universiti tersebut dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Manakala anak ketiga pula, Usamah pula pemegang ijazah dalam bidang perundangan dan kini berkerjaya sebagai seorang peguam di pejabatanya sendiri.

Adapun yang keempat pula, Umar adalah pelajar tahun akhir di Fakulti Perniagaan. Beliau merupakan penggerak utama bersama-sama bapanya semasa kempen pilihan raya yang lepas.

Abdullah pula, sedang menuntut di sekolah menengah merupakan anak yang paling bongsu dan paling bersemangat dan juga yang paling hampir di hati rakyat.

Sebaik sahaja bapanya diumumkan sebagai presiden untuk Republik Arab Mesir, beliau terus membuat catatan di facebooknya, sedutan dari catatannya :

"نطيعك ما أطعت الله فينا، ونعصيك ما عصيت الله فينا، وسنثور عليك إن خالفت الثورة وأهدافها، ونثور عليك إن لم تأتِ بحق الشهداء والمصابين".

Bermaksud : Kami akan mentaati kamu selagi mana kamu mentaati Allah, kami akan mengingkari kamu seandainya kamu mengingkari Allah. Kami akan menuntut balas sekiranya kamu menyalahi matlamat perjuangan yang disasarkan, dan kami juga akan menuntut ke atas kamu sekiranya kamu tidak memberi keadilan terhadap titisan darah para syuhada’ dan mangsa yang telah dizalimi”.
sumber : http://www1.youm7.com/

Seolah-olah sebagai presiden maka mesti beristana besar, berkereta mewah pula beristeri yang diselaputi tatahan emas permata. Agaknya itulah penyebab kepada TG Nik Aziz dikritik hebat lantaran tidak memanfaatkan kemudahan sebagai MB.

Tahukah mereka bagaimana kehidupan Saidina Umar ra semasa menjadi khalifah ?

Usahlah terikut-ikut dengan rentak Maharaja Rome, yang penuh dengan kesombongan dan ketakburan, namun akhirnya kelak dihancurkan Allah.

Dengarlah apa kata penyair Arab ini :

يا خادم الجسم كم تشقى بخدمته
لتطلب الربح مما فيه خسران
أقبل على النفس واستكمل فضائلها
فأنت بالنفس لا بالجسم إنسان
(أبو الفتح البستي)

Saya terjemahkan sebagai meraikan rakan-rakan belum boleh berbahasa Arab:

Wahai pencari kepuasan diri, betapa sukarnya untuk dipuaskan #
     mengejar sesuatu yang akhirnya menempuh kerugian
Didiklah jiwamu dan berusahalah menyempurnakannya #
    kerana kamu bergelar manusia kerana jiwamu, bukannya kerana bentuk badanmu.

Ikut Cakap Bola

Telah menjadi adat resam orang kita, suka mengambil tahu hal orang dan suka pula bercakap tentang orang. Jarang sangat kita dapati orang kita bercakap tentang diri mereka sendiri.

Saya berpendapat ianya ada kaitan dengan sesuatu yang kita hasilkan. Seandainya terdapat sesuatu yang berfaedah besar, maka sudah pasti akan ada orang lain yang akan mengambil tahu tentang hasilan tersebut.

Kita pernah mendengar orang memberitahu kita, jangan asyik kita membaca sejarah orang, mari kita cipta sejarah kita sendiri untuk dibaca oleh orang.

Ini bermaksud. sesiapa yang bercakap tentang diri orang lain, bermakna orang lain itu ada sesuatu yang tidak pula dimiliki oleh mereka.

Merujuk kepada situasi hangat kini berkaitan dengan bola, boleh dikatakan setiap pagi TV3 akan memberi fokus kepada perlawanan bola EURO 2012.

Menurut adat pelaziman, sesuatu yang tidak disukai, namun apabila dilazimi terhadap sesuatu perkara, nanti perkara itu akan menjadi sesuaitu yang disukai, bahkan mungkin juga akan menjadi kegilaannya. Contoh yang paling tepat ialah bola.

