Thursday, July 26, 2012

Puasa Olimpik Gaya Badar

Pada awalnya, saya malas untuk memberi komen tentang isu-isu semasa lantaran menghormati bulan mulia ini. Namun, apabila terbaca beberapa sedutan akhbar, hati ini terpanggil untuk memberitahu sesuatu, berkongsi idea dan pandangan agar laman media ini tidak mendebungakan pendrama agama.

Pemain drama akan mewatakkan diri mengikut skrip dan jalan cerita yang telah diaturkan. Seorang pendrama mampu bertukar watak wara’ kepada watak liar semata-mata meniti jalan cerita yang ingin dijiwainya.

Maka itu, saya katakan bahawa pendrama agama ini akan bertindak mengikut telunjuk yang diarahkan.

Kita ada 10 daripada 30 orang atlet yang berpuasa akan menggalas cabaran negara dalam sembilan acara pada temasya Olimpik, London yang bermula Jumaat ini sehingga 12 Ogos 2012.

Menurut garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), atlet dibolehkan tidak berpuasa atau berbuka puasa sepanjang menyertai Olimpik London atas sebab mereka bermusafir atau ada masalah kesihatan kerana menyertai kejohanan sukan berprestasi tinggi.

Ingin saya katakan, kita suka sangat menggalas Islam secara kulitnya. Beramal berdasarkan hukum luaran. Apabila melihat buah yang berduri, semua orang akan katakan bahawa itu buah durian. Memangpun, semua orang akan menyebut itu buah durian, hatta anak hingusanpun tahu, kecualilah jika seseorang yang terkena gangguan mental.

Kalau itu hukum kita, mengapa kita ada banyak persoalan semasa menyinggah di gerai-gerai kenit di tepian jalan, D24 kah ia, Musang King kah ia, Kucing Tidur kah ia, Durian Kunyit kah ia, dan sebagainya.

Mengapakan persoalan sedemikian perlu ditimbulkan? Jawabnya, kerana kita ingin mencari kualiti rasa yang ada pada buah tersebut.

Kualiti itulah yang kita sebutkan sebagai taqwa, yang ianya menjadi sasaran utama dalam berpuasa. Bagi yang memahami, taqwa merupakan nilai teratas dan termahal, bahkan lebih mahal dari anugerah RM 1 juta bagi setiap kilauan emas di sukan Olimpik.

Jakim tidak bersalah, dan memang itupun hukum asal bagi orang yang berpuasa. Bila bermusafir, dibenarkan berbuka. Jika sakit, berbukalah, Islam tidak melarang. Demikianlah sikap kita dalam beragama seumpama sesetengah pembeli durian di tepian jalan, tanpa mempedulikan kualiti durian tersebut. Tuan-tuan lebih arif tentang itu.

Adapula yang menyamakan peryertaan di sukan Olimpik seumpama penglibatan para sahabat ra dalam peperangan Badar.

 “Atlet tidak sepatutnya menjadikan faktor keletihan berpuasa sebagai alasan untuk mereka menjadi lemah, sebaliknya menjadikan kisah perang Badar sebagai pembakar semangat mereka untuk membawa pulang pingat emas pertama negara.” Kata Dr Irwan Mohd. Subri, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia. (sinar, 26 Julai 2012)

Peperangan Badar dengan sukan Olimpik, bukan sahaja tidak sama, bahkan bersalahan sama sekali. Satu ke utara, yang satu lagi ke selatan. (Tulisan saya yang lepas, saya sudah nyatakan asal usul sukan ini).

Peperangan Badar untuk menentukan masa depan Islam, meletakkan Islam pada kedudukannya yang sebenar, berjuang bermati-matian demi mendaulatkan Islam, lilihan peluh dan titisan darah berserta linangan air mata menyaksikan segala. Rasulullah saw menadah tangan memohon restu Ilahi agar dipermenangkan tenteranya.

Manakala Olimpik, sedikitpun tidak mengambil kira kepentingan umat Islam. Kemungkinan, mereka sengaja memilih bulan puasa, agar fokus puasa, tarawih, tadaarus lenyap dek sinaran kilauan emas. Kalau betul, maka pandainya mereka, dan beballah kita.

Ada pula negeri menaja tiket kepada ibubapa untuk ke London bagi menyaksikan sukan tersebut. Amatlah malang sekali. Di musim, orang berebut-rebut ke tanah suci, mereka pula ditawarkan ke tempat demikian. Ramai pula yang pergi ke sana itu, dari pembesar sehinggalah kepada pengecil, pengipas dan sebagainya.

Saya masih ingat, semasa tamat pengajian saya di Maghribi dahulu, pihak kedutaan memberikan kami dua pilihan laluan pulang, samada bertransit di London atau Jeddah. Alhamdulillah, kami memilih untuk bertransit di Jeddah dan secara tak langsung berpeluang menunaikan ibadah umrah.

Dari itu, seandainya agama yang kita anuti ini kita agungkan, saya semacam mencabar pihak pengurusan agar memberi peluang kepada para atlet, para jurulatih dan sebagainya agar bertransit di Jeddah sebagai habuan terpilih ke Olimpik. Jangan hanya johan tilawah sahaja dipilih untuk menunaikan haji.

Nanti mereka menjawab, “ala... Mekah dah penuh, tak boleh lagi nak singgah, lagi pun kita bukannya agensi haji dan umrah”.

Tunggulah
sehingga unta masuk lubang jarum
atau bola ping pong jadi bola golf

masa itu
dunia sudah jadi murah
dulu dikejar dan dirampas
kini dibiar dan dibebas

kerana
semua orang sudah waras
tahu menilai dan menempah
bekalan balik menuju sebelah

bukannya jauh
bezanya hanya kelipan mata
dibuka, maka di sini
ditutup, maka disana

- Majulah Sukan Untuk Negara -

No comments:

Post a Comment