Sunday, July 8, 2012

Fahami Waqie'


Dua hari lepas, semasa perjalanan pulang saya dari Melaka menuju arah ke Kajang, saya berkesempatan mendengar corong radio sambil memandu secara bersantai. Kebetulan chanel yang saya dengar itu adalah berkaitan dengan soal dan jawab tentang hal-hal keagamaan.

Saya membiarkan anak telinga saya berputar-putar ke arah suara yang bertanya dan kepada yang menjawab pertanyaannya itu. Salah satu daripada soalan yang ditanya ialah, “Apakah hukum membaca al-Quran tanpa mengetahui hukum bacaannya?”.

Apakah yang tuan-tuan fikirkan apabila berdepan dengan soalan seumpama ini ? Pada hemah saya, sudah semestinya seorang ustaz yang menjawab persoalan itu meletakkan di hadapan anak matanya beberapa persoalan yang berkaitan agar jawapannya itu mampu mendekatkan orang kepada Islam, bukannya menyebabkan nanti orang tersebut berkata, “Ahh…malaslah aku”.

Bagi saya, orang bertanya itu adalah tergolong dalam golongan mereka yang tidak tahu atau kurang menguasai hukum tajweed, namun terhasrat di hati mahu membaca al-Quran.

Situasi inilah yang saya katakan tadi seseorang ustaz atau sesiapa sahaja yang ingin bercakap tentang Islam, hendaklah mengenali waqie’ yang ada. Usahlah kita bercakap tentang hukumnya haram kerana ianya mampu merosakkan makna al-Quran dan sebagainya. Tak perlulah sangat kita merangkul dalil-dalil yang menunjukkan betapa besarnya dosa-dosa orang yang salah membaca al-Quran.

Saya sedutkan jawapan daripada ustaz tersebut tanpa sebarang prajudis terhadapnya dan saya tahu jawapan beliau adalah didasarkan kepada ilmu yang beliau kuasai.

Jawab beliau, “Adapun hukum membaca al-Quran secara bertajweed adalah wajib, dan sesiapa yang salah membacanya dari segi nun mati, mim mati, waqaf dan ibtida’ dan sebagainya adalah berdosa”. 

Tambah beliau lagi sambil memetik kata-kata Imam al-Jazarie :
والأخذ بالتجويد حتم لازم # من لم يجود القرءان آثم
Bermaksud : “Menguasai tajweed itu suatu kemestian, sesiapa yang tidak bertajwedd semasa membaca al-Quran adalah berdosa”.

Bagi saya, seeloknya dalam situasi sedemikian, katalah bahawa sesungguhnya kita mesti sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran, samada melalui pembacaan, pemahaman dan juga pengamalannya.

Bagi si pembaca pula yang tersalah dan tersilap semasa membaca al-Quran, hendaklah mencari seorang guru agar dapat diperbetulkan bacaannya itu, sekurang-kurangnya mengesahkan beliau dalam solat.

Manakala bagi mereka yang sedang mempelajari cara-cara membaca dengan betul di bawah bimbingan seorang guru yang mursyid adalah dimaafkan seandainya bacaannya itu masih tersalah, dengan syarat beliau hendaklah terus berusaha untuk memperbetulkkan bacaannya.

Sementara itu pula, apa yang disarankan oleh ulama tajweed itu lebih kepada mengelokkan bacaan. Tajweed itu sendiri bermakna, tahsiin. Sedangkan Nabi saw dan para Sahabat ra menyarankan agar bacaan itu tidak gugur huruf, menjaga sabdu dan sebagainya.

يقول الإمام ابن عثيمين في حكم قراءة كتاب الله بالترتيل (ينبغي للأنسان اذا قرأ القران ان يترسل فيه وألا يستعجل عجلة توجب سقوط بعض الحروف، ... وأما قواعد التجويد المعروفة فهي من باب التحسين والتكميل وليست من باب الواجبات ولهذا يضعف القول بأن التجويد واجب وان من لم يجود القران آثم، فان هذا قول ضعيف جدا) شرح رياض الصالحين.

Justeru, perlulah memahami waqie’ umat Islam kini agar unsur dakwah dapat diterapkan. Saya berpandangan demikian memandangkan umat Islam kini telah menjauhkan diri mereka daripada al-Quran. Bagi mereka, hiburan dan dunia kebolaan menjadi kegilaan, dijadikan sarapan pagi dan petang. Sementara al-Quran pula sekadar hiasan di meja orang-orang veteran.

No comments:

Post a Comment