Mereka yang tak minat pun boleh jadi minat. Apabila ditanya, kamu meminati pasukan yang mana? Terus menjawab : Speinyol, saya mengikut gaya sebutannya. Yang sebetulnya, Spain atau Spanyol atau juga Espana (tetapi dibaca Espanya). Dek kerana ketololan yang melampau, maka disebut speinyol. Begitu juga dengan sebutan huruf 'u', orang Spanyol menyebut 'u' itu dengan huruf 'b', seperti Ceuta, disebut Sebta.

Ingin juga saya katakan di sini, betapa orang-orang Spanyol ini teramat ta'sub dengan bangsa dan bahasa mereka. Kalau anda melancong ke sana, usahlah nak bertutur dalam bahasa Inggeris, tidak akan dilayannya. Bukan mereka tidak memahami bahasa Inggeris, tetapi dek kerana keta'suban mereka dengan bangsa dan bahasa mereka.

Saya juga pernah bertemu dengan seorang rakan, uztaz pula, bukan bermakna ustaz tidak boleh meminati bola, tetapi peminatan yang melampau itu adalah suatu yang mencacatkan kewibawaannya. Dia menjelaskan bahawa dia minat gila pada bola.

Ingin saya katakan disini bahawa, orang Eropah tidak pun bercakap tentang bola kita, kita pula asyik bercakap tentang bola mereka.

Mereka tidak pun menyanjung pasukan bola kita, kita pula lebih-lebih menyanjung pasukan bola mereka. Sampai ada yang menyembut, CR tetap di hati saya.

Ingin saya katakan bahawa Ronaldo tidak pernah bertemu dengannya dan tidak pula mengenalinya, bahkan tidak pernah memimpikannnya. Kenapa pula dia menyibukkan dirinya untuk meletakkan Ronaldo di dalam qalbu hatinya. Katanya, "Walaupun pasukan Portugal kalah, namun Ronaldo tetap di hati ini".

Inlah yang saya katakan bahawa banyak masa kita habiskan untuk memperihalkan orang, menyibuk pasal orang, mengambil tahu tentang orang dan sebagainya.

Sedangkan Islam mengajak kita menerusi hadis Nabi saw agar meninggalkan sesuatu yang tiada kaitan langsung dengan diri kita.

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه
حديث حسن رواه الترمذي وغيره

Bermaksud : Antara keindahan Islam seseorang itu meninggalkan apa yang tiada kaitan dengan dirinya.

Pertanyaan saya meskipun saya tahu ada rakan-rakan yang kurang selesa dengan tulisan ini, apakah yang pasukan itu dapat berikan kepada kita hasil sokongan padu kita kepada pasukan mereka, jersi, bola atau tiang gol?  Jersi pun kena beli sendiri.

Inilah dikatakan orang tak berbaloi mencengkang mata jam 2 45pg demi merebut segenggam abu dan mendabik sekeping arang lalu berkata pasukan aku telah menang.

Tuesday, June 26, 2012

Biodata Dr. Muhammad Mursi (Teks Asal Berbahasa Arab)

