Showing posts with label sisipan haji/umrah. Show all posts
Showing posts with label sisipan haji/umrah. Show all posts

Friday, June 15, 2012

Gerun Yang Menakutkan


Sifat takut yang muncul dalam sesuatu situasi adalah perkara lumrah bagi seseorang manusia.

Lihatlah bagaimana perasaan takut tersebut mendatangi saidina Abu Bakar ra ketika beliau ra bersama Nabi saw berdua-dua di Gua Thur semasa menjalani proses hijrah. Sehingga Rasulullah saw menenangkan beliau ra dengan katanya saw berdasarkan ayat al-Quran :

لا تخف ولا تحزن إن الله معنا

Fenomena yang sama juga dilalui oleh Nabi Musa as tatkala Allah swt meminta beliau as pergi bertemu Fir'aun untuk menyampaikan dakwah serta menundukkan keangkuhannya. Nabi Musa as mengajak saudara kandungnya Nabi Harun as turut serta dalam menjayakan misi tersebut.

إنني معكما أسمع وأرى

Justeru, penawar bagi perasaan takut tersebut ialah kembali bergantung harap kepada Yang Maha Esa dan Yang Maha Kuasa.

Begitulah juga bagi mereka yang mempunyai rasa takut dan gementar apabila menaiki kapal terbang.

وآية لهم أنا حملنا ذريتهم في الفلك المشحون. وخلقنا لهم من مثله ما يركبون

Hanya Allah swt sahaja yang berhak mengatur segalanya. Mengatur perjalanan kita, samada perjalanan berudara, berlaut maupun juga berdarat.

Ini bagi menunjukkan kekuasaan Allah swt yang mampu memperjalankan kenderaan yang kita berada di dalamnya dengan sebaik mungkin.

Namun, berapa ramai dari kalangan kita yang memahami dan menghayatinya.

Kumpulan ini akan terasa kehadiran Allah swt apabila mereka dilambung ombak, ditiup ribut, digegar awan dan sebagainya baharulah mereka sedar betapa lemahnya mereka dan betapa bergantung harapnya mereka kepada Allah.

Apabila reda segalanya, mereka kembali kepada penghidupan lama, lalai dan alpa.

يحسرة على العباد

Wednesday, June 13, 2012

Mencari Ruang Tazkirah

Mengambil kesempatan atas situasi yang ada adalah menunjukkan kepantasan dan kepintaran kita bertindak. Ia bukannya suatu yang secara total bersifat negatif, namun adakalanya ia menjadi suatu keperluan.

Nabi Yusuf as, ketika dijatuhkan hukum penjara, baginda as telah mengambil kesempatan berdakwah ke atas penghuni penjara yang mendatangi baginda as untuk menafsirkan mimpi
yang mereka alami.

Firman Allah swt menerusi lidah nabi-Nya Yusuf as
يصحبي السجن ءأرباب متفرقون خير أم الله الواحد القهار. يوسف/39

Berbalik kepada cerita tadi, tuan pengurus pakej kami amat bijak apabila mengambil kesempatan terhadap keupayaan peserta seminar lantaran mencari ruang untuk bertazkirah. Ruangan di dalam bas dijadikan sasaran untuk tujuan tersebut.

Semasa ulasan beliau terhadap tazkiran yang disampaikan, berucap sambil memohon saya memberi kepastian tentang ayat yang sering dibaca, katanya ramai yang beranggapan ini sebagai ayat pengasih.
قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله

Sebenarnya saya sudah ada jawapan ketika itu, namun ingin dicari ruang yang sesuai untuk berkomen.

Ulasan saya begini. Ramai orang yang suka bermain-main dengan ayat al-Quran tanpa ilmu yang secukupnya. Suatu ketika dahulu saya pernah merawat seorang pesakit yang separa gila apabila mengamalkan bacaan ayat al-Kursi semasa berada di dalam tandas sambil membasuh kencing. Katanya, amalan itu sebagai pengikat kasih sayang antara suami dan isteri.

Ayat al-Kursi baik, ayat di atas tadi baik, atau mana-aman ayat suci al-Quran adalah untuk pedoman hidup kepada umat manusia. Namun, seandainya amalan yang dilaksanakan bertentangan dengan ajaran Islam dan amalan Rasulullah saw serta salafuna soleh, sudah pasti ianya mampu memesongkan aqidah bagi pengamal tersebut.

