Sunday, June 24, 2012

Persiapan Diri Menanti Ramadhan

Pagi Jumaat (22/6/2012) yang lepas saya dijemput untuk berkongsi minda bersama rakan-rakan dari Jabatan Palajaran Melaka.

Seronok juga sekali sekala dapat berhujjah dengan golongan tuan-tuan guru mengenai persiapan diri menanti kunjungan bulan mulia, bulan Ramadhan.

Majlis yang pada awalnya dihadiri oleh Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Melaka, belaiu hanya sempat menyampaikan amanat seketika sahaja lantaran kejaran masa atas tugasan rasmi bagi persiapan menyambut ketibaan YAB PM kita.

Beberapa isu yang sempat saya menarikkan perhatian rakan-rakan :

1) Mengenai hadis-hadis yang diulang sebut, namun tahap kesahannya dhaif, antaranya hadis :
رجب شهر الله وشعبان شهري ورمضان شهر أمتي
(حديث منكر وضعيف جدا، ومنهم من يقول بأنه حديث موضوع)

حدثنا عبدالله حدثنا عبيدالله بن عمر عن زائدة بن أبي الرقاد وعن زياد النميري عن أنس بن مالك قال : كان النبي صلى الله عليه وسلم دخل رجب قال : اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبارك لنا في رمضان
(إسناده ضعيف)

2) Mengenai penerimaan kita terhadap kunjungan bulan yang mulia ini. Persediaan dari sudut niat, ilmu dan amal. Juga perlu membezakan antara adat dan ibadat. Duduk dalam masjid dengan berniat untuk berehat berbeza dengan berniat untuk i'tikaf. Berpuasa kerana ingin kuruskan badan ataupun atas nasihat doktor berbeza dengan puasa kerana mengikut perintah Allah swt.

Begitu juga saya contohkan dengan persiapan baju raya kerana untuk melawa berbeza dengan mensyukuri ni'mat Allah dan untuk menutup aurat. Termasuklah juga mempersiapkan kuih muih dan sebagainya.

Seandainya persiapan ini tidak dirapikan sebaik mungkin, dibimbangi Ramadhan yang mengunjungi ini seumpama bulan-bulan yang lain. Ibadah tidak pula bertambah, kekuatan iman pada takok yang sama, amalan-amalan sunat sama sahaja seperti tahun-tahun yang lalu.

Sedih dan sayang sekali kerana kedatangan Ramadhan tidak mampu mengubah diri, tidak mampu mendidik jiwa dan tidak pula merangsangkan pahala.

3) Sempat juga saya kaitkan dengan isu-isu semasa yang tidak banyak menyumbang kepada amalan untuk beribadah. Saya bawa contoh-contoh dari negara Arab yang bersuka ria dan berseronok dengan ketibaan bulan Ramadhan. Kita di negara ini tidak banyak sangat nampak perubahan, terutamanya pada siang Ramadhan dengan kedai-kedai makan masih beroperasi seperti pada bulan-bulan lain.

4) Begitu juga saya contohkan tentang amalan pengurusan kita dalam jabatan. Seandainya kita terapkan 5S (Susun, Sisih, Semak...) amalan kejepunan ini, bermakna kita hanya memperolehi kelebihan mengurus sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Sebaliknya, jika kita terapkan nilai al-Quran yang dipetik daripada ayat-ayat Allah, yang begitu banyak memperihalkan dasar pengurusan terbaik, maka sudah pasti kita memperolehi pahala Allah kerana mempraktikkan ayat al-Quran.

Saya nyatakan bahawa ayat-ayat Allah bukan hanya untuk dibaca dan ditarannumkan. Ia perlu diamal dan dihidupkan dalam amalan harian.

Sempena menanti kunjungan Ramadhan, bersedialah kita untuk mentadarrus, iaitu membaca, memahami, mengkaji, mengamalkan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment