Dua tahun lepas, awal 2010, saya berkesempatan melancong ke Mesir, bumi para anbiya', bumi ratusan artifak kuno, bumi yang menyimpan khazanah dunia, bumi yang mampu menceritakan segalanya.
Sekadar berkongsi maklumat, ingin saya catatkan kenangan yang masih melekat di minda ini.
Meskipun dikhabarkan orang, bahawa Kaherah merupakan bandaraya yang kelam kabut, penuh sesak dan tidak teratur, namun di sebalik itu terselit kenikmatan berkunjung ke sana lantaran keindahan agama yang dihayati menerusi masjid-masjid dan corong-corong radio.
Sebelum azan berkumandang, sudah pasti corong masjid akan dikumandangkan dengan ayat-ayat suci yang begitu menusuk ke hati. Bacaan yang penuh bertajweed dan bertarannum itu disampaikan dengan suasana yang mengheretkan kita untuk bersolat di dalamnya. Seolah-olah, kaki ini tidak mampu lagi melangkah ke destinasi lain, selain bersolat bersujud ke hadrat Ilahi.
Para Jemaah yang saling mengeratkan hubungan ukhuwwah, ada yang bersolat, ada juga yang bertilawah, begitu juga yang berzikir bertasbih membesarkan Allah. Indah sungguh detik-detik masa ketika berada di dalam masjid. Meskipun suasana di luar masjid yang agak berbeza, dengan kelibat manusia yang berhulu dan berhilir, ada juga yang meminta simpati seteguk air sekeping roti sebagai pengalas perut sejak dinihari.
Semasa kunjungan saya ke Masjid al-Azhar al-Syarif, terdapat pula beberapa kelompok penuntut yang dahagakan ilmu. Berkelompok di bilik-bilik yang telah ditetapkan bersama syeikh masing-masing. Sempat juga saya melempar pendengaran buat seketika bagi menangkap butir kata yang disampaikan.
Suasana ini amat mengharukan. Sukar untuk dihidupkan di masjid-masjid di negara kita. Selagi mana kuku pemerintah masih mencakar di tangga-tanga masjid, selagi itulah kukuran khatib akan terganggu. Amat sukar sekali untuk bertutur di kala mata penerkam sedang memerhati.
Amat jauh untuk membandingkan khatib Mesir dengan khatib kita. Mereka berkhutbah dengan penuh bernada, berilmiah dan beremosi, dan yang paling penting tidak berteks. Khatib kita pula membaca, terkadang mengeja, ada yang tersalah, banyak pula yang tersilap. Mana mungkin untuk kita berkhutbah ketika mata melekat pada kertas.
Berkhutbah cara ini tidak mampu menyentuh emosi para jemaah. Maka, tidak hairanlah jika ramai para jemaah tertunduk akur mendengar bacaan khutbah si khatib, bahkan ada yang terlena, termimpi dan terbang jiwa dan raganya entah ke mana, meninggalkan si khatib atas mimbar sendirian bercakap.
Semasa saya ke Algeria pada tahun 1990 dahulu ketika FIS menang, pentas mimbarlah yang menjadi penggerak utama. Penyampai khutbah yang terdiri daripada anak-anak muda, bersemangat waja dan inginkan islah kepada negaranya.
Kembali kepada cerita kita di Mesir.
Jika anda berkesempatan menaiki teksinya, naiklah. Anda akan dijemput dan dipersilakan. Perhatikan kepada pemandunya. Jika berhjanggut dan melemparkan senyuman kepada anda, sedarlah, anda kini berhadapan dengan sahabat anda, Ikhwan Muslimin.
Mereka ini amat sukakan Islam. Mereka pendokong kepada gerakan Islam. Suatu ketika dahulu, kumpulan ini sentasa diintip, ditangkap, dipenjara. Ramai juga yang telah gugur syahid, antaranya Syed Qutb.
Askar-askar di setiap persimpangan jalan, bukan untuk kemudahan rakyat, tetapi untuk kesenangan pemerintah. Mereka bertindak mengikut paluan gendang pemerintah.
Sudah betapa lama rakyat Mesir ditindas, dilenyet dan dihayun sesuka hati mereka. Kini, rakyatnya bebas dan berkeupayaan untuk hidup sebagai manusia yang juga punya hak atas tanah air mereka.
Semasa anda berada dalam teksi tersebut, anda akan hanya mendengar alunan ayat-ayat Allah yang dipancarkan menerusi saluran agama mereka. Ayat-ayat suci ini akan terhidang di pendengaran rakyat Mesir sepanjang masa dan boleh pula diakses 24 jam.
Ruang untuk berhibur tiada lagi. Zaman Ummi Kathum telah berlahu. Kini kembali balik era Hassan al-Banna.
Selagi mana hiburan menjadi puncak anutan rakyat, selagi itulah kemenanag sukar untuk berpihak. Lihatlah, corongan radio kita, buka stesen 1, lagu, stesen 2 juga lagu, stesen 3 pun sama. Nak tak nak, tukarkan kepada kaset, baharulah dapat mendengar ayat-ayat Allah.
Jauhnya kita berbanding mereka
namun, kita berusaha seusaha mereka
semoga titisan semangat tetap membara
menghijau, menyubur dan menanung
untuk kebaikan sejagat.
No comments:
Post a Comment