Untuk itu, amalan terbaik untuk sebagai pengikat kasih sayang ialah berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud : Isteri yang baik itu menjaga penampilan diri dengan kelihatan seronok apabila dipandang, patuh apabila disuruh dan pula menjaga maruah diri dan harta apabila ketiadaan suami.

Ayat Allah swt bukan sekadar dibaca, sebaliknya diamalkan dalam kehidupan bekeluarga dan seharian. Itulah sebenar hakikatnya pengikat kasih sayang antara suami dan isteri.

Ziarah Pusat Percetakan al-Quran


Antara tempat yang dijadikan fokus ziarah ialah Pusat Percetakan al-Quran yang terletak tidak jauh dari Masjid al-Nabawi.

Semasa menaiki anak tangga menuju ke pusat tersebut, terdetik di hati saya bahawa kami serombongan akan didedahkan dengan cara-cara penulisan, pembukuan dan percetakan al-Quran.

Sebaik sahaja tapak kaki saya menyentuh lantai bangunan tersebut, kami telah diarahkan untuk memasuki barisan. Barisan tersebut merupaklan u-turn untuk keluar daripada pusat tersebut.

Saya hairan. Rakan-rakan sentiasa bertanyakan adakah membuat lawatan ke Pusat Percetakan al-Quran.

Setelah saya melihat sendiri, lantas tercantum di hati saya bahawa sebenarnya ini bukanlah lawatan sebaliknya sekadar datang untuk mengambil senaskhah al-Quran. Hanya senaskhah sahaja. Tidak lebih.

Sedangkan saya semasa turun dari bas tadi, ada suara-suara daripada peserta wanita meminta saya dapatkan nashkhah al-Quran untuk mereka lantaran pengunjung wanita ditegah untuk memasukinya.

Saya berada dalam barisan dan dapat senaskhah al-Quran. Saya dengan rasa rendah diri meminta senaskhah lagi kerana mengingatkan pesanan suara-suara wanita tadi. Pegawainya enggan berkerjasama, sebaliknya meminta saya berlalu dan pergi.

Saya melangkah keluar sambil minda saya berputar mencari jalan untuk mendapat naskhah yang berikutnya. Naskhah saya diberikan kepada rakan, dan saya membuat u-turn sekali lagi untuk berada dalam barisan bagi mendapatkan al-Quran.

Ternyata, ia berhasil. Saya dapat satu naskhah lagi. Saya berharap ini bukan suatu penipuan, sebalimya suatu helah untuk kebaikan orang lain

Bersua Tanpa Terduga


Di Tanah Suci segala-galanya senang termaqbul. Apa sahaja yang dihasratkan, insya Allah akan ditunaikan Allah swt dengan secepat dan sebaiknya.

Sebaik sahaja saya selesai menunaikan umrah, saya bersandar seketika di sebalik tiang masjid sambil menikmati secawan air zamzam. Tanpa terduga, rakan lagi sahabat karib saya, ust Izani melintas di hadapan saya. Persuaan yang amat me
nerujakan.

Banyak cerita dan pengalaman yang dapat kami kongsikan. Ada yang mendatar, ada juga yang agak mencabar iman dan minda. Apa pun, inilah tempat yang paling sesuai untuk berdoa dan bermunajat ke hadhrat Yang Maha Kuasa, Maha Pengatur segala-galanya, di tangan-Nya terhimpun segala kebaikan.

Perbincangan kami melarat ke meja makan di luar Masjid al-Haram di Buruj Zamzam, kemudian tersambung lagi sehingga menghampiri solat Maghrib di bilik hotel tempat yang mana saya dan ust Dr. Kamaruzzaman menginap.

Perkara yang menariknya, ust Izani telah mempelawa saya untuk menziarahi keturunan Rasululullah saw yang tinggal lebih kurang 3 km dari tempat kami menginap. Begitu berminat sekali saya terhadap pelawaan itu.

Tetapi sayangnya, berkemungkinan juga tiada rezeki saya, maka saya kecundang untuk turut serta dalam menunaikan pelawaan tersebut. Sedih rasanya.

