Mencabar Hari Kebangkitan
Kuliah Maghrib (24/6/2012) di Jasin, Melaka.
Surah Yaasin , ayat : 48( ويقولون متى هذا الوعد إن كنتم صادقين )
Bermaksud : Mereka (Kaum kafir Quraisy) mempersoalkan bilakah akan berlakunya hari pembalasan itu seandainya kata-kata kamu itu adalah benar.
Syed Qutb, ketika berdepan dengan ayat ini menjelaskan bahawa janji Allah swt tidak akan dipercepatkan atau dilengahkan dek kerana tuntutan sesetengah pihak. Sebaliknya janji Allah swt itu didasari kepada hikmah dan peraturan yang telah menjadi ketentuan Ilahi.
Ibn Kathir pula menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan betapa bencinya orang-orang kafir terhadap hari pembalasan lantaran dosa-dosa yang telah mereka lakukan.
Sementara itu, al-Qurtubi menafsirkan ayat ini sebagai ejekan dan persendaan mereka terhadap dakwah yang disampaikan oleh Rasulullah saw.
Surah Yaasin, ayat : 49
( ما ينظرون إلا صيحة واحدة تأخذهم وهم يخصمون )
Bermaksud : Apa yang mereka ejakkan dan nantikan itu mampu terjadi dengan hanya sekali tiupan sahaja, pada masa itu mereka akan berbalah-balahan.
Kata Syed Qutb : Ini adalah jawapan kepada persoalan mereka tadi.
Imam al-Qurtubi menjelaskan berdasarkan hadis Nu'aim :
روى نعيم عن أبي هريرية قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : تقوم الساعة والرجلان قد نشر ثوبهما يتبايعانه فلا يطويانه حتى تقوم الساعة، والرجل يليط حوضه ليسقي ماشيته فما يسقيها حتى تقوا الساعة، والرجل يخفض ميزانه فما يرفعه حتى تقوم الساعة، والرجل يرفع أكلته إلى فيه فما يتبلعها حتى تقوم الساعة
Dua ayat di atas menggambarkan suasana apabila berlakunya hari Qiamat.
Menurut Iam Ibn Kathir, tiupan akan berlaku tiga kali. Kali pertama : tiupan yang menakutkan. Kedua : tiupan mematikan. Ketiga : tiupan kebangkitan.
Namun bagi imam al-Qurtubi pula, hanya ada dua kali tiupan sahaja. Pertama : bagi mematikan dan kedua untuk kebangkitan.
Walau apapun keadaan, yang pasti Qiamat akan berlaku. Bagi mereka yang mempersenda-sendakan hari tersebut juga pasti akan menyaksikan kebenarannya.
Pada hakikatnya, apabila mereka mengingkari hari kebangkitan ini, bermakna juga mereka menolak ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw.
Mana mungkin tiada hari pembalasan setelah penzaliman, penganiyaan dan pelbagai penindasan dilakukan. Dari itu, untuk dihadapkan kemuka pengadilan adalah suatu kemestian.
Orang yang takut diadili adalah terdiri daripada kumpulan yang melakukan kesalahan. Jika kita benar dan tidak pula melakukan kesalahan, atau terlaku kesalahan lantas bersegera menyusun jari bertaubat, maka hari pengadilan tidak akan menggentarkan mereka.
(فلا خوف عليهم ولا هم يحزنون )
No comments:
Post a Comment