Friday, June 29, 2012

Kassim Ahmad vs Kassim Selamat

Seniman ulung, Tan Sri P. Ramlee pernah mempamerkan kepada kita watak manusia yang terlalu memperjuangkan kehendak diri dan tuntutan peribadi sehingga sanggup menggadaikan maruah adat, bangsa dan agama dalam filem Ibu Mertuaku.

Polemik cerita yang ditonjolkan mengimbaukan minda kita bahawa manusia ini beragam-ragam. Ada yang senang diurus, ada yang sukar dikawal selia, ada pula yang suka mengarut, lagi teruk jika ada yang suka melalut.

Antara contoh situasi di atas ialah Kassim Ahmad. Beliau pada tiga bulan lalu menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya pengharaman bukunya 26 tahun lalu ditarik balik. Rentetan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji semula pengharaman buku tersebut yang berjudul, Hadis: Satu Penilaian Semula. (mkini, Jun 27, 2012)

Berikut beberapa fakta songsang yang saya petik dari buku beliau menerusi blogspotnya. Tak terdaya saya untuk menggalas segala idea sampah sarap dan hujjah berbaur dendam kesumat terhadap pengorbanan ulama silam. Saya naqalkan di sini sekadar meraikan kata-kata Saidina Umar ra, kita juga perlu tahu tunggang terbalik perangai orang-orang jahiliyyah dan saya kategorikan penulisan beliau sebagai idea zindiq.

1) Rasulullah hanya mewariskan Quran, tidak hadis.
Seperti yang telah kita lihat dari keterangan-keterangan sejarah yang kukuh, bila Nabi Muhammad wafat, beliau meninggalkan Quran sebagai warisan kepada umat Islam dan kepada umat manusia, dan tidak lain daripada Quran.

2) Imam Shafi’i membina fahaman silap.
Melalui sarjana-sarjana agama kita, khasnya Imam Shafi’i, antara 200-250 selepas Nabi wafat, membina satu fahaman baru bahawa apa yang diwariskan oleh Nabi kepada mereka ialah Quran dan Hadis/Sunnah, dan mereka mestilah berpegang kepada kedua-duanya.

3) Kita menolak hadis bukannya menolak Nabi Muhammad.
Penolakan kita terhadap Hadis/Sunnah sebagai sumber teologi dan perundangan sama sekali tidak bermakna penolakan terhadap Nabi Muhammad. Malah penolakan ini persis ialah untuk membersihkan nabi kita daripada ajaran palsu yang telah dikaitkan kepada beliau.

Hujjah beliau :
  1. a.Quran sebuah kitab yang lengkap, sempurna dan terperinci, dan tidak memerlukan kitab-kitab lain untuk menyempurnakan dan melengkapkannya.
  2. b.Tugas Nabi Muhammad semata-mata menyampaikan Quran, dan tidak lebih dari itu.
  3. c.Hadis merupakan pandangan dan pendapat manusia yang tidak terjamin kebenarannya. Ia tidak lebih daripada tekaan dan agakan;
  4. d.Ibadah-ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji bukan disampaikan melalui Hadis, tetapi adalah amalan turun-temurun yang berpunca daripada ajaran Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya.
4) Buku hadis sebagai catatan sejarah.
Buku-buku hadis merupakan satu catatan kesusasteraan dan sejarah yang perlu kepada pengkaji-pengkaji sejarah dan masyarakat bila mereka mengkaji sejarah dan masyarakat Islam pada waktu itu.

5) Buku hadis hanya boleh dibaca, tidak boleh diterima.
Kita boleh membaca dan mengkaji buku-buku hadis, sepertimana kita boleh membaca dan mengkaji buku-buku manusia lain, dengan syarat kita sedar bahawa kita tidak boleh menerima saranan-saranan dan idea-idea yang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran, dengan keterangan-keterangan sejarah yang sahih dan dengan hukum akal.

Saya rasa memadai saya bawa lima fakta di atas.

Hati saya membara, nafas saya tercunggap-cunggap, geram bercampur benci lantaran ada manusia yang sekerdil semut cuba untuk membandingkan dirinya dengan ulama seumpama Imam Bukhari.

Sebelum saya membidas, ingin saya katakan dan rakan-rakan cuba andaikan, siapakah manusia durjana ini, baharu bergelar Dr sudah rasa dirinya lebih tinggi dari rumput rampai dikencing kucing, tinggi sangatkah ilmu mereka sehingga sanggup mencabar kredebiliti Imamuna al-Syafi’e, entah-entah bahasa Arabpun beliau tidak faham sepatah haram, ana ante, ante unte...mungkin itu sahaja yang beliau faham.

