Friday, October 19, 2012

MENGAPA LESUNYA KHUTBAH KITA ?

==================== Sisipan Minda ===================
Hari ini saya bersolat Jumat di Melaka. Berkesempatan pula menikmati bacaan khutbah yang disampaikan. Suara khatib yang agak lantang dan bernada, sekali sekala meninggi, menambahkan lagi selera para jemaah.

Tajuk yang menjadi bahan bacaan tuan khatib pada hari ini adalah mengenai bahayanya fahaman Syiah. Tajuk yang hebat. Beritonasi memberi peringatan. Sarat dengan hujjah nas al-Quran, nabi Musa as dan nabi Harun as ditampilkan sebagai bidalan.

Semacam biasa, saya tidak senang jika tidak memberi ulasan terhadap khutbah tadi. Perhimpunan sekali dalam satu minggu. Terabai dan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kelihatan para jemaah, ada yang terlelap, tersandar dan tidak kurang juga yang  tertidur ayam-ayaman.

Sudah menjadi nasib kita umat Islam. Setiap kali peluang mendatang, dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sentuhan dan tarikan yang menakjubkan. Bukannya kita tidak mampu. Tenaga kelahiran al-Azhar amat ramai. Para agamawan yang petah bertutur bicara ada di mana-mana. Tenaga muda yang dikira sesuai bukannya sukar untuk dicari. Mengapakah tenaga yang usang dan membaca tergagap-gagap masih diperlukan?

Terkadang dan acap kali pula salah membaca aya-ayat suci. Dua contoh ayat al-Quran yang dibaca secara salah. Ayat yang sepatutnya berbunyi ( إنهم فتية آمنوا بربهم... ), dibaca ( إنهم فتنة آمنوا بربهم... ). Huruf ‘ya’ digantikan huruf ‘nun’, membawa makna ‘pemuda’ kepada makna baharu iaitu ‘fitnah’. Manakala, ayat kedua pula yang juga dibaca secara salah (  أولئك سيرحمهم الله...), dibaca ( أولئك سيرجمهم الله ). Huruf ‘ha’ ditukar kepada huruf ‘jim’, bermaksud ‘dirahmati’ kepada ‘direjam’.  Teruknya!. Makna yang jauh tersasar. Mohon rahmat, namun bala yang dipinta. Lebih parah, ma’mun pula meng’amen’kan doa tersebut.

Tuan-tuan,
Seorang jurulatih yang hebat ialah orang mampu menentukan corak permainan dengan mensasarkan setiap pemain itu peranan yang perlu ditunaikan. Fahmi Che Mat misalnya, ditugaskan menjaga gawang gol daripada dibolosi oleh sesiapa sahaja menerusi tendangan, tandukan atau apa sahaja gerakan yang membolehkan bola itu bergerak masuk ke dalam gawang gol.

Jurulatih tidak akan, dan jika dilakukan juga akan dianggap sebagai jurulatih yang bebal seandainya meletakkan seorang penjaga gol yang kelihatan bermain secara sambil lewa, takut-takut untuk menahan bola, apatah lagi untuk menangkapnya. Lagi teruk, jika penjaga gola itu mengelak daripada terkena bola semasa tendang yang dilakukan, mengakibatkan kekalahan dalam permainan tersebut.

Amat malang sekali, seandainya jurulatih itu tetap juga melantik penjaga gol seumpama ini, meskipun beliau tidak mengerti akan peraturan yang telah ditetapkan. Semasa sesi latihan pula, beliau sering hilang dan cabut lari. Teruknya penjaga gol ini!

 Mari kita kembali ke dalam masjid. Jom kita lihat pak khatib di atas mimbar. Jangan pula, katakan nanti bahawa saya ini terlalu mengkritik. Sedangkan kita berhak memberi pandangan kerana kita telah meluangkan masa, menumpukan minda, meruangkan telinga dan mata demi memetik mutiara dari khutbah yang bakal disampaikan. Bayangkan, betapa sedihnya kita, jika khutbah itu tidak lain hanya sekadar memenuhi rukun Jumaat, sekadar mencukupkan kesahan solat. Itu sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Kebiasaan kita dalam melaksanakan ibadah adalah secara sambil lewa. ‘Ada aku kesah’.

Suatu ketika saya menghadiri solat Jumaat. Khatibnya tidak membaca teks yang dibekalkan. Bersahaja. Berkhutbah, bukannya membaca teks khutbah. Beliau berkhutbah dari hati untuk menyentuh hati. Kelihatan para jemaah, menitiskan air mata. Terkesan, tersentuh dan terasa.

Adakah jarak antara kita dengan jemaah tadi terlalu jauh?. Adakah kita kekurangan pakar untuk berbuat demikian?
Adakah terselit ‘agenda’ lain yang ingin dicanangkan?
Seandainya jabatan agama mengedar borang soal selidik tahap keberkesanan khutbah yang disampaikan, berapakah markah per sepuluh yang diperolehi?

Justeru, revolusi khutbah perlu disegerakan seandainya kita ingin melihat kebangkitan ummah. Di Algeria, salah satu cara untuk meniupkan kebangkitan ummah kepada pengamalan nilai-nilai Islam adalah menerusi khutbah.  

Dari itu, khutbah perlu diberikan tempat yang selayaknya. Peranan khatib diibaratkan sebagai penyerang dalam sesuatu perlawanan. Beliau juga diumpamakan sebagai kapten dalam sesebuah perlayaran.

Manakala isi khutbah itu pula bagaikan hidangan pembuka selera. Mana mungkin, kita korbankan masa dan tenaga, wang juga harta, membawa rakan dan saudara, menikmati masakan di restoran yang ada, tiba-tiba hidangannya amat menghampakan kita. Pesanan yang dipinta, lain pula yang diterima. Teruknya restoran ini!

Rentetan itu, tauke restoran hendaklah sentiasa peka akan permintaan yang ada, sediakan penawaran yang selayaknya, agar ia dikunjungi ramai, diraih pula untung dan laba.

Demikianlah halnya masjid kita. Anggaplah ia pasar raya mega kita. Di sana kita berniaga. Perniagaan yang dijanji Tuhan dengan keuntungan. Tiada pula kerugian dan kemelesetan.

Ringkasnya, masjid itu pasar raya kita. Khatib itu penjualnya. Jabatan agama itulah taukenya.  


 

No comments:

Post a Comment