Dalam jam 10 mlm lebih kurang, ust Izani menelefon saya, katanya beliau ingin ke bilik hotel yang saya diami. Saya menanti. Dalam beberapa minit sahaja, beliau terpacul di muka pintu.

Kesedihan saya terubat apabila beliau telah membawa kepada saya sebuah kitab yang diterima ijazahkan oleh sheikh tersebut. Apabila saya selak muka suratnya, saya dapati buku inilah yang sepatutnya saya juga menerima ijazah daripada penulisnya yang juga keturunan Rasulullah saw tersebut.

Buku itu banyak memberitakan doa-doa dan amalan para solihin untuk diamalkan, khususnya bagi saya yang juga selaku pengamal perubatan Islam. Walau apapun, saya mohon keizinan dari ust Izani membenarkan saya memetik kandungannya untuk diamalkan.

Tuesday, June 12, 2012

Rebutlah Raudhah

Kalau di Mekah, ramai yang mengejar untuk mengucup Hajarul al-Aswad meskipun tiada nas yang khusus menceritakan kelebihan kucupan itu. Memang benar Rasulullah ada mengucupnya bersandarkan apa yang telah diberitakan oleh Saidina Umar ra kepada kita.

Namun sebaliknya di Raudhah, di Masjid Al-Nabawi, berpusu-pusu umat Islam mencari ruang untuk bersolat dan berdoa di dalamnya berdas
arkan sandaran Nabi saw yang menegaskan bahawa doa akan dimaqbulkan di sini.

Seawal jam 2 pagi, masih berasak-asak dengan umat manusia yang setia menanti giliran untuk bersolat dan bermunajat. Selepas solat Subuh pula janganlah diduga, berkali-kali ganda lagi orang ramai menuju ke arah Raudhah tersebut.

Pendek kata, tiada selang masa yang renggang untuk dilihat Raudhah kekurangan dari dipenuhi oleh umat Islam.

Meskipun begitu, seandainya kita memiliki niat yang baik, memohon kepada Allah swt dengan seikhlas mungkin, insya Allah akan diizinkan Allah ruang untuk kita bersolat dan masa untuk kita bermunajat.

Dari itu, dekatkanlah diri kita kepada-Nya.

Jabal Uhud

Saya bersama rakan saya, ust Mohd Kashfi, berada di lokasi yang pernah berdiri di atasnya para pasukan berkuda Nabi saw.

Kelihatan di belakang kami adalah jajaran perbukitan Uhud yang menyaksikan pertempuran berdarah antara kaum muslimin dan juga kaum musyrikin Quraisy.

Sebelum ini, peperangan Badr telah menyaksikan kemenangan bagi kaum muslimin.

Manakala dalam peperang Uhud ini, pada pusingan pertama, ianya berpihak kepada kaum muslimin di bawah pimpinan Nabi saw.

Sebaik sahaja kekalahan itu, kaum musyrikin Quraisy di bawah pimpinan Khalid al-Walid (yang belum memeluk Islam) telah membuat helah yang akhirnya memberi kemenangan kepada mereka lantaran tentera berkuda yang beralih arah meninggalkan lokasi berbukit ini untuk turut serta memungut harta rampasan perang.

Akhirnya mengakibatkan kesyahidan 70 orang tentera muslimin, antaranya ialah Saidina Hamzah ra. yang digelar sebagai penghulu orang-orang mati syahid.

Allahu Akbar...Allah Maha Agung telah memilih mereka untuk digelar para syuhada'.

Ya Allah, matikanlah kami sebagai syuhada' di jalan Mu.

Semanis Madu




Syukran jazilan atas peuang dan ruang
menghadiri seminar sebagai pembentang
rasa cuak dan kecut tetap bersarang
beranikan diri mencari pengalaman


terima kasih daun keladi
ada peluang ingin ketemu lagi
kepada pihak penganjur organisasi
dari penasihat hingga ke ahli

seminar cendikiawan sukar digalang ganti
lantaran peserta pembentang yang komited diri
hadir bukan sekadar memberi
melibatkan diri saling berinteraksi

syabas diucapkan
atas usaha yang dicurahkan
semoga Allah memberi keberkatan
dari dunia sampai hari kebangkitan

sebagai peserta luar
hasrat di hati ingin katakan
syukran jazilan semua...
terutama kepada Prof Datuk Dr Zulkifli Yusof
juga kepada Prof Madya Dato Dr Ab Halim Tamuri
begitu juga kepada Dr Azmil Hashim
serta rakan-rakan dan semua yang hadir
moga usaha kalian diberkati Ilahi.