Saya membidas melalui hujjah aqal, lantaran beliau menolak hujjah nas (Quran dan Hadis). Meskipun beliau nampak memetik beberapa ayat Quran sebagai sandaran, namun bagi saya, mana mungkin, tangan kanan membelai, tangan kiri mencubit.

Tujuan beliau menulispun boleh dipertikaikan, samada ingin memartabatkan Nabi saw atau merendah-rendahkan Baginda saw. Sekali pandang semacam ingin mengangkat dan mensucikan Nabi daripada hadis-hadis palsu, tetapi apabila diamati, rupa-rupanya beliau mahu menjatuhkan maruah Nabi kita saw secara tidak langsung.

Seolah-olah Nabi saw tiada berfungsi kepada ummah, hanya sebagai posman yang membawa surat dan dimasukkan ke dalam peti surat. Apabila ditanya oleh tuan rumah, apa isi surat tersebut, maka jawabnya ringkas, “Entahlah kak, saya bawa je”.

Bermaksud di sini, Nabi saw tidak memahami apa-apa tentang ajaran yang disampaikan. Kalaulah Nabi saw tidak tahu kandungan al-Quran, siapalah yang insan yang lebih tahu, si Kassim Selamat!

Juga seandainya tindak tanduk Nabi saw merupakan pandangan dan pendapat sebagai manusia yang tidak terjamin kebenarannya dan ia tidak lebih daripada tekaan dan agakan seperti yang Kassim Ahmad dakwa, siapa yang akan menunjukkan cara pelaksanaan perundangan Islam, kes kecurian yang disebut memotong tangan si pencuri, tangan yang mana satu, di tahap mana tangan itu dipotong. Begitu juga dengan ibadah haji, kaedah menentukan puasa dan sebagainya.

Sedar tak si Kassim ini, kalau dia boleh berpegang dengan ayat-ayat al-Quran, betapa banyaknya ayat-ayat mencerca dan mencela sikap dan perangai beliau ini.

Tolong buka al-Quran surah al-Hasyr. ayat 4 : Bermaksud “Lantaran kerana mereka mengingkari perintah Allah dan Rasul, Sesiapa yang mengingkari perintah Allah, pasti akan menerima balasan azab yang hebat”.

Ayat-ayat al-Quran yang meminta kita mentaati perintah, maka ayat tersebut pasti menggabungkan Allah dan Rasul sebagaimana solat dan puasa. Si Kassim dan pendokong fahamannya faham atau tidak hal tersebut.

Bagaimana bentuk keimanan kepada Nabi saw padahal menafikan segala perkataan, perbuatan dan taqrir yang ditunjukkan?

Kita bersetuju bahawa segala hadis palsu adalah tidak wajar disandarkan kepada Nabi saw. Bagaimana pula mereka beriman dengan hadis-hadis sahih ? Sedangkan mereka menolak Imam Bukhari dan ulama hadis. Bagaimana mereka menjana hadis kalau bukan daripada penat lelah para muhadisin menghimpun, mengumpul, mentarjih, mentajrih dan menta’dil? Mereka ini belajar tak mustolah hadis?.

Saya pernah membentang sebuah kertas kerja tentang kaedah penyelidikan hadis dalam kalangan para muhadisin. Begitu teliti dan tekun sekali mereka demi sebuah amanah menyampaikan untuk hadis sahih, terutamanya methodolgi yang diamalkan oleh Imam Bukhari.

Betapa naifnya kelompok yang memperlekehkan imam agung ini. Sampainya hati mereka menyama-tarafkan Imam Bukhari dengan diri mereka. Berapa banyak hadis yang telah mampu mereka hafal ? Berapa banyak pula guru hadis yang telah mereka berguru ? Baca riwayat hidup Imam Bukhari terlebih dahulu sebelum menyerangnya.

Teringat saya kepada sebuah buku karangan orientalis yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, antaranya bahasa Jerman, Inggeris dan Perancis. Buku ini memperihalkan kesahan puisi Arab kuno ( دراسات المستشرقين حول صحة الشر الجاهلي ).

Saya dah baca buku ini, dan telah membuat kritikan terhadapnya. Belum sempat untuk saya mencatat dalam blog ini. Jika ada keizinan, insya Allah.

