Monday, October 8, 2012

PENGEMIS KAYA !


==================== Sisipan  Sosial=====================
Itulah bunyi tajuk akhbar Sinar Harian (8/10/2012) yang terpapar gah di muka depan.

Saya cuba mencari makna di sebalik paparan ini. Adakah ianya ditulis berasakan vakum yang kosong atau membawa sesuatu mesej penting yang hendak disampaikan?

Jika mengikut nujuman saya, sudah pasti saya mengandaikan ianya ingin memberitahu kepada kita semua tentang kayanya rakyat kita ini. Lihatlah, si pengemis sahaja mampu menabung sehingga RM60k dan memiliki simpanan tunai sebanyak RM15k.

Bermakna orang yang tidak mengemis pasti memiliki aset berlipat-lipat kali ganda.

Mari kita kaitkan ini dengan isu sekitaran kita.

(1) Tentang bajet yang telah diparlimenkan. 
Ini bermakna, meskipun negara kita dengan bebanan hutang sebanyak RM500 bilion dan defisit selama 15 tahun, kita masih mampu hidup mewah sebagaimana mewahnya negara-negara kaya yang lain. Meskipun hakikat sebenarnya yang bermewah-mewahan ini hanyalah spesies VIP dan VVIP, sedangan rakyat marahain terceruk dan terperuk.

(2)     Bantuan one-off.
Bantuan rakyat telah berjaya mengemiskan rakyat sendiri agar sentiasa menagih dan mengemis demi sebuku garam secupak beras. Walhal, tersimpan dalam kocek rakyat wang dan harta yang berkarung. Pemberian ini bagaikan sindiran tajam dan umpanan di mata kail.

(3) Menuntut royalti.
Rakyat Kelantan dengan semangat waja berusaha dan bermati-matian untuk menuntut hak royalti petroleum mereka. Mereka sanggup menunggu “sampai ceroh” agar permintaan mereka didengar dan dipertimbangkan serta ditunaikan.

Namun, bagi pihak kerajaan, tak ubah bagaikan pengemis yang berkerumunan di depan pintu rumah si kaya sambil merayu dan pohonkan simpati. Sedangkan rakyat Kelantan kaya raya dan berduit.

Agar dilihat hina dan rendahnya maruah diri, maka ditonjolkan paparan akhbar itu.

Ragam kehidupan masyarakat ini memberitakan kita bahawa lantai keadilan tidak sama rata. Ada yang membukit, ada yang rata, bahkan ada juga yang berlopak dan berlubang-lubang, tak ubah seperti jalan kampung yang diturap jika ada pilihanraya. Itupun kampung kerajaan, manakala kampung pembangkang tunggulah sehingga rumput menebal bagi menutup lopak-lopak terabai.


No comments:

Post a Comment