Seulas Kurma


Saya mengambil kesempatan di sini merakamkan ucapan syukur ke hadhrat Ilahi atas persuaan dengan tn hj Badry (dua dari kiri) selaku Pengarah Urusan Umrah dan Haji (goumrah).

Beliau yang terkenal dengan sikap merendah diri da...n peramah amat mudah untuk bermesra dengan sesiapa sahaja, meskipun hanya baharu sedetik perkenalan.

Secara tidak langsung, saya sempat mengutip beberapa pengalaman berguna yang beliau lalui untuk disandarkan sebagai pedoman, terutamanya dalam menunaikan haji dan umrah.

Terima kasih tuan haji...

Tautan Ka'abah dan Gua Hira'

Di puncak Jabal Nur, terletak Gua Hira' tempat Rasulullah saw bertahannus (bersendirian untuk beribadah) selama beberapa tempoh, khususnya pada bulan Ramadhan.

Dari celahan batu Gua Hira' itu, kelihatan menara jam besar yang memberi isyarat bahawa Ka'abah berada di sana. Rakan saya sempat bersolat di situ. Ruang di dalamnya sekadar memuatkan seorang yang duduk dan
berdiri sahaja.

Sukar hendak digambarkan, ketabahan Nabi kita saw mendaki dan menyendiri di situ, apatah lagi isteri kesayangan baginda saw, Saidatina Khadijah ra yang sanggup meredah terik mentari mendaki membawa bekalan makanan buat suami tercinta saw.

Rumah Nabi saw bersama Saidatina Khadijah berada di sebelah Ka'abah, di sebelah pintu Bab al-Salam. Jarak berkereta selama hampir 20 minit ditambah pula tempoh pendakian satu jam setengah, memang tidak mampu ditempohi oelh ramai kita di masa kini. Saya dan rakan-rakan tercungap-cungap membuat pendakian sedangkan laluan untuk menuju ke atas itu bertangga. Pada zaman Nabi saw, tiada tangga dan tiada pula kemudahan lain yang disediakan.

Namun, apabila tuan-tuan berada pada paras kemuncaknya, tuan-tuan akan dapat rasakan sebagai saya rasa bahawa Gua Hira' menjanjikan suatu kekuatan ke arah penaklukan Kota Mekah seluruhnya. Dari atas, kita mampu melihat dan meninjau sekitar Kota Mekah.

Jelaslah bahawa Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya.
الإسلام يعلو ولا يعلى عليه

Tercapai Hajat

Semasa musin haji yang lalu, terdetik di hati saya seandainya ada kekuatan memungkinkan saya untuk mendaki ke Gua Hira'.

Akhirnya hajat tadi dimaqbulkan Allah swt atas pelawaan anak saudara ust Dr. Kamaruzzaman yang membuka peluang untuk mencapai hajat tersebut.

Kami seramai 10 orang meredah malam menuju ke kaki bukit Gua Hira' dengan menggunakan teksi. Pendakian bermula seawal jam 11 malam. Kami memilih waktu malam lantaran kepanasan di siang hari dan juga beberapa komitmen lain yang perlu dihadiri.

Langkah demi langkah diatur. Perlahan tetapi ada kemajuan agar menjamin tenaga dan kekuatan yang tersimpan mampu mencecah kekemuncaknya.

Alhamdulillah, selepas satu jam setengah langkahan dan panjatan tangga dalam kegelapan malam bersuluhkan cahaya rembulan membantu dan menguatkan semangat pendakian tersebut.

Syukur ke hadhrat Ilahi yang memungkinkan pendakian ini sehingga berjaya menjejakkan kaki di dalam Gua Hira' tersebut.

Seribu makna dan pengertian yang tersirat dan sukar untuk dikupaskan. Bagi yang melaluinya sahaja mampu memahami situasi ini.

gambar : kredit buat ust Kashfi

Monday, June 11, 2012

Meriahnya Kota Mekah

Kota Mekah tidak pernah sunyi dari kunjungan para tetamu al-Rahman. Kunjungan mereka sudah semestinya menyahut seruan nabi Ibrahim as. Bagaikan tiada bezanya antara musim haji ataupun musim umrah. Kunjungan secara perseorangan ataupun juga secara berpasangan jelas menunjukkan maqbulnya doa Ibrahim as.

