Wednesday, October 17, 2012

SEKOLAH AGAMA MENJADI REBUTAN

==================== Sisipan Pendidikan ===================

Murid-murid sedang mengambil ujian kelayakan
di SMKA Syarifah Rodziah
Gambar : Ihsan ust Mohd. Sani, JPN
Petang semalam, secara sengaja saya melapangkan masa untuk ke SMKA Syarifah Rodziah, Telok Mas, Melaka bagi menghantar anak untuk menduduki ujian kelayakan kemasukan ke sekolah-sekolah agama di negeri Melaka.


Sesi taklimat kemasukan ke
Sek. Agama di Melaka

Setibanya saya  di sana 15 minit sebelum ujian bermula. Saya disapa semasa menuruni anak-anak tangga untuk ke dewan besar sekolah terbabit oleh beberapa orang ibubapa. Katanya, “cepat sikit, ujian dah nak mula”.

Saya sekadar tersenyum, tidak pula memberi sebarang reaksi. Memandangkan semua ibuayah kelihatan tergesa-gesa. Terlintas di hati saya, “ahh...lambat lagi, apasal kelam kabut sangat”.

Memang benar, saya agak terlewat. Bukannya terlewat masa, tetapi terlewat untuk memenuhi dewan, lantaran hampir keseluruhan kerusi meja telah berpenghuni. Saya minta anak saya duduk di bangku yang akhir kerana itu sahaja yang kosong.

Ibubapa sabar menanti anak-anak
menduduki ujian kelayakan
Gambar : Ihsan ust Mohd. Sani, JPN
Terdetik di hati saya, “wah...ramai betul mereka yang berminat mencalonkan anak-anak ke sekolah agama”. Memang benar, selepas ketibaan saya, disusuli lagi dengan beberapa orang lagi makayah yang kesemuanya kelihatan tergesa-gesa untuk mengambil tempat bagi anak-anak mereka.


Sesi taklimat
Gambar : Ihsan ust. Mohd. Sani, JPN

Di akhir sesi ujian, kami didedahkan oleh pegawai yang bertugas akan proses yang perlu dijalani bagi pemilihan tersebut. Sengit juga rupanya.

Terkenang saya zaman persekolahan saya dahulu, kira-kira 30 tahun yang lampau, kedudukan sekolah agama yang sering dipinggir dan diejek. Kata sesetengahnya, “masuk sekolah Arab ke!?. Ini bukannya nada bertanya, tetapi terselit ungkapan sinis sambil mencebih mulutnya.

Sakitnya hati saya pada masa itu. Saya ke sekolah Arab kerana kehendak hati saya ingin bersekolah di sana. Lalu, saya kuatkan semangat, teguhkan tekad dan upayakan diri sebagai menyahut ungkapan yang dianggap sebagai ‘pemusnah’ motivasi diri.


Akhirnya saya terpilih untuk ke sekolah berasrama penuh, Kolej Islam Klang (KIK). Terbelalak biji mata mereka yang dangkal minda dan kontot aqal itu. Saya katakan ia sebagai kontot, kerana mereka hanya tahu orang yang berjaya ialah mereka yang bersekolah kebangsaan sahaja.

Sekolah Arab yang kini juga dikenali sebagai Sekolah Agama Rakyat (SAR), mempunyai tahap keberkatan yang tinggi. Meskipun alat kelengkapan sekolah yang uzur lagi usang, namun semangat dan berkat doa orang-orang kampung, ianya mampu bangkit dan muncul serta berjaya melahirkan anak-anak penerus pejuang ummah. Tambahan pula, keberkatan doa guru-guru dan para ustaznya yang sentiasa mengiringi.


Kini, situasi ini muncul kembali. Sekolah agama telah menjadi rebutan dan kemasukannya amat-amat diharapkan. Sedihnya, bilangan sekolah ini pula terhad. Kalaulah sekolah agama ini mampu menjana kewangan negara dan mampu pula mengurangkan defisit belanjawan, maka pasti ianya akan ditumbuh-suburkan semacam tumbuhnya pasar-pasar raya.

Apakan daya, sekolah agama tidak menuju ke arah itu. Tidak pula menambahkan kredit ke dalam akaun negara. Bahkan, ia telah dipandang serong sebagai markaz anak-anak pembangkang. Dan semacam lagi ungkapan negatif yang diberikan.


Lihat sahaja bilangan SMKA yang ada. Seingat saya, semasa awal perkhidmatan saya dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), bilangannya teramat perlahan sekali pertambahannya. Dari dahulu 50 buah, kini 56 buah. Terakhir, pada awal tahun 2012, dengan penaikan taraf SMK (A) Tun Perak, Jasin kepada SMKA Tun Perak. Dalam masa 15 tahun, hanya 5 buah yang mampu dibangunkan.

Sebetulnya, jika permintaan tinggi, maka pihak kementerian sepatutnya membuat penawaran yang juga tinggi. SMKA beraliran tahfiz, masih belum ada. Sedangkan MRSM yang pada dasarnya tidaklah berasaskan agama, telah diperkenalkan di sekolah-sekolah mereka. Lambatnya kita bila menyentuh pasal agama.

Seperkara lagi, kita sering lupa, iaitu ikatan akhlak anak-anak remaja mesti diikat dengan agama. Ikatan bangsa, bahasa dan sebagainya adalah suatu ikatan yang longgar, kelak terlucut. Nak tak nak, mahu tak mahu, ingin tak ingin, kita perlu kembalikan balik pengajian kita dengan memberi penekanan kepada ajaran agama. Hakikat ini perlu diterima, meskipun ianya dicanggah oleh sesetengah pihak.

Agama teras pendidikan bangsa, penerus generasi islah dan penguat jati diri ummah.


No comments:

Post a Comment