Nama penuh beliau ialah Muhammad Muhammad Mursi Isa al-‘Ayyat. Dilahirkan di Wilayah Timur Mesir pada tahun 1951 dari keluarga sederhana, bapanya seorang petani dan ibunya pula sebagai suri rumah. Beliau merupakan anak sulung daripada kedua-dua ibubapanya yang kini telah meninggal dunia.
Memulakan alam persekolahan di sekolah yang terletak di wilayah tersebut. Melanjutkan pengajian di peringkat universiti di Kaherah pada tahun 1970 dalam bidang kejuruteraan. Beliau menamatkan pengajian pada tahun 1975 dengan mendapat kelulusan cemerlang (imtiyaz). Meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dan PhD di University California dalam bidang kejuruteraan kapal angkasa lepas dan memperolehinya pada tahun 1982.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di beberapa universiti, antaranya : Universiti Los Angeles, USA., Universiti Zaqaziq, Universiti Kaherah dan Universiti al-Fatih di Tripoli. Beliau juga pernah menjawat jawatan Dekan Fakulti Kejuruteraan.
Sebagai pensyarah, beliau banyak terlibat dalam membuat kajian dan penyelidikan, mencecah hampir 27 kajian termasuklah kajian mengenai angkasa lepas. Atas kehebatan, keintelektualan dan kepintaran beliau, maka Amerika telah menawarkan kerakyatan kepada beliau dan isteri beliau sebagai rakyat Amerika. Namun, beliau menolak lantaran kasih dan sayang beliau terhadap tanah air tercinta.
Beliau juga merupaka seorang bapa yang amat menitik-beratkan pendidikan agama kepada anak-anak. Beliau, isteri dan kelima-lima (Ahmad, Syaima’, Usamah, Umar dan Abdullah) cahaya matanya menghafaz al-Quran.
Dalam bidang politik pula, beliau merupakan Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan Rakyat Mesir.  Pada masa yang sama, beliau juga dilantik sebagai JK Bahagian Politik Ikhwan Muslimin semenjak tahun 1992. Dek kerana kelantangan dan keagresifan, beliau telah dipenjara beberapa kali dan kali terakhir dibebaskan pada tahun 2006.
Kini, beliau dilantik sebagai Presiden Republik Arab Mesir yang ke-5 bermula 24 Jun 2012 melalui proses pilihanraya lantaran pengalaman beliau yang luas dalam bidang hubungan antarabangsa dan pemikirananya yang jelas juga berwawasan.
Sebaik sahaja dilantik, Dr. Muhammad Mursi selaku presiden yang baharu bagi Rebuplik Arab Mesir menggariskan beberapa komitmennya :
1- اليوم الشعب هو مصدر السلطة في مصر.
Kini, rakyat sebagai sumber kekuatan bagi Mesir.
2-سأبذل كل جهدي للوفاء بالتعهدات.
Saya berjanji akan menunaikan segala janji semampu upaya saya.
3-إذا لم ألتزم بتعهداتي فلا طاعة لي عليكم.
Seandainya saya tidak lagi berpegang kepada janji-janji saya, maka tidak perlu kalian mentaati saya.
4-نحمل مشروع شاملا لنهضة مصر لكل ما لدينا من موارد.
Marilah kita bina negara Mesir dengan pelbagai sumber semulajadi yang kita miliki.
5-أعدكم بنهضة مصرية تحقق الحياة الكريمة لكل مصري.
Saya yakin dengan kebangkitan ini akan tertegaklah maruah kehidupan bagi setiap warga mesir.
6-سنحافظ على المعاهدات والمواثيق الدولية ولقد جئنا برسالة سلام.
Kami akan menjaga amanah ini dan sememangnya kita membawa bendera keamanan.
7-جاءت اللحظة التي استرد فيها الشعب حريته.
Kini, tibalah masanya untuk seluruh rakyat Mesir menikmati kebebasan hidup.
8-إنني لن أخون الله فيكم ولن أعصيه في وطني واضع نصب عيناي قول الله تعالى : "واتقوا يوما ترجعون فيه إلى الله".
Saya tidak akan mengkhianati Allah dan tidak pula mengingkari perintah-Nya. Saya sentiasa ingat firman Allah yang bermaksud : Takutlah kamu akan hari yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah.
9-لن نسمح لأنفسنا بالتدخل شؤون أي دولة.
Kami tidak akan masuk campur urusan negara luar.
10-ولن نسمح لأي دولة بالتدخل في قرارنا.
Dan kami juga tidak akan membenarkan kuasa luar mencampuri urusan negara kita.
11-أدرك تحديات الواقع ولكني أثق بقدرتنا على عبور هذه المرحلة.
Saya fahami situasi kini, namun saya yakin kemampuan yang ada untuk mengatasi situasi tersebut.
12-قدر مصر أن تصبح رائدة وقوية وهذا ما ننتظرها.
Kita harapkan Mesir menjadi perintis kepada kekuatan yang kita perjuangkan.

Semoga tiupan angin perubahan ini
meniupkan bersama debunga kehijauan
ke bumi Melayu warisan keturunan 
agar membenihkan awan kebahagian
lalu menyegarkan rakyat sekalian
yang haus, dingin dan kelaparan
dek cakaran songsang
yang menanahkan kehampaan
merobek sayap keadilan
membakar haruman kepercayaan.

Sumber :
http://ar.wikipedia.org/
http://yemen.press.com/

Mencabar Hari Kebangkitan

Kuliah Maghrib (24/6/2012) di Jasin, Melaka.