Nabi Ibrahim as bermohon ke hadhrat Ilahi agar melimpah-ruahkan segala ni...
kmat dan kemudahan bagi pengunjung Masjid al-Haram.

Permudahkan urusan ini adalah melibatkan agen yang mengurus, pegawai-pegawai imigresen yang bertugas dan pelbagai pihak yang berkaitan.

Cuma terkadang semacam suatu kemustahilan bagi pegawai imigresen Arab Saudi. Semenjak kunjungan awal saya pada tahun 1993, sehingga semalam 2012, semacam tiada sangat perubahan. Berani saya bandingkan dengan pegawai imigresen Sri Lanka yang jauh berhemah dan berbudi bahasa.

Negara yang beragama Budha dan bertuhankan patung mampu mengimplementasikan amalan mulia, sedangkan negara Arab Saudi yang bertuhankan Allah dan mendaulatkan bendera lailahaillahllah.

Ingin saya katakan malu dan malu serta malu lantaran sikap dan perangai yang sedemikian. Lagi sekali, berani saya katakan mereka yang berpewatakan sebegitu tidaklah ada di dalam diri mereka iman dan taqwa yang sehakikatnya.

Kunjungan para dhuyuf al-Rahman membawa iman untuk disemai dan disuburkan, namun digersangkan kembali oleh amalan yang tidak menggambarkan nilai-nilai keislaman yang sebenar.

Semoga bekalan kesabaran dan ketabahan mengiringi para dhuyuf al-Rahman.

gambar - Berhadapan Masjid al-Haram, kredit untuk ust Sabry.

Lambaian Ka'abah


Firman Allah swt dalam surah al-Hajj (28) :
وأذن في الناس بالحج يأتوك رجالا وعلى كل ضامر يأتين من كل فج عميق
Sebaik sahaja nabi Ibrahim as selesai membina ka'abah, maka baginda as mengadu kepada Allah swt tentang kelemahannya untuk memanggil manusia. Lalu Allah swt hanya menyuruh nabi Ibrahim as memanggil, dan Allah swt lah yang akan menyampaikan panggilan tersebut.

Lantas nabi Ibrahim as menaiki jabal Abi Qubais untuk membuat seruan tersebut lalu disahut oleh mereka yang masih berada di dalam rahim-rahim ibu dan pada sulbi-sulbi para ayah.

لبيك اللهم لبيك فمن أجاب يومئذ حج على قدر الإجابة ...وجرت التلبية على ذلك

sumber tafsir al-Qurtubi, jln 12, ms 26

Memilih Keredhaan-Nya Jua

Kita sering bertembung dengan persimpangan. Ke kiri jalan, ke kanan juga jalan. Pada masa yang sama, kita juga terpaksa memilih satu dari dua. Mustahil untuk kita memilih kedua-duanya, kerana pilihan yang dibuat akan berentetan dengan perolehan dan pelepasan.

Sudah pasti dalam situasi ini, kita memilih untuk memperolehi keredhaan Ilahi dari mencari kemurkaanNya.

Perjalanan untuk mencari keredhaan Ilahi tidaklah semudah yang disangkakan. Ianya menuntut pertembungan, pendirian, kekuatan dan juga pengorbanan.

Mari renung bersama firman Ilahi dalam surah al-Taubat (42) :
لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا لاتبعوك ولكن بعدت عليهم الشقة

Lantaran itulah masih ramai yang lebih rela dan merelakan diri untuk berada di atas landasan pegun dan enggan untuk bergerak bersama perjuangan bagi mencari keredhaan Ilahi.

gambar : berihram di Riyadh sebelum berlepas ke Jeddah. Juga kredit untuk ust Sabry

Meranumkan Taqwa


Semasa hari Jumaat, kita sering dikhutbahkan agar marilah bertaqwa dengan sebenar-benarnya.

Taqwa adalah nilai bagi segalanya. Tanpa ketqwaan di dalam diri ibarat pokok yang tiada berdebunga lagi.
...

