6- وعَنْ حَفْصَةَ أُمِّ المؤمِنِينَ رضي الله تعالى عنها، أنَّ النبيّ صلّى الله عَلَيه وَسَلّم قَالَ : " مَنْ لم يُبَيِّتْ الصّيامَ قَبْلَ الفَجْرِ فَلا صِيَامَ لَه ". رَوَاهُ الخمسة، ومَال التّرمذي والنّسائي إلى تَرجِيحِ وَقْفِهِ، وصحّحه مَرفُوعاً ابنُ خزيمة وابنُ حبّان. وللدّار قطني : " لا صِيامَ لمن لم يَفْرِضْهُ مِن اللّيلِ."
Bermaksud : “Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar, maka tidak ada puasa sama sekali baginya”.
Disebut dalam riwayat al-Daruqutni : “Tidak ada puasa bagi orang yang tidak menetapkan (niat) puasa pada malam hari”.
Hadis ini menunjukkan bahawa tidak sah puasa farhdu (Ramadhan) bagi mereka yang tidak berniat pada malam hari. Bermula niat itu pula apabila masuknya waktu Maghrib sehingga terbitnya fajar. Menurut mazhab Hambali, niat hendaklah disertakan pada setiap malam. Juga diriwayatkan bahawa berniat sekali untuk sebulan Ramadhan juga dikira sah berdasarkan puasa Ramadhan itu dianggap satu ibadah.
Dalam mazhab kita al-Syafie, mengambil jalan ihtiyat (berhati-hati) dengan meniatkan pada malam pertama untuk satu bulan keseluruhannya dan diikuti dengan niat untuk tiap-tiap malam.
Pada hakikatnya, mereka yang bertarawih, bersahur dan menghidupkan malam-malam Ramadhan dalam keadaan sedar bahawa mereka akan berpuasa pada keesokan hari, sudah memadai. Ada juga amalan melafazkan niat berpuasa sebaik sahaja selesai solat Tarawih, maka itu dikira sunat.
Cuma, terkadang orang Melayu memberat-beratkan lafaz niat tersebut. Ada yang diulang-ulang sehingga tiga kali lafaz yang sama. Sedangkan lafaz niat solatpun hanya satu kali sahaja.
Dari itu, unsur adat dan budaya hendaklah dihindarkan semasa menjalani sesuatu ibadah, terutamanya ibadah puasa kerana tempohnya agak lama, iaitu satu bulan. Sudah tentu, ruang serapan adat terbuka luas.
Bersalahan pula dengan puasa sunat, maka ia tidak disyaratkan berniat pada waktu malamnya, bahkan dibenarkan sehingga pertengahan hari. Begitu juga dibolehkan berbuka, iaitu tidak meneruskan puasa sunat tersebut.
Hadis di bawah menjelaskan situasi demikian.
7- وعَنْ عَائِشَةَ رضي الله تعالى عنها قَالتْ : دَخَلَ عَلَيَّ النبيَُ صلّى الله عَلَيهِ وَسَلّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ : " هَلْ عِنْدَكُمْ شَيءٌ؟ "، قُلْنَا : لا، قَال :" فَإنّي إذًا صَائِمٌ". ثمّ أتَانَا يَوماً آخَرَ، فَقُلْنَا : أُهْدِي لَنَا حَيْسٌ، فَقَال : " أرِيْنِيْهِ، فَلَقَدْ أصْبَحْتُ صَائِماً". فَأكَلَ . رواه مُسْلِمٌ.
Bermaksud : “Pada suatu hari Nabi saw masuk ke tempatku lalu bertanya, “Adakah kamu memiliki makanan?”, Saya menjawab, “Tidak”, Baginda saw bersabda, “ Kalau begitu saya berpuasalah”. Pada hari yang lain pula, Baginda saw datang lagi kepadaku, dan aku berkata, “Kita diberi hadiah berupa makanan kurma yang dicampur dengan samin dan susu kering.” Baginda saw bersabda, “Perlihatkan itu kepadaku. Sebenarnya pagi tadi saya telah berpuasa.” Tetapi kemudiannya Baginda saw makan.
No comments:
Post a Comment