Method penulisan adalah sama sahaja. Mereka mencari fakta sejarah untuk meragukan kesahan puisi kuno Arab. Sedangkan pada hakikatnya, mereka ini bukan teruja sangat untuk menolak atau menerima puisi tersebut, matlamat mereka ialah menolak al-Quran. Untuk menentang al-Quran secara terus, agak sukar kerana ia adalah suatu kejutan kepada umat Islam dan langsung tidak boleh diterima.

Mereka menolak puisi itu kerana antara mu’jizat al-Quran adalah melemahkan puisi Arab. Apabila puisi ini adalah ciptaan oleh orang-orang terkemudian, bermakna al-Quran itu turun semasa puisi belum wujudpun. Ianya diada-adakan oleh orang terkemudian bagi menunjukkan kehebatan al-Quran.

Tuan-tuan perhatikan, hujjah orientalis ini dan si Kassim Ahmad adalah sama sahaja. Yang satu meragui puisi, dan satu ini pula meragui hadis. Kedua-dua mereka bertitik tolak dari sejarah. Mereka tahu, pengajian sejarah tidak ramai orang yang tahu, lagi pula serjarah boleh diputar dan dipulas ikut suka mereka. Apabila orang berhujjah itu salah, maka mereka kata, itu bacaan mereka, bacaan saya semacam ini.

Berapa ramai kita ditipu dengan sejarah Hang Tuah. Kalau ikut nama asal, orang Melaka tiada nama berawalkan Hang. Panggilan Hang ini bagi mereka di sebelah utara. Berkemungkinan juga Hang Tuah ini berasal dari negara China lantaran perdagangan yang aktif semasa itu. Hang Tu Ah..ada kemungkinan juga nama bagi orang cina. Atau juga, Han…tu Ahh, rentetan orang Melayu begitu takut dan amat membesarkan hantu dalam budaya hidup mereka. Macam-macam boleh kita perkatakan.

Teori serba moknika ini telah meresap dalam minda si Kassim Ahmad ini yang akhirnya menjadikan pemikirannya caca merba. Tidak mampu lagi menilai mana yang hak dan mana yang bathil.

Tidak cukup di situ, diheret sama cacian dan ugahan kepada para ulama silam. Tujuan mereka hanya satu, agar kita hilangkan rasa hormat kepada guru mazhab kita dan mahaguru hadis kita.

Apakah mazhab yang dianuti oleh si Kassim ini. Adakah bermazhan Syaf’ie? atau tiada bermazhab…saya pun tak pasti.

Seandainya beliau bermazhab Syafi’e, bermakna beliau bersuci, bersolat, berzakat dan sebagainya, masih mengikut mazhab Syafi’e. Untuk apa dia berpegang kepada mazhab yang hanya rekaan Imam Syafi’e semata-mata ?

Carilah mazhab sendiri, rekalah aliran sendiri, jangan rujuk kitab-kitab hadis yang mu’tabar, kerana beliau tidak lagi menghormati penulisnya.

Adab belajar mesti menghormati tenaga pengajar, jika tidak, itu dinamakan kurang ajar. Mereka yang kurang ajar adalah bergurukan syaitan dan iblis, kerana iblis bertindak kurang ajar dengan perintah Allah dan RasulNya.

Saya tahu, di sebalik penulis buku ini, ada pendokong dan penyokong kepada idea tersebut. Soalan pada abad ini :

Kenapa setelah 26 tahun ia muncul kembali ? Adakah hendak menunjukkan keprihatinan Jakim ? Ataupun mejulingkan isu semasa kepada isu penolakan hadis ini?

Apa pun yang direka, dibuat dan dicula, elaklah daripada memperdagangkan agama demi setitis susu dan semangkuk gulu-gula murahan yang berselindung di sebalik pembaharuan pemikiran dan amalan.

Idea yang dianuti terpesong, pegangan menyeleweng, pemahaman yang tersasar dan usaha yang bercanggah dengan nilai keluhuran Islam.

Sementara mentari masih bersinar, bulan masih mengembang, udara masih dihirup dan bumi masih menghijau, jalan pulang masih ada, ajak rakan-rakan pendokong termasuk wartawan, tuaikan kembali tunas iman, semaikan bersama iringan sesalan, semoga Allah menunjukkan tuan dan rakan-rakan jalan kebenaran.

Sedarlah akan kebenaran sebagaimana sedarnya mak mertua si Kassim selamat sementara waktu masih ada, sementara babak belum berakhir, sementara tirai belum dilabuhkan.

Kebenaran bagaikan anak kecil, dipanggil dia datang, dihalau dia pergi. Usah ditengking dan dilawan, kelak ia melawan. Apabila kebenaran melawan, sudah pasti kebathilan akan menghilang.

No comments:

Post a Comment