Sunday, October 7, 2012

BUKU TEKS OH BUKU TEKS

 
Buku Teks Bahasa Arab Ting. 5

Hari ini dalam Sinar (7/10/2012) dan juga Harakah ada menyiarkan BANYAK kesalahan yang terdapat dalam buku teks Bahasa Arab Tingkatan 5.
 
Apakah sebenarnya cara yang terbaik bagi Pak Ali untuk memetik segugus buah petai ?
 
(A) Dengan menebang pokok petai tersebut.
(B) Dengan menggunakan kekuatan fizikal dirinya.
(C) Dengan membiarkan ia sehingga terjatuh sendiri.
(D) Dengan menggunakan sebatang galah yang panjang.
(E) Dengan mengupah seekor beruk untuk memanjatnya.

Apa yang jelasnya ialah semua tindakan yang diambil itu akan tercapai objektif, iaitu untuk memetik segugus buah petai.

Namun, adakah tindakan yang diambil itu telah dimasukkan bersama  elemen kecerdikan (hikmah)?

Ramai orang lebih gemar mengambil tindakan popular untuk mencari glamour. Berapa kerat sangatkah yang berniat ikhlas dan benar-benar untuk memperbetulkan keadaan secara bijak?

Orang dulu-dulu sering mengungkapkan, “Rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak”, “Ikut hukum memiat daging, sakit di orang sakitlah di awak”, “Ingin bertanduk, maka dipahatnya kepala”, dan banyak lagi pesanan nenek moyang kita sebagai pedoman kepada anak cucu cicitnya.

Buku Teks Bahasa Arab Tingkatan 4
Karangan : Ust Mat Nawi,
Ust Mohd. Rizuan & Ust. Zaini

Ulasan saya berdasarkan pengalaman sejengkal kera sebagai penulis buku teks bahasa Arab. Pengalaman menang (Buku Teks Bahasa Arab Tingkatan 4) dan pengalaman kalah (Buku Teks Bahasa Arab Tingkatan 5).

Ingin saya katakan begini, sebagai cerita belakang tabir yang tidak pula ramai mengetahuinya. Apa yang mereka inginkan ialah seorang bayi yang comel lagi montel.

Untuk mendapat seorang bayi yang secomel itu, bukan sedikit masa dan tenaga yang dikorbankan. Lebih-lebih lagi sebagai penulis buku teks berbahasa Arab.

Pihak kementerian mewajibkan kita agar dapat menyiapkan deraf 10 bab secara penuh untuk melayakkan diri memasuki tender. Amalan ini, pada pengetahuan saya agak berbeza dengan mata pelajaran lain, Sains umpamanya hanya dikehendaki menyiapkan 3 bab sahaja.

Deraf Buku Teks Bahasa Arab Ting 5
Karangan : Ust Mat Nawi,
Ust. Mohd. Rizuan &
Ust Mohd. Sobri


Tuan-tuan!
Untuk menyiapkan 10 bab ini bukan kerja mudah. Mencari, merangka, menulis, membetul, membaris, bahkan segalanya kita perlu amati.

Biasanya kesilapan berlaku antara penulis dan percetakan itu apabila alihan fail dilakukan. Penerima dan penaip pula agak kurang memahirkan diri dengan bahasa Arab. Situasi ini kerap berlaku kesilapan baris  dan ayat.

10 bab siap lalu dihantar untuk tender. Katakan gagal dan itupun adat dalam pertandingan. Seolah-olah jasa selama 8 bulan terkubur begitu sahaja.

Diandaikan menang pula, berani saya katakan, berapa sen sahaja upahan yang disediakan berbanding subjek lain. Sains umpamanya, hanya perlu menulis 3 bab, jika menang maka bolehlah meneruskan bab-bab yang lain dengan bayaran royaltiRM80k, berbanding kami hanyak sekitar RM18k sahaja.

Nak dikira kerja kami sebagai penulis buku teks Bahasa Arab lagi rumit, seolah-olah kami perlu menyiapkan dari A to Z. Manakala pihak syarikat pula hanya perlu memasukkan gambar dan grafik yang berkaitan.

Berbeza dengan subjek Matematik, pihak syarikat akan memasukan segala grafik, gambarajah dan sebagainya, penulis hanya membekalkan idea dan sedikit olahan.

Mereka yang ada pengalaman menulis sahaja yang tahu duduk bangun akan hal tersebut.

Kesilapan sememangnya ada. Namun, sebagai penulis kita berusaha untuk mengurangkan kesilapan yang ada.  Tetapi, terkadang tetap ada kesilapan tersebut. Hanya al-Quran kitab yang zero defect.

Berkaitan uslub, ini terpulanglah kepada penulis itu bagaimana cara mengolah sesuatu isu. Bagi penulis yang lain, sudah pasti beliau akan menggunakan uslub yang lain. Ini sepatutnya tidak boleh dipertikaikan, kecualilah jika uslub tersebut jauh tersasar.

Manakala kesilapan nahu pula, dari zaman Sibawih sampai kini tak akan habis-habis perselisihan tersebut. Dek kedangkalan kita, maka kita hanya menghukumkan secara Basrah sahaja dengan menafikan Kufah.

Walau apapun, pendedahan seumpama ini sedikit sebanyak mencelikkan pihak yang berwajib.

Cuma terdetik juga kebimbangan di hati ini, Janganlah pula nanti, tiada siapapun yang sanggup untuk menulis buku tersebut lantaran kecerewetan ini. Kecerewetan yang memusnah, bukannya membina. 

Kurangkan cerewet, tingkatkan daya, insya Allah, anak-anak kita akan berjaya.

No comments:

Post a Comment