Saya semacam tidak tergerak hati untuk mengulas lanjut tentang sambutan Valentine Day pada Feb 14 setiap tahun. Walaupun akhbar dan blog banyak memperihalkan perkara tersebut. Namun, hati saya tidak terusik, bahkan tidakpun tergerak untuk mengupasnya.
Entah macam mana, pagi ini selepas solat Subuh dan membaca ayat-ayat Allah, tergerak hati untuk membicaranya. Ayat yang saya baca pagi dari surah al-Anfaal. Antaranya Allah swt menyebut :
ذلك بأن الله لم يك مغيرا نعمة أنعمها على قوم حتى يغيروا ما بأنفسهم، وأن الله سميع عليم. (الأنفال : 53)
Maksudnya : Demikianlah Allah swt sesungguhnya tidak akan sekali-kali merubah ni’mat yang telah dikurniakan kepada sesuatu kaum selama mana kaum tersebut sendiri tidak merubahnya, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Perhatikanlah ni’mat Allah kepada kita berada di mana-mana. Cuma terkadang dilupai atau buat-buat lupa, lantaran terbuai dengan kelekaan melayan nafsu beserta ulikan syaitan.
Pabila badan sihat, ni’mat Allah telah menjalar ke seluruh pelusuk sendi, di kala kita mata terkenang hati teringat akan si dia. Kenangan indah bersamanya terngiang-ngian, sehingga terbawa-bawa dalam ulikan mimpi.
Jika badan dicengkam kegelisahan dan kesakitan, semua yang lain tidak lagi dipedulikan. Pada ketika itu, nafsi-nafsi yang teringat.
Beginilah fenomena makhluk yang bernama manusia. Bila memperolehi ni’mat, bergembiralah sehingga pagi, bila ditimpa musibah, baharulah teringat kepada Pencipta.
Menyorot kembali tajuk di atas, sejarah Hari Kekasih cukup banyak diperkatakan. Ingin ditujukkan keintiman berpacaran, maka dicungkil-cungkilkan hubungan Romeo dan Julliet, hubungan Laila dan Majnun, hubungan Uda dan Dara, tak cukup itu, dibuktikan pula dengan Taj Mahal.
Kisah mengenang kekasih ini juga telah diperbahaskan di dalam puisi-puisi Arab. Antara puisi yang telah memenangi anugerah puisi terbaik iaitu Amru al-Qais, salah seorang penyair terkenal, katanya di muqaddimah tolaliahnya :
قفا نبك من ذِكرى حبيب ومنزل # بسِقطِ اللِّوى بينَ الدَّخول فحَوْملِ
Terjemahnnya :
Marilah berhenti sejenak bagi mengingati kekasih dan tempat yang pernah kita tinggal # …
Tambahnya lagi dalam memperihalkan cewetnya itu, katanya :
غَدائِرُها مُستَشزِراتٌ إِلى العُلا # تَضِلُّ العِقاصَ في مُثَنّىً وَمُرسَلِ
Terjemahnnya : Sanggul rambutnya mengerbang ke atas # …
Islam datang bagi membetulkan keadaan. Unsur-unsur kurang sopan lalu disingkirkan, diganti pula dengan ungkapan yang lebih beradab susila bersesuaian dengan maruah seorang perempuan.
Rentetan itu, mengingati Hari Kekasih beserta aktiviti yang terkandungdi dalamnya amat diambil peduli dalam Islam. Dibimbangi terbiaknya unsur-unsur maksiat. Memadailah dengan apa yang terpapar di akhbar, usahlah kita menambahnya lagi yang akhirnya meranapkan moral anak-anak remaja serta meruntuhkan peribadi akhlaknya.
Cukup-cukuplah kita terikut-ikut dengan budaya Barat yang berselindung di sebalik kebebasan dan hak-hak individu. Siapalah kita untuk memperjuangkan hak, walhal diri kita ini pun adalah milik orang, milik Allah Rabbul Jalil.
No comments:
Post a Comment