Thursday, October 11, 2012

BALA DI JALAN RAYA


==================== Sisipan Sosial =====================
Datuk Mahfuz Omar

Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan kenapa Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) itu perlu dipasang di jalan dengan kelajuan 50km dan 70km sejam, sedangkan tujuannya untuk mengelakkan kecelakaan jalan raya. (Mkini, 11/10/2012)

Saya secara peribadi bersetuju dengan apa sahaja kaedah dan sistem yang digunakan bagi mengurangkan berlakunya kemalangan.

Namun, seandainya sistem tersebut adalah menangguk di air keroh, memasang umpan di mata kail, menjerat pelanduk masuk kampung, dengan harapan mengaut keuntungan di kala rakyat dalam kekeliruan dan kegawatan, maka tindakan tersebut perlu diperbahaskan.


 Sekadar berkongsi pengalaman. Saya bergerak dari Melaka ke Kajang agak larut malam. Sebaik sahaja saya menghampiri tol Kajang melalui lebuhraya PLUS, saya telah dikejutkan dengan sinaran tajam, tergamam sejenak, dan tahulah saya bahawa AES telah berfungsi dan mengambil rakaman kereta saya. Pada masa itu, jam di kereta ialah 3 15 pagi.



Lebuh Raya Utara Selatan - Arah Utara
Menghampiri Tol Kajang
  Lantas saya memandang ke arah meter kelajuan kereta, jelas menunjukkan 110 km/jam. Saya bersyukur kerana kelajuan saya tidak melebihi had laju. Tetapi kenapa kamera itu menangkap gambar kereta saya?

Pada hari yang lain dengan menggunakan laluan yang sama, sebaik sahaja saya melepasi tol Bangi bagi menuju ke arah tol Kajang, saya melihat paparan had laju 90km/jam. Sedarlah saya bahawa saya telah disaman menerusi AES.

Hati-hati seandainya tuan-tuan melalui jalan ini kerana paparan 90km/jam itu satu sahaja, terkadang terlepas pandang. Apatah lagi, jika pemandu itu jarang melalui laluan tersebut. Saya yang sudah 5 tahun berulang alik dengan kekerapan 3 kali seminggu ini pun masih terlepas pandang. Akhirnya menjadi rezeki kepada pihak pemasang ‘jerat’ tersebut.

Saya sebutkan ia sebagai jerat kerana fungsinya lebih ke arah itu. Meskipun katanya ianya terselit pengajaran, namun peratus mengaut keuntungan atas kealpaan adalah lebih tinggi.

Kenapa perlu mengambil untung atas kealpaan seseorang ? sedangkan kesalahan itu dihitung sebagai kesalahan seandainya peringatan demi peringatan telah diberikan. Adakah cukup hanya satu papan tanda 90km/jam, sedangkan kelajuan dari Simpang Ampat dengan 110km/jam?

Jangan pula berkata saya memiliki sikap HBD (Helah Bela Diri).  Saya akan membayarnya. Beberapa tahun yang lalu, saya juga telah membayarnya dengan 11 saman kelajuan. Kata saya kepada pihak trafik yang saya mohonkan potongan, “mereka yang tidak dikenakan saman ialah polis pencen yang menghantar cucunya ke sekolah”. Maafkan saya  atas ungkapan ini.

Orang seperti saya, dan rakan-rakan yang bekerja seperti saya sememangnya mengejar masa. Berani saya katakan, golongan VIP juga mengejar masa dan terkadang kelajuan mereka berlipat ganda dari kereta saya. Saya lihat situasi itu di lebuh raya. Kelebihan mereka kerana diiringi oleh kereta peronda. Adakah kelajuan mereka ini tidak terdedah kepada kemalangan? Jika ya, bermakna mereka juga perlu akur seakurnya para pengguna yang lain.

Cukuplah kita menggunakan sistem hanya untuk mengkhianati golongan bawahan dan menguntungkan puak atasan.

No comments:

Post a Comment