Surah Yaasin , ayat : 48
( ويقولون متى هذا الوعد إن كنتم صادقين )

Bermaksud : Mereka (Kaum kafir Quraisy) mempersoalkan bilakah akan berlakunya hari pembalasan itu seandainya kata-kata kamu itu adalah benar.

Syed Qutb, ketika berdepan dengan ayat ini menjelaskan bahawa janji Allah swt tidak akan dipercepatkan atau dilengahkan dek kerana tuntutan sesetengah pihak. Sebaliknya janji Allah swt itu didasari kepada hikmah dan peraturan yang telah menjadi ketentuan Ilahi.

Ibn Kathir pula menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan betapa bencinya orang-orang kafir terhadap hari pembalasan lantaran dosa-dosa yang telah mereka lakukan.

Sementara itu, al-Qurtubi menafsirkan ayat ini sebagai ejekan dan persendaan mereka terhadap dakwah yang disampaikan oleh Rasulullah saw.

Surah Yaasin, ayat : 49
( ما ينظرون إلا صيحة واحدة تأخذهم وهم يخصمون )

Bermaksud : Apa yang mereka ejakkan dan nantikan itu mampu terjadi dengan hanya sekali tiupan sahaja, pada masa itu mereka akan berbalah-balahan.

Kata Syed Qutb : Ini adalah jawapan kepada persoalan mereka tadi.

Imam al-Qurtubi menjelaskan berdasarkan hadis Nu'aim :

روى نعيم عن أبي هريرية قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : تقوم الساعة والرجلان قد نشر ثوبهما يتبايعانه فلا يطويانه حتى تقوم الساعة، والرجل يليط حوضه ليسقي ماشيته فما يسقيها حتى تقوا الساعة، والرجل يخفض ميزانه فما يرفعه حتى تقوم الساعة، والرجل يرفع أكلته إلى فيه فما يتبلعها حتى تقوم الساعة

Dua ayat di atas menggambarkan suasana apabila berlakunya hari Qiamat.

Menurut Iam Ibn Kathir, tiupan akan berlaku tiga kali. Kali pertama : tiupan yang menakutkan. Kedua : tiupan mematikan. Ketiga : tiupan kebangkitan.

Namun bagi imam al-Qurtubi pula, hanya ada dua kali tiupan sahaja. Pertama : bagi mematikan dan kedua untuk kebangkitan.

Walau apapun keadaan, yang pasti Qiamat akan berlaku. Bagi mereka yang mempersenda-sendakan hari tersebut juga pasti akan menyaksikan kebenarannya.

Pada hakikatnya, apabila mereka mengingkari hari kebangkitan ini, bermakna juga mereka menolak ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Mana mungkin tiada hari pembalasan setelah penzaliman, penganiyaan dan pelbagai penindasan dilakukan. Dari itu, untuk dihadapkan kemuka pengadilan adalah suatu kemestian.

Orang yang takut diadili adalah terdiri daripada kumpulan yang melakukan kesalahan. Jika kita benar dan tidak pula melakukan kesalahan, atau terlaku kesalahan lantas bersegera menyusun jari bertaubat, maka hari pengadilan tidak akan menggentarkan mereka.

(فلا خوف عليهم ولا هم يحزنون )

Monday, June 25, 2012

Kilauan Isra' & mi'raj

Dua hari lepas, saya telah dijemput untuk sesi percambahan ilmu di Surau Taman Universiti, Bangi atas pelawaan Ust. Dr. Kamaruzzaman Abd. Ghani (UKM) bagi membicarakan tentang peristiwa Isra' dan Mi'raj.

Beberapa fakta yang telah saya kupas untuk kongsian bersama.
1) Peristiwa Isra' dan Mi'raj terjadi selepas berlaku penindasan demi penindasan ke atas umat Islam, termasuklah Nabi saw rentetan daripada kematian isteri tersayang Saidatina Khadijah ra, sebulan lima hari kemudian disusuli pula dengan kematian bapa saudara Nabi saw Abu Talib.

Ramai yang beranggapan kesedihan Nabi saw berikutan kejadian tersebut lalu dinamakan 'Tahun Dukacita'. Namun begitu, pada hakikat sebenarnya, Nabi saw berdukacita bukan atas sebab-sebab itu, sebaliknya atas sebab-sebab halangan dakwah terpaksa bertembung dengan sesi penentangan yang berlipat lagi ganda.

