Tuan Haji Mohd Khairudin bin Dato' Haji Zakaria, mantan ketua warden KIK pada tahun 80-an. Kemudian beliau menjawat beberapa jawatan besar, antaranya ialah pengarah IPG Kampus Raja Melewar telah kembali ke Rahmatullah di Terengganu pada pagi 17 Julai 2012.
Semasa di KIK dahulu, terlalu banyak lipatan sejarah bersama dengan beliau. Saya yakin, bukan saya seorang, sebaliknya setiap pelajar yang mengenalinya.
Suatu malam, seperti biasa untuk mengulangkaji pelajaran di kelas masing-masing, saya terkumpul dalam kumpulan yang agak lewat beberapa minit untuk memasuki pagar sekolah. Sedar-sedar, Cikgu Khairudin sudah terpacak di sisi pondok jaga dengan berbaju Melayu warna biru dan sedang menyising tangan baju.
Habislah. Memang pun akan habis. Masing-masing mendengus. Manakan tidak, kami terlewat dek kerana melencong ke kedai runcit yang terletak di sebelah pagar asrama. Kedai Raju namanya. Di situlah tempat kami membeli bekalan sepanjang menjalani ulangkaji di kelas.
Kami tersusun mengikut satu barisan di tepi jalan raya, semasa itu traffic light belum ada lagi, beberape bulan kemudian baharulah ada dan dirasmikan pula oleh ust Ghaffar Sareh selaku pengetua pada masa itu.
Semasa berada dalam barisan itu, sesalan demi sesalan bersarang di hati. Kami tahu, kami tidak akan direkodkan sebagai masalah disiplin, Tetapi rekod kami nanti akan terpapar di muka. Tamparan pergi-balik amatlah memilukan.
Namun Alhamdulillah, malam itu, Cikgu Khairudin berhati mulia dan bersimpati dengan kami, akhirnya kami dibenarkan masuk tanpa sebarang kata-kata yang beliau luahkan. Tetapi memek muka beliau dengan misai yang terlintang serta riak mukanya itu mampu menjelaskan segalanya. Bahkan mampu dicatat sebuah novel, hari-hariku di asrama.
Alhamdulillah, selesai satu babak.
Ada lagi satu babak di asrama. Kami di asrama dikehendaki memadam lampu, seingat saya jam 11 macam tu. Dek kepenatan, kami terlupa memadamnya. Tetiba dalam jam 12 malam rasa saya, kami dikejutkan dengan beberapa kali ketukan pada pintu bilik. Rakan saya bingkas bangun lalu membukanya. Tanpa disedari Cikgu Khairudin terpacak di muka pintu meminta agar beliau memadamkan lampu. Saya tak ingat, rakan saya itu kena sebiji atau tidak, kerana saya sudah berpura-pura terlena. Memang kita di sana, terkadang perlu juga berpura-pura, kerana ramai sangat yang ingin membentuk kita agar jadi baik.
Begitulah juga untuk meminta kebenaran keluar ke bandar pada waktu petang, Kelulusan hanya diberikan oleh guru bertugas atau juga ketua warden iaitu Cikgu Khairudin. Sebaik sahaja tiba di bilik guru bertugas untuk memohon kebenaran, dilihat cikgu Kharudin di situ, kata Ustazah Nik, “Jumpalah Cikgu Khairudin, minta kebenarannya”, lantas saya berkata, “Tak apalah lah ustazah, lain kali, terima kasih”. Saya segera beredar dari situ bimbang nanti akan dijeling oleh Cikgu Khairudin.
Selepas dua dekad, saya ditemukan Allah bersama Cikgu Khairudin dalam suasana yang agak berbeza, saya sebagai pensyarah baharu di IPG manakala Cikgu Khairudin pula sebagai Pengarah IPG Raja Malewar, Negeri Sembilan. Majlis intervensi pensayarah-pensyarah baharu di Langkawi.
Selepas ceramah itu, saya datang bertemu beliau, saya katakan saya bekas muridnya di KIK dahulu. Pada tanggapan saya, saya hanya ingin memperkenalkan diri dan bersalaman sahaja. Sebaliknya beliau letakkan tangannya di atas bahu saya dan rapatkan badan saya ke badannya. Lantas rasa gerun dan bunga-bunga ketakutan mula pudar sebaliknya timbul rasa gembira sangat-sangat, rupanya di sebalik semua itu, di sebalik apa yang saya ceritakan tadi, beliau memang seorang yang berhati mulia dan amat baik.
Peribadi seumpama inilah wajar dijinakkan dalam diri setiap warga pendidik. garang yang berhemah, budi bicara yang berkala, yang akhirnya bisa melantunkan sifat hormat (respect) dalam diri murid-murid kita. Lihatlah pada Cikgu Khairudin, beliau adalah sebaik-baik contoh untuk itu.
Ya Allah,
ampunkan segala dosa kami
dosa guru-guru kami
khususnya almarhum cigku kami ini
jasa beliau tak ternilai
mengajar dan mendidik kami
menyantun peri laku kami
mengorban masa dan tenaga
untuk menitiskan peradaban dan
membentukan akhlak mulia kami
masukkanlah ya Allah
cikgu kami ini bersama
kumpulan para anbiyaa’
para solihin, para siddiqin
dan juga para syuhada’
aamin ya Rabba al-Alamin
al-Fatihah …
No comments:
Post a Comment