Seumpama lembu tua yang tiada bersusu dan tidak pula berfungsi untuk melahirkan anak. Apatah lagi untuk direndangkan pada musim perayaan.

Demikianlah hebatnya taqwa.

Namun begitu, taqwa di dalam diri perlu ditunaskan, dibaja dan disuburkan, agar akhirnya nanti ia akan meranumkan buah-buahan yang enak lagi mewangi.

gambar : semasa bertransit di Colombo, Sri Lanka. Lagi sekali kredit untuk ust Sabry.

Memetik Iman



Semoga jasa kalian dianugerah Allah swt dengan ganjaran yang setimpalnya.

gambar : kredit untuk ust Sabry


Tiada yang lebih bermakna bagi seorang insan kecuali hidupnya sentiasa dihiasi iman dan taqwa.

Bersyukur ke hadhrat Ilahi memberi ruang dan peluang sehingga dapat saya mengerjakan umrah beserta seminar anjuran ICRIALE 2012 dengan kerjasama goumrah.

Saturday, December 31, 2011

Daftar Haji Pencarum KWSP



KUALA LUMPUR - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) mulai 3 Januari ini, kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar. (Berita Harian, 31/12/2011)

Ini satu lagi berita yang dinanti-nantikan. Alhamdulillah, akhirnya peluang untuk menjejakkan kaki di kota mukarramah hampir menjadi kenyataan.

Ini bermakna, budgetnya itu cukuplah bagi mengerjakan ibadat ke lima rukun Islam ini.

Cuma persoalan yang bakal bermain di minda kita, tarikh keberangkatannya...dari itu, pihak TH perlu menyusun dengan lebih terancang lagi agar pendaftaran yang dilakukan itu tidak hanya pendaftaran semata-mata.

Berdasarkan pengalaman peribadi, tarikh untuk menunaikan ibadat tersebut memakan masa yang agak lama, lebih-lebih lagi jika dihimpunkan dengan pendaftaran baharu ini. Pada masa ini, 'cable' amat-amat diperlukan.

Thursday, November 24, 2011

Syahdunya Bersolat di Masjid Nabawi



Suasana yang memungkinkan sesiapa sahaja untuk menambahkan kuantiti amalan soleh, khususnya solat. Apatah lagi ini dilakukan di dalam Masjid Nabawi yang telah dijanjikan Rasulullah SAW dengan berlipat-lipat kali ganda ganjarannya. Ya Allah, berikan daku dan sesiapa sahaja peluang untuk berkunjung lagi dan lagi di masjid kekasihMu ya Allah. Di masjid inilah Imam Malik segan untuk berbicara tentang hadis sedangkan beliau dalam situasi yang tidak berwangi-wangian, maka lantas dengan segera Imam Malik menukarkan pakaian dan berwangi-wangian lantaran untuk membicarakan hadis junjungan SAW apabila diminta ulasannya oleh anak-anak muridnya. Beginilah adab orang berilmu dengan Khatimul Anbiya' SAW.

Doa Termaqbul di Raudhah



Beginilah kelihatan Raudhah yang sering sarat dengan pengunjung. Masing-masing membawa doa dari kampung halaman, letih dan lelah tanpa dihiraukan, asalkan doa di sini dapat dibaca. Sudah pasti doa yang paling mujarab ialah memohon ke hadhrat Ilahi agar memberkati hidup ini dengan menganugerahkan hasanah di Dunia jua di Akhirat. Juga memohon Allah menghimpunkan kita di akhirat kelak bersama-sama para solihin, siddiqin dan syuhada'.

Kunjungan ke Bumi Munawarrah



Beginilah pemandangan yang akan kita jumpai apabila kita berkunjung ke bumi munawwarah. Di lorong-lorong ini lah akan bersesak-sesak dengan jutaan manusia sebelum dan selepas solat. Bezanya, kalau sebelum mereka akan bersegera ke masjid mengejar saf-saf pertama, manakala selepasnya pula mereka akan berkejaran ke deretan kedai bagi mancari habuan tangan.


Para jemaah haji Malaysia semasa sesi lawatan ziarah sekitar Masjid Nabawi. Di masjid inilah disemadikan Junjungan SAW yang berada bersebelahan dengan Rauhdah. Di sebelah luar pula dipayungi payung yang membuka sayapnya pada setiap jam tujuh pagi sehingga enam petang.