Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata ADUN Umno Johor yang mencadangkan supaya hukum hudud dilaksana ke atas orang Islam dan bukan Islam di negeri itu "hilang akal" kerana mengemukakan perkara tersebut.
Tambahnya, MCA "pastinya" menentang usaha seperti itu.(mkini, Jul 2, 2012)
Namun, mengapa ianya ditentang, tidak disukai dan MCA mati-matian membencinya. Apa salah Islam sehingga dibenci begitu sekali ? Belum dipinang sudah dibenci bakal mertua ?
Saya nampak, bakal pengantin ini telah dimomokkan dengan gambaran yang buruk sekali sehingga kelihatan begitu menjijikkan. Bagi bakal mertua pula, langsung tiada keinginan untuk menghimpitkan diri bagi mengenali bakal menantu dengan lebih hampir. Usah dengar dari penyampai yang bermulut longkang, berminda kontot dan beramal secara ikut-ikutan.
Bakal mertua tadi boleh menyemak dalam jajaran sejarah dan ulatan buku-buku yang memperihalkan Islam dalam kedudukan yang sebenar. Baca tamaddun yang telah dicipta semenjak 1430 tahun yang lampau. Kehebatan Islam yang mampu menggegarkan kedaulatan Rome dan keangkuhan Parsi. Keunggulan Islam di zaman Nabi saw dan para sahabat ra., kegemilangan Islam di zaman ‘Abasiyyah dan Umawiyyah, begitu juga Andalusia dan sebagainya.
Hal demikian bukannya perkara sulit dan sensistif. Anak-anak di tingkatan enam mempelajarinya, baik yang muslim ataupun non muslim sebagai kajian ilmiah. Baca dan baca.
Seandainya menolak membabi buta, maka kesalahannya saya katakan dua.
Pertama, kesalahan pihak penguasa yang menjadikan Islam dan isu agama adalah perbahasan yang sensitif, akhirnya penganut Islampun tak faham dan non muslim lagi tak faham. Manusia adalah musuh kepada kejahilannya.
Kita lebih suka membiarkan dada-dada akhbar terhias dengan hiburan, glamour artis, bergaduh sana-sini, itu sahaja. Ilmu, ulama, agama sekadar selitan celahan akhbar, itupun kalau ada.
Kesalahan kedua, UMNO tidak mampu mendidik MCA agar lebih ilmiah dan jangan terlalu beremosi dengan Islam. Pepatah Arab menyebut, orang yang tiada sesuatu tidak mampu memberikan sesuatu.
UMNO tidak mampu menjelaskan kedudukan Islam yang sebenar, dek kerana merekapun dangkal dalam hal-hal keagamaan. Mereka dangkal dan pula ingin mendangkalkan orang lain. Buktinya, untuk bercakap pasal Islampun perlu tapisan keselamatan daripada mereka.
Islam yang UMNO amalkan sekadar ritual warisan. Malam Jumaat beryaasinlah, bila ada kematian, bertahlillah, bila nisfu Sya’ban meramaikan masjidlah, dan seumpamanya.
Islam yang diamalkan sedemikian adalah Islam nasi tanpa minyak, Islam lukisan tanpa warna, Islam kereta tanpa petrol. Dengan kata lain, Islam yang diamalkan itu adalah Islam yang tidak berruh, tidak bernyawa, tidak mampu memberi kesan kepada pengamalnya. Buktinya, selepas majlis tersebut, masing-masing tanya pada dada keimanan, adakah berlakunya pertambahan iman ?
Lantaran itu, non muslim melihat tindakan menghududkan mereka seolah-olah mengheretkan kepala mereka melalui lubang yang sempit. Yang mengheret tak terdaya, yang diheret tersekat.
Islam itu adalah amalan kehidupan. Islam itu adalah nasi berlaukkan kelazatan. Islam itu bilik berhawa dingin di kala panas menerik. Islam itu penyelamat ummah.
Dari itu, Islam bukannya dibaju-melayukan, Islam itu bukannya disongkokkan, Islam itu bukannya dikain-pelikatkan.
Justeru, lumuran yang menyelaputi Islam selama ini perlulah dilunturkan. Jadikan Islam milik semua, milik orang-orang Islam dan juga non muslim. Pasti mereka tertawan dek kerana Islam bahtera penyelamat dalam semua isu kemanusiaan.
No comments:
Post a Comment