2) Berlaku penafian dalam kalangan kafir Quraisy lantaran peristiwa tersebut tidak boleh diterima oleh aqal mereka.

Al-Quran menjelaskan ( أسرى ) yang bermaksud memperjalankan, bukannya bermakna berjalan. ( دخل ) dakhala dalam b Arab bererti masuk, tetapi ( أدخل ) adkhala bererti pula memasukkan. Buku tidak boleh masuk dalam beg, namun ia boleh dimasukkan oleh seseorang.

Orang kafir Quraisy, ankara kebencian mereka terhadap Nabi saw sehingga terpaksa menutup mata mereka terhadap bahasa mereka sendiri. Meskipun mereka dikira bangsa yang paling hebat berpuisi dan berbahasa.

Nabi saw bukannya berjalan dengan kekuatan Baginda saw, sebaliknya Baginda saw diperjalankan oleh kuasa yang lain. Kuasa yang menjangkau kekuasaan manusia.

Peneman Nabi saw pula adalah Jibril as yang merupakan malaikat yang mempunyai kekuatan tersendiri. Surah al-Najmu menjelaskan (علمه شديد القوى ) kehebatan Jibril as telah terbukti apabila mengangkat kaum Nabi Luth as yang tinggal di tujuh bandar besar lalu diterbalikkannya.

3) Memperlihatkan keagungan kerajaan Allah swt.

Diriwayatkan oleh al-'Abbas, suatu ketika Nabi saw berada di tanah lapang, tiba-tiba sekumpulan awan menutup mereka. Lalu Nabi saw bertanyakan para sahabat ra, apakah yang kamu namakan awan tersebut. Para sahabat ra, ada yang menyatakan ( السحاب، المزن ، العنان ). Sebaliknya Nabi saw menjelaskan, jarak antara langit dan bumi ialah 72 tahun perjalanan. Begitu juga jarak langit kedua, langit ketiga hingga langit ketujuh. Atas langit ketujuh, diliputi air dan diikuti dengan 'Arasy ( وكان عرشه على الماء )

Antara kehebatan kerajaan Allah swt, maka Nabi saw diperlihat wajah Jibril as untuk kedua kalinya dengan 600 sayap yang berwarna warni dan bertatah permata. Jarak antara satu-satu sayap ialah timur dan barat. Begitu juga Nabi saw dipertemukan dengan malaikat Israfil, si peniup sangkakala dengan kepala di bawah 'Arasy, sentiasa bersedia menanti arahan Allah untuk tiupan Qiamat.

Lantaran keagungan Allah swt, kesemua malaikat mengecut kerana takutkan Allah swt. ( يسبح الرعد بحمده والملائكة من خيفته )

Menggambarkan kepada kita wahai kelompok penentang Islam, pengejak kepada keindahan Islam agar berhenti daripada memperlekehkan Islam lantaran agungnya kekuasaan kerajaan Allah swt.

Puak-puak ini secara sengaja memperlihatkan kenegatifan Islam, walaupin pada hakikat dasarnya tiada. Mereka tonjol-tonjolkan hal-hal berkaitan hukuman seperti hudud dan sebagainya dengan niat agar orang ramai menjauhi Islam. Orang yang bercakap itu pula adalah seorang muslim.

Amat malang sekali seorang lelaki membenci pakaian lelaki, bahkan memusuhinya. Maksud saya, betapa celakanya seandainya seorang muslim membenci hal-hal yang bersangkutan dengan Islam, bahkan pula menakut-nakut orang lain untuk menghampiri Islam.

Apabila ditanya, apakah yang kamu nampak pada seekor gajah? Mereka menjawab dengan penuh yakin, belalainya. Hairan sungguh saya apabila berhujjah dengan kumpulan ini. Gajah yang memiliki badan yang begitu besar berbanding belalainya, namun mereka lebih nampak belalai gajah berbanding badan gajah yang sudah pasti jauh lebih besar.

