Friday, July 13, 2012

Ahlan Ya Ramadhan


Seperti kebiasaannya bagi umat Islam pada setiap tahun, bulan mulia Ramadhan al-Kareem akan berkunjung kembali membawa penampilan yang berbeza-beza bagi setiap orang.

Ada yang tak sabar-sabar menanti kunjugan tetamu agung ini untuk dirai, dipeluk dicium sepuas-puasnya dek kerinduan yang membuku di hati. Mereka ini tidak akan melepaskan peluang kerinduan bagaikan pasangan pengantin yang dipisahkan.

Ada juga yang menyambutnya sekadar aliran adat dan kebiasaan yang perlu dijujuri. Bersahur di awal pagi dan berbuka di kala mentari menghilangkan diri. Bagi mereka, kedatangan dan pemergian tiada membawa apa-apa pengertian, sekadar menuruti perjalanan bulan kamariah aturan Tuhan. Disuruh bersahur, maka bersahurlah, disuruh bertarawih, maka bertarawihlah, disuruh ke pasar Ramadhan, maka ke pasar Ramadhanlah…begitulah kerutinan hidup di bulan yang mulia ini tanpa disedari mencecah satu bulan.

Namun, ada juga insan kerdil yang tidak punya harga diri menjadikan bulan ini sebagai satu tentang kepada dirinya. Manakan tidak, beliau perlu berlapar dan berdahaga, bertahan dari segala, sedangkan kehendak dirinya meronta-ronta perlukan sentuhan jua belaian. Kumpulan ini akan sentiasa mencari ruang mencuri peluang untuk tidak bersama-sama memeriahkan kedatangan Ramadhan. Bagi mereka, kunjungan Ramadhan amatlah menyeksakan.

Marilah kita sama-sama tanamkan
bahawa puasa adalah bulan pertarungan
antara mengikut kehendak kepuasan
atau menjadi pak turut syaitan

puasa juga bulan keredhaan
syurga janjian Tuhan menjadi rebutan
dosa dan noda perlu dijauhkan
agar nafsu dengar arahan

puasa sememangnya bulan ajaran
mengajar nafsu ke jalan kebaikan
segala rintangan perlu pengorbanan
semoga diri terbinalah insan

puasa sudah pasti bulan ukuran
memberi peluang pada graduan
sebagai pembeza bagi yang ada kesungguhan
dan dorongan buat yang di belakang

maka, puasa adalah bulan petunjuk
membawa nur menyuluh suluk
menyinari iman menuju teluk
laman syurga impian seluruh

dari itu, puasa adalah bulan kesyukuran
bersyukur atas limpahan Tuhan
ni’mat hidup berislam dan beriman
agar keberkatan dan peroleh kemenangan

puasa adalah segala-galanya
menanti dengan penuh debaran
untuk dirangkul dijadikan teman
teman penyelamat dunia dan akhiran

inilah puasa yang terbaik yang dipinta
puasa yang terakhir untuk kita
puasa yang tak pasti ianya akan dicita

 ya Allah
ampunkanlah segala dosa kami
maafkanlah segala keterlanjuran kami
yang kami sedari dan tidak pula kami sedari

ya Allah
terimalah taubat kami
dan redhalah segala amalan kami
terimalah ibadah puasa kami
jadikanlah ia sebagai pendinding kami
sebagai pelepas dari azab yang tak terperi

ya Allah
golongkanlah kami
dalam rombongan hamba-hamba Mu para nabiyyin
para siddiqin, para syuhada’ dan para solohin
aamin ya rabbal a’alamin.

Saya sekeluarga mengambil kesempatan di sini ingin merakamkan selamat menyambut bulan Ramadhan al-Kareem kepada kalian, rakan dan taulan, semoga Ramdhan kali ini adalah Ramdhan yang terbaik untuk saya, keluarga dan semua kalian. Insya Allah.


No comments:

Post a Comment