Sepatutnya tulisan saya ini dipostkan semalam, namun dek kecemburuan masa yang sentiasa menghimpit sehingga melenggahkan saya untuk terus menekan butir-butir huruf di keyboard.
Pada hari Sabtu bermalamkan Ahad, saya sempat melihat upacara pembukaan Sukan Malaysia (Sukma) ke XV di Kuantan, Pahang menerusi paparan tv di rumah. Saya kurang pasti tv berapa, yang pasti bukan TV1, kerana TV1 pada masa itu menyiarkan siaran secara langsung Musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2012. Cukup menarik, Pertembungan antara pesta yang gilang gemilang diwarnai pertunjukkan bunga api dengan majlis yang kudus lagi tawadhu’ di Dewan Merdeka, PWTC. Namun di sini, bukan saya ingin membuat perbandingan antara kedua-duanya. Untuk apa dilakukan perbandingan jika ianya memperlihatkan perbezaan yang amat ketara sekali, antara sambutan yang begitu meriah, manakala satu lagi majlis sekadar memenuhi kalendar hijrah dan rutin aktiviti tahunan negara. Apa yang menariknya pada malam pembukaan Sukma itu ialah nyalaan obor yang menunjukkan bermulalah secara rasminya upacara sukan tersebut. Katanya, asal-usul nyalaan obor ini sebagai memperingati kecurian api dari dewa Zeus oleh Prometheus. Ia dibiarkan menyala sepanjang sambutan sukan Olimpik Kuno yang menjadi amalan orang-orang Yunani Kuno. Kemudian, api itu diperkenalkan semula pada Sukan Olimpik 1928 di Amsterdam, dan semenjak itu menjadi sebati dengan Sukan Olimpik. Dikatakan juga bahawa nyalaan obor itu dilakukan beberapa bulan sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik di tapak sukan Olimpik Kuno di Olympia, Greece. Seramai 11 orang wanita yang merupakan paderi wanita, melangsungkan upacara itu menerusi cahaya Matahari yang sinarannya memancar ke arah cermin parabolia. Bagi masyarakat Yunani Kuno, api membawa erti kerohanian. Api suci ini dikisahkan pernah dicuri dari dewa-dewi oleh Prometheus. Maka, api boleh dijumpai di kebanyakan tempat suci di Olympia, Yunani. Sebuah api yang membara secara berpanjangan di atas masbah Hestia di Olympia, Greece. Ketika berlangsungnya temasya Olimpik yang memberi penghormatan kepada Zeus (dewa), api tambahan di kuilnya dan juga kuil ratunya Hera. Api Olimpik moden dinyalakan di tapak di mana pernah didirikan kuil Hera. Itu secara ringkas. Bagi yang berminat untuk mencerahkan minda, bolehlah ke laman http://ms.wikipedia.org/ Atas nyalaan api inilah terbinanya Tamaddun Rome. Jujuran api ini akhirnya merebak pula ke Tamaddun Parsi yang menjadikan api sebagai bahan sembahan mereka atas nama agama Majusi. Tidak cukup di situ, api ini menjalar pula ke Tamaddun India yang meletakkan api sebagai salah satu daripada 10 dewa mereka. Dewa Agni bermaksud Dewa Api. Al-Quran mengajarkan kita bahawa api adalah unsur asas kepada ciptaan Iblis dan keturunannya jin. Bahkan syaitan begitu berbangga dengan ciptaan dirinya daripada api sehingga sanggup mencabar ketetapan Ilahi agar sujud hormat kepada Nabi Adam as. Kata Iblis, “Aku lebih mulai darinya, engkau jadikan aku daripada api, dan dia (Adam) daripada tanah”. Firman Allah dalam surah al-A’araaf (12) : قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ Iblis telah berdebat dengan Allah berdasarkan logik aqalnya. Dia telah mengemukan perkiasan yang salah. Pada tanggapannya api lebih baik daripada tanah, padahal api bersifat membakar dan memusnahkan. Sedangkan, tanah pula bersifat menghidup dan menyuburkan. Nah, ini sorotan cerita berkaitan api. Islam tidak sekali-kali melarang kita mengambil manfaat daripada alam. Bahkan, alam dan isinya adalah tersedia untuk kemudahan kita. Namun, pengambilan manfaat itu berserta lahirnya rasa pengagungan dan pendewaan sehingga meletakkan api sebagai dewa yang setaraf dengan tuhan, dipuja dan disembah, diagung dan disuci, ditantang dan diusung, seolah-olah apilah segala-galanya. Tanpa api, dunia menjadi malap. Tanpa api, semarak sukan menjadi pudar. Tanpa api, segala-galanya menjadi terencat. Maka, di kala itu, api telah bertukat wajah, daripada api yang menjadi ciptaan Allah, telah mengambil watak ketuhanan untuk selayaknya disembah. Nanti akan ada yang berkata, “Alaah... ini bukan apa pun, sekadar simbolik sukan je..”. Penganut Hindu tidak pernah meletakkan dewa-dewa mereka sebagai tuhan. Dewa tetap dewa, bukan tuhan. Namun atas kapasiti sebagai dewa, maka mereka jadi dewa-dewa tersebut sebagai perantaraan untuk menyampaikan mesej mereka kepada tuhan. Bagi mereka, dewa itu sebagai simbolik penyembahan sahaja. Dengan bahasa mudah, sebagai photocopy imej tuhan agar senang untuk berinteraksi dan disembah. Samalah halnya dengan api ini, jika kita beranggapan api itu adalah suatu perkara yang simbolik, dan simbolik itu pula bersalutkan kekudusan, maka di kala itu, tiada bezanya antara api yang dijulang dengan patung yang disembah. Kalau berani, cubalah tahun hadapan semasa upacara pembukaan itu berlari-lari sambil memikul patung dewa untuk diserahkan kepada ketua, kemudian ditinggikan (meletakkan di tempat yang tinggi) sebagai isyarat bermulanya upacara sukan tahunan. Cubalah.. Dek kerana upacara warisan maka kita amalkan. Tanpa menjeling, melihat, memerhati jatuh bangun hal tersebut. Kita pernah memfatwakan Senaman Yoga itu haram. Sedangkan apalah sangat, ia sekadar gerakan menuju titisan peluh. Hujjah mereka, kerana ada unsur kesucian agama lain dalam senaman tersebut. Jadi, fatwanya haram. Bagaimana pula dengan larian obor ini, tidakkah ianya juga ada unsur kesucian ? Majlis fatwa, ada pandangan tak ? Saya telah beri pandangan. Bagaimana pula pandangan tuan ? Ybhg. Datuk Hasan Ali, bagaimana dengan kedudukan aqidah umat Islam di kala melakukan larian tersebut ? |
No comments:
Post a Comment