Begitulah halnya dengan Islam. Apabila ditanya kepada mereka, apa itu Islam? Mereka dengan segeranya menjawab bahawa Islam itu hukum hudud. Padahal hudud dalam Islam adalah jalan terakhir. Islam begitu sarat dengan ilmu dan tarbiah mereka tidak melihatnya. Kelompok yang bercakap itu pula, ada yang lepasan ijazah kedoktoran.

Semoga Allah swt melindungi kita daripada tipu daya kelompok yang sesepecies ini.

Sunday, June 24, 2012

Persiapan Diri Menanti Ramadhan

Pagi Jumaat (22/6/2012) yang lepas saya dijemput untuk berkongsi minda bersama rakan-rakan dari Jabatan Palajaran Melaka.

Seronok juga sekali sekala dapat berhujjah dengan golongan tuan-tuan guru mengenai persiapan diri menanti kunjungan bulan mulia, bulan Ramadhan.

Majlis yang pada awalnya dihadiri oleh Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Melaka, belaiu hanya sempat menyampaikan amanat seketika sahaja lantaran kejaran masa atas tugasan rasmi bagi persiapan menyambut ketibaan YAB PM kita.

Beberapa isu yang sempat saya menarikkan perhatian rakan-rakan :

1) Mengenai hadis-hadis yang diulang sebut, namun tahap kesahannya dhaif, antaranya hadis :
رجب شهر الله وشعبان شهري ورمضان شهر أمتي
(حديث منكر وضعيف جدا، ومنهم من يقول بأنه حديث موضوع)

حدثنا عبدالله حدثنا عبيدالله بن عمر عن زائدة بن أبي الرقاد وعن زياد النميري عن أنس بن مالك قال : كان النبي صلى الله عليه وسلم دخل رجب قال : اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبارك لنا في رمضان
(إسناده ضعيف)

2) Mengenai penerimaan kita terhadap kunjungan bulan yang mulia ini. Persediaan dari sudut niat, ilmu dan amal. Juga perlu membezakan antara adat dan ibadat. Duduk dalam masjid dengan berniat untuk berehat berbeza dengan berniat untuk i'tikaf. Berpuasa kerana ingin kuruskan badan ataupun atas nasihat doktor berbeza dengan puasa kerana mengikut perintah Allah swt.

Begitu juga saya contohkan dengan persiapan baju raya kerana untuk melawa berbeza dengan mensyukuri ni'mat Allah dan untuk menutup aurat. Termasuklah juga mempersiapkan kuih muih dan sebagainya.

Seandainya persiapan ini tidak dirapikan sebaik mungkin, dibimbangi Ramadhan yang mengunjungi ini seumpama bulan-bulan yang lain. Ibadah tidak pula bertambah, kekuatan iman pada takok yang sama, amalan-amalan sunat sama sahaja seperti tahun-tahun yang lalu.

Sedih dan sayang sekali kerana kedatangan Ramadhan tidak mampu mengubah diri, tidak mampu mendidik jiwa dan tidak pula merangsangkan pahala.

3) Sempat juga saya kaitkan dengan isu-isu semasa yang tidak banyak menyumbang kepada amalan untuk beribadah. Saya bawa contoh-contoh dari negara Arab yang bersuka ria dan berseronok dengan ketibaan bulan Ramadhan. Kita di negara ini tidak banyak sangat nampak perubahan, terutamanya pada siang Ramadhan dengan kedai-kedai makan masih beroperasi seperti pada bulan-bulan lain.

4) Begitu juga saya contohkan tentang amalan pengurusan kita dalam jabatan. Seandainya kita terapkan 5S (Susun, Sisih, Semak...) amalan kejepunan ini, bermakna kita hanya memperolehi kelebihan mengurus sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Sebaliknya, jika kita terapkan nilai al-Quran yang dipetik daripada ayat-ayat Allah, yang begitu banyak memperihalkan dasar pengurusan terbaik, maka sudah pasti kita memperolehi pahala Allah kerana mempraktikkan ayat al-Quran.

Saya nyatakan bahawa ayat-ayat Allah bukan hanya untuk dibaca dan ditarannumkan. Ia perlu diamal dan dihidupkan dalam amalan harian.

Sempena menanti kunjungan Ramadhan, bersedialah kita untuk mentadarrus, iaitu membaca, memahami, mengkaji, mengamalkan dan sebagainya.