Tautan Ka'abah dan Gua Hira'
Di puncak Jabal Nur, terletak Gua Hira' tempat Rasulullah saw bertahannus (bersendirian untuk beribadah) selama beberapa tempoh, khususnya pada bulan Ramadhan.
Dari celahan batu Gua Hira' itu, kelihatan menara jam besar yang memberi isyarat bahawa Ka'abah berada di sana. Rakan saya sempat bersolat di situ. Ruang di dalamnya sekadar memuatkan seorang yang duduk dan berdiri sahaja.
Sukar hendak digambarkan, ketabahan Nabi kita saw mendaki dan menyendiri di situ, apatah lagi isteri kesayangan baginda saw, Saidatina Khadijah ra yang sanggup meredah terik mentari mendaki membawa bekalan makanan buat suami tercinta saw.
Rumah Nabi saw bersama Saidatina Khadijah berada di sebelah Ka'abah, di sebelah pintu Bab al-Salam. Jarak berkereta selama hampir 20 minit ditambah pula tempoh pendakian satu jam setengah, memang tidak mampu ditempohi oelh ramai kita di masa kini. Saya dan rakan-rakan tercungap-cungap membuat pendakian sedangkan laluan untuk menuju ke atas itu bertangga. Pada zaman Nabi saw, tiada tangga dan tiada pula kemudahan lain yang disediakan.
Namun, apabila tuan-tuan berada pada paras kemuncaknya, tuan-tuan akan dapat rasakan sebagai saya rasa bahawa Gua Hira' menjanjikan suatu kekuatan ke arah penaklukan Kota Mekah seluruhnya. Dari atas, kita mampu melihat dan meninjau sekitar Kota Mekah.
Jelaslah bahawa Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.
الإسلام يعلو ولا يعلى عليه
No comments:
Post a Comment